Jilid 4 \ 1802 - 1845 ( Hukuman )

1802, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak akan berzina orang yang berzina, di waktu melakukan perzinaan itu, ketika dia orang beriman. Tidak akan meminum minuman yang memabukkan, di waktu minum itu, ketika dia orang beriman. Tidak akan mencuri seorang pencuri, di waktu melakukan pencurian, ketika dia orang beriman. Tidak akan melakukan perampasan, yang menyebabkan orang banyak mengarahkan pemandangan kepadanya, ketika dia orang beriman."
 
1803, Dari Anas bin Malik r.a bahawa Nabi saw. memukul orang yang meminum minuman yang memabukkan dengan pelepah kurma dan terompah. Abu Bakar memukulnya empat puluh kali. 
 
1804, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Dibawa orang kepada Nabi saw. seorang yang meminum minuman yang memabuk. Nabi berkata: "Pukullah orang itu. Kata Abu Hurairah: Di antara kami ada yang memukul dengan tangannya dan ada yang memukul dengan terompahnya dan ada yang memukul lengan kainnya. Setelah orang itu pergi ada beberapa orang yang mengucapkan: "Kiranya Allah menghinakan engkau!" Beliau berkata: "Jangan kamu berkata begitu. Jangan kamu tolong syaitan membinasakannya." 
 
1805, Dari Saib bin Yazid r.a. katanya: Dimasa Rasulullah saw. dibawa kepada kami orang yang meminum minuman yang memabuk dan dimasa pemerintahan Abu Bakar dan permulaan pemerintahan Umar. Kami berdiri memukul orang itu dengan tangan, terompah dan jubah kami. Tetapi di akhir pemerintahan Umar, dipukulnya orang minum itu empat puluh kali. Dan setelah melampaui batas dan bertambah jahatnya dipukulnya lapan puluh kali. 
 
1806, Dari Umar bin Khattab r.a., bahawa ada seorang laki-laki di masa Nabi saw. namanya Abdullah dan digelarkan Himar. Dia pernah menyebabkan Rasulullah saw. tertawa dan Nabi saw. memukulnya kerana meminum minuman yang memabuk. Pada suatu hari, dia dibawa ke hadapan Nabi, kerana minum, lalu disuruh oleh Nabi supaya dia dipukul. Ada seorang laki-laki antara orang banyak, mengucapkan: "Ya Allah! Kutuklah orang itu! Acap kali benar dia dihadapkan kepada Nabi (kerana minum)." Lalu Nabi saw. bersabda: "Jangan kamu kutuki orang itu! Demi Allah! Yang aku ketahui orang itu mencintai Allah dan RasulNya." 
 
1807, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. sabdanya: "Allah mengutuki pencuri yang mencuri sebutir telur, lalu dipotong tangannya dan pencuri seutas tali lalu dipotong tangannya." 
 
1808, Dari 'Ubadah bin Shamit r.a., katanya: Kami berada dekat Nabi saw. dalam suatu majlis, lalu beliau berkata: "Berjanjilah kepada ku, bahawa kamu tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, tidak mencuri dan tidak berzina. Siapa di antara kamu yang menepati janjinya, nescaya Allah akan memberinya pahala. Tetapi siapa yang melanggar sesuatu di antaranya, lalu ditutupi Allah kesalahannya (tidak dihukum), maka terserah kepada Allah: Kalau Dia kehendaki diampuniNya kesalahan orang itu dan kalau Dia mahu diseksaNya." 
 
