Jilid 3 \ 1555 - 1581 ( Janji )

1555, Dari Ubadah bin Shamit r.a., dia menceritakan bahawa Rasulullah bersabda) sedang beliau dikelilingi oleh sekumpulan sahabat-sahabat beliau. Sabda beliau: "Marilah kamu mengadakan perjanjian dengan saya, bahawa kamu tidak akan mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu apapun. Kamu tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak melakukan kebohongan (kepalsuan) yang kamu ada-adakan antara tangan dan kaki kamu (melakukan kejahatan), dan tidak akan mendurhakai saya dalam amal kebaikan. Barangsiapa di antara kamu yang menepati janjinya, maka upahnya dari Tuhan. Siapa yang terlanjur melakukan sesuatu di antaranya, lalu ia diseksa di dunia ini, itu menjadi kifarat (menghapuskan dosanya). Siapa yang terlanjur melakukan sesuatu di antara yang demikian dan Tuhan menutupinya (tidak diketahui orang), urusannya terserah kepada Tuhan. Jika Tuhan menghendaki diseksaNya, dan jika Tuhan menghendaki dimaafkanNya" Kata Ubadab: "Lalu kami mengadakan perjanjian dengan beliau berkenaan dengan yang demikian itu".

 1556, Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Rasulullah diutus setelah berusia empat puluh tahun. Beliau tetap di Mekah tiga belas tahun, diturunkan wahyu kepada beliau. Kemudian beliau diperintahkan pindah. Beliau hijrah ke Madinah selama sepuluh tahun. Dan beliau wafat dalam usia enam puluh tiga tahun.

1557, Dari Hisyam r.a., katanya: Siti Khadijah wafat tiga tahun sebelum Nabi s.a.w. pindah ke Madinah. Beliau tidak kahwin selama dua tahun kurang. Dan beliau mengahwini Siti Aisyah ketika dia berusia enam tahun. Kemudian beliau serumah dengan dia setelah Aisyah berusia sembilan tahun.

558, Dari Aisyah r.a.: Abu Bakar datang kepadanya sedang Nabi s.a.w. di dekatnya pada hari raya Fitri atau Adha. Dan di dekat Aisyah ada dua orang biduanita yang menyanyikan lagu orang Ansar di hari Buats (hari atau tempat yang dirayakan sebelum Islam). Abu Bakar berkata: "Bunyi-bunyian syaitan". Dikatakannya dua kali. Sabda Nabi: "Biarkanlah keduanya (keduanya melagu dan memetik gitar) hai Abu Bakar! Tiap-tiap kaum ada hari rayanya. Dan hari raya kita hari ini".

1559, Dari Salman r.a., katanya: Zaman fitrah (tidak ada Rasul) antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w. enam ratus tahun.

1560, Dari Abu Ishak r.a.: Saya sedang berada di samping Zaid bin Arqam. Ada orang bertanya kepadanya: "Berapa kali Nabi s.a.w. turut berperang dari seluruh peperangan?" Jawabnya: "Sembilan belas kali".Berapa kali engkau turut berperang bersama beliau?" Jawabnya: "Tujuh belas kali". Saya bertanya: "Peperangan manakah yang mula-mula?" Jawabnya: "Ghusairah atau 'Usairah".

