785. Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: "Biasanya Fadhal yang membonceng dengan Rasulullah saw. Pada suatu kali seorang wanita dari suku Khatsaam datang kepada beliau. Fadhal memandang kepada wanita itu dan wanita itu memandang pula kepada Fadhal. Lalu Nabi saw. memalingkan muka Fadhal ke jurusan lain. Kata wanita itu, "Ya, Rasulullah! Bahwasanya Allah memerintahkan wajib haji kepada hamba-hamba-Nya, bertepatan dengan keadaan bapa saya tidak boleh lagi menunggang kenderaan; bolehkah saya mengerjakan haji baginya?" Sabda Nabi saw., "Boleh." Peristiwa itu terjadi ketika haji wada'."
786. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah saw. menunggang kenderaan di Dzulhulaifah. Setelah beliau sempurna duduk di atas, lalu beliau ihram."
787. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. memulai ihram di Dzulhulaifah, iaitu ketika beliau telah siap berada di atas kenderaan beliau."
788. Dari Anas r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. pernah mengerjakan ibadah haji di atas kenderaan, dan kenderaan itu pula yang mengangkut perbekalannya. "
789. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Hai, Rasulullah! Tuan telah umrah tetapi saya belum. Lalu Rasulullah bersabda kepada Abdurrahman, "Hai, Abdurrahman! Pergilah umrah dengan saudara mu, mulailah dari Tanaim." Abdurrahman pergi dengan 'Aisyah menunggang seekor unta (Abdurrahman di muka dan 'Aisyah di belakang) langsung mengerjakan umrah."
790. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ya, Rasulullah! Kami lihat jihad itu adalah amal yang paling utama. Apakah kami tidak boleh ikut berjihad?" Jawab Nabi, "Tidak! Jihad yang paling utama ialah haji yang mabrur (yang diterima Allah swt.)."
791. Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa mengerjakan haji semata-mata kerana Allah, tidak berkata keji dan tidak melakukan perbuatan jahat, orang itu (bersih) kembali seperti ia baru dilahirkan ibunya (tidak berdosa)."
792. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Orang negeri Yaman pernah melakukan ibadah haji tanpa membawa perbekalan. Kata mereka, Kami orang-orang tawakkal. Setelah mereka itu tiba di Mekah, mereka meminta-minta kepada orang banyak." Allah swt. berfirman: "Berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik perbekalan ialah taqwa (memelihara diri)."
793. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. telah menentukan batas, tempat orang memulai ihram. Untuk orang yang datang dari Madinah, ialah Dzul Hulaifah. Untuk orang yang datang dari Syam, ialah Juhfah, Untuk orang yang datang dari Nejd, Qarn Manazil dan untuk orang yang datang dari Yaman, ialah Yalamlam. Semua tempat-tempat itu ialah tempat Ihram untuk orang-orang negeri tersebut dan orang-orang lain yang bermaksud (mengerjakan) haji melalui negeri-negeri itu. Selain dari orang-orang yang telah disebutkan itu, maka mulai ihramnya ialah dari mana ia muncul, seperti orang Mekah ialah dari Mekah."
794. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Setelah kedua negeri ini (Kufah dan Basrah) menyerah, mereka datang kepada Umar dan berkata: Ya, Amiral Mukminin! Sesungguhnya Rasulullah telah menentukan Qarn untuk tempat ihram orang-orang dari Nejd. Tetapi Qarn itu terlalu jauh dari jalan kami. Kalau kami pergi ke Qarn lebih dahulu, agak menyulitkan bagi kami." Kata Umar, "Telitilah tempat yang sejajar dengan Qarn itu di jalan yang kamu lalui. Maka ditetapkannya Dzatu 'Iraq untuk mereka."
795. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah , saw. menghentikan untanya di Bath-ha' di Dzul Hulaifah lalu beliau solat di situ."
796. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Biasanya Rasulullah saw. keluar dari Madinah melalui jalan Syajarah dan kalau masuk ke Madinah melalui jalan Muaarras. Dan apabila beliau pergi ke Mekah, biasanya beliau solat di masjid Syajarah dan waktu kembali, solat di Dzulhulaifah, sebuah tempat yang kerendahan dan beliau bermalam di situ sampai pagi."