1809, Dari 'Aisyah r.a. bahawa kaum Quraisy amat memusingkan mereka hal seseorang perempuan suku Makhzum yang melakukan pencurian. Mereka mengatakan: "Siapakah yang boleh berbicara dengan Rasulullah saw. (mengemukakan permintaan supaya perempuan itu dibebaskan)? Tiada yang berani untuk membicarakan hal itu hanyalah Usamah kesayangan Rasulullah saw," Lalu Usamah berbicara dengan Rasulullah saw. dan beliau menjawab: "Adakah engkau hendak menolong supaya orang bebas dari hukuman Allah?" Kemudian itu Nabi berdiri dan berkhutbah, sabda beliau: "Hai orang banyak! Orang-orang yang sebelum kamu menjadi sesat jalan disebabkan apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan saja (tidak dihukum). Tetapi kalau seorang yang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka lakukan hukuman kepadanya. Demi Allah! Kalau seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya Muhammad akan memotong tangan anaknya itu. " 
 
1810, Dari 'Aisyah r.a., dari Nabi saw.beliau bersabda: "Dipotong tangan pencuri disebabkan mencuri seperempat dinar." 
 
1811, Dari 'Aisyah r.a. katanya: Tidak dipotong tangan pencuri di masa Nabi saw. kerana mencuri kurang dari harga perisai atau kerangka (kulit) perisai sedang keduanya ada harganya. 
 
 1812, Dari Abdullah bin Umar r.a. katanya: Nabi saw, memotong tangan pencuri, kerana mencuri perisai yang berharga tiga dirham. 
 
1813, Dari 'Ubadah bin Sham r.a. katanya: Saya berjanji kepada Rasulullah saw. bersama beberapa orang. Beliau berkata: "Aku mengambil janji kamu bahawa kamu tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, tidak mencuri, tidak membunuh anak-anak kami, tidak mengadakan kebohongan yang kamu ada-adakan saja di antara tangan dan kaki kamu dan tidak akan melanggar perintahku berkenaan dengan perbuatan baik. Barangsiapa di antara kamu yang menepati janjinya, maka pahalanya akan dibayar cukup oleh Allah. Tetapi siapa yang melanggar sesuatu di antaranya, lalu orang itu mendapat hukuman di dunia kerana kesalahannya, maka hukuman itu menjadi penutup dosanya dan membersihkannya. Dan siapa yang ditutup oleh Allah kesalahannya (tidak menerima hukuman), maka terserahlah kepada Allah: kalau Dia mahu, orang itu diseksaNya dan kalau Dia suka diampuniNya." 
 
1814, Dari Anas r.a. katanya: Datang sekumpulan orang dari Ukal kepada Nabi saw. lalu mereka memeluk agama Islam dan sakit kerana tidak sesuai dengan udara Madinah. Nabi menyuruh mereka pergi kepada unta sedekah, meminum kencing dan susu unta itu. Mereka lakukan dan kerananya mereka menjadi sehat. Kemudian itu mereka murtad dan membunuh penggembala unta serta membawa lari unta itu. Nabi menyuruh mengikuti jejak mereka. Kemudian mereka dapat ditangkap dan dibawa ke hadapan Nabi saw. Lalu tangan dan kaki mereka dipotong dan dicungkil matanya. Kerana darah mereka tidak ditahan semuanya meninggal dunia. 
 
1815, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: Tujuh golongan dilindungi Allah di bawah lindunganNya, waktu tidak ada lindungan selain lindungan-Nya: 1. Imam (Kepala Pemerintahan) yang adil. 2. Pemuda yang dalam masa mudanya beribadat kepada Allah. 3. Orang yang menyebut (mengingati) Allah ketika sendirian, lalu menitis air matanya. 4. Laki-laki yang tergantung hatinya di masjid (beribadat). 5. Orang yang berkasih sayang kerana Allah semata-mata. 6. Laki-laki yang dirayu oleh seorang perempuan bangsawan cantik, tetapi dia mengatakan (menolak): "Sesunguhnya saya takut kepada Allah." 7. Orang yang bersedekah dan disembunyikannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat (diberikan) oleh tangan kanannya. 
 
