1140. Dari Sahl bin Sa'ad, katanya: Sebuah gelas dihidangkan kepada Rasulullah s.a.w. dan beliau minum dari situ. Di sebelah kanan beliau ada seorang anak kecil dan di sebelah kiri beliau ada seorang orang tua. Beliau bersabda: "Hai anak kecil, relakah engkau kalau sisa saya ini saya berikan kepada orang tua ini?" Anak itu menjawab: Ya Rasulullah! Sayalah yang paling berhak mendapat sisa anda. Lalu Rasulullah saw. memberikan kepadanya.
1141. Dari Anas bin Malik r.a., diperah untuk Rasulullah s.a.w. seekor kambing jinak di tempat ku, lalu susu itu dicampur dengan air sumur yang terdapat di sana. Orang memberikan sebuah gelas kepada Rasul dan beliau minum dari situ. Ketika beliau selesai minum, di sebelah kiri beliau ada Abu Bakar, sedangkan di sebelah kanan beliau seorang Badwi. Kerana khuatir kalau-kalau Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi itu, Umar berkata; Berikanlah gelas anda itu kepada Abu Bakar, hai Rasulullah. Tetapi Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi, yang duduk di sebelah kanannya sambil, bersabda: "Kepada yang sebelah kanan, terus kepada yang sebelah kanan berikutnya."
1142. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Berikanlah kelebihan air kepada orang lain, kerana kalau kamu larang, maka ertinya kamu melarang kelebihan rumput."
1143. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada tiga golongan manusia yang tidak akan dilihat dan tidak akan disucikan Tuhan pada hari kiamat, dan mereka itu akan memperoleh seksa yang berat. Pertama, orang yang mempunyai kelebihan air tetapi tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan dalam perjalanan. Kedua, orang yang berjanji setia kepada Imam (Penguasa) tetapi hal itu dilakukannya hanya kerana kepentingan dunia. Kalau Imam memberikan keuntungan dunia kepadanya ia gembira. Tetapi kalau tidak, ia jadi marah. Ketiga, orang yang berjualan setelah Asar, seraya berkata: Demi Allah, tiada Tuhan selainNya. Barang-barang saya ini telah ditawar orang sekian. Lalu kata-katanya itu dipercaya orang lain." Lalu beliau membaca ayat yang bererti: "Orang-orang menjual janji Allah dan sumpah mereka dengan harga yang murah di akhirat mereka tidak akan mendapat apa-apa. Tuhan tidak akan berbicara kepada mereka, tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat nanti. dan tidak akan menyucikan mereka dari dosa mereka. Mereka akan memperoleh seksa yang pedih." (Ali Imran. 77)
1144. Dari Abdullah bin Zubair r.a., ia bercerita bahawa ada seorang laki-laki Ansar bertengkar dengan Zubair dekat Rasulullah saw. mengenai pengairan pohon kurma. Orang Ansar berkata: Biarkan air itu mengalir! Zubair tidak mahu. Keduanya minta diadili oleh Rasulullah saw. Lalu Rasulullah saw. berkata kepada Zubair; "Airi dahulu kebun engkau hai Zubair, kemudian alirkan air itu kepada tetanggamu." Orang Ansar itu pun marah, seraya berkata: Tentu kerana ia anak pakcikmu. Air muka Rasulullah saw. berubah, lalu beliau bersabda: "Pergunakanlah air itu untuk engkau hai Zubair sampai menggenangi pematang." Zubair berkata: Demi Allah, mengenai peristiwa inilah turunnya ayat yang berbunyi: "Tidak, demi Tuhan mu, mereka belum benar-benar beriman, sampai mereka berhakim kepada mu mengenai perselisihan-perselisihan yang terdapat di antara mereka" (Quran surat An-Nisa', 65)
1145. Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ketika seorang laki-laki sedang dalam perjalanan, ia kehausan. Ia masuk ke dalam sebuah sumur yang curam, lalu minum di sana. Kemudian ia ke luar. Tiba-tiba ditemuinya seekor anjing yang menjulurkan lidahnya dan menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata: Anjing ini sedang merasakan apa yang telah saya rasakan. Lalu ia turun kembali ke sumur itu, memenuhi sepatunya dengan air, membawanya ke atas dengan menggigit sepatu itu, terus naik kembali ke atas dan memberi minum anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya." Para sahabat bertanya: Hai Rasulullah! Kalau kami mengasihi binatang apakah kami memperoleh pahala? Beliau bersabda: "Setiap hati yang pengasih mendapat pahala. "
1146. Dari Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah saw. bersabda : "Ada seorang perempuan yang diseksa kerana ia memenjarakan kucing sampai mati kelaparan. Kerana itu dia masuk neraka.” Kemudian Rasul bersabda: "Tuhan tahu, bahawa engkau tidak memberi makan dan minum kucing itu waktu memenjarakannya, kucing itu tidak pula engkau lepaskan agar dapat makan apa yang melata di bumi.
1147. Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Demi Tuhan Yang menggenggam diri ku! Apakah aku akan mengusir orang banyak dari telagaku, sebagaimana orang mengusir unta yang terasing dari telaga?"
1148. Dari Ibnu 'Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Semoga Allah mengasihi Ibu Ismail, kalau ia membiarkan sumur Zamzam." Atau Nabi bersabda: "Kalau tidaklah ia menyauk air sumur Zamzam, tentulah sumur itu akan menjadi mata air yang mengalir. Lalu akan datang orang dari suku Jurhum berkata: "Izinkanlah kami tinggal di sebelahmu." Ibu Ismail menjawab: "Boleh, tetapi kamu tidak berhak atas air" Mereka menjawab: "Baiklah!"