797. Dari Umar r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. waktu beliau berada di Wadi al-' Aqiq, beliau bersabda: "Pada suatu malam datang (Jibril) membawa wahyu dari Allah kepada ku. Kata-Nya, 'Kerjakanlah solat di Wadi (lembah) yang berkah ini. Dan kerjakanlah umrah waktu mengerjakan haji."
798. Dari Abdullah r.a., dari Nabi saw. katanya: "Nabi saw. pernah menerima wahyu ketika beliau melalui jalan Muarram dalam lembah di Dzul Hulaifah. Diwahyukan kepada beliau, "Sesungguhnya engkau sedang berada di Bath-Ha' yang berkah."
799. Dari Abu Ya'la r.a., katanya ia pernah mengatakan kepada Umar: "Ceritakanlah kepada saya keadaan Nabi saw. ketika wahyu turun kepada beliau. Kata Umar, "Pada suatu waktu, ketika Nabi saw. dan para sahabat berada di Jikranah, datang seorang laki-laki kepada beliau dan berkata: Hai, Rasulullah! Bagaimana pendapat Tuan tentang orang yang ihram untuk umrah, padahal dia memakai harum-haruman? Nabi diam seketika, dan ketika itu wahyu turun. Umar memberi isyarat kepada Yaala, lalu ia datang dekat. Lalu Rasulullah saw. diselubungi dengan kain dan memasukkan kepalanya ke dalam selubung itu. Kelihatan muka Rasulullah saw. merah dan beliau seperti mendengkur. Setelah wahyu selesai turun beliau bersabda: Mana orang yang bertanya tentang umrah? Laki-laki yang bertanya tadi dihadapkan kepada Nabi saw. Sabda beliau, "Bersihkanlah harum-harumanmu itu sampai tiga kali dan bukalah bajumu, dan kerjakanlah umrah sebagai mengerjakan haji."
800. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Saya pernah memberi harum-haruman pada pakaian Rasulullah saw. waktu beliau ihram, dan untuk halalnya (tidak ihram) sebelum beliau tawaf mengelilingi kaabah."
801. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah saw. merekat rambut beliau ketika ihram."
802. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya dia mendengar seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah, katanya: "Ya, Rasulullah! Apakah pakaian yang dipakai orang untuk ihram?" Jawab Rasulullah saw., "Tidak boleh memakai baju, serban, celana, topi (atau yang sejenisnya berupa tutup kepala) dan sepatu dalam, kecuali bagi orang yang tidak mempunyai terompah, boleh memakai sepatu, tetapi harus dipotong sehingga lebih rendah dari kedua mata kaki. Dan jangan pula memakai pakaian yang kena zaafaran atau harum-haruman.
803. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Bahwasanya Usamah pernah menjadi pengiring Rasulullah saw. semenjak dari 'Arafah sampai ke Muzdalifah. Kemudian digantikan oleh Fadhal dari Muzdalifah sampai ke Mina. Kata Ibnu Abbas, keduanya mengatakan bahawa Nabi saw. sentiasa membaca talbiyah sehingga beliau melontar Jamratul 'Aqabah.
804. Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: Setibanya Nabi dan para sahabat dari Madinah. setelah bersisir dan memakai minyak, lalu beliau dan para sahabatnya memakai sarung dan cadar. Beliau tidak melarang memakai cadar dan sarung apa saja, selain harum-haruman yang baunya melekat ke kulit. Pagi-pagi di Dzulhulaifah, beliau menunggang kenderaan beliau. Ketika tiba di Baida', beliau saw. dan para sahabat melakukan ihram dan beliau memberi dukuh seekor untanya. Peristiwa itu terjadi pada tanggal 25 Dzul Qaidah. Ketika Nabi tiba di Mekah tanggal 4 Dzul Hijjah, beliau terus tawaf keliling Kaabah dan saei antara Safa dan Marwah. Beliau belum halal kerana beliau telah menyiapkan unta yang diberi dukuh. Di Mekah beliau tinggal di Hajun, dan beliau masih ihram haji. Setelah tawaf qudum (tawaf selamat datang), beliau tidak mendekati Kaabah sampai kembali dari 'Arafah. Kemudian diperintahkannya kepada para sahabat supaya tawaf dan saai antara Safa dan Marwah, setelah itu mencukur rambut kepala sesudah itu baru halal. Yang demikian itu adalah buat orang yang tidak menyediakan unta yang diberi dukuh. Bagi siapa yang beserta isteri, maka ketika itu telah halal baginya (melakukan hubungan suami isteri), boleh memakai harum-haruman dan pakaian yang berjahit."
