1428, Dari 'Aisyah r.a. isteri Nabi s.a.w., ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Malaikat-malaikat turun ke awan, lalu menyebutkan perintah yang diputuskan di langit. syaitan-syaitan dapat mencuri pendengaran lalu didengarkannya dan ia terus membisikkan kepada pandai tenung, lalu mereka masukkan ke dalamnya seratus dusta atas kehendak mereka sendiri.
1429, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, malaikat-malaikat berada di tiap-tiap pintu masjid. Mereka menuliskan satu demi satu, menurut urutan mana paling dahulu. Bila Imam telah duduk (akan berkhutbah), mereka menutup bukunya dan mereka ikut mendengarkan pengajaran (khutbah)"
1430, Dari Bara' r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda kepada Hasan: "Seranglah atau balas serangan mereka, malaikat Jibril bersama kamu!"
1431, Dari 'Aisyah r.a., Nabi s.a.w. bersabda kepadanya: "Hai Aisyah! Inilah malaikat Jibril mengucapkan salam kepadamu". Aisyah berkata: "Salam untuk beliau, serta rahmat dan berkatNya. Tuan lihat apa yang tiada saya lihat!" Yang dimaksudnya Nabi Muhammad.
1432, Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. berkata kepada Jibril: "Sudilah kiranya tuan mengunjungi kami lebih banyak dari yang sudah-sudah!" Kata Ibnu Abbas: Maka turunlah ayat yang ertinya: "Dan kami hanya akan turun, dengan perintah Tuhan engkau. KepunyaanNya apa yang di hadapan kami, apa yang di belakang kami, dan apa yang di antara keduanya, dan bahawa Tuhan engkau itu tiada pelupa."
1433, Dari Ibnu Abbas r.a.: Nabi s.a.w. bersabda: "Jibril membacakan Quran pada saya dengan satu harf (dialek). Maka sentiasa saya minta tambah hingga sampai tujuh harf (dialek)".
1434, Dari Abu Mas'ud r.a. katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jibril turun (datang), lalu ia jadi Imam saya, dan saya solat bersama dia, saya solat bersama dia, saya solat bersama dia, saya solat bersama dia, dan saya solat bersama dia". Beliau hitung dengan jari beliau lima kali solat.
1435, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Malaikat-malaikat itu datang silih berganti, untuk malam dan untuk siang. Dan mereka berkumpul pada waktu solat Fajar (Subuh) dan 'Asar. Kemudian malaikat-malaikat untuk malam hari naik kepada Tuhan. Tuhan lalu bertanya kepada mereka sedang Tuhan itu Maha Tahu. Tuhan berfirman: "Sedang mengapa hambaKu kamu tinggalkan?" Mereka menjawab: "Kami tinggalkan mereka sedang solat, dan waktu kami datang kepada mereka, juga mereka sedang solat".
1436, Dari Aisyah r.a., isteri Nabi s.a.w., ia bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Pernahkah terjadi suatu hari yang lebih berbahaya daripada hari peperangan Uhud?" Beliau bersabda: "Sebenarnya saya telah menemui dari kaummu bermacam-macam keadaan. Dan keadaan yang lebih pahit saya temui dari mereka, ialah pada hari 'Aqabah. Ketika saya mengemukakan permintaan kepada Ibnu 'Abdi Yalil bin 'Abdi Kulal. Ia tiada memperkenankan permintaan saya. Lalu saya berjalan menuju satu jurusan dan saya tiada sedar melainkan waktu saya sampai di Qarnis Saalib, Saya angkat kepala saya, tiba-tiba awan telah menaungi saya, dan saya memandang, tiba-tiba Jibril berada di dalamnya. Ia pun memanggil saya, seraya katanya: "Tuhan telah mendengar perkataan kaum tuan dan tolakan mereka terhadap tuan. Tuhan mengutus malaikat gunung kepada tuan, supaya tuan suruh mereka memperbuat apa yang tuan kehendaki". Malaikat gunung itu lalu memanggil saya sambil memberi salam pada saya, kemudian ia berkata: "Hai Muhammad! Terserah kepada tuan, apa yang tuan kehendaki boleh saya sepit mereka dengan dua gunung. Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak! Saya hanya mengharapkan supaya Tuhan akan melahirkan keturunan mereka, orang yang menyembah Allah semata-mata tiada mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu apa pun!"
1437, Dari Ibnu Mas'ud r.a., berkenaan firman Tuhan yang ertinya: "Maka Tuhan mewahyukan kepada hambaNya apa yang diwahyukanNya". (An Najm,10). Ibnu Masuud berkata: "Sesungguhnya Nabi melihat Jibril mempunyai enam ratus sayap".
1438, Dari Aisyah r.a., katanya: "Barangsiapa mengira bahawa Muhammad melihat Tuhannya, sesungguhnya ia telah memasuki suatu kesalahan yang besar. Hanya beliau melihat Jibril dalam rupa dan bentuk kejadian yang sebenarnya, menutupi apa yang ada di tepi langit".
1439, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seorang laki-laki mengajak isterinya tidur, sedang perempuan tidak mahu, lalu laki-laki tadi semalam itu dalam keadaan marah, malaikat melaknati perempuan itu sampai pagi".
1440, Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Pada malam Isra (Mikraj), saya melihat Nabi Musa seorang laki-laki merah bercampur hitam warnanya, tinggi, lagi keriting rambutnya, seolah-olah dari orang suku bangsa Syanuah. Dan saya melihat Nabi Isa seorang laki-laki perawakannya besar tegap, merah bercampur putih warnanya, panjang (tidak keriting) rambutnya. Dan saya melihat malaikat penjaga neraka dan Dajjal dalam beberapa ayat (tanda-tanda kekuasaan Tuhan) yang kesemuanya itu diperlihatkan Tuhan kepada saya. Maka janganlah engkau dalam keadaan ragu tentang menemuiNya"