Jilid 3 \ 1453 - 1474 ( Syaitan )

1453, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Syaitan akan datang kepada seseorang kamu, lalu berkata: "Siapa yang menjadikan ini!" Siapa yang menjadikan itu?" Sampai ia berkata: "Siapa yang menjadikan Tuhanmu?" Apabila sampai pada pertanyaan demikian, hendaklah orang itu mohon perlindungan kepada Tuhan dan hendaklah berhenti memikirkannya."

1454, Dari Jabir r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Apabila hari telah malam atau telah mulai malam, laranglah anak-anakmu ke luar, kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran waktu itu. Apabila sampai waktu Isya, suruhlah mereka tidur dan tutuplah pintumu serta sebutlah nama Allah. Padamkanlah lampu dan sebutlah nama Allah, tutuplah bejanamu (tempat makanan) dan sebutlah nama Allah, biarpun engkau letakkan saja barang sesuatu di atasnya".

1455, Dari Sulaiman bin Shurad r.a., katanya: Ketika saya duduk bersama Nabi s.a.w., ada dua orang laki-laki memaki satu sama lain. Seorang di antaranya lalu merah mukanya dan besar lehernya. Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya saya mengetahui perkataan, kalau diucapkannya perkataan itu, nescaya akan hilanglah apa yang dirasakannya (marahnya). Jika diucapkannya: "Aku berlindung kepada Allah dari syaitan, nescaya hilanglah marahnya". Mereka lalu mengatakan kepada orang itu, bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Berlindunglah kepada Tuhan dari syaitan!" Orang tadi lalu berkata: "Gilakah saya!"

1456, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Menguap itu dari syaitan. Maka apabila seseorang di antara kamu menguap, hendaklah ditahannya sedapat mungkin. Sesungguhnya jika seseorang di antara kamu mengatakan "ha" lantaran menguap, tertawalah syaitan".

1457, Dari Abu Qatadah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Mimpi yang baik dari Tuhan, dan mimpi buruk dari syaitan. Apabila seseorang di antara kamu memimpikan suatu mimpi yang menakutkannya, hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya, dan mohon berlindung kepada Tuhan dari pada bahaya. Sesungguhnya dengan demikian, nescaya tiada akan membahayakan kepadanya".

Hadis Sahih Bukhari No. 1458 Jilid 3 Topik adalah Syaitan

1458, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Apabila seseorang di antara kamu bangun dari tidurnya, lalu ia berwuduk, maka hendaklah menyemburkan air dari hidung (membersihkan hidungnya) tiga kali, kerana sesungguhnya syaitan bermalam pada lubang hidungnya".

1459, Dari Ibnu Umar r.a,: Bahawa ia mendengarkan Nabi s.a.w. berkhutbah di atas mimbar. Beliau bersabda: "Bunuhlah ular dan bunuhlah yang bersiring dua dan yang pontong ekor, kerana sesungguhnya keduanya merosak penglihatan dan menggugurkan kandungan". Abdullah (Ibnu Umar) berkata: Ketika saya memburu seekor ular yang hendak saya bunuh, Abu Lubabah lalu menyerukan kepada saya: "Jangan engkau bunuh ular itu!" Kata saya: "Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan supaya ular itu dibunuh". Katanya: "Sesungguhnya beliau melarang sesudah itu membunuh ular rumah, iaitu ular yang diam dalam rumah".

1460, Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pokok kekafiran itu berasal dari jurusan timur. Sombong dan takabur itu terdapat pada orang yang mempunyai kuda dan unta. Suka berteriak itu terdapat pada orang desa. Dan ketenangan (kesabaran) itu terdapat pada orang yang mempunyai (pengembala) kambing".

1461, Dari 'Uqbah bin 'Amr dan Abu Masuud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. menunjuk dengan tangan beliau ke jurusan Yaman, sambil bersabda: "Iman, bangsa Yaman di sana. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya kekerasan dan kekasaran hati itu terdapat pada orang-orang yang berteriak-teriak dekat ekor unta (orang penghalau unta) dan timbul pengikut-pengikut syaitan pada suku Rabiaah dan Mudhar".

1462, Dari Abu Hurairah r.a. : Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila kamu mendengar kokok ayam, maka mohonkanlah beroleh kurnia kepada Tuhan, kerana sesungguhnya ia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar bunyi (ringkik) keldai, maka mohonkanlah perlindungan kepada Tuhan dari bahaya syaitan, kerana sesungguhnya ia melihat syaitan".

