1412, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Setelah Khaibar diduduki, ada orang yang menghadiahkan daging kambing yang beracun kepada Nabi s.a.w. Lalu beliau bersabda: "Kumpulkanlah orang-orang Yahudi yang di sini!" Mereka lalu dikumpulkan. Beliau bersabda: "Saya hendak bertanya kepada mu tentang sesuatu hal! Adakah kamu mahu memberikan keterangan yang sebenarnya kepada saya!" Mereka menjawab: "Ya!" Nabi s.a.w. bertanya kepada mereka: "Siapa ayahmu?" Mereka itu menjawab: "Si Anu!" Lalu beliau bersabda: "Kamu dusta, akan tetapi ayah kamu si Anu". Mereka itu berkata: "Benar tuan!" Beliau bertanya: "Adakah kamu mahu menjawab dengan benar kepada saya tentang sesuatu yang saya tanyakan?" Jawab mereka: "Ya, hai Abu Qasim! Sekiranya kami berdusta, tuan ketahui dusta kami sebagaimana tuan ketahui tentang ayah kami". Beliau menanyakan kepada mereka: "Siapa ahli neraka?" Mereka itu menjawab: "Kami berada di dalamnya dalam masa yang singkat, kemudian kamu gantikan kami di dalamnya". Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Kamu akan tetap diseksa dalam neraka itu, demi Allah! Kami tidak akan pernah menggantikan kamu dalam neraka itu". Kemudian beliau bersabda lagi: "Adakah kamu mahu menjawab dengan benar kepada saya tentang sesuatu yang saya tanyakan?" Jawab mereka:"Ya, hai Abu Qasim!" Beliau bertanya: "Adakah kamu isikan racun dalam daging kambing ini?" Jawab mereka: "Ya!" Tanya beliau: "Apakah yang mendorong kamu berbuat demikian?" Jawab mereka: "Maksud kami ialah, kalau sekiranya tuan seorang pendusta, kami akan senang. Dan kalau sekiranya tuan seorang Nabi, racun itu tiada akan membahayakan tuan".
1413, Dari Sahl bin Abu Hatsmah r.a., katanya: Abdullah bin Sahl dan Muhaisah bin Masuud bin Zaid pergi ke Khaibar, dan Khaibar pada waktu itu dalam keadaan damai. Kemudian keduanya berpisahlah. Sesudah itu datanglah Muhaisah kepada Abdullah bin Sahl. Didapatinya ia bermandikan darah kerana mati terbunuh, lalu dikuburkannya. Kemudian ia datang ke Madinah. Maka pergilah Abdur Rahman bin Sahl, Muhaisah dan Huwaisah, dua orang anak Masuud, menghadap Nabi s.a.w., lalu Abdur Rahman lebih dahulu bicara. Maka beliau bersabda: "Yang tua, yang tua berbicara dahulu!" Dan dia paling muda, lalu ia diam. Maka yang berdua lalu berbicara. Beliau bersabda: "Mahukah kamu bersumpah dan menuntut orang yang membunuhmu atau kawanmu?" Kata mereka: "Bagaimana kami bersumpah (menuntut), pada hal kami tiada menghadiri dan tiada melihat pembunuhan itu?" Beliau bersabda: "Orang Yahudi akan berlepas diri dari kamu dengan sumpah sampai lima puluh kali. Mereka berkata: Bagaimana kami mengambil sumpah kafir'? Nabi s.a.w. sendiri membayarnya.
1414, Dari 'Aisyah r.a.: Bahawa Nabi s.a.w. pernah kena sihir, sehingga beliau mengkhayalkan mengerjakan sesuatu, pada hal beliau tiada mengerjakannya.