1816, Dari Sahal bin Saad r.a. katanya: Nabi saw. bersabda: "Siapa yang menjamin kepada ku apa yang di antara dua kakinya (anggota kelamin) dan apa yang antara dua tulang rahangnya (lidahnya), nescaya aku menjamin syurga kepadanya. " 
 
1817, Dari Jabir bin Abdullah Al Ansari r.a., bahawa seorang laki-laki dari Aslam datang kepada Rasulullah saw. dan menceritakan bahawa dia telah berzina. Pengakuan ini diucapkannya empat kali. Lalu Rasulullah saw. menyuruh supaya orang itu direjam (dilempari dengan batu). Sesungguhnya dia telah pernah kahwin. 
 
1818, Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Datang seorang laki-laki kepada Rasulullah saw. ketika beliau sedang berada dalam masjid. Orang itu berteriak mengatakan: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya telah berzina." Nabi tidak memperdulikan perkataan orang itu, sehingga dia mengulang ucapannya sampai empat kali. Setelah orang itu mengakui kesalahannya sampai empat kali, Nabi saw. memanggilnya dan menanyakan: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak!" Tanya Nabi: "Adakah engkau sudah pernah kahwin?" Jawabnya: "Ya, sudah!" Lalu Nabi saw. berkata: "Bawalah orang ini dan rejamlah." 
 
1819, Dari Anas bin Malik r.a. katanya: Ketika saya dekat Nabi saw. datang seorang laki-laki, lalu dia berkata: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya telah melakukan suatu perbuatan yang perlu mendapat hukuman. Sebab itu, lakukanlah hukuman itu kepada saya!" Nabi tidak menanyakan , kepada orang itu apa kesalahannya. Maka tibalah waktu solat dan laki-laki itu solat bersama Nabi saw. Setelah Nabi selesai mengerjakan solat, laki-laki tadi berdiri menemui Nabi saw mengatakan sekali lagi: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya melakukan perbuatan yang perlu mendapat hukuman. Sebab itu, jalankanlah hukuman itu kepada saya menurut Kitab Allah!" .Nabi berkata: "Bukankah engkau telah solat bersama kami?" Jawabnya: "Ya!" Sabda Nabi: "Sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa atau hukuman engkau." 
 
1820, Dari Zaid bin Khalid Al Juhani r.a.katanya: Saya mendengar Nabi saw. menyuruh supaya orang berzina dan belum kahwin, dipukul seratus kali dan pembuangan (penjara) satu tahun. 
 
1821, Dari Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid r.a., bahawa kepada Rasulullah saw. ditanyakan tentang hamba sahaya perempuan, apabila berzina, sedang dia , belum pernah kahwin. Sabda Nabi: "Apabila hamba sahaya perempuan itu berzina, pukullah dia. Kemudian kalau berzina lagi, pukullah! Kemudian kalau berzina lagi, pukullah! Kemudian itu juallah, biarpun dengan harga sepotong lepih rambut." 
 
1822, Dari Abdullah bin Umar r.a. sesungguhnya dia mengatakan, bahawa ada beberapa orang Yahudi datang kepada Rasulullah saw. Mereka memberitakan kepada beliau tentang seorang laki-laki dan seorang perempuan melakukan perzinaan. Lalu Rasulullah saw. menanyakan kepada mereka: "Apakah yang kamu dapati dalam Taurat tentang soal rejam?" Mereka menjawab: "Orang berzina itu kami beri malu dan dipukul." Kata Abdullah bin Salam (kepada orang Yahudi): "Kamu dusta! Dalam Taurat ada hukuman rejam." Lalu mereka kemukakan Kitab Taurat dan dibuka. Ada seorang di antara mereka meletakkan tangannya untuk menutup ayat rejam itu dan dibacanya hanya yang sebelum dan yang sesudah ayat rejam itu. Lalu Abdullah bin Salam menyuruh orang itu mengangkat tangannya dan kebetulan di situ ada ayat berkenaan dengan rejam. Orang Yahudi tadi berkata: "Benar dia, Ya Muhammad! Di situ ada ayat tentang hukuman rejam." Rasulullah memerintahkan supaya kedua orang yang berzina itu direjam. Saya melihat laki-laki melindungi perempuan supaya jangan kena batu." 
 