1463, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila lalat masuk ke dalam minuman seseorang kamu, hendaklah ditenggelamkannya, kemudian dibuangkan lalat itu, kerana sesungguhnya salah satu sayapnya mengandung penyakit dan yang satu lagi mengandung ubat".

1464, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Tuhan menjadikan Nabi Adam tingginya enam puluh hasta. Kemudian Tuhan berfirman: "Pergilah dan memberi salamlah kepada malaikat-malaikat itu, dan dengarkanlah mereka memberi hormat (salam) kepada engkau. Itulah kehormatan (salam) engkau dan keturunan engkau!" Nabi Adam lalu mengucapkan "Assalamu'alaikum" , (selamatlah kiranya kamu). Mereka itu lalu mengucapkan: "Assalamu'alaika warahmatullah" (kiranya engkau lebih beroleh keselamatan dan rahmat Tuhan). Mereka tambah "warahmatullah". Maka setiap orang yang masuk syurga serupa dengan Adam. Dan manusia itu sentiasa bertambah kedil sampai sekarang".

1465, Dari Anas r.a., katanya: Ketika sampai kepada Abdullah bin Salam khabar kedatangan Rasulullah s.a.w. ke Madinah, ia pun datang menghadap beliau, lalu berkata: "Saya hendak bertanya kepada tuan tentang tiga perkara; tidak ada yang mengetahuinya melainkan Nabi. Apakah permulaan tanda kiamat? Apakah permulaan makanan yang dimakan oleh isi syurga? Apa sebabnya anak menyerupai ayahnya dan apa sebabnya menyerupai ibunya?" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Baru sebentar ini Jibril mengkhabarkan semua itu kepada saya. Kata Anas: Abdullah berkata: "Jibril itu ialah musuh orang Yahudi". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adapun permulaan tanda kiamat, ialah api yang mengumpulkan manusia dari timur ke barat. Adapun permulaan makanan yang di makan isi syurga, ialah tambahan hati dari ikan besar. Dan adapun perserupaan anak, bahawa seorang laki-laki bila bersenggama dengan perempuannya, jika airnya mendahului air isterinya, anak itu serupa dengan bapaknya. Jika dahulu air perempuan, anak itu serupa dengan dia". Abdullah berkata: "Saya mengakui, bahawa sesungguhnya tuan Pesuruh Allah". Kemudian katanya lagi: "Hai Rasulullah! Sesungguhnya orang Yahudi itu kaum pendusta. Jika mereka tahu saya masuk Islam sebelum tuan menanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menuduh saya pendusta di dekat tuan". Kemudian orang-orang Yahudi datang dan Abdullah masuk ke rumah. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Bagaimanakah keadaan Abdullah bin Salam dalam lingkungan kamu?" Mereka menjawab: "Ia seorang yang amat pandai dan anak orang yang amat pandai di antara kami. Ia seorang yang paling baik dan anak orang yang paling baik di antara kami". Rasulullah s.a.w. bertanya: "Bagaimanakah pendapat kamu, jika Abdullah memeluk agama Islam?" Kata mereka: "Dilindungi (dijauhkan) Tuhan kiranya ia dari hal yang demikian!" Maka keluarlah Abdullah kepada mereka, lalu berkata: "Saya mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan saya mengakui, bahawa sesungguhnya Muhammad Pesuruh Allah". Orang-orang Yahudi lalu berkata: "Dialah orang yang paling jahat dan anak orang yang paling jahat di antara kami". Mereka pun mencelanya bersama.

1466, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w, beliau bersabda: "Kalau tidak kerana Bani Israil, nescaya daging tidak akan rosak (busuk). Dan kalau tidak kerana ibu Hawa, nescaya tiada ada orang perempuan yang khianat kepada suaminya".

1467, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ajarilah wanita itu dengan cara yang sebaik-baiknya, kerana sesungguhnya perempuan itu dijadikan dari (serupa) tulang rusuk. Dan tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang di atas sekali. Jika engkau paksa meluruskannya, nescaya (patah), dan jika engkau biarkan saja, sentiasa ia bengkok. Sebab itu nasihatilah perempuan itu dengan cara yang sebaik-baiknya!"

1468, Dari Aisyah r.a., katanya: Saya mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Ruh (Jiwa) itu bagai tentera yang berbaris. Mana yang bersesuaian berdampinganlah dia dan mana yang bertentangan berjauhanlah ia".

