Jilid 4 \ 1582 - 1614 ( Khawin )

1582, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Ada tiga orang laki-laki datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Nabi saw. bertanya tentang ibadat beliau. Setelah diterangkan kepada mereka, kelihatan bahawa mereka menganggap bahawa apa yang dilakukan Nabi itu terlalu sedikit. Mereka berkata: "Kita tidak dapat disamakan dengan Nabi. Semua dosa beliau yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni Allah." Salah seorang dari mereka berkata: "Untuk saya, saya akan selalu solat sepanjang malam selama-lamanya." Orang kedua berkata: "Saya akan berpuasa setiap hari, tidak pernah berbuka." Orang ketiga berkata: "Saya tidak akan pernah mendekati wanita. Saya tidak akan kahwin selama-lamanya." Setelah itu Rasulullah saw. datang. Beliau berkata: "Kamukah orangnya yang berkata begini dan begitu? Demi Allah! Saya lebih takut dan lebih bertaqwa kepada Tuhan dibandingkan dengan kamu. Tetapi saya berpuasa dan berbuka. Saya solat dan tidur, dan saya kahwin. Barangsiapa yang tidak mahu mengikuti sunnah ku, tidak termasuk ke dalam golongan ku."
 
1583, Dari 'Abdullah r.a., katanya: "Di zaman Rasulullah saw., kami adalah pemuda-pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Rasulullah saw. berkata kepada kami: "Hai para pemuda! Siapa yang mampu berumah-tangga, kahwinlah! Perkahwinan itu melindungi pandangan mata dan memelihara kehormatan. Tetapi siapa yang tidak sanggup kahwin, berpuasalah, kerana puasa itu merupakan perisai baginya." 
 
1584, Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: Pernah kami pergi berperang bersama Rasulullah saw., sedangkan kami tidak membawa isteri. Kami bertanya kepada beliau, apakah boleh kami dikembiri. Beliau melarang kami melakukan hal itu. 
 
1585, Dari 'Urwah r.a., Nabi saw. meminang 'Aisyah kepada Abu Bakar. Lalu Abu Bakar berkata kepadanya: "Saya ini adalah saudara mu." Nabi menjawab: " Engkau adalah saudara ku dalam agama Allah dan KitabNya. Sedangkan Aisyah boleh saya kahwini." 
 
1586, Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah saw. bersabda: "Wanita yang terbaik adalah yang pandai mengenderai unta. Wanita Quraisy yang terbaik adalah yang paling kasih-sayang kepada anak-anak kecil, serta paling pandai menjaga harta-benda suaminya." 
 
1587, Dari Sahl bin Saad as-Saidi r.a., katanya: Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah saw. dengan berkata: "Ya Rasulullah! Saya datang untuk menyerahkan diri kepada tuan (untuk dijadikan isteri)." Rasul memandang wanita itu dengan teliti lalu beliau menundukan kepala. Ketika wanita itu menyedari bahawa Rasul tidak tertarik kepadanya, maka ia pun duduklah. Lalu salah seorang sahabat beliau berdiri dan berkata: "Ya Rasulullah! Seandainya tuan tidak memerlukannya, kahwinkanlah dia dengan saya." Rasul bertanya: "Adakah engkau mempunyai sesuatu?" Jawab orang itu: "Demi Allah, tidak ada apa-apa, ya Rasulullah." Rasul berkata: "Pergilah kepada sanak keluargamu! Mudah-mudahan engkau memperoleh apa-apa." Lalu orang itu pergi. Setelah kembali, ia berkata: "Demi Allah, tidak ada apa-apa." Rasul berkata: "Carilah walaupun sebuah cincin besi!" Orang itu pergi, kemudian kembali pula. la berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, cincin besi pun tidak ada. Tetapi saya ada mempunyai sarung yang saya pakai ini. (Menurut Saad, ia tidak mempunyai kain lain selain dari yang dipakainya itu). Wanita itu boleh mengambil sebahagian dari padanya." Rasul berkata: "Apa yang dapat engkau lakukan dengan sarungmu itu. Kalau engkau pakai, tentu ia tidak berpakaian, dan kalau ia yang memakainya, engkau tidak berpakaian." Lalu orang itu pun duduklah. Lama ia termenung. Kemudian ia pergi. Ketika Rasul melihatnya pergi, beliau menyuruh agar orang itu dipanggil kembali. Setelah ia datang, beliau bertanya: "Adakah engkau menghafal Quran?" Orang itu menjawab: "Saya hafal surah ini dan surah itu." Ia lalu menyebutkan nama beberapa surah dalam Al Quran. Rasul bertanya lagi: "Kamu dapat membacanya di luar kepala?" "Ya," jawab orang itu. "Pergilah, engkau saya kahwinkan dengan wanita ini dengan Al Quran yang engkau hafal itu." 
 