1149. Dari Sha'b bin Jatsamah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Tiada yang berhak melarang selain Allah dan RasulNya." Perawi Hadis berkata: Kami mendapat berita bahawa Nabi s.a.w. pernah melarang Naqi', dan Umar pernah melarang Saraf dan Rabazah.
1150. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Kuda dapat menjadi sumber pahala, menjadi alat untuk memenuhi keperluan, atau menjadi sebab dosa. Ia menjadi sumber pahala, kalau ia dipelihara untuk agama Allah, digembalakan di padang rumput atau di perkebunan. Seberapa sampai oleh kuda itu menurut panjang talinya di padang rumput atau di kebun itu, itu menjadi pahala bagi yang punya. Kalau kuda itu putus talinya, lalu naik ke tempat yang tinggi, jejaknya dan tahinya menjadi sumber pahala bagi yang punya. Seandainya kuda itu melalui sebuah sungai, dan ia minum di sana, sedangkan yang punya tidak berniat memberinya minum, maka yang demikian itu menjadi sumber pahala baginya. Kerana itu, kudanya menjadi sumber pahala baginya. Orang memelihara kuda untuk memenuhi keperluan hidupnya, agar ia jangan menjadi pengemis, dan tidak melupakan hak Tuhan pada waktu membebani kuda itu. Kerana kuda itu menjadi alat bagi pemenuhan keperluannya. Dan orang yang memelihara kuda kerana bongkak, sombong, dan membanggakan diri terhadap orang lain, maka kuda itu menjadi sebab dosa baginya." Orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keldai. Beliau menjawab ''Tidak ada hal khusus yang diturunkan kepada ku mengenai keldai, tetapi sebuah ayat pendek lengkap telah diturunkan kepada ku, yaitu: "Siapa yang berbuat kebaikan sebesar atom pun, akan dilihatnya: siapa yang berbuat kejahatan sebesar atom pun akan dilihatnya." (Surat Al Zilzal. 7- 8)
1151. Dari Zaid bin Khalid r.a., katanya: Ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah s.a.w. bertanya tentang barang yang dijumpai di jalan. Beliau bersabda: "Ketahui di mana benda itu dijumpai dan bagaimana tali pengikatnya (tanda-tandanya), kemudian umumkan kepada orang banyak selama setahun. Kalau pemiliknya datang, serahkan kepadanya. Tetapi kalau dalam masa itu tidak ada orang yang datang, kamu dapat berbuat sesukamu dengan benda itu." Laki-laki itu bertanya: Kalau kambing yang didapat bagaimana? Nabi menjawab: "Kambing itu untukmu, atau untuk saudara mu, atau untuk serigala." Laki-laki itu bertanya lagi: Kalau unta bagaimana? Nabi menjawab: "Kamu tidak perlu mengambilnya. Binatang itu sanggup mencari minum dan tebal kulit kakinya. Ia dapat pergi sendiri ke tempat air dan makan rumput, sampai nanti pemiliknya datang."
1152. Dari Ali bin Abi Thalib r.a., katanya: Dalam peperangan Badar, saya dan Rasulullah s.a.w. masing-masingnya mendapat seekor unta rampasan. Rasulullah s.a.w. memberikan untanya kepada ku. Pada suatu hari saya tidurkan kedua ekor unta itu di depan rumah seorang Ansar. Saya bermaksud memuat tanaman Izkhir ke atas kedua unta itu untuk saya jual. Bersama saya waktu itu ada tukang logam dari Bani Qainuqa". Saya akan mempergunakan harganya untuk pesta perkawinan Fatimah. Hamzah bin Abdul Muttalib sedang minum di rumah itu. Ia disertai oleh seorang penyanyi. Penyanyi itu berkata: Hamzah, unta itu gemuk! Lalu Hamzah melompat menuju kedua unta itu dengan pedang. Ia memotong bonggol unta itu dan menyayat-nyayat punggungnya, serta mengeluarkan hatinya. Ibnu Juraid bertanya kepada Ibnu Syihab setelah mendengar cerita ini: Juga bonggolnya? Jawab Ibnu Syihab: Kedua bonggol itu dipotongnya dan dibawanya. Selanjutnya Ibnu Syihab meneruskan hadis itu; Ali berkata: Saya anggap peristiwa itu amat mengerikan. Lalu saya menghadap Rasul, yang di sebelahnya pada waktu itu ada Zaid bin Haritsah. Saya menceritakan kepada beliau apa yang terjadi. Beliau langsung keluar bersama Zaid, dan saya ikut pergi mengiringinya. Nabi s.a.w. terus masuk ke tempat Hamzah. Beliau marah kepada Hamzah. Hamzah mengangkat pandangannya seraya berkata: Kamu semua hanya budak bapa-bapa ku. Rasulullah s.a.w. mundur, sampai keluar dari tempat mereka. Kejadian itu terjadi sebelum minuman keras diharamkan.
1153. Dari Anas r.a., Nabi saw. memanggil orang Ansar untuk membagikan tanah bagi mereka di Bahrain. Mereka berkata: Hai Rasulullah! Jika anda membagikan tanah, hendaklah sama dengan bahagian saudara-saudara kami dari suku Quraisy. Rasulullah saw. Tidak menghendakinya begitu, lalu beliau bersabda: "Setelah aku nanti, kamu akan melihat orang-orang yang mementingkan diri sendiri. Hendaklah orang-orang itu sabar sampai kamu berjumpa denganku."