1386, Dari Abdullah r.a.,: Nabi s.a.w. pernah takbir tiga kali, ketika beliau berangkat. Beliau mengucapkan: "Kita akan kembali, jika Tuhan menghendaki. Kita orang-orang yang taubat, menyembah, memuji,dan sujud kepada Tuban. Allah menepati janjiNya, menolong hambaNya dan mencerai-beraikan pasukan musuh sendirianNya".
1387, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Kami bersama Nabi s.a.w. berangkat dari 'Usfan dan Rasulullah s.a.w. di atas tunggangannya memboncengkan Shafiah binti Huyai. Unta beliau tertarung, lalu keduanya jatuh. Abu Thalhah lalu melompat dari untanya seraya berkata: "Ya Rasulullah! Kiranya saya dijadikan Tuhan untuk tebusan tuan!" Beliau bersabda: "Tolonglah perempuan itu!" Abu Thalhah mengambil sehelai kain dan ia datang kepada perempuan itu, lalu diberikannya kain itu kepadanya dan ia pun memperbaiki tunggangan keduanya. Lalu keduanya menunggang lagi dan kami mengelilingi Rasulullah s.a.w. Ketika kami hampir ke Madinah, beliau mengucapkan: "Kita orang-orang yang kembali dan taubat kepada Tuhan, orang-orang yang menyembah dan memuji Tuhan". Sentiasa beliau mengucapkan itu sampai masuk Madinah.
1388, Dari Jabir bin Abdullah r.a., tanya: Saya bersama Rasulullah s.a.w. dalam berpergian. Setelah kami tiba di Madinah, beliau bersabda kepada saya: "Masuklah ke masjid, dan solatlah dua rakaat!"
1389, Dari Kaab r.a.: Nabi biasanya apabila kembali dari berpergian pada waktu matahari mulai naik, beliau masuk ke masjid, lalu solat dua rakaat sebelum duduk."
1390, Dari Jabir bin Abdullah r.a., orang Ansar, katanya: Ada seorang laki-laki di antara kami lahir anaknya, lalu dinamakannya Qasim. Orang Ansar berkata: "Kami tidak akan menggelari engkau Abu Qasim (bapa Qasim) dan tiada akan memuliakan engkau kerana itu." Ia pun datang menghadap Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah! Seorang anak saya lahir, lalu saya namakan Qasim. Orang Ansar berkata: "Kami tiada akan menggelari engkau Abu Qasim dan tiada akan memuliakan engkau." Nabi s.a. w. bersabda: "Benar pendapat orang Ansar! Kamu boleh memberi nama dengan nama saya, tetapi jangan kamu bergelar dengan gelar saya. Hanya sayalah Abu Qasim."
1391, Dari Mu'awiyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang dikehendaki Tuhan mendapat kebaikan, diberinya pengertian (faham) orang itu tentang agama. Tuhan yang memberi dan saya Qasim (yang membahagikan). Sentiasa umat ini beroleh kemenangan terhadap lawannya, sehingga datang perintah Tuhan dan mereka itu tetap dalam menang."
1392, Dari Mu'awiyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang dikehendaki Tuhan mendapat kebaikan, diberinya pengertian (paham) orang itu tentang agama. Tuhan yang memberi dan saya Qasim (yang membagikan). Sentiasa umat ini beroleh kemenangan terhadap lawannya, sehingga datang perintah Tuhan dan mereka itu tetap dalam menang."
1393, Dari Khaulah orang Ansar r.a., katanya: Saya dengar Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya orang-orang yang berbuat tiada pada jalan yang benar terhadap harta Allah, untuk mereka itu pada hari kiamat ialah api neraka."
1394, Dari Jabir bin Abdullah, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dihalalkan bagi ku rampasan perang."
1395, Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tuhan menjamin bahawa orang yang berjihad pada jalan Allah, jika ia keluar (berjihad), semata-mata berjihad untuk jalan (agama) Allah dan kerana membenarkan perintahNya, Tuhan akan memasukkannya ke dalam syurga, atau mengembalikannya ke tempat kediamannya semula dengan mendapat pahala dan rampasan".
