Jilid 2 \ 716 - 784 ( Zakat )

716, Ibnu Abbas r.a., katanya Nabi saw. mengirim Muadz ke negeri Yaman. Beliau bersabda kepadanya: "Ajaklah , mereka supaya mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya aku. Pesuruh Allah. Jika mereka telah mematuhi yang demikian, terangkanlah kepada mereka bahawa Allah swt. mewajibkan kepada mereka solat lima kali sehari semalam. Kalau mereka telah mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah swt. memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat harta mereka, diambil dari orang yang kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang - orang yang miskin. Jika itu telah dipatuhi mereka, jagalah supaya kamu jangan mengambil harta mereka yang paling berharga. Takutilah doa orang yang teraniaya, kerana sesungguhnya antara dia dengan Allah tidak ada dinding."

717, Dari Abu Ayyub r.a., katanya: "Seorang laki-laki berkata kepada Nabi saw., "Ajarkanlah kepada ku amal yang dapat memasukkan ku ke syurga."Seseorang yang lain bertanya, "Apakah yang ditanyakannya? Apakah yang ditanyakannya?" Nabi saw. menjawab, "Dia menanyakan sesuatu hal yang amat penting baginya. Sembahlah Allah dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu. Tegakkanlah solat, bayarkan zakat dan hubungkan kasih-sayang."

718, Dari Abu Hurairah r.a., katanya seorang Arabiy (Arab dusun) datang kepada Nabi saw., katanya; "Tunjukkanlah kepada ku suatu amal, yang apabila aku lakukan aku masuk syurga kerananya." Jawab Nabi saw., "Sembahlah Allah, jangan persekutukan Dia dengan sesuatu. Tegakkan solat wajib dan bayarlah zakat fardu. dan puasalah di bulan Ramadhan." Kata Arabiy itu, "Demi Allah yang diri ku di tanganNya, tidak akan ku tambah dari ini." Ketika orang itu telah pergi, Nabi saw. bersabda, "Siapa yang senang melihat seseorang dari penduduk syurga, lihatlah orang itu."

719, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Pada hari kiamat, unta akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang sebagus-bagusnya. Apabila dia tidak membayar zakatnya, akan dipijak-pijaknya orang itu dengan kuku kakinya. Begitu pula kambing yang tidak dibayarkan zakatnya, kambing itu akan datang kepada pemiliknya lalu memijak dan menanduk orang itu dengan tanduknya." Beliau bersabda menambahkan, "Diantara haknya ialah memerah susunya didekat air." Sabda beliau saw., "Aku tidak ingin, hari kiamat nanti seseorang memikul kambing yang sedang meraung. Katanya: Hai, Muhammad! Tolonglah aku!" Jawab ku, "Aku tidak kuasa sedikit jua pun menolongmu. Bukankah dulu telah ku sampaikan?" Dan aku tidak ingin, seseorang kamu nanti datang kepada ku memikul unta meraung-raung, lantas berkata meminta tolong kepada ku. Jawab ku, "Aku tidak kuasa sedikit jua pun menolongmu. Bukankah dulu telah ku sampaikan?"

720, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa diberi Allah kekayaan, tetapi tidak dibayarkannya zakatnya, nanti di hari kiamat hartanya itu akan menjadi ular yang mempunyai dua titik hitam sebelah atas kedua matanya, kemudian ular itu dikalungkan ke lehernya dan menggigit pipinya. Katanya, inilah aku harta yang kamu tumpuk - tumpuk. Kemudian Nabi membaca ayat: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.

721, Dari Abu Said r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Tidak wajib zakat pada mata wang (perak) yang kurang dari lima uqiah, tidak pula pada unta yang kurang dari lima ekor, dan pada kurma yang kurang dari lima wasq."

722, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa bersedekah seharga satu buah kurma (yang didapatnya) dengan usaha yang baik, sedangkan yang diterima Allah hanya yang baik pula, maka Allah akan menerima sedekahnya itu dengan tangan kananNya, kemudian dipeliharaNya untuk yang punya seperti kamu memelihara seekor ternak, sampai sedekah itu seperti bukit."

