Jilid 3 \ 1514 - 1554 ( Penyakit )

1514, Dari Usamah bin Zaid r.a. ada orang yang bertanya kepadanya: "Apakah yang telah engkau dengar dari Rasulullah s.a.w. tentang penyakit kolera?" Usamah berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: Kolera itu seksa yang diturunkan Tuhan kepada satu golongan Bani Israel atau kepada orang yang sebelum kamu. Apabila kamu dengar penyakit itu berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu datang ke situ. Dan kalau berjangkit di suatu negeri di mana kamu berada, janganlah kamu ke luar dari sana, untuk lari dari bahayanya". 
 
1515, Dari Aisyah r.a, isteri Nabi s.a.w. katanya: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang penyakit kolera. Beliau lalu menceritakan kepada saya: "Penyakit itu adalah seksa yang diturunkan Tuhan kepada siapa yang dikehendakiNya, dan Tuhan menjadikannya rahmat bagi orang yang beriman. Seseorang yang ketika berjangkit penyakit itu, tetap dalam negerinya dengan sabar dan tulus kerana Allah, yakin bahawa tidak akan mengenainya selain apa yang telah ditentukan Tuhan baginya, maka untuk orang itu pahala seperti pahala orang yang mati syahid". 
 
1516, Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: "Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?" Kata mereka: "Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!" Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?" Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: "Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!" 
 
1517, Dari Abdullah r.a., katanya: Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w. menceritakan seseorang di antara Nabi-nabi yang dipukul oleh kaumnya sampai mengalir darahnya, dan Nabi itu menghapus darah mukanya sambil berdoa: "Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaum ku, kerana sesungguhnya mereka belum tahu!" 
 
1518, Dari Ibnu Umar r.a.: Bahawa Nabi s.a. w. bersabda: "Ketika seorang laki-laki mengheret pakaiannya (berpakaian sangat dalam) kerana takabur, orang itu ditelan bumi, dan ia terbenam dalam tanah sampai hari kiamat". 
 
1519, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Kita orang yang terakhir di dunia, tetapi orang yang terdahulu pada hari kiamat. Setiap umat sebelum kita menerima Kitab, dan kita menerima Kitab sesudah mereka. Inilah hari yang mereka pertikaikan: Esok (Sabtu) untuk orang Yahudi, dan lusa (Ahad) untuk orang Nasrani. Setiap orang Islam berkewajiban dalam seminggu, satu hari dimana dicucinya kepala dan seluruh tubuhnya (mandi)". 
 
1520, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Manusia itu bagai logam lombongan (berlain-lain asalnya). Orang-orang yang baik (pilihan) pada masa jahiliah, mereka itu orang yang baik di zaman Islam, bila mereka mengerti. Kamu dapati juga orang yang amat baik dalam urusan ini (keagamaan) ialah orang yang sangat membencinya. Dan kamu dapati manusia yang amat jahat ialah orang yang bermuka dua datang pada orang ini dengan muka yang satu dan datang kepada yang lain dengan muka yang lain pula". 
 
1521, Dari Abu Hurairah r.a.: Nabi s.a.w. bersabda: "Manusia itu dalam urusan ini mengikut orang Quraisy. Yang Islam mengikut Islam dan yang kafir mengikut yang kafir. Dan manusia itu bagai logam lombong (berlain-lain asalnya). Orang yang baik (pilihan) pada masa jahiliah, mereka itulah orang yang baik dalam zaman Islam, bila mereka mengerti. Kamu dapati manusia yang lebih baik ialah yang sangat membencinya, kemudian ia sampai masuk ke dalamnya". 
 
1522, Dan Mu'awiyah r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bahawa urusan ini (kekuasaan) ada pada orang Quraisy. Setiap orang yang memusuhi mereka, Tuhan akan menelangkupkan mukanya, selama mereka (Quraisy) mendirikan agama". 
 
1523, Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang Quraisy, Ansar, Juhainah, Muzainah, Aslam, Asyja', dan Ghifar semuanya itu penolongku. Tiada penolong mereka selain Allah dan RasulNya". 
 