1396, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Salah seorang Nabi berperang, lalu ia berkata pada kaumnya: "Orang laki-laki yang telah nikah dengan seorang perempuan, sedang ia belum serumah dengan isterinya, tetapi ingin untuk serumah, janganlah mengikuti saya. Seorang yang mendirikan rumah, tetapi atapnya belum dipasangnya, janganlah mengikuti saya. Siapa yang membeli kambing yang bunting dan ia menantikan kambing itu beranak, janganlah mengikuti saya. Kemudian Nabi itu berperang, lalu ia mendekati suatu negeri pada waktu solat Asar atau hampir waktu itu, lalu ia berkata kepada matahari: " Engkau diperintah dan saya juga diperintah. Wahai Tuhan! Tahan matahari itu untuk kami!" Lalu ditahanlah matahari itu, sehingga Tuhan membukakan (memberi kemenangan). Maka Nabi itu pun mengumpulkan rampasannya, lalu datanglah api untuk memakan rampasan itu, dan tiada dimakannya, Nabi itu berkata: "Sesungguhnya dalam golonganmu ada korupsi (pencurian rampasan), maka hendaklah berjanji setia dengan saya seorang dari tiap-tiap kabilah (suku)." Lalu bertemu tangan orang itu dengan tangannya, dan ia berkata: Dalam golonganmu ada pengkhianatan! Maka hendaklah kabilahmu berbaiah dengan saya". Lalu bertemu tangan kedua atau tiga orang laki-laki dengan tangannya, dan berkata: "Dalam golonganmu masih ada penghianatan!" Maka mereka itu datang (membawa) kepala sebagai kepala lembu dibuat dari emas. lalu mereka letakkan, maka datanglah api memakannya. Kemudian Tuhan menghalalkan rampasan perang bagi kita (kaum Muslimin). Tuhan mengetahui kelemahan dan kekurangan kita. Lalu Tuhan menghalalkannya bagi kita."
1397, Dari Ibnu Umar r.a., katanya: Usman tiada hadir dalam peperangan Badr disebabkan ia sedang memelihara puteri Rasulullah s.a.w. yang sedang sakit. Nabi s.a.w. bersabda kepadanya: " Engkau memperoleh pahala dan bahagian sama dengan pembagian orang yang turut dalam perang Badr".
1398, Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. mengutus sebuah pasukan ke jurusan Najd, sedang Abdullah (lbnu Umar) turut di dalamnya, Lalu mereka memperoleh rampasan unta yang banyak. Maka adalah bahagian mereka dua belas atau sebelas ekor unta dan kepada mereka ditambah masing-masing dengan seekor unta.
1399, Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Ketika Rasulullah s.a.w. membahagi rampasan di Jikranah, tiba-tiba seorang laki-laki berkata kepada beliau: "Berlaku adillah!" Lalu beliau bersabda kepadanya: "Saya celaka, kalau saya tidak adil."
1400, Dari Abdur Rahman bin 'Auf r.a., katanya: Ketika saya berdiri dalam barisan pada hari peperangan Badr, saya memandang ke kanan dan ke kiri, tiba-tiba dekat saya ada dua orang pemuda Ansar yang masih muda umurnya. Saya ingin supaya saya berada di dekat orang yang lebih kuat di antara keduanya. Salah seorang dari mereka mencubit saya, katanya: "Hai pakcik! Adakah engkau tahu Abu Jahil?" Jawab saya: "Ada! Apa keperluan engkau kepadanya, hai anak saudaraku? "Jawabnya: "Saya mendapat khabar, bahawa ia memaki Rasulullah s.a.w.! Demi Tuhan, yang diri ku di tanganNya, jika saya melihatnya badanku dan badannya tidak akan berpisah sebelum lebih dahulu mati salah seorang di antara kami. "Saya tertarik mendengar katanya. Lalu yang seorang lagi mencubit saya. Ia berkata kepada saya seperti itu pula. Tidak lama antaranya, saya melihat Abu Jahil mundar-mandir di tengah orang banyak. Saya berkata: "Hai! Inilah orang yang kamu tanyakan kepada saya." Lalu keduanya melompatinya dengan pedang terus ditetaknya sampai mati. Kemudian, keduanya pergi kepada Rasulullah s.a.w. lalu diceritakannya kepada beliau. Beliau bertanya: "Siapa di antara kamu yang membunuhnya?" Masing-masingnya berkata:" "Saya yang membunuhnya." Beliau bertanya: "Telah kamu bersihkan pedangmu?" Keduanya menjawab: "Belum." Beliau lalu melihat kedua pedang itu. Lalu bersabda: "Kamu keduanya yang membunuhnya! Barangnya untuk Muaz bin Amr bin Jamuh". Kedua pemuda itu ialah Muaz bin 'Afrak dan Muaz bin Amr bin Jamuh.