724, Dan Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Belum akan terjadi kiamat, sebelum harta kekayaan telah banyak sampai melimpah ruah, sehingga yang punya harta jadi bimbang, siapakah kiranya yang mahu menerima sedekahnya. Diberikannya kepada seseorang, lalu orang itu berkata kepadanya, "Aku tidak memerlukannya."

725, Dari 'Adi bin Hatim r.a., katanya: "Ketika saya sedang berada dekat Rasulullah saw., tiba-tiba dua orang laki-laki datang kepada beliau. Yang seorang mengadukan tentang kemiskinannya dan yang seorang lagi mengadukan bahawa ia kena rompak. Rasulullah saw. bersabda, "Perihal perompakan, sesungguhnya tidak lama lagi sebuah kafilah boleh datang ke Mekah tanpa dikawal. Perihal kemiskinan, belum akan terjadi kiamat hingga seseorang kamu mengedar kian kemari membawa sedekahnya mencari orang yang akan menerimanya, tetapi tidak menemuinya. Sesungguhnya kamu akan berdiri dihadapan Allah swt. tanpa batas dan juru bahasa. Allah berfirman, "Apakah kamu tidak ku beri kekayaan?" Jawabnya. "Ada." Tanya Allah, "Tidakkah Aku utus kepada mu RasulKu?" "Jawabnya, "Ya, ada." Kemudian orang itu menengok ke kanan, tidak ada yang kelihatan olehnya melainkan hanya api. Kemudian ia melihat pula ke kiri, tidak ada yang kelihatan olehnya melainkan hanya api juga. Maka takutlah olehmu api neraka itu walaupun hanya dengan sebelah kurma. Sekiranya itu pun tidak ada, maka dengan mengucapkan perkataan yang baik pun sudah cukup.

726, Dari Abu Musa r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana orang mengedar membawa emas untuk disedekahkannya. Tetapi tidak satu pun orang yang ditemuinya yang bersedia menerima sedekah daripadanya. Dan suatu masa, di mana kelihatan seorang laki-laki diikuti oleh empat puluh wanita sebagai pelindungnya. Hal itu terjadi kerana jumlah laki-laki terlalu sedikit, sedangkan jumlah wanita terlalu banyak.

727, Dari Abu Mas'ud r.a katanya: "Rasulullah saw. menyuruh kami bersedekah. Lantas salah seorang di antara kami pergi ke pasar mencari upahan untuk secupak makanan, sedangKan yang lainnya ada yang telah mempunyai seratus ribu hari itu."

728, Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Seorang wanita datang kepada ku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tidak ada yang didapatinya pada ku ketika itu selain hanya sebuah kurma, lalu ku berikan kepadanya. Kurma itu dibahaginya dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu, dan ia sendiri tidak memakan. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah Nabi saw. datang, aku ceritakan hal itu kepada beliau. Sabda beliau saw., "Barangsiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya dari api neraka."

729, Dari Abu Hurairah r.a., katanya seorang laki-laki datang kepada Nabi saw. bertanya: "Ya, Rasulullah! Sedekah yang bagaimanakah yang paling besar pahalanya?" Jawab Nabi, "Yaitu sedekah yang engkau berikan waktu sihat, kikir takut miskin, dan mengangan-angankan kaya. Waktu itu janganlah engkau janjikan, sehingga waktu nyawa hampir keluar dari badan, engkau berkata: Untuk si Polan sekian, dan untuk si Polan sekian. Sedangkan harta itu sebetulnya untuk si Polan."

730, Dari 'Aisyah r.a., katanya sebahagian isteri Nabi saw. bertanya kepada beliau: "Siapakah di antara kami yang lebih dahulu Tuan?" Jawab Nabi saw., "Siapa yang lebih panjang tangannya." Lantas mereka ambil sepotong ranting lalu mereka ukur tangan mereka. Ternyata Saudah yang lebih panjang. Barulah kemudian mereka ketahui, bahawa yang dimaksudkan Nabi tangan panjang, ialah tangan yang banyak memberikan sedekah. Itulah isteri beliau yang paling dahulu bertemu dengan beliau di akhirat nanti. Saudah sangat suka bersedekah."

