Jilid 2 \ 846 - 907 ( Haji ) Bah. 2

846. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Al Abbas Ibnu Abdul Muththalib minta izin kepada Rasulullah saw. akan bermalam beberapa malam di Mekah untuk memberi minum kepada orang-orang yang haji. Maka Rasulullah saw. memberi izin kepadanya."

847. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. datang ke tempat minum, lalu beliau minta air minum. Kata Abbas, "Hai, Fadhal! Pergilah kepada ibumu, dan mintalah kepadanya air minum untuk Rasulullah saw." Sabda Nabi, "Berilah aku air minum!" Kata Abbas, "Ya, Rasulullah! Mereka telah memasukkan tangan mereka ke dalamnya." Sabda Nabi pula, "Berilah aku air minum!" Kemudian Nabi saw. meminum air itu, sesudah itu beliau pergi ke sumur Zam zam, dan di sana didapatinya orang banyak saling memberi air kepada yang lain dan sibuk menimbanya. Sabda Nabi saw., Teruskanlah! Sesungguhnya kalian melakukan amal soleh." Kemudian beliau menambahkan, "Kalaulah tidak takut kamu akan dikalahkan (maksudnya kalah banyak menimba air), sesungguhnya aku akan turut bersama kalian sehingga ku letakkan tali di tengkokku ini." Sambil Nabi menunjuk ke tengkoknya.

848. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Aku pernah memberi Rasulullah air minum Zam-zam, lalu diminumnya selagi beliau sedang berdiri. Kata Ashim, "'Ikrimah bersumpah bahawa pada hari itu Rasulullah saw. sebenarnya bukan berdiri, tetapi sedang di atas unta."

849. Dari 'Urwah r.a., bahawasanya dia bertanya kepada 'Aisyah r.a., katanya: "Bagaimana pendapat Ibu tentang firman Allah swt.: "Innash Shafaa wal Marwata min Sya'aairillaah, faman hajjal baita awi'tamara fa laa junaaha 'alaihi an yaththawwafa bihimaa." (Sesungguhnya Safa dan Marwah sebahagian dan lambang-lambang kebesaran Allah. Barangsiapa pergi ke Kaabah menunaikan Haji atau Umrah, maka tidaklah berdosa ia melakukan tawaf antara keduanya." Demi Allah, rupanya tidak berdosa jikalau tidak melakukan tawaf antara Safa dan Marwah. Jawab 'Aisyah, "Jahat benar ucapanmu itu, wahai anak saudaraku! Kalau sekiranya betullah tafsiranmu itu, tentulah tidak berdosa orang yang tidak tawaf antara keduanya. Tetapi ayat ini diturunkan di kalangan orang Ansar. Sebelum mereka memeluk Islam, mereka ihram untuk berhala yang disebut 'Manaat', sedangkan yang disembah mereka terletak di suatu tempat yang disebut Al Musyallal. Maka orang-orang yang ihram untuk berhala itu merasa keberatan tawaf antara Safa dan Marwah. Setelah mereka masuk Islam, mereka bertanya kepada Rasulullah saw. tentang hal itu. Kata mereka, "Ya, Rasulullah! Kami merasa keberatan tawaf antara Safa dan Marwah." Maka turunlah firman Allah swt.: "Innash Shafaa wal Marwata min Sya'airillah" (Sesungguhnya Safa dan Marwah sebahagian dari lambang-lambang kebesaran Allah.). Kata ' Aisyah, "Sesungguhnya Rasulullah saw. telah menjadikan Sunnah tawaf antara keduanya. Kerana itu tidak ada alasan bagi siapa pun untuk meninggalkan tawaf antara keduanya."

850. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Biasanya, Rasulullah saw. melaksanakan tawaf pertama dengan berlari tiga keliling dan berjalan empat keliling. Dan beliau (saai) di tempat aliran banjir ketika tawaf antara Safa dan Marwah."

851. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku tiba di Mekah, padahal aku sedang haid. Kerana itu aku tidak tawaf di Kaabah dan tidak pula saai antara Safa dan Marwah. Maka saya sampaikan hal itu kepada Rasulullah saw. Sabda beliau, "Perbuatlah segala amal yang dilakukan oleh setiap orang Haji, selain tawaf di Kaabah, maka jangan dilakukan sampai engkau suci kembali."

852. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Nabi saw. dan para sahabat beliau ihram untuk haji, dan tiada seorang pun di antara mereka yang membawa hadya selain Nabi saw. dan Thalhah. Dan Ali tiba dari Yaman membawa Hadya, lalu dia berkata, "Saya ihram sebagaimana ihramnya Nabi saw." Nabi saw. memerintahkan supaya menjadikannya umrah. Dan mereka tawaf kemudian menggunting rambut dan terus halal kecuali orang yang membawa hadya. Kata mereka, "Kami terus ke Mina. Dan salah seorang kami mengatakan bahawa dia menitis. Berita itu segera sampai kepada Nabi saw. Sabda beliau, "Andai kata saya tahu yang akan terjadi sekarang, tiadalah aku akan membawa hadya. Sekiranya aku tidak membawa hadya, nescaya aku halal."

853. Dari Abdul Aziz bin Rufai' r.a., katanya: "Ceritakanlah kepada ku apa-apa yang Anda ketahui tentang Nabi saw. Di mana beliau solat Zohor dan Asar pada hari Tarwiyah?" Jawab Anas, "Di Mina." Tanya ku, "Di mana beliau solat Asar pada hari berangkat?" Jawabnya, "Di Abthah." Kemudian Anas menambahkan, "Berbuatlah seperti apa yang dilakukan pemimpinmu."

854. Dari Ummul Fadhal r.a., katanya: "Pada suatu ketika di hari 'Arafah, orang banyak merasa ragu tentang puasa Nabi saw. (apakah beliau puasa atau tidak). Kerana itu saya pergi kepada beliau membawa air minum, lalu diminum oleh beliau. "

855. Dari Muhammad bin Abu Bakar Ats Tsaqari r.a., bahawasanya dia bertanya kepada Anas bin Malik ketika pada suatu pagi keduanya berangkat dari Mina ke Arafah, "Apakah yang engkau kerjakan hari ini beserta Rasulullah saw"?" Kata Anas, "Di antara kami ada yang membaca Talbiyah, beliau tidak melarangnya, dan ada pula yang mengucapkan takbir, pun beliau tidak melarangnya."

856. Dari Ummul Fadhal binti Al Harits r.a., katanya: "Orang banyak bertengkar di sampingnya pada hari Arafah tentang puasa Nabi saw. Setengahnya mengatakan bahawa beliau puasa dan yang lain mengatakan beliau tidak puasa. Karena itu ku hantarkan segelas susu kepada beliau, di mana beliau sedang berhenti di atas unta beliau, maka diminumnya susu itu."

857. Dari Jubair bin Muthim r.a., katanya: "Aku kehilangan unta. Kerana itu aku pergi mencarinya pada hari 'Arafah. Kebetulan aku melihat Nabi saw. sedang wuquf (berhenti) di Arafah. Lalu kataku, "Demi Allah! Orang ini dari Hums. Mengapa dia berada di sini."

858. Dari 'Urwah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Usamah ditanya orang, dan kebetulan saya sedang duduk (di sampingnya), "Bagaimana caranya Nabi saw. berangkat meninggalkan 'Arafah ketika Haji Wada'?" Jawab Usamah, "Beliau berjalan perlahan-lahan, dan apabila dilihatnya keadaan cukup lapang, beliau berjalan cepat."

859. Dari Usamah bin Zaid r.a., katanya: "Ketika Nabi saw. berangkat dari 'Arafah, beliau segera membelok ke arah bukit, lalu beliau buang air dan kemudian mengambil wuduk. Saya bertanya, "Ya, Rasulullah! Apakah Anda hendak solat?" Jawab beliau, "(Nanti) solat di tempat yang di hadapanmu."

860. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Saya berangkat bersama-sama dengan Nabi saw. pada hari 'Arafah. Nabi saw. mendengar suara herdikan yang keras dan pukulan terhadap unta. Lalu beliau memberi isyarat kepada mereka dengan cemetinya, dan bersabda: "Hai, orang banyak! Tenanglah! kerana sesungguhnya kebaikan itu diperoleh bukanlah dengan tergesa-gesa."

861. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Nabi saw. pernah menjamakkan solat Maghrib dan Isyak ketika di Jama' (Muzdalifah). Tiap-tiapnya dengan satu qamat tanpa solat sunat antara keduanya dan tidak pula setelah keduanya selesai."