1469, Dari Zainab binti Jahsy r.a., Nabi s.a.w. masuk ke tempatnya dalam keadaan cemas sambil bersabda: La ilaha illallah. Celaka orang Arab kerana bahaya yang sungguh telah dekat. Hari ini telah dibukakan tutup (dinding) Ya'Juj Makjuj seperti ini. Beliau melingkarkan dua ibu jari dengan jari yang lain. Saya lalu bertanya: "Hai Rasulullah! Akan binasakah kita, padahal orang-orang yang baik-baik masih ada di antara kita?" Beliau menjawab: "Ya, apabila telah banyak yang buruk!"

1470, Dari Abu Said Al Khudri r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Tuhan yang Maha Tinggi berfirman: "Hai Adam!" Ia lalu menjawab: "Saya, ya Tuhan! Kebaikan di tangan Engkau!" Tuhan berfirman: "Keluarkanlah utusan ke neraka!" Kata Adam: "Siapakah utusan ke neraka itu?" Tuhan berfirman: "Seorang dari setiap seribu sembilan ratus sembilan puluh sembilan. Maka ketika itu anak kecil beruban dan yang mempunyai kandungan melahirkan kandungannya, dan engkau lihat manusia dalam keadaan mabuk, tetapi sebenarnya mereka bukan mabuk, melainkan seksaan Tuhan amat kerasnya". Mereka berkata: "Hai Rasulullah! Siapakah di antara kita yang seorang itu?" Beliau bersabda: "Gembiralah kamu, kerana sesungguhnya daripada kamu seorang, dan daripada Yakjuj Makjuj seribu". Kemudian beliau bersabda: "Demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Sesungguhnya saya mengharapkan bahawa kamu seperempat ahli syurga". Kami lalu takbir." Beliau bersabda: "Saya mengharapkan kamu sepertiga ahli syurga". Kami lalu takbir. Beliau pun terus bersabda: "Saya mengharapkan kamu seperdua ahli syurga". Kami pun takbir. Kemudian beliau bersabda: "Kamu dalam kumpulan manusia, hanyalah sebagai sehelai rambut hitam pada kulit lembu yang putih atau sebagai rambut putih pada kulit lembu hitam ".

1471, Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Kamu akan dikumpulkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang bulat tidak berkhatan". Kemudian beliau membaca ayat yang ertinya: "Sebagaimana Kami menjadikan makhluk mula pertama, Kami ulang serupa itu. Janji Kami, sesungguhnya Kami laksanakan". Orang-orang yang mula-mula diberi pakaian di hari kiamat, ialah Nabi Ibrahim. Dan dari sahabat-sahabatku akan dibawa ke arah kiri (ke neraka). Saya berkata: "Sahabatku, sahabatku!" Lalu dikatakan: "Sesungguhnya mereka berbalik ke belakang (kafir kembali) sejak engkau berpisah dengan mereka". Saya lalu mengucapkan sebagai perkataan hamba Allah yang Soleh (Nabi Isa): "Dan hanya aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada di antara mereka". - sampai perkataan - "Bijaksana" (Surat AI Maidah, 117 - 118).

1472 Dari Abu Hurairah r.a.: Ada orang bertanya: "Hai Rasulullah! Siapakah manusia yang termulia?" Beliau menjawab: "Yang paling bertaqwa kepada Allah (mematuhi perintahNya)". Mereka berkata: "Bukan ini yang hendak kami tanyakan kepada tuan". Beliau bersabda: "Jika begitu, Yusuf Nabi Allah anak Nabi Allah dan anak kekasih Allah". Mereka berkata: "Bukan ini yang hendak kami tanyakan kepada tuan". Beliau bersabda: "Kalau begitu, tentu kamu hendak menanyakan kepada saya tentang keperibadian orang Arab. Mereka yang baik pada masa jahiliah, mereka itulah yang lebih baik dalam zaman Islam, jika mereka mengerti".

1473, Dari Samurah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Malam tadi saya bermimpi ada dua orang yang datang kepada saya, lalu saya temui. Seorang tinggi hampir-hampir tidak dapat saya lihat kepalanya kerana tingginya. Orang itu ialah Nabi Ibrahim a.s."

1474, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Nabi Ibrahim a.s. berkhatan dengan kapak dan beliau dalam usia lapan puluh tahun".