1401, Dari Abu Qatadah r.a., katanya: Kami ke luar bersama Rasulullah s.a.w. pada tahun peperangan Hunain. Ketika kami bertempur, maka adalah giliran kemenangan bagi orang Islam. Saya lihat seorang musyrik mengalahkan seorang Islam, lalu saya kelilingi sehingga saya datang dari belakangnya dan saya penggal lehernya dengan pedang. Lalu ia menghadapi saya dan terus memagut saya. Saya dapati padanya bau kematian (hampir mati). Kemudian ia pun mati, barulah saya dilepaskannya. Saya temui Umar bin Khattab, lalu saya bertanya: "Bagaimana keadaan orang banyak?" Katanya: "Urusan Tuhan!" Kemudian orang banyak kembali dan Nabi s.a.w. duduk, lalu beliau bersabda: "Barangsiapa yang membunuh, dan ia dapat mengemukakan saksi maka untuknya pakaian orang itu". Lantas saya berdiri lalu berkata: "Siapakah yang mahu jadi saksi bagi saya?" Kemudian saya duduk. Kemudian Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang membunuh, dan ia dapat mengemukakan saksi, maka untuknya pakaian orang itu!" Saya berdiri lalu berkata: Siapakah yang mahu jadi saksi untuk saya.". Kemudian beliau bersabda yang ketiga kalinya seperti itu juga. Seorang laki-laki lalu berkata: "Benar ia, hai Rasulullah! Dan pakaian itu pada saya. Maka sukalah kiranya ia merelakan untuk saya!" Lalu Abu Bakar Siddik r.a. berkata: "Tidak! Demi Allah! Ketika itu ia menghadapi singa (musuh) di antara musuh-musuh Allah. Ia berperang kerana Allah dan RasulNya s.a.w. masakan diberikannya pada engkau rampasannya?" Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Benar!" Lalu beliau berikan rampasan itu kepada orang yang memenggal leher musuh tadi.
1402, Lalu Abu Bakar Siddik r.a. berkata: "Tidak! Demi Allah! Ketika itu ia menghadapi singa (musuh) di antara musuh-musuh Allah. Ia berperang kerana Allah dan RasulNya s.a. w. masakan diberikannya pada engkau rampasannya?" Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Benar!" Lalu beliau berikan rampasan itu kepada orang yang memenggal leher musuh tadi.