862. Dari Abu Ayyub al Anshary r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. pernah menjamak solat Maghrib dan Isyak di Muzdalifah ketika Haji Wada'."

863. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika kami berhenti di Muzdalifah, Saudah minta izin kepada Nabi saw. untuk berangkat lebih dahulu sebelum orang banyak berdesak-desakan. Saudah itu seorang wanita yang lembek. Karena itu Nabi saw. mengizinkannya, maka berangkatlah dia sebelum orang banyak berdesak-desak dan kami tinggal sampai pagi, dan setelah itu kami berangkat bersama-sama dengan Nabi saw. Andaikata adalah kesempatan bagi ku untuk minta izin kepada Rasulullah saw. sebagaimana yang dilakukan oleh Saudah, kiranya hal itu akan sangat menyenangkan bagi ku lebih dari daripada segala kesukaan lainnya."

864. Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah saw. melihat seorang laki-laki menghalau unta untuk had-ya. Maka bersabda Nabi saw. kepadanya, "Tunggangilah unta itu!" Jawab orang itu, "Unta ini untuk had-ya." Sabda Nabi, ''Tunggangilah unta itu!" Jawab orang itu, "Unta ini untuk had-ya." Sabda Nabi, ''Tunggangilah dia!" Sabda Nabi saw. untuk ketiga kalinya.

865. Dati Ibnu Umar r.a., katanya:"Rasulullah saw. menggabungkan niat 'Umrah dan Haji ketika beliau melakukan Haji Wada', dan beliau membawa korban dengan had-ya yang dibawanya dari Zulhulaifah. Mula-mula beliau ihram untuk Umrah dan setelah itu ihram untuk Haji. Orang banyak pun turut pula mengabungkannya, sama seperti Rasulullah melakukan Umrah dan Haji. Di antara mereka ada yang membawa had-ya dan ada pula yang tidak membawanya. Setibanya di Mekah. beliau bersabda kepada orang banyak, "Barangsiapa di antara kamu yang menyediakan had-ya, belum boleh ia halal, sebelum ia selesai mengerjakan Haji. Siapa yang tidak menyediakan had-ya, hendaklah ia tawaf di Kaabah dan saei antara Safa dan Marwah, terus menggunting rambut, lalu halal, dan setelah itu ihram untuk Haji. Siapa yang tidak menyanggupi had-ya, puasalah tiga hari waktu dan tujuh hari setelah kembali kepada keluarganya. Ketika beliau tiba di Mekah, beliau melakukan tawaf (qudum). Lebih dahulu beliau menyentuh sudut, kemudian berlari tiga keliling dan berjalan empat keliling. Setelah selesai tawaf keliling Kaabah, lalu beliau solat di belakang Maqam. Setelah memberi salam beliau terus menuju Safa. lalu saei tujuh kali antara Safa dan Marwah. Beliau belum halal sebelum selesai mengerjakan Haji dan menyembelih korban pada hari Nahar dan tawaf ifadhah keliling Kaabah. Setelah semuanya itu selesai, barulah beliau halal dari semua yang tadinya haram. Maka dikerjakan lah seperti yang dilakukan Rasulullah itu, oleh siapa yang sanggup membayar had-ya, telah menyiapkan dan menghalaunya di antara orang banyak."

866. Dari Miswar bin Makhramah dan Marwan r.a., keduanya berkata: "Nabi saw. berangkat dari Madinah dengan para sahabat lebih dari seribu orang banyaknya. Setibanya mereka di Dzulhulaifah, Nabi saw. memberi dukuh dan tanda pada had-ya beliau, sesudah itu beliau ihram untuk Umrah. "

867. Dari 'Aisyah r.a., katanya: Nabi saw. pernah berkorban dengan seekor biri-biri. "

868. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Saya pernah memintal tali untuk tali kalung had-ya Nabi saw., maka dikalunginya kambing itu sedangkan beliau tetap halal bersama keluarga beliau."

869. Dari Ummul Mukminin ('Aisyah) r.a., katanya: "Saya pernah membuat tali untuk kalung had-ya, yang ku pital dari bulu haiwan yang ada pada ku."

870. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Kami berangkat bersama-sama dengan Nabi saw., pada 25 Dzul Qaidah, dan tiada ada tujuan kami selain hanya untuk mengerjakan Haji. Ketika kami hampir tiba di Mekah, Rasulullah saw. memerintahkan kepada orang yang tidak membawa had-ya supaya halal sudah tawaf dan saai antara Safa dan Marwah. Kata 'Aisyah, pada hari Nahar ada orang membawa daging lembu kepada kami, lalu saya tanyakan, "Apakah ini?" Jawab orang itu, "Rasulullah saw. berkorban untuk para isteri beliau."