805. Dari Anas r.a., katanya : Nabi saw. pernah solat Zohor di Madinah empat rakaat dan solat Asar di Dzulhulaifah dua rakaat (qasar). Dan aku mendengar mereka (mengucapkan talbiyah) dengan suara keras, pada haji dan umrah."
806. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Talbiyah Rasulullah saw. ialah: Labbaika, Allahumma labbaik, Labbaika laa syarika laka labbaik. Innal hamda wan-ni' mata laka wal mulk. Laa syariika laka. (Aku patuhi perintah-Mu, O, Allah! Aku patuhi perintahMu! Aku patuhi perintahMu, tidak ada sekutu bagiMu, aku patuhi perintahMu! Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kekuasaan, milikMu. Tidak ada sekutu bagiMu).
807. Dari Anas r.a, katanya: "Nabi saw. pernah solat Zohor bersama-sama dengan kami di Madinah empat rakaat dan solat Asar di Dzulhulaifah dua rakaat , (qasar) dan kami bermalam di situ sampai pagi. Kemudian Nabi saw. menunggang kenderaannya sampai di Baida'. Sementara itu beliau sentiasa tahmid, tasbih dan takbir. Sesudah itu beliau ihram untuk haji dan umrah, dan orang banyak pun ihram pula untuk keduanya. Setibanya kami di Mekah, beliau memerintahkan kami supaya berhalal. Lantas mereka melakukan halal. Setelah hari Tarwiyah tiba, mereka ihram untuk haji. Kata Anas, "Nabi saw. menyembelih beberapa ekor korban (beberapa ekor unta) dengan tangannya sendiri sedang berdiri. Ketika Rasulullah saw. berada di Madinah. beliau pernah menyembelih dua ekor kibas yang gemuk."
808. Dari Nafi' r.a., katanya: "Ketika Ibnu Umar selesai solat Subuh di Dzulhulaifah, dia memerintahkan supaya kenderaannya disiapkan, maka kenderaannya itu segera disiapkan orang lalu dinaikinya. Setelah ia sempurna duduk di atas kenderaan itu ia menghadap ke kiblat dan terus menerus mengucapkan talbiyah hingga sampai di tanah haram. Setibanya di Dzi Thuwa, dia bermalam di situ sampai pagi. Setelah solat Subuh dia terus mandi, kemudian dia berkata: "Sesungguhnya Rasulullah saw. mengerjakan seperti itu."
809. Dari Nafi' r.a., katanya: "Apabila lbnu Umar hendak pergi ke Mekah, lebih dahulu dia memakai minyak yang tidak harum. Kemudian dia pergi ke masjid Al Hulaifah lalu solat. Sesudah itu ia naik kenderaan. Ketika dia telah sempurna duduk di atas kenderaannya yang sedang berdiri, ia pun mulai ihram. Katanya: Beginilah saya lihat yang dilakukan oleh Nabi saw. "
810. Dari Mujahid r.a., katanya: "Pada suatu ketika kami berada di dekat lbnu Abbas, dan orang banyak berbicara mengenai Dajjal; di antara mereka ada yang mengatakan bahawa dia akan datang dengan kata-kata "kafir" tertulis antara kedua mata-matanya. Kata Ibnu Abbas, "Aku tidak pernah mendengarnya dari Nabi saw., tetapi aku pernah mendengar beliau bersabda, "Seolah-olah aku sedang melihat Musa sekarang, dia menuruni lembah sambil sentiasa mengucapkan talbiyah."
811. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Kami pergi haji dengan Nabi saw. pada haji wada' dan kami ihram untuk umrah. Nabi saw. bersabda, "Barangsiapa mempunyai hadnya, ihramlah untuk Haji dan Umrah, dan jangan halal supaya boleh halal untuk keduanya sekaligus." "Ketika saya tiba di Mekah," kata 'Aisyah, "maka saya haid, tidak boleh tawaf dan saai. Lalu saya ceritakan hal itu kepada Nabi saw." Sabda beliau, "Bukalah sanggulmu, bersisir dan ihramlah untuk Haji dan hentikanlah Umrah." Maka perintah beliau itu aku laksanakan. Sesudah mengerjakan Haji, beliau memerintahkan saya dan Abdurrahman bin Abu Bakar supaya pergi ke Tanaim dan di sana saya memulai umrah. Sabda beliau, "Inilah umrah pengganti umrah engkau yang gagal tadinya." Kata 'Aisyah, "Maka tawaflah semua orang yang ihram untuk Umrah di sekeliling Kaabah, dan saai antara Safa dan Marwah, kemudian mereka halal dan tawaf satu kali sekembali mereka dari Mina. Dan, orang yang menghimpun Haji dan Umrah, mereka tawaf satu kali saja."