1524, Dari Abu Zar r.a., ia mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Seseorang yang mengatakan (mengaku) keturunan selain ayahnya, pada hal ia tahu, orang itu kafir. Barangsiapa yang mengatakan bahawa ia keturunan suatu kaum bukan menurut hubungan keturunan mereka, maka hendaklah ia menempati tempatnya di neraka". 
 
1525, Dari Wasilah bin Asqa' r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:"Sesungguhnya termasuk dusta yang amat besar, bahawa seseorang menamakan dirinya bukan keturunan ayahnya atau mengaku melihat apa yang tidak dilihatnya atau mengatakan sabda Rasulullah s.a.w, padahal beliau tidak bersabda begitu". 
 
1526, Dari Abdullah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda di atas mimbar: "Bani Ghifar, Tuhan kiranya mengampuninya! Bani Aslam, Tuhan kiranya menyelamatkannya! Dan Bani Usaiyah mereka mendurhakai Tuhan dan RasulNya". 
 
1527, Dari Anas r.a., katanya: Nabi s.a.w. memanggil orang Ansar, lalu bersabda: "Adakah di antara kamu seorang yang bukan dari golongan kamu?" Mereka menjawab: "Tidak, kecuali anak saudara perempuan kami". Rasulullah bersabda: "Anak saudara perempuan satu kaum termasuk mereka". 
 
1528, Dari Jabir r.a., katanya: Kami turut berperang bersama Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Muhajirin berkumpul dengan beliau sampai banyak. Di antara orang Muhajirin itu ada seorang laki-laki yang gemar bermain-main. Lalu dipukulnya seorang Ansar, lantas orang Ansar itu sangat marah, sehingga berkumpullah mereka. Kata kaum Ansar: "Hai, kiranya kemenangan untuk Ansar!" Kata kaum Muhajirin: "Hai, kiranya kemenangan untuk Muhajirin!" Maka keluarlah Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Mengapa kamu mengikuti seruan jahiliah?" Kemudian beliau bertanya: "Bagaimana kejadiannya?" Lalu dikhabarkan bahawa seorang Muhajirin memukul seorang Ansar Kata Jabir: Nabi s.a.w. bersabda: "Biarlah! Sesungguhnya yang demikian itu keji". 
 
1529, Dan Ibnu Abbas r.a., katanya: Turun ayat: "Dan beri peringatan lah kaum keluarga engkau yang terdekat!" Lalu Nabi s.a.w. memanggil: "Wahai Bani Fihir, wahai Bani 'Ady dalam suku Quraisy!" 
 
1530, Dari Jubair bin Muth'im, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana di kumpulkan manusia di belakangku, dan aku 'Aqib (penghabisan). 
 
1531, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apakah tidak menarik hatimu, bagaimana Tuhan menghindarkan daripada ku caci maki dan kutukan orang Quraisy. Mereka mencaci maki dan mengutuk orang yang tercela, sedang aku orang yang terpuji (Muhammad).
 
1532, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya perbandinganku dan Nabi-nabi sebelumku, seperti orang yang membangun sebuah gedung (rumah). Dibuatnya dengan amat baik dan sangat bagus, tapi satu tempat batu bata terluang di sudutnya. Orang banyak mengelilingi rumah itu dan hairan, sambil berkata: "Mengapa tidak dipasang batu bata ini?" Beliau bersabda: "Sayalah batu bata itu dan sayalah penutup Nabi-nabi". 
 
1534, Dari Saib bin Yazid, katanya: Saya pergi dengan bibi saya kepada Rasulullah s.a.w. dan bibi saya berkata: "Wahai Rasulullah! Anak saudara perempuan saya ini jatuh". Lalu beliau mengusap kepala saya sambil mendoakan keberkatan bagi saya, kemudian beliau berwuduk, lalu saya minum air wuduknya. Kemudian saya berdiri di belakang beliau. Maka saya lihat ada cap di antara dua bahu beliau. 
 