1823, Dari Abu. Burdah r.a. katanya: Nabi saw. bersabda: "Tidak boleh orang dipukul lebih dari sepuluh kali, melainkan dalam hukuman yang telah ditentukan Allah!" 
 
1824, Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Orang beriman itu sentiasa dalam kelapangan, selama tidak melakukan penumpahan darah yang terlarang." 
 
1825, Dari Abdullah r.a. katanya: Nabi saw. bersabda: "Nanti yang lebih dahulu diadili di antara manusia ialah soal darah (pembunuhan)." 
 
1826, Dari Abdullah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Siapa yang menghadapkan senjatanya kepada kita, orang itu bukan masuk golongan kita." 
 
1827, Dari Anas bin Malik r.a. bahawa seorang Yahudi memecah kepala seorang anak perempuan disepitkan antara dua batu. Lalu ditanyakan kepada anak perempuan itu, siapa yang memperbuatnya: "Si Anu atau si Anu?" Sampai tersebut nama Yahudi itu. Kemudian dia dibawa ke hadapan Nabi saw. dan diperiksa terus menerus sampai mengakui kesalahannya. Lalu kepalanya dipecah pula dengan batu. 
 
1828, Dari Abdullah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Tidak halal darah (tidak boleh dibunuh) seorang Muslim yang mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, bahawa aku (Muhammad) Rasul Allah, melainkan kerana salah satu dari tiga perkara: 1. Hutang jiwa dibayar dengan jiwa. 2. Orang berzina yang sudah pernah kahwin. 3. Orang yang keluar dari agama dan memisahkan diri dari jemaah (kesatuan kaum Muslimin)." 
 
1829, Dari Anas r.a., sesungguhnya seorang Yahudi membunuh seorang perempuan kerana hendak mengambil perhiasannya, dibunuhnya dengan batu. Lalu perempuan itu dibawa kepada Nabi saw. dan ketika itu dia masih mempunyai nafas yang terakhir. Nabi menanyakan kepadanya: "Apakah yang membunuh engkau si Anu?" Lalu isyaratkannya dengan kepalanya, mengatakan tidak. Kemudian Nabi menanyakan kali yang kedua (yang lain) dan diisyaratkannya dengan kepalanya juga mengatakan tidak. Kemudian Nabi menanyakan kali yang ketiga (yang lain), lalu diisyaratkannya dengan kepalanya, mengatakan ya. Lalu orang yang membunuh itu disuruh bunuh oleh Nabi dengan dua batu. 
 
1830, Dari Abu Hurairah r.a. sesungguhnya pada tahun penaklukan Mekah ada seorang dari suku Bani Khuzaah membunuh seorang laki-laki dari suku Bani Laits sebagai pembalasan dari pembunuhan di zaman jahiliyah. Lalu Rasulullah saw. berdiri dan bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mempertahankan negeri Mekah dari serangan pasukan bergajah dan Tuhan memberikan kekuasaan kepada RasulNya dan orang yang beriman. Ketahuilah! Tidak boleh dilanggar kesuciannya oleh seseorang sebelumku dan tidak pula oleh seseorang kemudianku. Kepadaku hanya diberikan kebebasan untuk bertindak sesaat saja di waktu siang. Ketahuilah, bahawa di saatku ini Mekah tetap suatu Tanah Suci, tidak boleh dicabut durinya, tidak boleh dipotong pohonnya, tidak boleh diambil yang tercicir, kecuali untuk diumumkan. Siapa yang terbunuh keluarganya, dia boleh memilih di antara dua: meminta bayaran (diat) atau menuntut kisas. Lalu berdiri seorang laki-laki dari penduduk Yaman, " namanya Abu Syah, katanya: "Tulislah untuk saya, ya Rasulullah!" Rasulullah berkata: "Tuliskan itu untuk Abu Syah!" " Kemudian berdiri seorang suku Quraisy, katanya: "Ya Rasulullah! Hendaknya selain izkhir (sebangsa rumput yang harum baunya), kerana izkhir itu kami letakkan di rumah dan di kubur kami." Rasulullah berkata: "Selain izkhir." 
 