1415, Dari Auf bin Malik r.a., katanya: Saya datang menghadap Nabi s.a.w. waktu peperangan Tabuk dan beliau dalam khemah dari kulit, lalu beliau bersabda: "Hitunglah enam tanda kiamat: Wafatku, menaklukkan Baitul Muqqadis, banyak orang mati sebagai kambing diserang penyakit, banyak harta sehingga seseorang diberi seratus dinar, ia merasa jengkel (merasa sedikit) dan fitnah. Tiada satu rumah orang Arab pun yang tiada dimasukinya perdamaian yang ada antara kamu dan Bani Asfar (bangsa kulit kuning), mereka menipu lalu mereka datang kepada mu di bawah lapan puluh bendera; di bawah tiap-tiap bendera terdapat dua belas ribu tentera.".
1416, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Bagaimana keadaanmu kalau kamu tidak bisa memungut jizyah sedinar ataupun sedirham?" Ada orang menanyakan kepadanya: "Bagaimana engkau tahu yang demikian itu akan terjadi hai Abu Hurairah!", Jawabnya: "Ya, demi Tuhan yang diri Abu Hurairah di tanganNya! Dari perkataan orang yang sebenarnya dipercaya!" Orang banyak bertanya: "Apakah sebabnya kejadian yang demikian itu?" Jawabnya: "Dirosakkan janji Allah dan RasulNya s.a.w., lalu Tuhan mengeraskan hati, orang-orang zimmi, lalu mereka enggan memberikan apa yang di tangan mereka".
1417, Dari Abdullah r.a., katanya: Ketika Rasulullah s.a.w. sedang sujud dan sekelilingnya ada orang-orang Quraisy yang musyrik. Tiba-tiba datanglah kepada beliau 'Uqbah bin Abi Muaaith, membawa perut (tempat peranakan) unta, lalu dilemparkannya di atas punggung Nabi s.a.w. Beliau belum lagi mengangkat kepalanya, sehingga Fatimah datang, lalu diambilnya dari punggung beliau, dan Fatimah mendoakan kebinasaan orang yang melakukan yang demikian itu. Nabi s.a.w. berdoa: "Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau membalasi pemuka Quraisy! Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau memberi balasan kepada Abu Jahl bin Hisyam, 'Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, 'Uqbah bin Abu Muaith, dan Umaiyah bin Khalaf atau Ubaiy bin Khalaf!" Saya lihat semua mereka itu dibunuh dalam peperangan Badr, lalu dilemparkan ke dalam telaga, selain Umaiyah atau Ubaiya kerana ia seorang laki-laki yang besar (gemuk). Setelah mereka mengheretnya putus persendiannya sebelum dilemparkan ke dalam telaga".
1418, Dari Ibnu Umar r.a., katanya: Saya dengar Nabi s.a.w. bersabda: "Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda kekhianatannya pada hari kiamat".
1419, Dari 'Imran bin Hushaill r.a., katanya: Saya masuk ke tempat Nabi s.a.w. dan saya tambatkan unta saya di pintu. Kemudian datang rombongan dari Bani Tamim mengadap beliau. Beliau lalu bersabda: "Terimalah khabar gembira, hai Bani Tamim!" Mereka berkata: "Tuan telah memberi khabar gembira pada kami, maka berilah kami harta dua kali lipat!" Sesudah itu masuk ke tempat beliau rombongan dari Yaman. Beliau lalu bersabda: "Terimalah khabar gembira, yang tidak diterima oleh Bani Tamim, hai penduduk Yaman!" Mereka itu berkata: "Kami terima, hai Rasulullah" Mereka berkata lagi: "Kami datang kepada tuan hendak menanyakan hal ini (alam)". Beliau bersabda: "Tuhan telah ada, dan belum ada sesuatu selainNya dan 'ArsyNya di atas air. Tuhan menuliskan segala sesuatu selainNya di dalam buku peringatan, dan diciptakanNya langit dan bumi". Ada seseorang yang berteriak: "Unta engkau telah pergi, hai Ibnu Hushain!" Lalu saya berjalan kebetulan unta itu telah melampaui fatamorgana (telah jauh). Demi Allah! Saya ingin kalau unta itu saya biarkan saja pergi!