1535, Dari Bara' r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling elok mukanya dan amat baik perawakannya. Beliau tiada tinggi dan tiada pula pendek. 
 
1536, Dari Anas r.a. katanya: Dibawa kepada Nabi s.a.w. sebuah bejana, waktu beliau di Zaura. Lalu beliau letakkan tangannya dalam bejana itu. Maka terbitlah air dari antara anak jari beliau. Lalu orang banyak berwuduk. Qatadah berkata: Saya bertanya kepada Anas: "Berapa banyaknya kamu ketika itu?" Jawab Anas: "Tiga ratus atau kurang lebih tiga ratus". 
 
1537, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Abu Thathah berkata kepada Ummu Sulaim: "Sesungguhnya saya dengar suara Rasulullah s.a.w. amat lembut. Yang saya ketahui dari suara itu ialah lapar. Adakah engkau mempunyai sesuatu?" Jawab Ummu Sulaim: "Ada!" Lalu diambilnya beberapa potong roti dan gandum. Kemudian ia mengambil tutup kepalanya, lalu dibungkusnya roti dengan sebahagian kain itu. Kemudian diletakkannya di bawah tangan ku, dan sebahagiannya mengotorkan ku. Kemudian disuruhnya saya menghadap Rasulullah s.a.w. Kata Anas: Saya pergi, dan saya jumpai Rasulullah s.a.w. dalam masjid dan beliau bersama orang banyak. Lalu saya berdiri menghadap mereka. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada saya: "Abu Thalhahkah yang menyuruh engkau?" Jawab saya: "Ya!" Kata Nabi: "Untuk makan?" Jawab saya: "Ya!"' Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang yang bersama beliau: "Siaplah kamu untuk berangkat!" Lalu beliau berjalan dan saya berjalan mendahului mereka, sampai saya di tempat Abu Thalhah. Lalu saya khabarkan kepadanya. Kata Abu Thalhah: "Wahai Ummu Sulaim! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah datang dengan orang banyak sedangkan kita tidak mempunyai apa-apa yang mencukupi untuk memberi makan mereka". Kata Ummu Sulaim: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui!" Maka berjalanlah Abu Thalhah, lalu ditemuinya Rasulullah s.a.w. dan terus berjalan bersama-sama. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Wahai Ummu Sulaim! Bawalah kemari apa yang ada!" Ummu Sulaim lalu membawa roti tadi. Rasulullah menyuruh roti itu dipecah-pecah. Dan Ummu Sulaim mengambil sebuah bejana lantas diaduknya roti itu. Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan apa yang dikehendaki Tuhan untuk dibacanya. Sesudah itu beliau bersabda: "Izinkanlah sepuluh orang!" Lalu mereka diberi izin memakannya. Lalu mereka makan sampai kenyang dan keluar. Kemudian beliau bersabda: "Izinkanlah sepuluh orang.". Lalu mereka diberi izin. Lantas mereka makan sampai kenyang dan mereka keluar. Beliau bersabda lagi: "Izinkanlah sepuluh orang!" Orang banyak itu semuanya makan sampai kenyang sedang mereka berjumlah tujuh puluh atau lapan puluh orang". 
 
1538, Dari Abdullah r.a., katanya: Kami mengira ayat-ayat (mukjizat) itu memberi keberkatan dan kamu mengiranya memberi ketakutan. Pernah kami bersama Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan dan air hanya tinggal sedikit. Beliau bersabda: "Mintalah kelebihan air!" Mereka datang membawa bejana yang berisi sedikit air. Beliau memasukkan tangannya ke dalam bejana itu lalu beliau bersabda: "Marilah datang air suci yang berkat! Dan keberkatan itu dari Tuhan!" Sesungguhnya saya lihat air keluar dari antara anak jari Rasulullah s.a.w. Kata Abdullah: Dan pernah juga mendengar tasbih makanan yang dimakan beliau. 
 