1561, Dari Saad bin Muaz r.a., dia mengatakan bahawa dia teman Umaiyah bin Khalaf. Umaiyah bila berkunjung ke Madinah dia tinggal di tempat Saad. Begitupun Saad apabila berkunjung ke Mekah, dia tinggal di tempat Umaiyah. Setelah Rasulullah s.a.w. datang ke Madinah, Saad berangkat untuk mengerjakan umrah, lalu dia tinggal di tempat Umaiyah di Mekah. Dia berkata kepada Umaiyah: "Nantilah suatu saat yang sunyi sepi, mudah-mudahan saya dapat tawaf di Bait (Kaabah)". Lalu Umaiyah pergi dengan dia hampir tengah hari. Maka bertemulah keduanya dengan Abu Jahil. Kata Abu Jahil: "Wahai Abu Safwan, (Umaiyah)! Siapa yang bersama engkau ini?" Jawabnya: "Ini Saad!" Kata Abu Jahil kepada Saad: "Saya lihat kamu mengerjakan tawaf di Mekah. Kamu telah keluar dari suatu agama dan masuk ke dalam agama lain (Islam) dan kamu menyatakan akan menolong dan membantu mereka. Demi Allah, jikalau tidaklah engkau bersama Abu Safwan, engkau tidak akan kembali kepada keluarga engkau dalam keadaan selamat". Saad menjawab dengan suara keras: "Demi Allah! Jika engkau halangi saya untuk ini, nanti engkau akan saya halangi dari apa yang lebih perlu untuk engkau, iaitu perjalanan engkau melalui Madinah". Umaiyah berkata: "Janganlah engkau keraskan suara, terhadap Abu Hakim (Abu Jahil) itu. Dia penghulu (orang besar) ahlul wadi (Mekah)" Kata Saad: "Tidak apa, hai Umaiyah! Demi Allah, sesungguhnya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa mereka akan membunuh engkau": Tanya Umaiyah: "Di Mekah?" Jawab Saad: "Saya tidak tahu!" Maka Umaiyah amat cemas dan ketakutan mendengar hal yang demikian, Ketika Umaiyah kembali kepada keluarganya, ia berkata: "Hai Ummu Safwan! Tahukah engkau, apakah yang dikatakan Saad kepadaku?" Tanya Ummi Safwan "Apa katanya?" Jawab Umaiyah: "Dia mengatakan, bahawa Muhammad menceritakan kepada orang banyak bahawa Abu Jahil akan membunuh saya". Saya bertanya kepadanya: "Di Mekah?" Jawabnya: "Saya tidak tahu!" Umaiyah berkata: "Demi Allah, saya tidak akan ke luar dari Mekah". Ketika kejadian peperangan Badr, Abu Jahil menyuruh orang banyak pergi perang, Katanya: "Siapkanlah unta kenderaan kamu!" Umaiyah tidak ingin ke luar Mekah. Maka datanglah Abu Jahil kepadanya, lalu berkata: "Wahai Abu Safwan! Bila engkau dilihat orang tidak turut ke luar (pergi perang) sedangkan engkau seorang pemimpin Mekah, tentulah mereka akan turut tinggal bersama engkau". Dan Abu Jahil sentiasa mendesaknya, akhirnya Umaiyah berkata: "Kalau engkau paksa saya, demi Allah, saya akan beli unta yang amat baik di Mekah" Kemudian Umaiyah berkata: "Wahai Ummi Safwan! Siapkanlah persediaan saya!" Kata Ummi Safwan kepadanya: "Wahai Abu Safwan! Tuan melupakan apa yang dikatakan saudara tuan orang Yatsrib kepada Tuan.". Kata Umaiyah: "Bukan! Saya hanya sebentar saja berangkat bersama mereka". Setelah Umaiyah ke luar biasanya apabila berhenti di suatu tempat terus ditambatkannya untanya, sentiasa dia berbuat begitu sampai ia terbunuh dalam peperangan Badr.

1562, Dari Miqdad bin Amr Al Kindi r.a., dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Bagaimana pendapat tuan jika saya menemui seorang di antara orang-orang kafir, lalu kami bertempur! Lalu dipukulnya salah satu tangan saya dengan pedang sampai putus. Kemudian dia bersembunyi dari saya pada sebatang pohon, lalu dia berkata: "Saya Islam kerana Allah". Bolehkah saya membunuhnya, wahai Rasulullah, sesudah dia mengucapkan yang demikian itu!" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau bunuh dia!" Kata Miqdad: "Wahai Rasulullah! Dia mengucapkan yang demikian sesudah salah satu tangan saya dipotongnya". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau bunuh! Jika engkau bunuh, maka keadaannya sama dengan keadaan engkau sebelumnya (Islam) dan keadaan engkau sama dengan dia sebelum dia mengucapkan kalimat yang diucapkannya itu (kafir)".

1563, Dari Zaid bin Khalid r.a., katanya: Kami berangkat bersama Rasulullah s.a.w. pada tahun peperangan Hudaibiyah. Kami kehujanan pada suatu malam. Rasulullah solat Subuh bersama kami, kemudian beliau menghadapi kami lalu bersabda: "Tahukah kamu apakah yang difirmankan Tuhan kamu?" Kami menjawab: "Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui!" Beliau bersabda: Tuhan berfirman: "Di pagi hari ada di antara hambaKu yang beriman dan yang kafir dengan Aku. Barangsiapa yang turun berkata: Kami dihujani dengan rahmat Tuhan, rezeki Tuhan dan dengan kurnia Tuhan, maka dia beriman dengan Aku dan kafir terhadap bintang-bintang. Adapun orang yang berkata: Kami dihujani kerana bintang itu, maka dia beriman kepada bintang dan kafir kepadaKu".

