Jilid 3 \ 1198 - 1207 ( Merdeka )

1198. Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang memerdekakan orang Islam, Tuhan akan melepaskan anggota orang itu dari neraka, sesuai dengan anggota orang yang dimerdekakan."

1199. Dari Abu Zar r.a, katanya: Saya bertanya pada Nabi s.a.w.: "Apakah amal yang paling utama?" Beliau menjawab: "Percaya kepada Allah dan jihad (berjuang) di jalanNya (agama Allah.". Saya bertanya: "Hamba sahaya manakah yang lebih utama dimerdekakan?" Jawab beliau: "Yang lebih mahal harganya dan lebih disukai oleh yang empunya." Saya berkata: "Kalau saya tiada dapat melakukan itu?" Sabda beliau: "Engkau tolong orang bekerja atau engkau ajar orang yang tiada berketerampilan." Tanya: "Kalau saya tiada dapat melakukan itu?" Sabda beliau: "Jangan berbuat jahat kepada manusia! Hal yang demikian itu adalah sedekah yang engkau sedekahkan untuk diri engkau sendiri."

1200. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Tuhan tiada memberikan hukuman kepada umat ku terhadap apa yang tergerak dalam dadanya (keinginan yang salah) selagi belum dikerjakan atau belum diucapkannya".

1201. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Waktu saya dalam perjalanan menghadap Nabi s.a.w., ketika di jalan, saya berkata: Hai malam! Alangkah lamanya dan penuh kesukaran! Akan tetapi dapat menyelamatkan dari kampung (orang) kafir". Dalam perjalanan, hamba (budak) saya melarikan diri. Setelah saya bertemu dengan Rasulullah s.a.w. saya berjanji setia pada beliau. Sewaktu saya berada di sisi beliau, tiba-tiba hamba itu pun datang. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hai Abu Hurairah! Inilah hamba engkau" Kata saya: "Ia merdeka semata-mata kerana Allah". Lalu ia saya merdekakan.

1202. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. melarang menjual wala' dan menghibahkannya."

1203. Dari Ibnu 'Aun r.a., katanya: Saya berkirim surat kepada Nafi', lalu ditulisnya balasan kepada saya: "Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan serangan atas Bani Musthaliq ketika mereka sedang lalai dan binatang mereka sedang di tempat minum, lalu beliau bunuh tentera mereka dan beliau tawan anak-anak mereka. Hari itu beliau mengambil Juairiyah."

1204. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Saya sentiasa mengasihi Bani Tamin semenjak saya dengar tiga hal dari Rasulullah s.a.w. yang disabdakan beliau mengenai mereka. Saya dengar beliau bersabda: "Mereka itu umat ku yang paling keras (berani) terhadap Dajjal". Dan waktu sedekah dari mereka tiba, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Inilah sedekah kaum kita". Dan tentang tawanan dari mereka yang ada pada Aisyah, beliau bersabda: "Merdekakanlah tawanan itu, sesungguhnya ia dari anak Ismail."

1205. Dari Abu Hurairah r.a., di ceritakannya dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Janganlah ada di antara kamu yang berkata: Beri makanlah Tuhan engkau, mandikanlah Tuhan engkau,dan beri minumlah Tuhan engkau, akan tetapi hendaklah ia berkata: tuan ku atau pemimpin ku. Dan janganlah ada di antara kamu yang berkata: Budak ku laki-laki perempuan, akan tetapi hendaklah ia berkata: Pemuda ku, pemudi ku, atau bujang ku."

1206. Dan Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w.: "Apabila pelayanmu menghidangkan makanan, jika ia tidak diajak ikut makan, hendaklah diberi satu atau dua suap, sepotong atau dua potong makanan, kerana sesungguhnya pelayan itulah yang mengurusnya."

1207. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Apabila kamu memukul, hindarkanlah memukul muka"