812. Dari Abu Musa r.a., katanya: "Nabi saw. mengutus ku pergi ke satu kaum di negeri Yaman, dan ketika saya kembali, saya dapati beliau di Al Bathha'. Beliau bertanya, "Bagaimana caranya engkau ihram?" Jawab ku, "Aku ihram sebagaimana ihramnya Nabi saw." Tanya beliau, "Adakah engkau menyiapkan hadnya?" Jawab ku, "Tidak!" Kemudian beliau memerintahkan ku tawaf. Maka aku tawaf keliling Kaabah, lalu saai antara Safa dan Marwa. Kemudian memerintahkan ku supaya halal, maka aku pun halal. Lalu aku pergi kepada keluarga ku, maka disisirkannya rambut ku, atau disucikannya kepala ku. Sementara itu, Umar pun tiba. Katanya, "Jika kita berpegang dengan Kitab Allah, sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kita supaya menyempurnakan. Firman Allah Taala: Sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah. Dan kalau kita mengikuti Sunnah Rasul saw., sesungguhnya beliau belum halal sebelum menyembelih had-ya."
813. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Kami pergi bersama-sama dengan Nabi saw. dalam beberapa bulan haji, dan pada beberapa malam haji dan pada beberapa masa ihram haji. Maka ketika kami tiba di Sarif, beliau pergi kepada para sahabat dan bersabda: Barangsiapa tidak mempunyai Had-ya, dan dia ingin mengerjakan Umrah saja, boleh dilakukannya. Dan siapa-siapa yang membawa Had-ya, jangan." Kata 'Aisyah, "Di antara para sahabat ada yang mengerjakan dan ada pula yang meninggalkannya. Adapun Rasulullah saw. dan beberapa orang sahabat yang mempunyai Had-ya, mereka tidak memadakan dengan mengerjakan Umrah saja." Kata 'Aisyah melanjutkan, "Rasulullah datang kepada ku dan aku sedang menangis. Beliau bertanya: "Kenapa engkau menangis, wahai 'Aisyah?" Jawab 'Aisyah, "Saya mendengar sabda Tuan kepada para sahabat, sedangkan saya berhalangan mengerjakan Umrah." Tanya beliau, "Memangnya engkau kenapa?" Jawab ku, "Aku tidak solat." Sabda beliau, "Tidak mengapa. Engkau adalah wanita di antara sekian banyak anak-cucu Adam. Allah memikulkan kewajiban kepada mu, sama seperti yang dipikulkannya kepada para wanita lainnya. Teruskanlah hajimu, semoga Allah memberi kelapangan bagimu." Kata ' Aisyah, "Kami berangkat pada masa haji itu, hingga sampai di Mina aku telah suci. Kemudian aku berangkat dari Mina, lalu tawaf keliling Kaabah. Sesudah itu aku berangkat bersama-sama dengan beliau pada nafar yang akhir, hingga sampai di Muhasshab kami pun berhenti. Beliau memanggil Abdur Rahman bin Abu Bakar, lalu beliau bersabda kepadanya: "Pergilah dengan saudara mu dari Tanah Haram supaya ia ihram untuk 'Umrah. Sesudah selesai datanglah segera kemari, aku menunggu sampai engkau datang." Maka pergilah kami berdua, sehingga aku dapat menyelesaikan ihramku untuk 'Umrah beserta tawaf. Setelah itu aku kembali kepada beliau pada waktu sahur. Tanya beliau, "Apakah engkau sudah selesai?" Jawab ku, "Sudah, ya, Rasulullah." Lalu beliau memberi tahu kepada para sahabat untuk berangkat, maka berangkatlah rombongan kami menuju Madinah."
814. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Kami berangkat bersama-sama dengan Nabi saw. (pergi haji ke Mekah, pada tahun haji wada'. Di antara kami ada yang ihram untuk Umrah, ada yang ihram untuk haji serta umrah dan ada pula yang ihram untuk haji saja. Sedangkan Rasulullah saw. ihram untuk haji. Siapa yang ihram untuk haji atau digabungkannya ihram haji serta umrah maka orang itu belum boleh halal sebelum hari Nahr."
815. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Orang banyak menganggap mengerjakan 'umrah dalam bulan-bulan musim haji, merupakan suatu kesalahan besar di permukaan bumi dan dijadikannya bulan Safar sebagai bulan haram. Kata mereka, "Apabila telah sihat punggung (unta), telah hilang bekas (ia dikenderai) dan telah habis bulan Safar boleh 'umrah bagi siapa yang hendak 'umrah. Pada tanggal empat (Dzul Hiijah) Nabi saw. datang dengan para sahabatnya dalam keadaan ihram untuk haji lalu beliau perintahkan supaya dijadikan 'umrah. Mereka merasa keberatan lalu kata mereka, "Halal manakah?" Sabda beliau, "Halal semuanya."
816. Dari Hafsah, isteri Nabi saw., ia berkata: "Ya, Rasulullah! Bagaimanakah halnya orang-orang yang telah halal dari 'umrah mereka, sedangkan Tuan sendiri belum halal dari 'umrah Tuan?" Jawab Nabi saw.: Aku merekat rambut dan memberi dukuh had-ya. Aku belum boleh halal sebelum menyembelih."
817. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Bahawasanya dia pernah pergi haji bersama-sama dengan Rasulullah saw. ketika beliau membawa unta untuk had-ya. Orang banyak ihram untuk haji ifrad. Sabda Nabi saw. kepada mereka, "Hendaklah kamu halal dari ihrammu dengan tawaf keliling Kaabah, saai antara Safa dan Marwah dan potonglah rambutmu. Kemudian tetaplah halal sampai hari Tarwiyah, dan ihramlah untuk haji, serta jadikanlah apa yang telah kamu kerjakan itu sebagai mutaah." Kata mereka, "Bagaimana caranya kami menjadikannya mutaah, padahal kami telah menamakannya haji?" Sabda Nabi saw., "Laksanakanlah apa yang aku perintahkan kepada mu. Kalaulah aku tidak membawa had-ya, akan ku lakukan seperti apa yang aku perintahkan kepada mu itu. Apa yang tadinya dilarang daripada ku, belum halal bagi ku sebelum had-nya sampai ke tempatnya." Setelah itu, mereka melaksanakan (apa yang diperintahkan Nabi saw. kepada mereka).
818. Dari Nafi' r.a., katanya: "Ketika Ibnu Umar telah dapat masuk Tanah Haram, dia berhenti membaca talbiyah dan ia bermalam di Zu Thua. Sesudah solat Subuh dia terus mandi. Kemudian dikatakannya Nabi saw. melakukannya seperti itu."
819. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Nabi saw. pernah bermalam di Dzu Thua sampai pagi, kemudian barulah beliau masuk ke dalam (kota) Mekah."
820. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: sesungguhnya Rasulullah saw. masuk kota Mekah dari Kada', dari dataran tinggi yang terletak di Bathha' dan keluar dari kota Mekah melalui dataran yang rendah. "
821. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Ketika Kaabah sedang diperbaiki (yaitu sebelum masa kerasulan), Nabi saw. turut mengangkut batu bersama-sama dengan Abbas. Kata Abbas, "Ikatkanlah sarong Tuan di tengkok Tuan!" Sementara itu Nabi saw. terjatuh dengan matanya terbelalak. Kata Nabi, "Bawalah sarong ku kemari!" Lalu beliau mengikatkannya kembali.
822. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Saya bertanya kepada Nabi saw. tentang dinding (tembok dekat) Kaabah, apakah tembok itu termasuk bahagian Kaabah?" Jawab beliau, "Ya!" Aku bertanya lagi, "Apa sebabnya tidak mereka masukkan saja ke dalam bangunan Kaabah?" Jawab beliau, "Kaum engkau kekurangan biaya." Tanya ku, "Apa sebabnya pintunya ditinggikan?" Jawab beliau, "Kaum engkau membuat seperti itu untuk memudahkan mereka meneliti siapa orang yang dibolehkannya masuk dan siapa yang tidak diingini mereka. Kalaulah bukan kerana kaum engkau dalam masa peralihan dari zaman jahiliyah, maka aku khuatir kalau-kalau hati mereka akan membangkang, kalaulah bukan kerana hal itu, nescaya pagar itu ku masukkan ke dalam bahagian Kaabah dan pintunya aku rendahkan sama rata dengan bumi."