1420, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Tuhan Yang Maha Tinggi berfirman, Anak Adam (manusia) mencaci Aku, pada hal tiada sepatutnya dia mencaci Aku. Dia mendustakan Aku, pada hal tiada sepatutnya begitu. Adapun caciannya, ia berkata, "Bahawa Aku mempunyai anak. Adapun ia mendustakan Aku, katanya, Tuhan tidak akan mengembalikan (membangkitkan) saya sebagaimana Dia telah menjadikan saya".
1421, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setelah Tuhan memutuskan akan menciptakan (makhluk) ditulisNya dalam KitabNya yang ada di sisiNya di atas 'Arsy: "RahmatKu mengalahkan kemarahanKu!"
1422, Dari Ibnu Abi 'Bakrah r.a., dari Abu Bakrah, dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: '"Masa itu beredar sebagaimana keadaannya pada hari Tuhan menciptakan langit dan bumi. Setahun itu dua belas bulan. Empat di antaranya bulan haram (damai); tiga berturut-turut: Zulqaaidah, Zulhijjah dan Muharram. Dan lagi Rejab, kaum Mudhar terletak antara Jumadil Akhir dan Syaaban".
1423, Dari Abu Zar r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda kepada saya waktu matahari terbenam: "Tahukah engkau ke mana ia pergi?" Kata saya: "Allah dan RasulNya yang lebih tahu!" Beliau bersabda: "Matahari itu pergi sehingga ia sujud di bawah 'Arsy, lalu ia minta izin dan diberi izin. Dan hampir ia sujud, maka tiada diterima dan ia minta izin dan tiada diizinkan". Dikatakan kepadanya: "Kembalilah ke tempat dari mana engkau datang!" Lalu ia terbit lagi sesudah terbenam. Maka itulah ertinya firman Tuhan: "Dan matahari itu berjalan dipaksinya yang tertentu, demikian itu kehendak Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Tahu". (Surat Ya Sin, 38).1424, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Matahari dan bulan itu dilipat (digulung) pada hari kiamat!"
1425, Dari 'Aisyah r.a., katanya: Nabi s.a.w. kalau melihat awan gelap di langit, beliau menghadap, membelakang, masuk, dan ke luar, dan berubah wajah beliau. Dan kalau hujan turun dari langit, beliau gembira (tenang kembali). Aisyah berkata: Lalu saya tanyakan yang demikian itu kepada beliau. Nabi s.aw. bersabda: "Setelah mereka melihat awan terbentang di langit datang menuju ke lembah, mereka itu berkata: Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami! Bukan! Itulah (bahaya) yang kamu minta supaya datang dengan segera! Angin yang mengandung seksaan yang pedih!"
1426, Dari Abdullah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami dan beliau seorang yang sangat benar lagi dipercayai. Beliau bersabda: "Masing-masing kamu diciptakan dalam perut ibunya empat puluh hari. Lalu menjadi segumpal darah selama itu pula, menjadi segumpal daging selama itu pula. Kemudian Tuhan mengutus malaikat dan diperintahkan menulis empat kalimat (perintah). Diperintahkan menulis amal, rezekinya, ajalnya, dan nasib celaka berbahagia. Kemudian ditiupkan ruh ke dalamnya. Ada di antara kamu yang beramal, sehingga antara dia dan syurga hanya satu hasta, lalu nasibnya mengalahkannya, sehingga ia mengerjakan amal isi neraka. Dan ada pula orang yang beramal, sehingga antara dia dan neraka hanya satu hasta, lalu nasibnya, mengalahkannya, sehingga ia mengerjakan amal isi syurga".
1427, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Apabila Tuhan mengasihi hambaNya dipanggilNya malaikat Jibril dan Dia berfirman: "Sesungguhnya Tuhan mengasihi si Anu, maka kasihilah dia". Jibril lalu mengasihinya. Jibril pun menyerukan pada isi langit: "Sesungguhnya Tuhan mengasihi si Anu, maka hendaklah kamu kasih kepadanya!" Isi langit pun lalu mengasihinya. Kemudian ia diterima di bumi".