Jilid 3 \ 1208 - 1225 ( Beri )

1208. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Hai kaum Muslimat! Janganlah menganggap remeh pemberian seorang tetangga, walaupun hanya berupa kaki kambing".

1209. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Sekiranya saya dipanggil untuk makan paha kambing atau kakinya, tentulah saya perkenankan, dan sekiranya saya diberi hadiah paha kambing atau kakinya, tentulah saya terima".

1210. Dari Anas r.a., katanya: Kami mengikuti jejak arnab di Marrizzahran dan orang banyak pun berjalan mengikutinya, lalu mereka payah. Saya mendapat kelinci itu, lalu saya ambil dan terus saya bawa kepada Abu Thalhah dan disembelihnya lalu dia bawa dua pahanya kepada Rasulullah s.a.w. Kata Abu Thalhah: Dua pahanya, tidak ragu lagi, lalu beliau terima. Tanya saya: "Beliau makankah daging itu?" Jawabnya: "Ya, beliau makan". Kemudian dikatakannya: "Beliau terima daging itu".

1211. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. apabila disajikan makanan kepadanya, beliau bertanya tentang makanan itu: "Apakah hadiah atau sedekah?" Jikalau dikatakan sedekah, beliau mengatakan kepada sahabat-sahabat: "Makanlah!" dan beliau tidak turut memakannya. Kalau dikatakan hadiah, beliau mengambil dengan tangannya, lalu beliau makan bersama-sama.

1212. Dari 'Aisyah r.a.: Isteri Rasulullah saw. dua golongan. Satu golongan termasuk di dalamnya Aisyah, Hafsah, Safiah dan Saudah,sedang golongan lain Ummu Salamah dan isteri-isteri Rasulullah saw. lainnya. Sesungguhnya orang-orang Islam mengetahui akan kasih Rasulullah saw. kepada Aisyah. Apabila salah seorang mereka hendak memberikan hadiah kepada Rasulullah saw. maka dilambatkannya memberikan hadiah itu, sampai Rasulullah saw. berada di rumah Aisyah: maka datanglah yang punya hadiah tadi kepada Rasulullah saw. di rumah Aisyah. Golongan Ummu Salamah memperkatakan hal itu. Kata mereka pada Ummu Salamah: "Katakanlah kepada Rasulullah s.a.w: supaya dinyatakannya kepada orang banyak bahawa barangsiapa yang berniat memberikan hadiah kepada Rasulullah s.a.w. hendaklah diberikannya kepada beliau di rumah mana saja beliau berada di antara rumah isteri-isteri beliau". Ummu Salamah lalu menyampaikan kepada Nabi apa yang mereka katakan itu. Nabi tiada menjawab sepatah kata pun, Kemudian kami bertanya pada Ummu Salamah. Jawabnya: "Beliau tiada menjawab sepatah kata pun". Kata mereka: "Katakan sekali lagi pada beliau!" Kata Ummu Salamah: Lalu saya katakan kepada Nabi ketika dia mempunyai giliran di rumahku. Beliau tiada menjawab sepatah kata pun. Mereka bertanya lagi: Jawab Ummu Salamah: "Tiada beliau jawab sepatah kata pun". Kata mereka: "Katakanlah pada beliau sampai beliau menjawab!" Setelah beliau mempunyai giliran kepadanya, lalu dikatakan sekali lagi oleh Ummu Salamah. Sabda beliau: "Janganlah saya disakiti berkenaan dengan 'Aisyah. Sesungguhnya wahyu hanya datang kepada saya, ketika saya dalam selimut seorang perempuan, ketika saya di rumah Aisyah". Kata Ummu Salamah: "Saya taubat kepada Allah lantaran menyakiti tuan, ya Rasulullah!" Kemudian mereka memanggil Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Mereka menyuruhnya menghadap Rasulullah s.a.w. untuk mengatakan: "Sesungguhnya isteri-isteri ayah, kerana Allah, memohon keadilan kepada ayah mengenai puteri Abu Bakar". Fatimah lalu mengatakan itu kepada Nabi. Beliau bersabda: "Hai anakku! Apakah engkau tidak kasih kepada yang saya kasihi?" Jawab Fatimah: "Ya, memang begitu!" Dan ia pun kembali kepada mereka, lalu dikhabarkannya hal yang demikian. Kata mereka: "Kembalilah menghadap beliau!" Ia tiada mahu kembali. Mereka menyuruh Zainab binti Jahsy, lalu ia datang menghadap Nabi. Dengan cara kasar ia berkata: "Sesungguhnya isteri-isteri tuan, kerana Allah, memohon keadilan tentang puteri anak Abu Quhafah". Ia mengeraskan suaranya sehingga kedengaran oleh Aisyah yang sedang duduk sampai ia memakinya, sehingga Rasulullah s.a.w. memandang kepada Aisyah, adakah ia menjawab. Kata yang meriwayatkan hadis: Aisyah lalu menjawab terhadap Zainab, sehingga terdiam. Kata Aisyah: Nabi s.a.w. memandang kepada saya (Aisyah) dan beliau berkata: "Sesungguhnya ia puteri Abu Bakar!"