1403, Dari Anas bin Malik r.a.: Beberapa orang di antara orang Ansar berkata kepada Rasulullah s.a.w. ketika Tuhan memberikan harta rampasan orang Hawazin kepada Rasulullah s.a.w. Beliau memberi orang-orang Quraisy seratus ekor unta. Orang Ansar berkata: "Diampuni Tuhan kiranya Rasulullah s.a.w.! Beliau beri orang Quraisy dan kami beliau tinggalkan, pada hal pedang kami turut menitiskan darah mereka (Hawazin)". Kata Anas: Lalu diceritakan orang kepada Rasulullah s.a.w. perkataan mereka itu. Beliau lalu mengirim utusan kepada orang Ansar, lalu beliau kumpulkan mereka di sebuah kemah kulit dan tiada beliau panggil bersama mereka seorang pun selain mereka. Setelah mereka berkumpul, Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka, lalu beliau bersabda: "Berita apakah yang telah sampai kepada ku dari kamu"?" Para cerdik-pandai mereka berkata kepada beliau: "Adapun orang-orang yang cerdas di antara kami, ya Rasulullah, tiada berkata suatu apa jua pun, hanya orang banyak diantara kami yang masih muda umurnya berkata: "Diampuni Tuhan kiranya Rasulullah s.a.w.! Beliau beri orang Quraisy dan beliau tinggalkan orang Ansar, pada hal pedang kami menitikkan darah mereka (musuh)".Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya saya beri orang-orang yang masih dekat dengan masa kekafiran. Adakah kamu suka, orang banyak itu pergi membawa harta dan kamu kembali kepada perlengkapan perjalanan kamu bersama Rasulullah s.a.w.? Demi Allah! Kamu kembali bersama Rasulullah itu lebih baik dari kembali dengan harta rampasan itu!" Mereka itu menjawab: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya kami suka!" Lalu beliau bersabda: "Kamu akan melihat sesudahku orang yang sangat mementingkan diri sendiri. Sebab itu hendaklah sabar, sehingga kamu menemui Tuhan dan RasulNya s.a.w. di telaga pada hari kiamat!"
1404, Dari Jubair bin Muth'im r.a., Ketika ia bersama Rasulullah s.a.w. dan orang banyak berangkat dari Hunain, orang Arab dusun memegang Rasulullah s.a.w. Mereka meminta kepada beliau, sehingga beliau terpaksa menghindar ke pohon Samurah, lalu disangkutkannya cadar beliau. Rasulullah s.a.w. lalu berdiri (berhenti), kemudian bersabda: "Jikalau sekiranya binatang ternak sejumlah pohon berduri ini, akan saya bahagi-bahagikan antaramu, kamu tiada mendapati saya seorang yang bakhil, pendusta dan penakut".
1405, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Saya berjalan bersama Nabi s.a.w. Beliau memakai pakaian buatan Najran, tebal tepinya. Seorang Arab dusun datang kepada beliau lalu dibelanya pakaian beliau itu dengan keras, sehingga saya lihat tengkok Nabi s.a.w. berbekas oleh cadar itu disebabkan keras helaannya. Kemudian orang Arab dusun tadi berkata: "Berilah saya harta Allah yang ada pada tuan!" Beliau lalu menoleh kepadanya, sambil tertawa. Kemudian beliau suruh beri!
1406, Dari Abdullah r.a., katanya: Di hari peperangan Hunain, Nabi s.a.w. mengutamakan beberapa orang tentang pembahagian. Beliau beri Aqra' bin Habis seratus ekor unta dan beliau beri Uyainah sebanyak itu pula. Beliau beri pula di antara pemuka-pemuka bangsa Arab, dan beliau mengutamakan mereka pada hari itu dalam pembahagian. Seorang laki-laki berkata: "Demi Allah! Nantilah saya khabarkan kepada Nabi s.a.w." Lalu saya datang menemui beliau dan saya khabarkan hal itu. Beliau bersabda: "Siapakah lagi yang adil kalau Allah dan RasulNya tiada adil? Tuhan memberi rahmat kepada Nabi Musa! Sesungguhnya ia telah disakiti lebih banyak dari ini, dan ia pun sabar".
1407, Dari Ibnu Umar r.a., katanya: Pernah kami mendapat rampasan dalam peperangan berupa madu lebah dan buah anggur, lalu kami makan dan tiada kami bawa.