1539, Dari Ibnu Masud r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Akan lahir orang-orang yang berbuat di luar batas (mementingkan diri sendiri) dan terjadi bermacam-macam keadaan yang tidak kamu ingini. Orang banyak bertanya: "Apakah sikap kami, wahai Rasulullah!" Beliau menjawab: "Laksanakan kewajibanmu, dan mintalah hak kamu kepada Tuhan!" 
 
1540, Dari Huzaifah bin Yaman r.a., katanya: Orang banyak menanyakan kepada Rasulullah s.a.w. tentang hal kebaikan, sedang saya menanyakan kepada beliau tentang bahaya (keburukan), supaya jangan menimpa saya. Lalu saya bertanya: "Wahai Rasulullah! Kami berada dalam keburukan di masa jahiliah, kemudian Tuhan mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah sesudah kebaikan itu ada lagi keburukan?" Jawab beliau: "Ya!" Tanya saya: "Apakah sesudah keburukan itu ada lagi kebaikan?" Jawab beliau: "Ya! Dan di situ ada bencana". Tanya saya: "Bencana apa?" Jawab beliau: "Suatu kaum memberi petunjuk berlainan dari petunjuk ku. Engkau ketahui dari mereka, tetapi hendaklah engkau engkari!" Tanya saya: "Apakah sesudah kebaikan itu ada lagi keburukan?" Jawab beliau: "Ya! Ada juru penerangan yang membawa ke pintu neraka jahanam. Siapa yang mahu mengikut mereka, dilemparkannya ke dalam neraka". Kata saya: "Wahai Rasulullah! Terangkanlah sifat orang-orang itu kepada kamu. Beliau bersabda: "Kulit mereka sama dengan kita dan mereka berbicara dengan bahasa kita". Tanya saya: "Apakah perintah tuan kepada saya jika saya mendapati hal yang demikian itu?" Jawab beliau: "Bersatulah dengan jemaah Muslimin dan Imam mereka!" Kata saya, "Jika tidak ada jemaah Muslimin dan Imam mereka, bagaimana?" Sabda beliau: "Menghindarlah dari semua golongan-golongan, biarpun engkau sampai menggigit (makan) urat kayu dan mati dalam keadaan serupa itu". 
 
1541, Dari Ali r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan timbul pada akhir zaman golongan pemuda yang kurang akal. Mereka mengucapkan perkataan yang amat baik. Mereka keluar dari Islam bagai panah keluar dari busurnya. Keimanan mereka tiada melampaui kerongkongannya. Bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai. Sesungguhnya siapa yang membunuh mereka memperoleh pahala di hari kiamat". 
 
1542, Dari Khabbab bin Arat r.a., katanya: Kami menyampaikan permohonan kepada Rasulullah s.a.w. Beliau ketika itu bersandar pada pakaian bulu, di bawah lindungan Kaabah. Kami berkata: "Mintakanlah kiranya pertolongan untuk kami!" Beliau bersabda: "Orang sebelum kamu pernah dibuatkan lubang untuk mereka di tanah, lalu ia dimasukkan ke dalamnya. Kemudian diambil gergaji dan digergaji kepalanya sampai belah dua. Yang demikian itu tiada menghalanginya dari agamanya. Dan ada pula yang disikat dengan sikat besi sampai ke daging, tulang dan uratnya. Yang demikian itu tiadalah menghalanginya dari agamanya. Demi Allah! Sesungguhnya akan disempurnakan Tuhan urusan agama ini, sehingga orang yang berkenderaan, berjalan dari Sanaa ke Hadramaut, tidak ada yang ditakutinya selain Allah (aman dalam perjalanan), dan serigala terhadap kambingnya. Tetapi kamu amat tergesa-gesa (ingin cepat)". 
 