1213. Dari Anas r.a., Nabi s.a.w. biasanya tidak menolak harum-haruman.

1214. Dari Aisyah r.a.; katanya: Rasulullah s.a.w. sering menerima hadiah dan membalasnya.

1215. Nu'man bin Basyir r.a. sedang di atas mimbar berkata: "Bapa saya memberi sebuah pemberian kepada saya. 'Amrah binti Rawahah (ibu Nukman) berkata: Saya tidak suka sebelum engkau memperlihatkannya kepada Rasulullah s.a.w.". Lalu Basyir menghadap Rasulullah s.a.w., katanya: "Saya memberikan suatu pemberian kepada anak saya dari 'Amrah binti Rawahah, tetapi ibunya menyuruh saya untuk memperlihatkannya kepada tuan, hai Rasulullah!" Sabda beliau, "Apakah engkau beri semua anak engkau serupa itu?" Jawabnya: "Tidak!" Sabda beliau: "Takutlah kepada Tuhan dan berlaku adillah di antara anak-anakmu!" Kata Nukman: "Ia kembali, lalu dibatalkannya pemberian itu".

1216. Dari Aisyah r.a., katanya: Waktu penyakit Nabi s.a.w. bertambah berat dan semakin gawat, beliau minta izin kepada isteri-isteri beliau supaya dirawat di rumah saya. Mereka semua mengizinkan. Beliau ke luar dipapah di antara dua orang laki-laki dengan kaki beliau terkulai ke tanah. Beliau dipapah antara Abbas dan seorang laki-laki lain. Ubaidullah berkata: "Saya ceritakan kepada Ibnu Abbas apa yang dikatakan Aisyah itu". Ibnu Abas berkata kepada saya: "Tahukah engkau siapa laki-laki yang tiada disebutkan namanya oleh Aisyah itu?" Jawab saya: "Tidak.". Katanya: "Laki-laki itu ialah Ali bin Abu Thalib".

1217. Dari Maimunah binti Haris r.a., ia memerdekakan seorang sahaya perempuan, tetapi ia tiada minta izin terlebih dahulu kepada Nabi s.a.w. Ketika tiba hari giliran beliau kepadanya, ia berkata: "Ketahuilah, hai Rasulullah! Saya telah memerdekakan hamba sahaya". Jawab Rasulullah: "Telah engkau lakukan?" Jawabnya: "Ya!" Sabda beliau: "Sesungguhnya kalau engkau berikan kepada pakcikmu, nescaya lebih besar upahnya (pahalanya) bagimu".

1218. Dari Miswar bin Makhramah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. membahagi-bahagi pakaian, dan beliau tiada memberi Makhramah pakaian itu sehelai pun. Makhramah berkata: "Hai anakku! Marilah kita pergi menghadap Rasulullah s.a.w.!" Lalu kami pergi bersama-sama. Katanya: Masuklah engkau, dan mintakanlah kepada beliau untuk saya!" Kata Miswar: Lalu saya mintakan. Nabi lalu keluar menemuinya dengan membawa sehelai pakaian. Sabda beliau: "Inilah yang saya sediakan untukmu!" Kata Miswar: Ia (Makhramah) memandang pakaian itu dan merasa senang.