1588, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Wanita dikahwini kerana empat hal: kerana harta-bendanya, kerana status sosialnya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada agama. Pilihlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan berbahagia." 
 
1589, Dari Sahl r.a., katanya: Ada seorang laki-laki lalu di depan Rasulullah saw. Rasul bertanya kepada para sahabat beliau: "Bagaimanakah pendapatmu tentang laki-laki ini?" Mereka menjawab: "Orang ini kalau ia meminang, pinangannya hendaknya diterima. Kalau ia minta tolong, harus ditolong. Kalau ia berbicara, harus didengar". Rasul diam saja mendengar jawapan itu. Setelah itu lalu pula di depan Rasul salah seorang laki-laki Islam yang miskin. Rasul bertanya lagi: "Bagaimana pendapatmu tentang orang ini?" Mereka menjawab: "Orang ini, kalau ia meminang jangan diterima, kalau ia minta tolong jangan ditolong, kalau ia berbicara jangan didengar." Lalu Rasulullah saw. berkata: "Orang ini lebih baik dari sepenuh bumi orang seperti tadi." 
 
1590, Dari Abdullah bin 'Umar r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Wanita, rumah dan kuda, ada segi-seginya yang tidak baik." 
 
1591, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Wanita jangan dimadu dengan saudara ibunya atau dengan saudara bapaknya." 
 
1592, Dari 'Aisyah r.a., katanya: Rasulullah saw. berkata kepada saya: "Saya melihat engkau dalam mimpi, dibawa oleh malaikat kepada saya dalam sebuah kerudung kain sutera. Malaikat itu berkata kepada saya: Inilah isterimu! Setelah kain tutup mukanya saya buka, rupanya engkau." Saya berkata: "Kalau hal ini datangnya dari Allah, tentulah akan dilaksanakanNya." 
 
1593, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. berkata: "Seorang wanita janda, tidak boleh dikahwinkan tanpa bermesyuarat terlebih dahulu dengannya. Seorang gadis perawan, tidak boleh dikahwinkan sebelum minta izin kepadanya." Orang bertanya: "Bagaimana izin wanita gadis itu?" Rasul menjawab: "Kalau ia diam saja." 
 
1594, Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ya Rasulullah! Gadis perawan itu biasanya pemalu." Rasul menjawab: "Tanda sukanya adalah diamnya." 
 
1595, Dari Khansa' binti Khizam, orang Ansar r.a., ia menceritakan bahawa bapanya mengahwinkannya (tanpa izinnya), sedangkan ia adalah seorang janda. Ia tidak suka dengan keadaan itu. Ia datang kepada Rasulullah saw. Rasul membatalkan perkahwinan itu. 
 
1596, Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: Rasulullah saw. melarang orang menawar barang yang sedang ditawar orang lain, atau meminang wanita yang sedang dipinang saudaranya sampai orang yang meminang pertama pergi atau memberi izin kepadanya. 
 
1597, Dari Anas bin Malik r.a., 'Abdurrahman bin 'Auf datang kepada Rasulullah saw. dengan tanda yang pucat. Rasul bertanya kepadanya, lalu ia menceritakan bahawa ia telah kahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasul berkata: "Berapa engkau berikan mas kahwinnya?" Ia menjawab: "Emas sebesar biji kurma." Rasulullah saw. bersabda: "Adakanlah pesta perkawinan, walaupun dengan seekor kambing saja." 
 
1598, Dari 'Urwah r.a., Nabi saw. kahwin dengan 'Aisyah, ketika 'Aisyah berumur enam tahun, baru mulai serumah dengannya ketika ia berumur lapan tahun, dan mereka berumah-tangga selama sembilan tahun. 
 
1599, Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Kalau salah seorang kamu sebelum bersenggama dengan isterinya berdoa: "Dengan nama Allah! Hai Tuhan kami, jauhkanlah syaitan dari pada kami dan jauhkanlah syaitan dari anak yang Engkau kurniakan kepada kami," lalu ditakdirkan bagi suami-isteri itu atau ditetapkan bagi keduanya seorang anak, maka anak ini tidak akan dapat dirosak syaitan selama-lamanya." 
 