1564, Dari Bara', r.a. katanya: Kamu memandang kemenangan itu waktu menaklukkan Mekah. Memang menaklukkan Mekah itu suatu kemenangan. Kami memandang kemenangan itu ialah baiah Ridwan pada hari peperangan Hudaibiyah. Kami bersama Nabi s.a.w. seribu empat ratus orang. Hudaibiyah itu suatu kolam, lalu kami ambil airnya dan tidak kami tinggalkan setitis pun di dalamnya. Maka sampailah berita demikian pada Nabi s.a.w., lalu beliau datang ke kolam itu, terus beliau duduk di pinggirnya. Dan beliau meminta satu bejana air, lalu beliau berwuduk dan berkumur-kumur sambil memohonkan doa. Lalu beliau curahkan air itu ke dalam kolam tadi. Kemudian dalam kolam itu memancar air yang dipenuhi berapa saja keperluan kami dan binatang kenderaan kami.

1565, Dari Abdullah bin Abu Aufa r.a., katanya: Ketika datang rombongan memberikan sedekah, Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai Tuhan! Beri rahmatlah mereka!" Maka datanglah kepada beliau bapa Abdullah memberikan sedekahnya. Lalu beliau berdoa: "Wahai Tuhan! Beri rahmatlah atas keluarga Abu Aufa!"

1566, Dari Salamah bin Akwa' r.a. katanya: "Pernah kami solat Jumaat bersama Nabi s.a.w. Setelah kami kembali (pulang) belum ada bayang-bayang tembok untuk kami berteduh".

1567, Dari Tariq bin Syihab r.a.: Beberapa orang Yahudi berkata: "Kalau sekiranya ayat ini diturunkan kepada kami, tentu kami jadikan hari itu suatu hari raya". Umar bertanya: "Apakah ayat itu?" Jawab mereka: "Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku cukupkan untuk kamu nikmatKu. dan Aku senang Islam menjadi agamamu". (Al Maidah, 3) Kata Umar: "Saya tahu di tempat mana ayat itu turun. Ayat itu turun ketika Rasulullah s.a.w. sedang wuquf di Arafah "

1568, Dari Ibnu Abbas r.a., dikhabarkannya bahawa Rasulullah s.a.w. mengirim surat kepada Kisra (Raja Persi) yang dihantarkan oleh Abdullah bin Huzaifah As Sahmi. Dan beliau menyuruh supaya diberikan surat itu kepada pembesar Bahrain. Pembesar Bahrain itulah yang akan memberikannya kepada Kisra. Setelah Kisra membacanya dikoyak-koyaknya. Maka Rasulullah mendoakan agar mereka dikoyak-koyak sampai hancur.

1569, Dari Abu Bakrah r.a., katanya: Ketika sampai khabar kepada Rasulullah s.a.w. bahawa penduduk Persi telah mengangkat anak perempuan Kisra menjadi Raja mereka. Lalu beliau bersabda: "Tidaklah beruntung satu kaum yang mengangkat seorang perempuan untuk urusan pemerintahan mereka".

1570, Dari Aisyah r.a.: Nabi s.a.w. bersabda waktu sakit hendak meninggal: "Hai Aisyah! Saya sentiasa merasa pedih makanan (racun) yang saya makan di Khaibar. Itulah waktunya saya merasa tali jantung saya putus kerana racun itu".

1571, Dari Ummu Fadal binti Haris r.a., katanya: "Saya dengar Nabi s.a.w. membaca dalam solat Maghrib ayat Al Mursalati'urfan. Kemudian beliau tidak pernah solat dengan kami sampai beliau diwafatkan Tuhan".

1572, Dari Aisyah r.a., katanya: Apabila Rasulullah s.a.w merasa sakit, beliau hembuskan atas diri beliau ayat Ma'awwizat (Qul a'uzu birabbil falaq dan Qul a'uzu birabbin nas) dan beliau sapu badannya dengan tangan beliau. Ketika beliau sakit meninggal, saya hembuskan atas diri beliau Ma'awwizat yang pernah beliau hembuskan itu dan saya sapukan badannya dengan tangan beliau sendiri".

1573, Dari Aisyah r.a.: Saya mendengarkan sabda Nabi s.a.w. dengan penuh perhatian sebelum beliau wafat, sedang beliau menyandarkan punggungnya kepada saya. Beliau mendoa: "Wahai Tuhan! Ampunilah saya! Kasihanilah saya dan hubungkan saya dengan teman yang maha tinggi".