1408, Dari Amr bin 'Auf orang Ansar r.a., sekutu Bani Amir bin Luai dan ia pernah turut menghadiri peperangan Badr, Rasulullah s.a.w. mengutus Abu Ubaidah bin Jarrah ke Bahrain untuk memungut pajak. Rasulullah s.a.w. sendiri yang mengadakan perdamaian dengan penduduk Bahrain, dan beliau angkat 'Ala bin Hadrami menjadi Amir (pembesar) mereka. Maka datanglah Abu Ubaidah membawa harta dari Bahrain. Orang Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah, kebetulan waktu solat subuh bersama-sama dengan Nabi s.a.w. Setelah beliau selesai solat subuh bersama-sama, lalu mereka datang menghadap beliau. Rasulullah s.a.w. tersenyum ketika melihat mereka. Beliau bersabda: "Saya kira kamu telah mendengar bahawa Abu Ubaidah datang membawa sesuatu". Mereka berkata: "Sebenarnya, ya Rasulullah!" Beliau bersabda: "Bergembiralah dan harapkanlah apa yang menyenangkan kamu! Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang lebih saya takutkan terhadap kamu, melainkan yang lebih saya takuti terhadap kamu ialah jika kamu diberi sebanyak-banyaknya harta dunia sebagaimana yang telah diberikan kepada orang yang ada sebelum kamu, lalu kamu merebutkannya sebagaimana mereka merebutkan, dan kamu dibinasakannya sebagaimana mereka telah dibinasakannya".
1409, Dari Jubair bin Haiyah r.a., katanya: Umar mengutus orang banyak kepada beberapa negeri orang musyrik, dan Hurmuzan telah masuk Islam. Maka berkatalah Umar: "Saya minta petunjuk (pertimbangan) engkau dalam peperanganku ini". Kata Hurmuzan: "Baik! Perumpamaan negeri-negeri dan orang-orang yang berada di dalamnya di antara orang banyak yang menjadi musuh orang Islam, seumpama burung yang mempunyai kepala, dua sayap dan dua kaki. Jikalau salah satu di antara dua sayapnya dipotong, tegaklah dua kaki dengan satu sayap dan kepala. Kalau dipotong sayap yang satu lagi, tegaklah dua kaki dan kepala. Kalau dipecah kepalanya, matilah dua kaki, dua sayap , dan kepala. Kepala itu ialah Kisra, dan satu sayap ialah Kaisar dan sayap yang satu lagi ialah orang Parsi. Maka perintahkanlah kepada orang-orang Islam supaya mereka selekasnya berangkat melawan Kirsa!" Berkata Jubair bin Haiyah: Umar lalu mengirim kami dan dijadikannya Nu'man bin Muqarrin untuk memimpin kami. Ketika kami berada di negeri musuh, keluarlah kepada kami pasukan Kisra dengan empat puluh ribu orang. Maka berdirilah seorang jurubahasa, lalu berkata: "Hendaklah seseorang di antara kamu berbicara dengan saya!" Lalu Mughirah berkata: "Tanyakanlah apa yang engkau kehendaki!" Katanya: "Siapakah kamu?" Jawab Mughirah: "Kami orang-orang dari bangsa Arab. Pernah kami dalam kesengsaraan dan cubaan yang sangat pahit, pernah menghisap kulit dan biji kurma kerana lapar, memakai pakaian bulu dan rambut, menyembah kayu dan batu! Di kala kami dalam keadaan yang demikian, Tuhan Penguasa langit dan bumi, Maha Tinggi sebutanNya dan Maha Besar keagunganNya, mengutus kepada kami seorang Nabi di antara kami. Ayah bondanya kami kenal. Lalu kami disuruh oleh Nabi s.a.w. utusan Tuhan itu supaya kami memerangi kamu sehingga kamu menyembah Tuhan Yang Maha Esa atau kamu bayar jizyah (ufti). Dan dikhabarkan oleh Nabi kami, Pesuruh Tuhan itu, bahawa barangsiapa yang terbunuh di antara kami, ia masuk ke dalam syurga, dalam kesenangan yang belum pernah sama sekali dirasakan sebelumnya. Barangsiapa yang tinggal di antara kami, mereka akan berkuasa terhadap kamu". Kata Nukman: Kerap kali engkau dihadirkan Tuhan dalam peperangan yang serupa itu bersama Nabi s.a.w. sehingga engkau tiada menaruh kekecewaan dan penyesalan. Akan tetapi saya juga pernah turut menghadiri peperangan bersama Rasulullah s.a.w. beliau menanti hingga angin bertiup dan tiba waktu solat (condong matahari).
1410 Dari Abdullah bin Amr r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Barangsiapa yang membunuh Muaahid, ia tiada akan mencium bau syurga, dan sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium sejauh empat puluh tahun perjalanan"