Jilid 4 \ 1846 ( Wahyu 2 )

1846, Dari 'Aisyah r.a. sesungguhnya dia berkata: Permulaan wahyu kepada Rasulullah saw. ialah mimpi yang benar di waktu tidur. Setiap Nabi bermimpi, dilihatnya dengan terang seperti di pagi hari. Kemudian itu, beliau pergi ke gua Hira' dan beribadat di situ selama beberapa malam. Untuk itu beliau membawa perbekalan. Kemudian setelah perbekalan habis, beliau kembali kepada Khadijah dan disiapkannya pula perbekalan seperti yang dahulu. Akhirnya kebenaran (wahyu) datang kepada beliau dengan tiba-tiba, ketika sedang berada di gua Hira'. Maka datanglah malaikat (Jibril) ke situ dan mengatakan: "Bacalah!" Nabi menceritakan: Jawab ku: "Aku tidak boleh membaca." Lalu malaikat itu memegang dan memeluk ku sampai merasa letih. Kemudian aku dilepaskannya dan katanya sekali lagi: "Bacalah!" Aku tetap menjawab: "Aku tidak bisa membaca." Lalu aku dipeluknya sekali lagi, sehingga aku merasa letih. Kemudian dilepaskannya pula dan mengatakan: "Bacalah!" Aku tetap menjawab: "Aku tidak bisa membaca." Lalu aku dipeluknya kali yang ketiga, sampai aku merasa letih. Kemudian itu dilepaskannya sambil mengucapkan: "Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan..mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." Kemudian itu Nabi kembali pulang dengan perasaan goncang. Setelah bertemu dengan Khadijah, beliau mengatakan: "Selimuti aku, selimuti aku!" Lalu beliau diselimuti oleh Khadijah sampai hilang takutnya. Nabi berkata: "Hai Khadijah! Apakah gerangan yang terjadi pada diriku?" Diceritakan oleh Nabi kepada Khadijah peristiwa yang telah dialaminya. Kemudian mengatakan: "Sesungguhnya aku cemas terhadap diriku." Khadijah menjawab: "Jangan khuatir! Hendaklah engkau bergembira. Demi Allah, Tuhan tidak akan menimpakan kehinaan kepada engkau buat selamanya, kerana engkau seorang sentiasa memperhubungkan kasih sayang (silaturrahim), berkata benar, menolong orang yang sengsara, memuliakan tamu dan menolong orang yang korban kerana mempertahankan kebenaran." Kemudian itu Nabi bersama Khadijah pergi menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul 'Uzza bin Qusai, seorang anak saudara bapa Khadijah. Waraqah itu telah memeluk agama Nasrani dizaman jahiliyah dan pandai menulis dalam bahasa Arab. Ditulisnya dari Kitab Injil dalam bahasa Arab seberapa kesanggupan yang diberikan Tuhan kepadanya. Umurnya telah sangat tua dan matanya telah buta. Kata Khadijah kepada Waraqah: "Hai anak pakcikku. Dengarlah cerita dari anak saudara mu (maksudnya Nabi Muhammad)!" Kata Waraqah: "Hai anak saudaraku! Apakah yang telah anda lihat?" Lalu diceritakan oleh Nabi saw. apa yang telah dialaminya. Kata Waraqah:"Itu Namus (Jibril) yang telah diutus kepada Musa. Wahai, hendaknya saya masih (muda dan masih hidup, ketika anda diusir oleh kaum anda!" Rasulullah saw. bertanya: "Apakah mereka nanti akan mengusir aku?" Jawab Waraqah: "Betul! Setiap orang yang mengemukakan serupa dengan apa yang anda kemukakan ini pasti akan dimusuhi. Kalau seandainya saya mendapati hari itu, nescaya saya akan membantu anda dengan sekuat-kuatnya." Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu berhenti buat sementara, sehingga sangat menyedihkan hati Nabi. Menurut ceritanya, kerana kesedihan itu beberapa kali Nabi hendak menjauhkan dirinya dari puncak bukit. Tetapi hati itu tidak sampai terjadi, kerana setiap kali Nabi sampai di puncak bukit hendak menjatuhkan dirinya dari situ, malaikat Jibril menampakkan diri dan mengatakan: "Hai Muhammad! Engkau sebenarnya Rasulullah". Kerana itu hati Nabi menjadi tenteram dan jiwanya kembali tenang sehingga dia pulang saja. Setelah wahyu terhenti sampai sekian lama. Nabi hendak berbuat pula sebagai dahulu, tetapi setelah sampai di puncak bukit, kelihatan lagi malaikat Jibril, lalu mengucapkan perkataan serupa yang diucapkannya dahulu.