731,Dari Abu Hurairah r.a., katanya ada seorang laki-laki berkata: "Saya akan bersedekah. "Lalu ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan seorang pencuri. Orang banyak memperkatakan, "Ada pula orang bersedekah kepada pencuri." Orang yang bersedekah itu berkata: "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah." Lalu ia keluar membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya kepada seorang perempuan lacur. Orang banyak memperkatakan, "Semalam ada orang memberikan sedekah kepada wanita pelacur." Orang itu berkata, "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah." Ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan orang kaya. Orang banyak memperkatakan pula, "Rupanya orang kaya pun menerima sedekah juga." Kata orang yang memberi sedekah, "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya berikan sedekah saya kepada pencuri, kepada wanita lacur dan kepada orang kaya." Kemudian ia bermimpi. Rasanya ada malaikat yang mengatakan kepadanya, "Sedekah engkau kepada pencuri, semoga menyebabkan ia berhenti mencuri. Sedekah engkau kepada pelacur, semoga menyebabkan ia berhenti melacur. Dan sedekah engkau kepada orang kaya, semoga menyedarkannya dan mendorongnya untuk menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya."

732, Dari Maan bin Yazid r.a., katanya: "Saya, bapa dan nenek saya pernah melakukan baiah kepada Rasulullah saw.,dan beliau pernah meminangkan seorang wanita untuk saya, kemudian beliau pula yang mengahwinkan saya. Saya pun pernah mengajukan suatu perkara kepada beliau. (Pada suatu kali bapa saya) Yazid, menyediakan beberapa dinar untuk disedekahkannya, dan wang itu diletakkannya di dekat seorang laki-laki dalam masjid. Ketika saya datang, wang itu saya ambil dan saya bawa kepada bapa saya. Katanya, "Demi Allah! Bukan untuk engkau maksudku." Kemudian dimajukannya perkara itu kepada Rasulullah saw. Sabda beliau, "Wahai Yazid! Untuk engkau apa yang engkau niatkan! Wahai Maan! Untuk engkau apa yang engkau ambil."

733, Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang wanita yang menafkahkan makanan dari rumah tangganya tanpa merugikan, dia memperoleh pahalanya kerana menafkahkan, suaminya mendapat pahala kerana menghasilkan, dan khadamnya begitu pula. Pahala yang satu tidak akan mengurangi pahala yang lain sedikit pun."

734, Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya, Nabi saw. bersabda: "Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang, menerima atau meminta). Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai minta-minta) Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon ditetapkan (agar tidak ada bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya."

735, Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya ketika Rasullullah saw. sedang di atas mimbar, beliau menerangkan perihal sedekah. 'iffah dari perihal minta-minta. Sabda beliau, "Tangan yang di atas, lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas iaitu tangan yang memberi dan tangan yang di bawah iaitu tangan yang meminta."

736, Dari Abu Musa r.a., katanya: "Apabila ada orang minta-minta datang kepada Rasulullah saw. atau orang yang memohonkan suatu keperluan kepada beliau, beliau bersabda: "Sukalah menolong, engkau akan mendapat upah. Dan Allah jua menentukan apa yang dikehendaki-Nya melalui lisan Nabi-Nya saw."

737, Dan Asma' binti Abu Bakar r.a., katanya dia datang kepada Rasulullah saw. lantas beliau bersabda: "Janganlah engkau menahan-nahan (harta), maka Allah akan menahannya pula untukmu. Kerana itu keluarkanlah harta itu menurut kesanggupanmu."

738, Dari Hakim bin Hizam r.a., dia bertanya: "Ya, Rasulullah! Bagaimana pendapat Tuan tentang sesuatu yang aku lakukan sebagai ibadat di masa jahiliyah berupa sedekah, memerdekakan hamba sahaya dan menghubungkan silaturrahim, dapat pahalakah saya atau tidak?" Jawab Nabi, " Engkau telah Islam dengan memperolehi kebaikan di masa lalu." adis Sahih Bukhari No. 0739 Jilid 2 Topik adalah Zakat 739, Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw., beliau bersabda: "Seorang kasir (atau bendahari) Muslim yang dipercayai, yang melaksanakan (atau beliau mengatakan yang memberikan) apa yang diperintahkan kepadanya untuk membayar, lalu dilaksanakannya dengan penuh sempurna, cukup dan dengan segala senang hati, kepada orang yang disuruh bayarkan kepadanya, maka kasir itu termasuk orang yang bersedekah."

740, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Setiap hari dua orang malaikat turun dari langit; seorang di antara mereka berkata, "Ya, Allah! Gantilah bagi setiap orang yang pemurah keranaMu." Dan yang lain berkata, "Ya, Allah! Musnahkanlah harta setiap orang yang menahan-nahan (hartanya, tidak mahu bersedekah)."

741, Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: Perumpamaan orang yang kikir dengan orang yang pemurah, seperti dua orang memakai baju besi yang menutupi susu sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badan sampai ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kikir, kerana ia tidak hendak menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap pertemuan bajunya menyempit di tempatnya. Ia berusaha hendak melonggarkan, tetapi tidak boleh longgar."

742, Dari Abu Musa r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Mestinya tiap-tiap orang muslim bersedekah. Orang banyak bertanya: "Ya, Nabi Allah! Bagaimana dengan orang yang tak punya (untuk disedekahkan)?" Jawab Nabi saw.. "Ia harus bekerja dengan tangannya, sehingga ia memperoleh keuntungan untuk dirinya dan dapat bersedekah." Tanya mereka. "Kalau tidak sanggup?" Sabda Nabi, "Hendaklah ia menolong orang yang memerlukannya." Tanya: "Kalau sekiranya tidak boleh?" Jawab Nabi saw., "Kerjakanlah segala kebaikan dan hentikan segala macam kejahatan. Yang demikian itu bererti sedekah juga baginya."

743, Dari Ummu 'Athiyah r.a., katanya: "Seekor kambing dikirimkan orang kepada Nusaibah Al Anshariyah, maka dikirimkannya pula sebahagian daripadanya kepada 'Aisyah. (Kebetulan) Nabi saw. bertanya: "Adakah engkau punya makanan?" Jawab 'Aisyah, "Tidak! Kecuali (gulai) kambing yang dikirimkan Nusaibah." Sabda Nabi, "Bawalah kemari! Kirimannya itu tepat benar sampai di alamatnya."

744, Dari Anas r.a., katanya: "Abu Bakar menulis surat kepada ku menerangkan perintah Allah kepada RasulNya saw. berhubung dengan seorang wajib zakat yang harus membayar satu ekor Bintu Makhadh (unta betina untuk satu tahun), sedangkan dia tidak mempunyai bintu makhadh, hanya Bintu Labun (unta betina umur dua tahun), maka itu boleh diterima sebagai zakatnya, tetapi si penerima zakat harus mengembalikan 20 dirham, atau dua ekor domba; dan jika si pembayar zakat tidak mempunyai bintu makhadh, tetapi mempunyai bintu labun (jantan), itu dapat diterima sebagai zakat tanpa suatu apa-apa."

745, Dari Anas r.a., katanya: "Abu Bakar menulis surat kepadanya menjelaskan apa yang diperintahkan Rasulullah saw.(perihal zakat). Katanya, "Janganlah mengumpulkan yang bercerai dan jangan menceraikan yang berkumpul kerana takut membayar zakat."

746, Dari Anas r.a., katanya: Abu Bakar menulis surat kepadanya menerangkan perintah Rasulullah saw., "Dua harta yang bercampur, keduanya mempunyai kewajiban yang sama."

747, Dari Abu Said r.a.. katanya seorang Arab dusun bertanya kepada Rasulullah saw. tentang hijrah. Sabda Nabi, "Oh. kasihan! Hijrah itu sulit. Tetapi adakah kamu mempunyai unta untuk kamu bayarkan zakatnya?" Jawabnya, "Ada!" Sabda Nabi, "Beramallah di seberang lautan, sesungguhnya Allah tiada menyia-nyiakan sedikit pun amalanmu itu."