1543, Dari Ibnu Abbas r.a.: Nabi s.a.w. masuk ke dalam rumah orang Arab dusun untuk melihat dia sakit. Kata Ibnu Abbas: Pernah Nabi s.a.w. apabila dia masuk rumah orang sakit untuk melihatnya, beliau bersabda: "Tidak apa! Sembuh, insya Allah". Kata Nabi kepada orang sakit itu: "Tidak apa, sembuh insya Allah!" Jawabnya: "Tuan katakan: Sembuh. Sebenarnya itu demam panas yang sedang meluap dan mengancam orang yang sangat tua dan akan mengantarnya ke kubur" Nabi s.a.w, bersabda: "Ya, betul kalau begitu". 
 
1544, Dari Aisyah r.a., katanya: Fatimah datang berjalan kaki, seolah-olah perjalanannya sama dengan perjalanan Nabi s.a.w. Beliau bersabda: "Selamat datang, wahai anakku!" Kemudian beliau suruh duduk di kanan atau di kiri beliau. Lalu beliau bisikkan suatu berita kepadanya. Lantas Fatimah menangis. Saya bertanya kepadanya: "Mengapa engkau menangis?" Kemudian beliau membisikkan lagi suatu berita kepadanya. Lalu Fatimah tertawa. Saya berkata: Belum pernah saya melihat seperti kejadian di hari ini, suka yang mendampingi duka. Saya bertanya kepadanya mengenai apa yang dibisikkan Rasulullah kepadanya. Jawab Fatimah: "Saya tiada akan membukakan rahsia (bisik) Rasulullah s.a.w." Setelah Nabi s.a.w. wafat, saya ulang menanyakan. Jawabnya: Beliau membisikkan kepada saya: Bahawa malaikat Jibril datang mengajarkan Quran selengkapnya pada saya sekali setahun. Dan dia datang kepada saya tahun ini dua kali. Saya mengira ajal saya telah dekat. Engkau di antara keluarga saya yang pertama mengikuti saya. Lantas saya (Fatimah) menangis. Beliau bersabda: "Apakah engkau tidak suka jadi ketua wanita-wanita yang mendiami syurga atau ketua wanita mukmin?" Lalu saya (Fatimah) tertawa kerananya. 
 
1545, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Rasulullah ke luar waktu sakit yang membawanya meninggal dunia, dengan berselimut dan diikat kepalanya dengan kain yang berwarna kehitaman, terus beliau duduk di atas mimbar, lalu memuji Tuhan. Kemudian beliau bersabda: "Adapun kemudian, sesungguhnya manusia itu amat banyak. Dan sedikit Ansar (penolong agama Tuhan), sehingga adanya mereka di tengah-tengah manusia bagai garam dalam makanan. Barangsiapa di antara kamu yang mengurus sesuatu yang merugikan satu golongan dan menguntungkan golongan lain hendaklah ia menerima kebaikan orang yang berbuat baik dan memaafkan orang yang melakukan kesalahan". Itulah majlis terakhir yang dihadiri Nabi s.a.w. 
 
1546, Dari Abdullah bin Umar r.a.: Ada orang Yahudi datang kepada Rasulullah s.a.w. Mereka ceritakan kepada beliau, bahawa seorang laki-laki dan seorang perempuan di antara mereka berzina. Rasulullah menanyakan kepada mereka: "Apakah yang kamu dapati dalam Taurat mengenai hukuman rejam?" Mereka menjawab: "Mereka kami hinakan dan kami dera". Abdullah bin Salam berkata: "Kamu bohong! Sesungguhnya dalam Taurat ada hukum rejam!" Lalu mereka membawa Kitab Taurat dan membukanya. Seorang di antara mereka meletakkan tangannya atas ayat rejam (menutupinya). Maka dibacanya yang sebelum dan sesudahnya (yang tidak tertutup). Kata Abdullah bin Salam: "Angkatlah tangan engkau!" Lalu diangkatnya tangannya. Kebetulan di situ ada ayat rejam (dilempari dengan batu sampai mati). Mereka berkata: "Benar, wahai Muhammad. Di dalamnya ada ayat rejam". Maka diperintahkan oleh Rasulullah supaya direjam, lalu keduanya direjam. Kata Abdullah: "Saya lihat lelaki itu tersungkur di atas perempuan yang ditutupi oleh batu. 
 