823. Dari' Aisyah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Wahai, 'Aisyah! Kalau bukanlah kerana kaum engkau masih dalam masa peralihan dari zaman jahiliyah, akan ku perintahkan mereka memperbaiki Kaabah, apa-apa yang sekarang berada di luar, dan akan ku rendahkan pintunya sampai ke tanah. Juga akan ku buat dua buah pintu, sebuah di sebelah Timur dan sebuah lagi di sebelah Barat. Dengan begitu aku telah menuruti pula dasar Nabi Ibrahim 'alaihis salam."
824. Dari Usamah bin Zaid r.a., katanya: "Ya, Rasulullah! Di manakah Tuan tinggal di Mekah?" Jawab Nabi saw., "Adakah 'Aqil meninggalkan harta atau rumah?" 'Aqil dan Thalib menerima pusaka dari Abu Thalib, sedangkan Jaafar dan 'Ali tidak menerima apa-apa satu jua pun, kerana keduanya muslim, sedangkan 'Aqil dan Thalib, kafir.
825. Dari Abu Hurairah r.a., katanya. "Pada suatu pagi di hari Nahr ketika Nabi saw. sedang berada di Mina, beliau bersabda, "Besok kita berhenti di kampung Bani Kinanah, yakni Muhassab, di mana penduduknya telah bersumpah atas kekafiran." Kejadiannya ialah, suku Quraisy dan Kinanah mengadakan sumpah dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib atau (disebut) Bani Muthalib, bahawa antara mereka tidak boleh kahwin mengahwini dan tidak pula berjual-beli, sehingga mereka (Bani Hasyim dan Muthalib) menyerahkan Nabi saw. kepada mereka (Quraisy)."
826. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Orang yang kecil kedua betisnya berasal dari Habsyah (Ethiopia) yang akan meruntuhkan Kaabah."
827. Dari 'Aisyah r.a., katanya: Biasanya orang banyak puasa pada hari 'Asyura, sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Pada hari itu Kaabah diselubungi. Maka setelah Allah swt. mewajibkan puasa Ramadhan, Rasulullah bersabda, "Barangsiapa ingin puasa ' Asyura, silakan. Dan barangsiapa hendak meninggalkannya, silakan meninggalkannya. "
828. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., dari Nabi saw., sabda beliau: "Haji dan Umrah ke Kaabatullah akan tetap dilaksanakan orang walaupun setelah keluar Yakjuj dan Makjuj."
829. Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Aku seolah-olah melihat orang yang meruntuhkan Kaabah, dia hitam dan renggang antara kedua kakinya, dia membongkarnya batu demi batu.
830. Dari Umar r.a., katanya: "Bahawasanya dia datang mendekati Hijir Aswad (batu hitam) lalu dia menciumnya. Katanya, "Sesungguhnya aku tahu bahawa engkau ini batu yang tidak memberi mudharat dan tidak pula memberi manfaat. Jikalau tidaklah kerana saya melihat Nabi saw. mencium engkau, nescaya saya tidak akan menciummu pula."
831. Dari Abdullah bin Abi Aufa r.a., katanya: "Rasulullah saw. melakukan Umrah, kemudian tawaf keliling Kaabah dan sesudah itu solat dua rakaat di belakang Maqam bersama-sama dengan orang banyak. Seseorang bertanya kepadanya (Abdullah), "Apakah Rasulullah saw. masuk ke dalam Kaabah?" Jawabnya, "Tidak!"
832. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya, "Ketika Rasulullah saw. mula-mula tiba di Mekah, beliau enggan hendak masuk Kaabah kerana di dalamnya banyak patung. Beliau memerintahkan supaya mengeluarkan patung-patung itu dari dalam, maka dikeluarkan mereka semuanya termasuk patung Nabi Ibrahim dan Ismail sedang memegang azlam. (Melihat itu) Rasulullah saw. bersabda: "Terkutuklah mereka (yang membuat patung itu)! Demi Allah! Sesungguhnya mereka tahu bahawa keduanya tidak pernah melakukan undian dengan azlam, sekali-kali tidak." Kemudian beliau masuk ke dalam Kaabah, lalu takbir di setiap penjuru dan beliau tidak solat ketika itu didalamnya."
833. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. dan para sahabatnya tiba di Mekah, orang musyrik berkata: Dia telah datang kepada mu, keadaan mereka telah lemah kerana penyakit Yatsrib. (Mendengar ucapan mereka itu), Nabi memerintahkan para sahabatnya supaya mereka berlari tiga keliling ketika tawaf, dan berjalan antara dua sudut. Beliau tidak memerintahkan supaya berlari keseluruhannya, hanya semata-mata kerana kasihan terhadap mereka."
834. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah saw. waktu beliau datang ke Mekah. beliau menyentuh Hajar Aswad (batu hitam) waktu mula-mula akan tawaf, dan berlari tiga keliling dari jumlah tujuh keliling."
835. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Tidak pernah saya tidak menyentuh kedua sudut ini, baik dalam keadaan sulit dalam keadaan lapang, semenjak saya melihat Nabi saw. menyentuh kedua-duanya."
836. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Ketika Haji Wadak, Nabi saw. tawaf mengenderai unta, dan beliau menyentuh satu sudut Kaabah dengan tongkat beliau."
837. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Saya tidak pernah melihat Nabi saw. menyentuh Kaabah selain dua sudut Yamani."
838. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. pernah tawaf di kaabah dengan mengenderai unta. Setiap beliau melalui satu sudut, beliau memberi isyarat ke arah sudut itu dengan apa saja yang ada di tangan beliau sambil mengucapkan Allahu Akbar (Allah Maha Besar)."
839. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika Nabi saw. baru tiba di Mekah, perbuatan yang mula-mula beliau lakukan ialah berwuduk, sesudah itu tawaf. Beliau tidak mengerjakan Umrah. Ketika Abu Bakar dan Umar naik Haji, keduanya pun melakukan seperti itu."
840. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Sesungguhnya, bila Nabi saw. tawaf di Kaabah, mula-mula beliau berlari tiga keliling dan setelah itu berjalan empat keliling. Dan beliau biasa pula berlari di tempat aliran banjir antara Safa dan Marwah."
841. Dari Ummu Salamah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Aku memberi tahukan kepada Rasulullah saw. bahawa aku sakit. Maka sabda beliau, 'Tawaflah kamu dengan berkenderaan di belakang orang banyak." Lalu aku tawaf, sedangkan beliau ketika itu solat menghadap ke Kaabah; beliau membaca: "Wath Thuur. Wa kitaabin masthuur.. " (Surah ke-52).
842. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Pada suatu ketika Nabi saw. tawaf di Kaabah. Beliau bertemu dengan orang-orang yang mengikatkan tangannya satu sama lain dengan tali, atau dengan benang, atau dengan yang lain daripada itu maka ikatan itu diputuskan oleh Nabi saw. dengan tangan beliau, kemudian beliau bersabda, "Berbimbinganlah dia di tangannya."
843. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Abu Bakar Siddik ditugaskan oleh Rasulullah saw. sebelum haji wada' untuk memimpin satu kaum pada hari Nahar melakukan haji, kemudian memberitahukan kepada orang banyak, suatu pemberitahuan: "Ketahuilah! Sesudah tahun ini orang-orang musyrik tidak boleh lagi haji, dan tidak boleh tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. "
844. Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. tiba di Mekah, lalu beliau tawaf dan saai antara Safa dan Marwah. Sesudah tawafnya itu, beliau tidak pernah lagi mendekati Kaabah sampai beliau kembali dari Arafah."
845. Dari Ummu Salamah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. masih berada di Mekah dan telah bermaksud hendak keluar (pulang ke Madinah), ketika itu Ummu Salamah belum tawaf (wada') padahal dia akan pergi bersama-sama dengan Nabi saw. Sabda Nabi saw. kepadanya: "Apabila orang telah qamat untuk solat Subuh, maka tawaflah engkau dengan mengenderai untamu, ketika orang sedang solat itu." Ummu Salamah melaksanakan perintah Nabi saw. yang demikian itu, dan dia tidak sempat melakukan solat sunat dua rakaat sesudah tawaf, sampai ia keluar dari mesjid."