1600, Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah saw. tidak pernah mengadakan pesta perkahwinan seperti ketika perkahwinannya dengan Zainab di mana beliau berpesta dengan seekor kambing. 
 
1601, Dari Anas r.a., Rasulullah saw. memerdekakan Shafiah dan mengahwininya, dan menjadikan kemerdekaannya itu sebagai emas kahwinnya. Rasul mengadakan pesta perkahwinan dengan menghidangkan hais, sebangsa masakan. 
 
1602, Dari Shafiah binti Syaibah r.a., Rasulullah saw. mengadakan pesta perkawinan dengan beberapa orang isterinya dengan memasak dua cupak gandum. 
 
1603, Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Kalau kamu diundang kepada suatu pesta perkawinan, maka hendaklah kamu datang." 
 
1604, Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah saw. melihat banyak wanita dan anak-anak kembali dari suatu pesta perkawinan. Lalu beliau berdiri lama-lama dengan gembira, seraya berkata: "Hai Tuhan! Kamu ini semua adalah termasuk orang-orang yang paling saya cintai." 
 
1605, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. berkata: "Kalau seseorang memanggil isterinya ke tempat tidur dan ia tidak mahu datang, maka malaikat mengutuki wanita itu sampai pagi." 
 
1606, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Kalau seorang wanita tidur dengan menjauhkan diri dari suaminya, maka malaikat mengutuki wanita itu, sampai ia kembali kepada suaminya." 
 
1607, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw, bersabda: "Wanita tidak boleh berpuasa kalau suaminya ada, kecuali dengan seizinnya. Ia tidak boleh memberi izin masuk rumah kepada orang lain tanpa izin suaminya. Kalau ia memberikan wang untuk derma tanpa izin suaminya, maka suaminya memperoleh setengah dari pahalanya." 
 
1608, Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a. katanya: Rasulullah saw. berkata: "Benarkah apa yang diceritakan orang kepada mu bahawa engkau selalu berpuasa siang hari dan selalu solat malam hari?" Saya menjawab: "Benar, ya Rasulullah!" Rasul bersabda: "Jangan berbuat begitu! Kamu berpuasa dan berbuka, solat malam dan tidur. Engkau mempunyai kewajiban terhadap tubuhmu. Engkau mempunyai kewajiban terhadap matamu. Engkau juga mempunyai kewajiban terhadap isteri mu." 
 
1609, Dari Anas r.a. katanya: Telah menjadi sunnah bahawa kalau seseorang mempunyai isteri janda, lalu ia kahwin dengan seorang gadis, maka ia tetap tinggal dengan isteri mudanya selama tujuh hari, setelah itu bergiliran. Kalau ia mempunyai isteri gadis, lalu ia kahwin pula dengan seorang janda, maka ia tinggal selama tiga hari dengan isterinya yang baru, setelah itu bergiliran." 
 
1610, Dari Mughirah r.a., Saad bin 'Ubadah berkata: "Kalau saya lihat seorang laki-laki dengan isteri saya, tentu saya pukul ia dengan pedang tanpa maaf lagi," Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Jangan hairan dengan perasaan cemburu Saad, kerana saya sendiri lebih cemburu daripadanya, dan Allah lebih cemburu daripada saya.
 
1611, Dari Abu Hurairah r.a., "Rasulullah saw. bersabda: "Allah pencemburu. Allah cemburu (marah sekali), kalau seorang yang beriman melakukan apa yang diharamkan Tuhan." 
 
1612, Dari Anas r.a., katanya: Saya dengar Rasulullah saw. bersabda: "Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah diangkatnya (hilangnya) ilmu pengetahuan, banyaknya kebodohan, banyaknya pelacur!" dan banyaknya orang minum minuman keras, sedikitnya jumlah laki-laki serta banyaknya jumlah wanita sehingga setiap lima puluh orang wanita hanya satu orang yang mengurusnya. 
1613, Dari lbnu Abbas r.a., dari Nabi saw. beliau bersabda: "Janganlah sekali-kali seorang laki-laki berduaan saja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang muhrim." Lalu ada seorang laki-laki berdiri dan berkata: "(Isteri saya pergi haji, sedangkan saya telah ditetapkan untuk ikut dalam peperangan ini dan peperangan itu." Rasul berkata: "Kembalilah, dan pergilah haji bersama dengan isterimu! " 
 
1614, Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Kalau kamu telah lama berpergian meninggalkan isteri, maka janganlah pulang mengetuk pintu isterinya pada malam hari."