1574, Dari Aisyah r.a., katanya: Di antara nikmat Allah kepada saya, Rasulullah s.a:w. wafat di rumah saya, di hari giliran saya, antara dada dan leher saya (bersandar kepadanya). Dan Tuhan mempercampurkan air liur saya dengan air liur beliau kerana sugi waktu beliau akan wafat. Abdur Rahman datang ke rumah saya, di tangannya ada sugi (pembersih gigi) sedang Rasulullah s.a.w. bersandar kepada saya. Saya lihat beliau memandang kepadanya. Saya ketahui bahawa beliau ingin bersugi. Saya tanyakan: "Akan saya pakaikan sugi itu untuk tuan?" Lalu beliau isyaratkan dengan kepala beliau (mengatakan setuju). Lalu saya berikan kepada beliau dan terasa keras oleh beliau. Lalu saya berkata: "Akan saya lunakkankah untuk tuan?" Beliau isyaratkan dengan kepala (tanda setuju). Lalu saya lunakkan dengan gigi. Dan di hadapan beliau ada bejana kecil atau bejana besar yang berisi air. Lalu beliau masukkan kedua tangan beliau ke dalam air itu dan beliau sapukan ke muka beliau sambil bersabda: "Tiada Tuhan selain Allah! Sesungguhnya bagi kematian itu ada sakaratul maut". Lalu beliau mengangkat tangannya sambil mengucapkan: "Teman Yang Maha Tinggi". Lalu beliau wafat dan rebahlah tangan beliau.

Hadis Sahih Bukhari No. 1575 Jilid 3 Topik adalah Janji

1575, Dari Abu Saad bin Mu'alla r.a., katanya: Ketika saya sedang solat dalam masjid, Rasulullah s.a.w. memanggil saya. Tetapi tiada saya sahuti. Kemudian saya berkata: "Wahai Rasulullah, Rasulullah! Saya tadi sedang solat. Beliau bersabda: "Bukankah Tuhan berfirman: "Sahutlah Allah dan Rasul apabila dia memanggil kamu!" Kemudian beliau mengatakan kepada saya: "Nanti ku ajarkan kepada engkau suatu surah yang amat besar dalam Al Quran sebelum engkau keluar dari masjid". Kemudian beliau memegang tangan saya. Setelah beliau hendak ke luar saya mengatakan kepada beliau:"Bukankah tuan menjanjikan akan mengajarkan kepada saya suatu surah yang amat besar dalam Quran?" Beliau bersabda: "Surat itu ialah: Alhamdulillahi Rabbil'alamin. Itulah sab'ul matsani (tujuh ayat yang diulang-ulang) dan Quran besar yang diberikan kepada saya".

1576, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila Imam membaca "Ghairil maghdhubi 'alaihim waladh dhallin", bacalah: "Amin!" Siapa yang bertepatan bacaannya dengan bacaan malaikat, diampuni kesalahannya yang telah lalu".