871. Dari Ali r.a., katanya: "Sesungguhnya Nabi saw. memerintahkan kepadanya supaya berdiri ketika menyembelih unta korbannya, lalu keseluruhan korban itu supaya dibahagi-bahagikan dagingnya, kulitnya dan pelananya dan tidak sepotong jua pun yang diberikan kepada tukang potong."

872. Dari Ali r.a., katanya: Nabi saw. pernah berkorban seratus ekor unta. Lalu disuruhnya aku membahagi-bahagikan dagingnya, maka saya bahagi-bahagikan; kemudian disuruhnya pula aku membahagi-bahagikan pelana dan kulitnya, maka saya bahagi-bahagikan."

873. Dari Jabir r.a., katanya: "Biasanya kami tidak memakan daging dari korban kami lebih dari tiga hari di Mina. Kemudian kami diberi kelonggaran oleh Nabi saw. , Sabda beliau, "Makanlah dan sediakan untuk perbekalan." Lantas kami makan dan kami sediakan pula untuk perbekalan."

874. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Seorang laki-laki berkata kepada Nabi saw., "Saya tawaf sebelum melontar." Jawab Nabi, "Tidak mengapa." Katanya pula, "Saya mencukur rambut sebelum menyembelih." Jawab Nabi, ''Tidak mengapa." Katanya lagi, "Saya menyembelih sebelum melontar." Jawab beliau, ''Tidak mengapa."

875. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. mendoa: "O, Allah! Kasihanilah kiranya orang-orang yang mencukur rambut kepalanya." Lalu kata orang banyak, "Dan orang-orang yang menggunting rambut, ya, Rasulullah!" Sabda Nabi, "O, Allah! Kasihanilah kiranya orang-orang yang mencukur rambut kepalanya. " Kata mereka, "Dan orang-orang yang menggunting rambut, ya, Rasulullah!" Sabda Nabi saw., "Dan orang-orang yang menggunting rambut."

876. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Rasulullah saw. berkhutbah pada hari Nahar, sabdanya: "Saudara-saudara sekalian! Hari apakah ini?" Orang banyak menjawab, "Hari haram (suci)." Sabda Nabi, "Negeri apakah ini?" Jawab mereka, "Negeri haram (suci)." Sabda Nabi, "Bulan apakah ini?" Jawab mereka, "Bulan haram (suci)." Sabda Nabi, Sesungguhnya darahmu, harta mu dan kehormatanmu haram antara sesamamu sebagaimana haramnya hari kamu ini." Kata-kata itu berulang-ulang diucapkan oleh beliau. Kemudian beliau mengangkat kepalanya, lalu bersabda, "O, Allah! Sesungguhnya telah aku sampaikan." Kata Ibnu Abbas, "Demi Allah yang diri ku dalam kekuasaanNya! Sesungguhnya khutbah beliau itu adalah merupakan wasiat bagi seluruh umatnya. (Nabi saw. meneruskan), "Maka kerana itu, hendaklah yang hadir ini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Dan janganlah kamu menjadi kafir kembali, sesudahku, di mana kamu berkelahi sesamamu."

877. Dari Zuhri r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. melempar Jumrah yang dekat masjid Mina, beliau melempar dengan tujuh buah batu sambil beliau mengucapkan takbir setiap melempar dengan satu batu. Kemudian beliau maju ke muka dan berdiri menghadap kiblat sambil mengangkat kedua belah tangannya berdoa dan berdiri agak lama. Kemudian beliau mendekati jumrah yang kedua, lalu dilemparnya dengan tujuh buah batu sambil membaca takbir setiap kali melempar. Sesudah itu beliau pindah ke sebelah kiri mendekati lembah, dan berdiri menghadap kiblat, dan sambil mengangkat kedua belah tangannya beliau berdoa. Sesudah itu beliau mendekati Jumrah yang akhir, maka dilemparnya dengan tujuh buah batu sambil takbir tiap-tiap kali melontar, kemudian beliau pergi dari situ."

878. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Sesudah Nabi solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak, beliau tidur sebentar di Muhassab, kemudian beliau menunggang kenderaannya menuju Kaabah, lalu beliau tawaf."

879. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "(Pahala) satu kali Umrah sampai Umrah (berikutnya, dapat) menghapus dosa yang terjadi antara keduanya. Dan Haji yang mabrur (diterima Allah) tiada balasannya melainkan syurga."

880. Dari Qatadah r.a., katanya dia bertanya kepada Anas: "Berapa kali Nabi saw. mengerjakan 'Umrah?" Jawabnya, "Empat kali: 'Umrah Hudaibiyah, iaitu bulan Dzul Qaidah ketika beliau dihalangi kaum musyrik; 'Umrah pada tahun berikutnya dalam bulan Dzul Qa-idah, sesuai dengan perjanjian damai dengan mereka; dan Umrah Ji'ranah. iaitu ketika membahagi rampasan, yang menurut dugaanku rampasan Hunain. Tanya ku, "Berapa kali beliau mengerjakan Haji?" Jawabnya, "Satu kali."

881. Dari Qatadah r.a., katanya dia bertanya kepada Anas, maka jawab Anas, ''Nabi saw. mengerjakan Umrah ketika kaum musyrikin menghalangi beliau. Dan pada tahun berikutnya 'Umrah Hudaibiyah, 'umrah dalam bulan Dzul Qaidah dan 'Umrah waktu beliau mengerjakan Haji"

882. Dari Abdullah bin Abi Aufa r.a., katanya: "Rasulullah saw. mengerjakan umrah, maka kami pun umrah pula beserta beliau. Kemudian beliau tiba di Mekah, beliau tawaf dan kami tawaf pula beserta beliau. Kemudian beliau pergi ke Safa dan Marwa, kami pun turut juga mengikutinya. Dan kami pun pernah mengawal beliau dari penduduk Mekah, kalau-kalau ada yang hendak melemparnya. Kemudian, sahabatku ada yang bertanya, "Apakah Nabi saw. masuk ke dalam Kaabah?" Jawabnya, "(ketika itu) Tidak!"

883. Dari Abdullah bin 'Umar r.a.. katanya: "Biasanya. apabila Rasulullah saw. kembali dari peperangan atau kembali dari haji dan 'umrah, beliau takbir tiga kali di setiap tanah yang tertinggi, dan kemudian beliau baca: "Laa Ilaaha illallaahu wahdahu, laa syariikalah, lahul mulku walahulhamdu wa huwa' kulli syai-in qadiir, (Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, Maha Kuasa dan Maha Terpuji, dan Dia Maha Kuasa atas segala-galanya; aaibuuna taa-ibuuna. 'aabiduuna saajiduuna lirabbinaa haamiduuna. Shadaqallaahu wa'dahu wa nashara 'abdahu wa hazamal ahzaaha wahdah." Orang-orang yang kembali (kepada Tuhan), orang-orang yang taubat, orang-orang yang menyembah Tuhan, orang-orang yang sujud, orang-orang yang memuji Tuhan kami; Maha Benar janji Allah, Dia Maha Menolong terhadap hamba-hambaNya, dan Dia mengalahkan tentera (musuh) sendiriNya."

884. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Ketika Nabi saw. tiba di Mekah, beliau disambut oleh anak-anak Abdul Muththalib, lalu dipangkunya seorang di antara mereka dan yang lain mengikutinya di belakang.

885. Dari Anas r.a., katanya: "Biasanya Rasulullah saw. tidak pernah masuk ke dalam rumah keluarganya melainkan pagi atau petang."

886. Dari Jabir r.a., katanya: "Nabi saw. melarang orang datang ke rumah keluarganya waktu malam."

887. Dari Anas r.a., katanya: "Biasanya, apabila Nabi saw. baru kembali dari perjalanan, setelah melihat-lihat jalan-jalan kota Madinah, dipercepatnya untanya, bahkan jika ada kenderaan (haiwan) yang lain disuruhnya cepatkan binatang itu."

888. Dari Abu Hurairah r.a,. dari Nabi saw., sabdanya: "Berjalan adalah sebahagian azab, ia menghalangi kamu makan, minum dan tidur. Maka apabila urusanmu telah selesai, segeralah kembali kepada keluargamu."

889. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. terhalang (oleh musuh). Maka dicukurnya rambut kepalanya, kemudian beliau bersenggama dengan isterinya, dan disembelihnya korbannya, sehinga (akhirnya) beliau umrah pada tahun berikutnya."

