Jilid 3 \ 1441 - 1452 ( Syurga )

1441, Dari Imran bin Hushain r.a. dari Nabi s.a.w.. beliau bersabda: "Saya melihat ke dalam syurga dan saya lihat kebanyakan isinya ialah orang-orang fakir. Saya melihat pula ke dalam neraka, saya lihat kebanyakan isinya orang-orang perempuan".

1442, Dari Abu Hurairah r.a.: Ketika kami berada di dekat Rasulullah s.a.w beliau bersabda: "Ketika saya sedang tidur saya melihat diri saya dalam syurga. Tiba-tiba ada seorang perempuan sedang mandi di sebelah sebuah istana. Lalu saya bertanya:"Kepunyaan siapakah istana ini?" Jawabnya: "Kepunyaan Umar bin Khattab". Saya ingat akan cemburunya, lalu saya pergi membelakang. Umar lalu menangis, sambil berkata: "Hai Rasulullah! Masakan terhadap tuan saya cemburu!"

1443, Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Golongan yang pertama-tama masuk syurga, rupanya sebagai bulan pada malam purnama. Dan orang-orang yang masuk sesudah itu, sebagai bintang yang sangat terang cahayanya. Hati mereka sebagai hati satu orang (bersatu), tidak pernah berselisih dan benci-membenci antara sesama mereka. Tiap-tiap seorang di antara mereka mempunyai dua orang isteri. Masing-masing di antara kedua isteri itu nampak sumsum betisnya dan belakang dagingnya kerana sangat indahnya. Mereka memuji Tuhan pagi dan petang, tiada merasa demam, tiada selsema, dan tiada berdahak. Bejana mereka dari emas dan perak, sisir dari emas, dan kayu bakar mereka dari uluwwah (kayu kemenyan)".

1444, Dari Sahl bin Saad r.a. dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Tujuh puluh ribu atau tujuh ratus ribu daripada umat ku akan masuk syurga dengan tidak dihisab, mereka masuk berturut-turut, sedang rupa mereka sebagai cahaya bulan pada malam purnama".

1445, Dari Anas r.a., katanya: Ada orang menghadiahkan jubah sutera kepada Nabi s.a.w. padahal beliau melarang memakai sutera. Orang banyak hairan kerananya. Beliau lalu bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad di tanganNya. Sesungguhnya sapu tangan Saad bin Muaz dalam syurga lebih bagus dari ini"

1446, Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Dalam syurga ada pohon. Orang berkenderaan berjalan di bawah naungnya lebih dari seratus tahun belum habis".

1447, Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Ahli syurga memandang penghuni mahligai yang lebih tinggi dari mereka, sebagai memandang bintang yang sangat terang cahayanya yang ada di tepi langit sebelah timur atau barat, lantaran perbezaan tingkatan antara mereka". Mereka berkata: "Hai Rasulullah! Tentulah itu tempat Nabi-nabi, tiada akan sampai ke situ selain mereka?" Beliau bersabda: "Ya, demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Itu adalah tempat orang-orang yang percaya kepada Allah dan membenarkan Rasul-rasul".

1448, Dari Abu Sa'id r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Dinginkanlah suasana dengan mengerjakan solat! Sesungguhnya panas yang sangat itu kerana gejolak api neraka".

1449, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Neraka mengadu kepada Tuhan, katanya: "Oh Tuhan ku! Yang sebahagian ku telah memakan yang lain!" Tuhan lalu mengizinkannya berhembus dengan dua hembusan, satu hembusan di musim dingin dan satu hembusan di musim panas. Maka kamu rasakan panas yang amat sangat dan kamu rasakan pula udara yang sangat dingin".

1450, Dari Aisyah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Demam panas itu dari gejolak neraka, maka dinginkanlah dengan air".

1451, Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda' "Apimu di dunia ini sepertujuh puluh api neraka". Ada orang berkata: "Keadaannya sudah mencukupi". Beliau bersabda: "Ditambah lagi dengan enam puluh sembilan kali panasnya dari api di dunia".

1452, Dari Usamah r.a., katanya: Saya mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda: "Ada seorang laki-laki dihadapkan pada hari kiamat, lalu dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya kemudian ia berputar-putar sebagaimana keldai berputar-putar di sekitar gilingan. Isi neraka lalu berkumpul di kelilingnya, sambil berkata: "Hai Polan! Bagaimana keadaan engkau? Bukankah engkau pernah menyuruh kami berbuat baik dan melarang kami berbuat jahat?" Jawab orang itu: "Saya pernah menyuruh kamu berbuat baik, tetapi saya sendiri tiada mengerjakannya. Saya pernah mencegah kamu berbuat jahat, tetapi saya sendiri mengerjakannya".