1577, Dari Anas r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Orang mukmin berkumpul pada hari kiamat, lalu mereka berkata: "Mintalah pertolongan kepada Tuhan kita!" Mereka datang kepada Nabi Adam, lalu berkata: "Tuan bapa manusia dan Allah menjadikan tuan dengan tanganNya, disuruh sujud malaikat kepada tuan dan diajarkanNya kepada tuan nama-nama segala sesuatu. Sebab itu, mintalah pertolongan untuk kami dari sisi Tuhan, sehingga disenangkanNya kami dari temkami ini". Adam berkata: "Saya tidak sanggup (patut) untuk itu. Disebutnya kesalahannya dan dia merasa malu. "Pergilah kamu kepada Nabi Nuh! Dia Rasul pertama yang diutus Tuhan kepada penduduk bumi! Lalu mereka datang kepadanya. Kata Nabi Nuh: "Saya tidak sanggup (patut) untuk itu". Dan disebutnya permintaannya kepada Tuhan mengenai apa yang tiada diketahuinya dan dia merasa malu. Seterusnya dia berkata: "Pergilah kamu kepada Nabi Ibrahim!" Lalu mereka datang kepadanya. Dia berkata: "Saya tiada sanggup (patut) untuk itu. Pergilah kamu kepada Nabi Musa, seorang hamba yang berkata-kata dengan Tuhan dan diturunkan Taurat kepadanya". Lalu mereka datang kepadanya. Musa berkata: "Saya tiada sanggup (patut) untuk itu" Dan disebutnya ia pernah membunuh orang, bukan kerana pembalasan dan dia merasa malu terhadap Tuhan. Katanya: "Pergilah kamu kepada Isa, hamba Allah, RasulNya, kalimat Allah dan ruhNya." Isa juga berkata: "Saya tiada sanggup (patut) untuk itu pergilah kamu kepada Muhammad s.a.w., seorang hamba Allah yang diampuni Tuhan kesalahannya yang lalu dan yang akan datang!" Mereka datang kepada saya (Muhammad). Lalu saya berjanji sehingga saya meminta kepada Tuhan, lalu diberi izin. Ketika saya melihat Tuhan, saya jatuh tersungkur (sujud), dibiarkanNya saya seberapa lamanya dikehendaki Tuhan. Kemudian dikatakan kepada ku. "Angkatlah kepala engkau dan mintalah, nescaya akan diberi! Berkatalah, nescaya akan didengar. Memohonlah supaya boleh memintakan pertolongan untuk orang lain, nanti akan diterima". Dan saya angkat kepala saya dan saya puji Tuhan dengan pujian yang diajarkanNya kepada saya. Kemudian saya memintakan pertolongan. Diberikan sejumlah tertentu yang akan dimasukkan ke dalam syurga. saya kembali memohon kepadaNya. Ketika itu saya melihat Tuhan serupa tadi. Lalu saya memintakan pertolongan. Lalu diberikan sejumlah tertentu yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Kemudian saya kembali sampai yang keempat kali, lalu saya berkata: "Tiadalah tinggal dalam neraka kecuali orang yang dipenjarakan Quran dan mesti kekal di dalamnya".

1578, Dari Ibnu Abbas r.a, dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Anak Adam telah mendustakan Aku, pada hal ia tidak berhak melakukan itu. Adapun ia mendustakan Aku, ia menganggap bahawa Aku tidak Kuasa mengembalikannya sebagaimana semula. Ia mencaci Aku dengan mengatakan, bahawa Aku mempunyai anak. Mahasuci Aku untuk mengambil seorang teman perempuan atau seorang anak".

1579, Dari Abu Said Al Khudri ra., Rasulullah bersabda: Nabi Nuh dipanggil pada hari kiamat. Beliau menjawab: "Ya, Tuhan!" Tuhan berfirman: "Sudahkah engkau sampaikan ajaran agama?" Beliau menjawab: "Ya, sudah". Lalu ditanyakan kepada umatnya: "Adakah Nuh menyampaikan kepada kamu?" Mereka menjawab: "Tiada datang kepada kami orang yang menyampaikan peringatan". Ditanyakan kepada Nuh: "Siapakah yang jadi saksi engkau?" Nuh menjawab: "'Nabi Muhammad dan umatnya". Lalu mereka (umat Muhammad) menjadi saksi, bahawa sesungguhnya Nuh telah menyampaikan, dan Rasulullah jadi saksi terhadap kamu (umat). Hal itu disebutkan dalam firman Tuhan: "Dan begitulah Kami jadikan kamu umat pertengahan (adil) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu". (Surat Al Baqarah, 143)

1580, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebelum terjadi kiamat, matahari terbit dari tempat terbenamnya (barat). Ketika manusia melihatnya, berimanlah orang-orang yang di atas bumi. Ketika itu tiadalah berguna keimanan seseorang yang tiada pernah beriman sebelumnya".

1581, Dari Samurah bin Jundub, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami: Tadi malam ada dua orang datang kepada saya, lalu mereka membawa saya berpergian. Akhirnya kami sampai ke suatu kota yang dibangun dari batu bata emas perak. Di sana kami bertemu dengan orang yang sebahagian tubuhnya indah sekali, seindah apa yang dapat dipandang mata, sedangkan bahagian tubuh yang lain buruk sekali, seburuk apa yang dapat dipandang mata. Kedua orang yang menemani saya tadi berkata kepada orang-orang itu: "Ceburkanlah diri mu ke dalam sungai!" Lalu mereka menceburkan diri. Setelah itu mereka kembali kepada kami dengan tubuh yang bersih dari segala kejelekan dan berada dalam keadaan seindah mungkin. Kedua orang itu berkata kepada saya: "Inilah syurga 'Adn, dan yang di sana itu rumahmu". Kedua orang itu berkata lagi: "Orang-orang yang sebahagian tubuhnya indah dan sebahagian lagi jelek adalah orang yang mencampur baurkan antara amal yang baik dan amal yang buruk. Mereka telah memperoleh kemaafan oleh Allah