1831, Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa Nabi saw. bersabda: "Orang yang sangat dibenci Allah ada tiga golongan: 1. Orang yang berterus-terang mengerjakan yang. haram. 2. Orang yang memasukkan ke dalam Islam kebiasaan (adat) jahiliyah. 3. Orang yang menuntut menumpahkan darah orang lain, tidak menurut kebenaran (hukum)." 
 
1832, Dari Imran bin Hushain r.a. bahawa seorang laki-laki menggigit tangan laki-laki lain, lalu orang yang digigit itu ; menarik tangannya dengan kuat dari mulut laki-laki yang menggigitnya, menyebabkan dua giginya yang di muka jatuh (gugur). Lalu keduanya memajukan perkara kepada Nabi saw. dan beliau bersabda: "Salah seorang kamu menggigit saudaranya serupa kelakuan binatang jantan menggigit. Sebab itu, tidak ada hukuman diat." 
 
1833, Dari Anas r.a. bahawa seorang anak perempuan suku Nadha ( menampar seorang anak perempuan, sehingga pecah (patah) giginya yang sebelah muka. Mereka datang mengadu kepada Nabi saw. dan Nabi menyuruh supaya dijalankan kisas (pembalasan). 
 
1834, Dari Ibnu Abbas r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Ini dan ini sama." Maksudnya kelingking dan ibu jari sama kisasnya. 
 
1835, Dari Sahal bin Abu Hatsmah r.a., bahawa beberapa orang dari kaumnya berjalan-jalan ke Khaibar, lalu mereka di situ berpisah-pisah. Kemudian salah seorang di antara mereka didapati mati terbunuh. Lalu mereka mengatakan kepada orang yang kebetulan berada dekat orang mati tadi. "Kamu yang membunuh kawan kami" Jawabnya: "Bukan kami yang membunuhnya dan kami tidak pula mengetahui siapa yang membunuhnya." Mereka pergi mendapatkan Nabi saw. dan mengatakan: "Ya Rasulullah! Kami berjalan-jalan ke Khaibar, kemudian kami dapati salah seorang di antara kami mati terbunuh." Nabi berkata: "Soal besar, soal besar!" Kemudian beliau mengatakan kepada mereka: "Bolehkah kamu mengadakan saksi (keterangan) tentang orang yang membunuhnya?" Jawab mereka: "Kami tidak mempunyai saksi." Kata Nabi: "Sebab itu mereka (penduduk Khaibar) perlu bersumpah." Jawab mereka: "Kami tidak suka dengan sumpah orang Yahudi." Rasulullah saw. tidak menyukai orang itu akan mati begitu saja, lalu dibayar oleh beliau diyat seratus ekor unta sedekah. 
 
1836, Dari Sahal bin Saad r.a., bahawa orang laki-laki mengintai ke pintu dekat bilik Rasulullah saw. dan Rasulullah memegang sebuah sisir yang biasa dipergunakan beliau untuk menggarut kepalanya. Setelah Rasulullah saw. melihat orang itu, beliau berkata: "Kalau aku tahu engkau mengintai, nescaya ku tusuk dengan ini matamu." Selanjutnya Rasulullah saw.bersabda: "Izin itu diperlukan kerana melihat." 
 
1837, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Abu Kasim (Nabi saw.) bersabda: "Kalau ada seorang yang mengintai (mengintip) engkau tidak dengan izin engkau, lalu engkau lempar orang itu dengan batu kecil dan pecah matanya, nescaya engkau tidak mendapat hukuman apa-apa." 
 