890. Dari Ka'ab bin 'Ujrah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Barangkali engkau digigit oleh kutu-kutumu." Jawab Kaab, "Ya, benar! Ya, Rasulullah!" Sabda Rasulullah, "Cukurlah rambutmu, puasalah tiga hari atau beri makan enam orang miskin atau berkorban seekor biri-biri."

891. Dari Abdullah bin Maaqil r.a., katanya: "Pada suatu ketika aku duduk bersama Kaab bin 'Ujrah, lalu saya bertanya kepadanya perihal fidyah." Katanya: "Ayat mengenai fidyah itu khususnya turun berkenaan dengan diri ku dan umumnya dengan diri mu juga. Saya dibawa orang kepada Rasulullah saw. padahal kutu berjalaran di muka ku. Beliau bersabda, "Belum pernah aku melihat penyakit seperti yang menimpa engkau ini. Atau mungkin dia mengatakan, belum pernah aku melihat kesukaran seperti yang engkau derita ini. Apakah engkau punya biri-biri?" Jawab ku, "Tidak!" Maka sabda beliau, "Puasalah tiga hari, atau beri makanlah enam orang miskin, untuk masing-masing setengah gantang."

892. Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Pada tahun Hudaibiyah, kami pergi bersama-sama dengan Nabi saw. Para sahabat telah ihram sedangkan saya belum. Sementara itu, diberitakan kepada kami, bahawa musuh berada di Ghaiqah, lalu kami menuju ke tempat mereka itu berada. Tiba-tiba teman ku melihat seekor himar (keldai) liar, lalu mereka tertawa bersama-sama. Kerana itu aku menengok dan menampak pula himar itu. Lalu ku pacu kuda ku memburu himar itu, dan ia dapat ku tikam sehingga ia tidak dapat lagi berjalan. Aku minta tolong kepada mereka (untuk mengurusi keldai itu), tetapi mereka enggan menolong. Namun akhirnya, keldai itu kami makan bersama-sama. Sesudah itu akau pergi menyusul Rasulullah saw. dan kami khuatir akan diserbu musuh. Kerana itu kadang-kadang ku pacu kuda ku dan kadang-kadang ku lambatkan. Tengah malam, aku bertemu dengan seorang laki-laki dari Bani Ghiffar. Saya bertanya kepadanya, "Di mana engkau tinggalkan Rasulullah saw"?" Jawabnya, "Saya tinggalkan beliau di Takhin dan beliau bermaksud akan beristirehat di Suq-ya." Aku pergi menyusul Rasulullah saw. sehingga aku dapat bertemu dengan beliau. Ujar ku, "Ya, Rasulullah! Sesungguhnya para sahabat mengirim ku supaya menyampaikan salam, rahmat dan berkat Allah kepada Tuan. Mereka khuatir kalau kalau Tuan diserang musuh dengan tiba-tiba. Kerana itu sebaiknya Tuan tunggulah mereka. Nabi saw. berkenan menunggu mereka. Sementara itu aku berujar kepada beliau, "Ya, Rasulullah! (Dalam perjalanan) kami memburu keldai liar yang lalu dekat kami, dan masih ada sisanya pada kami." Sabda Rasulullah saw., "Silakan kalian makan! Walaupun mereka yang sedang ihram. "

893. Dari Sha'ab bin Jatstsamah Alaitsi r.a., bahawasanya dia menghadiahkan seekor himar (keldai) liar kepada Nabi saw. tetapi ditolak oleh beliau pemberiannya itu. Ketika itu ia sedang berada di Abwa' atau mungkin di Waddan. Ketika beliau menampak perasaan kurang senang terbayang pada air muka Shaab, beliau berkata, "Aku tidak hendak menolak pemberianmu, melainkan kerana aku sedang ihram. "

894. Dari Hafshah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ada lima macam binatang yang tidak berdosa jika seseorang membunuhnya. Yaitu: gagak, helang, tikus, kala jengking dan anjing yang berbahaya."

895. Dari Abdullah r.a., katanya: "Ketika kami sedang berada di sebuah gua di Mina, tiba-tiba turun kepada beliau ayat: "Wal Mursalaat" (Demi segala malaikat yang diutus). Beliau langsung membacanya dan saya pun menerima dari mulut beliau yang basah kerana bacaan itu. Tiba-tiba seekor ular meluncur ke arah kami, lalu beliau bersabda: "Bunuhlah ular itu!" Kami segera akan membunuhnya, tetapi ular itu telah lari.

896. Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Cicak itu kecil bahayanya." Kata 'Aisyah menambahkan, "Aku tidak mendengar Rasulullah saw. menyuruh membunuhnya."

897. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Nabi saw. bersabda ketika penaklukan Mekah: "Tidak ada lagi hijrah, melainkan jihad dan niat. Apabila kamu diperintahkan berangkat, maka berangkatlah!"

898. Dari Ibnu Buhainah r.a., katanya: Nabi saw. pernah berbekam di tengah-tengah kepalanya ketika beliau berada di Lahyil Jamal, padahal beliau ketika itu sedang ihram."

899. Dari Ibnu Abbas r.a, katanya: "Sesungguhnya Rasulullah saw. kahwin dengan Maimunah ketika beliau sedang ihram."

900. Dari Abu Ayyub Al Anshari r.a., bahawasanya dia ditanya orang: "Bagaimanakah caranya Rasulullah saw. mencuci kepalanya padahal beliau sedang ihram?" Abu Ayyub meletakkan tangannya di atas sehelai kain, lalu ia menundukkan kepalanya sehingga jelas kelihatan olehku. Kemudian katanya kepada orang yang akan menyiramkan air, "Nah, siramlah!" Maka disiram orang kepalanya, lalu digosoknya dengan kedua belah tangannya ke muka dan ke belakang. Katanya, "Beginilah saya lihat Nabi saw. melakukannya."

901. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. berkhutbah di hadapan kami waktu di Arafah, sabdanya: "Barangsiapa tidak mempunyai izar (pakaian ihram, sarung yang tidak dijahit), ia boleh memakai celana. Dan siapa yang tidak mempunyai terompah, ia boleh memakai sepatu."

902. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Di tahun penaklukan Mekah, Rasulullah saw. masuk kota Mekah memakai topi baja. Ketika beliau membukanya, seorang laki-laki datang dan berkata kepada beliau, "Ibnu Khathal bergantung di tabir Kaabah." Sabda Nabi saw., "Bunuhlah dia!"

903. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Seorang wanita dari suku Juhainah datang kepada Nabi saw., bertanya: "Ibu saya bernazar untuk mengerjakan haji. Tetapi belum sempat ia menunaikannya, ia telah meninggal. Bolehkan saya menunaikannya untuk beliau?" Jawab Nabi saw., "Ya, hajikanlah untuknya! Bagaimana pendapatmu sekiranya ibumu berhutang, adakah engkau membayarnya? Bayarlah hutang kepada Allah, kerana hutang kepada Allah lebih berhak untuk dibayar."

904. Dari Saib bin Yazid r.a., katanya: "Saya pernah dibawa menunaikan ibadah haji bersama-sama dengan Rasulullah saw., sedangkan ketika itu saya baru berumur tujuh tahun."

905. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika Nabi saw. kembali dari menunaikan ibadah haji, beliau bersabda kepada Ummu Sinan Al Anshariyah, "Apakah yang menghalangi mu untuk menunaikan haji?" Jawab Ummu Sinan, "Bapa si Fulan. Maksudnya ialah suaminya. Dia hanya mempunyai dua ekor unta. Yang seekor dipakainya untuk menunaikan haji baginya dan yang lain untuk menyiram kebun kami, Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya 'Umrah di bulan Ramadhan sama nilainya dengan menunaikan ibadah haji beserta ku."

906. Dari Anas r.a., katanya: "Bahwasanya Nabi saw. melihat seorang orang tua dipapah oleh dua anaknya (menunaikan ibadah haji). Nabi saw. bertanya; "Kenapa orang ini?" Jawab mereka, "Ia bernazar akan menunaikan haji dengan berjalan kaki." Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya Allah tidak memerlukan orang yang menyeksa dirinya ini." Lalu Nabi memerintahkan supaya orang itu naik kenderaan.

907. Dari 'Uqbah bin 'Amir r.a., katanya: "Saudara saya yang perempuan bernazar akan pergi berjalan kaki ke Baitullah dan disuruhnya saya minta fatwa kepada Nabi saw., lalu saya minta fatwa kepada beliau. Sabdanya, "Berjalanlah dan berkenderaanlah !"