1547, Dari Abdullah bin Mas'ud r.a.: katanya: Terjadi bulan belah dua di masa Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda: "Saksikanlah olehmu." 
 
1548, Dari Anas bin Malik r.a.: Penduduk Mekah meminta kepada Rasulullah s.a.w. supaya diperlihatkan kepada mereka mukjizat Tuhan. Lalu diperlihatkan kepada mereka bulan belah dua. 
 
1549, Dari Mu'awiah r.a., katanya: Saya mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Di antara umat ku selalu ada golongan yang menegakkan perintah Tuhan. Orang yang menghina dan menentang mereka tiada lagi membahayakan mereka, sampai perintah Tuhan datang, sedang mereka tetap dalam keadaan yang demikian". 
 
1550, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. memasuki Khaibar pagi hari. Waktu itu mereka keluar ke lapangan. Setelah mereka melihat beliau, mereka berkata: "Muhammad dan tentera!" Lalu mereka segera menempati benteng mereka. Nabi s.a.w. mengangkat kedua belah tangannya dan berdoa: "Allahu Akbar! Hancurlah Khaibar! Bila kami duduki lapangan suatu kaum, maka amat buruk pagi hari orang yang diberi peringatan (tetapi tidak menurut)". 
 
1551, Dari Anas r.a.: Ada seorang laki-laki menanyakan kepada Nabi s.a.w. mengenai kiamat. Katanya: "Bilakah hari kiamat?" Beliau bersabda: "Apakah yang telah engkau siapkan untuk hari itu?" Katanya: "Tiada suatu pun selain mencintai Allah dan RasulNya". Beliau bersabda: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: Belum pernah kami gembira seperti kegembiraan kami kerana mendengar sabda Nabi s.a.w.: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: "Saya mencintai Nabi, Abu Bakar, dan Umar dan saya mengharapkan kiranya saya bersama mereka kerana mencintai mereka, sekalipun saya belum beramal serupa amal mereka". 
 
1552, Dari Abu Said Al Khudri r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ketika saya sedang tidur, saya melihat (memimpikan) orang banyak datang kepada saya, sedang mereka memakai baju. Ada bajunya yang sampai ke susu dan ada yang tidak sampai. Dan Umar datang kepada saya, dia memakai baju dalam yang diheretnya". Orang bertanya: "Apakah pengertiannya ya Rasulullah?" Jawab beliau: "Agama.". 
 
1553, Dari Abu Hurairah r.a., bahawa dia ketika sama dengan Nabi, pernah membawa tempat air untuk berwuduk dan keperluan lain. Pada suatu ketika, Abu Hurairah mengikut beliau. Beliau bertanya: "Siapakah ini?" Jawabnya: "Saya Abu Hurairah". Beliau bersabda: "Carikan saya beberapa buah batu untuk bersuci! Jangan dibawa kepada saya tulang dan tahi binatang!" Lalu saya bawa batu itu dengan pinggir baju saya, lalu saya letakkan di dekat beliau. Kemudian saya pergi. Setelah beliau selesai bersuci, saya datang kepada beliau, sambil bertanya: "Ada apa dengan tulang dan tahi binatang?" Jawab beliau: "Keduanya termasuk makanan jin. Sesungguhnya telah datang kepada saya utusan jin dari negeri Nasibin dan itulah jin yang amat baik. Lalu mereka meminta perbekalan pada saya. Saya berdoa kepada Allah untuk mereka, di mana mereka menemui tulang dan tahi binatang, di situ mereka mendapat makanan". 
 
1554 Dari Jabir bin Abdullah r.a.: Dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ketika orang Quraisy mendustakan saya, berdirilah saya di Hijr (dekat Kaabah). Tuhan menggambarkan Baitul Muqqadis kepada saya. Maka dapatlah saya menceritakan kepada mereka tanda-tandanya (keadaan Baitul Muqqadis), sedang saya tetap memandangnya".