1838, Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw. memutuskan tentang kerosakan kandungan seorang perempuan dari suku Bani Lihyan, dengan denda membayar seorang hamba sahaya laki-laki atau perempuan yang dihukum supaya membayar seorang sahaya itu meninggal dunia, lalu diputuskan oleh Rasulullah saw. bahawa harta peninggalannya (pusaka) untuk anaknya dan suaminya, sedang pembayaran (hamba sahaya) dibebankan kepada keluarganya. 
 
1839, Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Dilukai binatang ternakan tidak ada tuntutan apa-apa. Jatuh ke dalam telaga tidak ada tuntutan apa-apa. Di timpa (jatuh ke dalam) lombong tidak ada tuntutan apa-apa. Barang galian zaman kuno, zakatnya seperlima." 
 
1840, Dari Abdullah bin Amru r.a dari Nabi saw. beliau bersabda: "Siapa yang membunuh seorang muaahad(1) tidak akan mencium bau syurga, sedang baunya itu tercium sejauh perjalanan empat puluh tahun." (1)Seorang yang bukan islam tetapi berjanji setia kepada Negara Islam. 
 
1841, Dari Abdullah r.a. katanya: Setelah turun ayat: "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur keimanannya dengan kesalahan terasa berat bagi sahabat Nabi saw. dan kerana itu, mereka bertanya: "Siapakah di antara kita yang tidak bercampur keimanannya dengan kesalahan?" Rasulullah saw. menjawab: "Sebenarnya bukan begitu! Bukankah kamu telah mendengar perkataan Lukman: "Sesungguhnya mempersekutukan Tuhan adalah suatu kesalahan besar. 
 
1842, Dari Abdullah bin Amru r.a. katanya: Datang seorang Arab dusun kepada Nabi saw. dan bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah dosa besar itu?" Jawab Nabi: "Mempersekutukan Allah" Tanya: "Sesudah itu apa?" Jawab Nabi: "Durhaka kepada ibu bapa" Tanya: "Sesudah itu apa?" Jawab Nabi: "Sumpah palsu." Saya (Abdullah) bertanya: "Apakah sumpah palsu itu?" Jawab Nabi: "Yang bermaksud hendak mengambil harta orang Islam, sedang tuntutannya itu tidak benar." 
 
1843, Dari Anas bin Malik r.a . katanya: Seorang Yahudi bertemu dengan Rasulullah saw. dan mengucapkan: "Assalamu 'alaika" (binasalah engkau). Rasulullah saw. menjawab: "wa 'alaika" (kamu yang begitu). Lalu Rasulullah saw. bertanya (kepada sahabat-sahabat): "Tahukah kamu apa yang diucapkannya?" Dia mengucapkan "assamu 'alaika." Sahabat - sahabat berkata: "Ya Rasulullah! Apakah tidak lebih baik orang itu kami bunuh?" Jawab Nabi: "Tidak usah! Hanya apabila seorang Ahli Kitab memberi salam kepada kamu, jawablah dengan ucapan "wa 'alaikum (kamu yang begitu)." 
 
1844, Dari Ali r.a katanya: saya mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Nanti di akhir zaman akan lahir suatu kaum, muda umurnya, singkat akalnya dan pandai mengucapkan perkataan orang-orang yang amat baik, tetapi keimanan mereka tidak sampai melampaui kerongkongnya. Mereka lepas dari agama sebagai anak panah lepas dari busurnya. Sebab itu, di mana saja kamu menemui mereka, bunuhlah, kerana dengan membunuh mereka, pembunuhnya akan mendapat pahala dihari kiamat." 
 
1845, Dari Yussair bin Amru r.a. katanya:Saya menanyakan kepada Sahal bin Hunaif: "Adakah engkau dengar Nabi saw. bersabda tentang kaum Khawarij?" Jawabnya: "Saya mendengar beliau bersabda sambil menunjuk dengan tangannya ke arah negeri Iraq, sabda beliau: "Akan lahir dari situ suatu kaum yang membaca Quran, tetapi bacaan itu hanya sehingga kerongkongannya. Mereka lepas dari Islam, bagai anak panah lepas dari busurnya.