1219. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: Nabi s.a.w. datang ke rumah Fatimah dan beliau tiada masuk ke dalam rumah. Kemudian Ali datang, lalu Fatimah mengatakan kejadian itu kepadanya. Ali menanyakan hal itu kepada Nabi s.a.w. Beliau bersabda: "Sesungguhnya saya lihat di pintunya ada tabir yang beraneka warna". Sabda beliau seterusnya: "Saya tiada mempunyai keinginan terhadap dunia". Ali pergi menemui Fatimah dan dikatakannya hal itu kepadanya. Kata Fatimah Sebaiknya beliau memerintahkan hal itu kepada saya, bagaimana baiknya. Kata Ali: "Hendaklah dikirimkan kepada keluarga si Anu yang memerlukan".

1220. Dari Anas bin Malik r.a., Ada seseorang perempuan Yahudi datang kepada Nabi s.a.w. membawa daging kambing yang beracun, lalu beliau makan daging itu. Kemudian perempuan itu dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Ada orang bertanya: "Bolehkah kami bunuh?" Jawab beliau: "Tidak!" Kata Anas: "Saya selalu mengetahui pengaruh racun itu dalam kerongkongan beliau".

1221. Dari Anas r.a., katanya: Pernah terjadi kegemparan di Madinah. Nabi s.a.w. segera meminjam kuda yang bernama Mandub dari Abu Thalhah, lalu beliau kenderai. Setelah beliau kembali, beliau bersabda: "Kami tidak melihat sesuatu pun. Kami dapati kuda ini sangat kencang".

1222. Dari Aiman r.a., katanya: Saya masuk ke rumah Aisyah, di situ ada baju perempuan yang terbikin dan benang seharga lima dirham. Kata Aisyah: "Lihatlah sahaya perempuan, perhatikanlah dia! Ia merasa megah kerana memakai pakaian itu dalam rumah. Saya pernah memakai baju itu pada masa Rasulullah s.a.w. Setiap wanita yang ingin berdandan di Madinah, selalu mengirimkan utusan kepada ku buat meminjaminya".

1223. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pemberian yang paling baik ialah unta mengandung yang bagus dan kambing yang bagus, pagi hari diperah susunya satu kuali dan petang hari satu kuali".

1224. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Waktu orang Muhajirin datang ke Madinah, mereka tiada membawa suatu apa pun sedang orang Ansar mempunyai tanah, kebun dan rumah-rumah. Orang Ansar lalu membagikan tanah itu dengan memberikan hasil harta itu kepada orang Muhajirin setiap tahun, dan mereka (Muhajirin) mencukupkan kerja dan belanja. Ibunya (ibu Anas di panggil orang Ummu Sulaim) adalah ibu Abdullah bin Abu Thalhah. Ibu Anas memberikan pohon kurma kepada Rasulullah s.a.w. lalu beliau berikan kepada Ummu Aiman, maula beliau, iaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu Syihab berkata: "Anas bin Malik menceritakan kepada saya, bahawa Nabi s.a.w. setelah selesai memerangi penduduk Khaibar, beliau kembali ke Madinah. Waktu itu orang Muhajirin mengembalikan pemberian orang Ansar yang buahnya dahulu telah mereka ambil. Nabi s.a.w. mengembalikan kepada ibu Anas pohon kurmanya dan Rasulullah s.a.w. memberikan gantinya kepada Ummu Aiman dari kebun beliau sendiri".

1225. Dari Abdullah bin 'Amr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada empat puluh macam pemberian, yang paling tinggi di antaranya memberikan kambing. Siapa yang mengerjakan satu macam di antaranya kerana mengharapkan pahala Allah dan membenarkan janjiNya, nescaya Allah akan memasukkan orang itu ke dalam syurga".