748, Dari Anas r.a., katanya Ahu Sakar menulis surat kepadanya perihal sedekah wajib (zakat) yang diperintahkan Allah kepada Rasul-Nya saw.: "Siapa yang wajib zakat seekor Jazah, sedangkan dia tidak mempunyainya tetapi hanya Hiqqah, Hiqqah itu boleh diterima daripadanya ditambah dengan dua ekor biri-biri jika itu mudah baginya, atau boleh juga ditambah dengan dua puluh dirham. Siapa yang wajib zakat seekor Hiqqah, yang ada padanya hanya Jazah, Jazah itu boleh diterima daripadanya, tetapi harus dikembalikan kepadanya oleh si penerima dua puluh dirham atau dua ekor biri-biri. Dan siapa yang wajib zakat seekor Hiqqah, tetapi yang ada padanya hanya Bintu Labun, bintu labun itu dapat diterima daripadanya tetapi harus ditambahnya dengan dua ekor biri-biri atau dua puluh dirham." Siapa yang wajib zakat bintu Labun, tetapi ia hanya mempunyai hiqqah, hiqqah itu boleh diterima daripadanya dan si penerima harus mengembalikan dua puluh dirham atau dua ekor biri-biri. Siapa yang wajib zakat bintu labun, yang ada hanya bintu makhadh, bintu makhadh itu boleh diterima daripadanya tetapi harus ditambahnya dengan dua puluh dirham atau dua ekor biri-biri.

749, Dari Anas r.a., katanya Abu Sakar, memerintahkannya pergi ke Bahrain (untuk mengumpulkan zakat).Beliau menulis surat untuk menyusul keberangkatan nya itu, sebagai berikut: "Bismillahirrahmanirrahim. Inilah perintah zakat yang diwajibkan Rasulullah kepada seluruh umat Islam sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah kepada Rasul-Nya itu. kerana itu, siapa saja di antara kaum Muslimin yang diminta zakatnya sesuai dengan ketentuannya, hendaklah diberikannya, dan siapa yang diminta lebih dari mestinya, janganlah diberikannya. Dari lima sampai dua puluh empat ekor unta, zakatnya seekor Syaatun (biri-biri) untuk setiap lima unta. Dua puluh lima sampai dengan tiga puluh lima ekor, zakatnya seekor Bintu Makhadh. Dari tiga puluh enam sampai dengan empat puluh lima ekor unta, zakatnya seekor Bintu Labun. Dan empat puluh enam sampai dengan enam puluh ekor unta, zakatnya seekor Hiqqah Tharuqatul Jamal. Dan enam puluh satu sampai dengan tujuh puluh lima ekor unta, zakatnya seekor Jaz'ah. Dari tujuh puluh enam sampai sembilan puluh ekor, zakatnya dua ekor Bintu Labun. Dan sembilan puluh satu sampai dengan seratus dua puluh ekor, zakatnya dua ekor hiqqah tharuqatul jamal. Dan seratus dua puluh sampai seterusnya, tiap-tiap empat puluh ekor, zakatnya seekor Bintu Labun. Dan tiap-tiap lima puluh ekor, zakatnya seekor Hiqqah. Siapa yang mempunyai empat ekor unta, ia tidak wajib zakat kecuali kalau ia suka mengelurkannya. Tetapi apabila ia mempunyai lima ekor, ia wajib zakat seekor biri-biri. Zakat ghanam (kambing/biri-biri) ialah ghanam yang lepas. Mulai dari empat puluh sampai dengan seratus dua puluh ekor, zakatnya seekor Syaatun. Dari seratus dua puluh sampai dengan dua ratus, dua ekor Syaatun. Dari dua ratus sampai dengan tiga ratus, zakatnya tiga ekor Syaatun. Dari tiga ratus sampai seterusnya, tiap-tiap seratus, zakatnya seekor Syaatun. Dan siapa yang mempunyai ghanam kurang dari empat puluh ekor, biarpun hanya kurang seekor, tidak wajib zakat baginya, kecuali kalau ia suka membayarnya. Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu. Tetapi kalau harganya cuma seratus sembilan puluh, tidak wajib zakatnya, kecuali kalau yang punya ingin mengeluarkannya.

750, Dari Anas r.a., katanya Abu Bakar menulis surat kepadanya perihal perintah Allah kepada Rasul-Nya Muhammad saw., sebagai berikut: "Janganlah membayar zakat dengan (haiwan) yang tua atau yang cacat, dan jangan pula dengan yang jantan untuk pembiakan, kecuali kalau yang memang menghendakinya.

751, Dari Abu Dzar r.a., katanya ketika dia bertemu kembali dengan Nabi saw., beliau bersabda: "Demi Allah yang diri ku berada dalam genggaman-Nya, (atau barangkali beliau berkata: Demi Allah, yang tidak ada Tuhan selain Dia), siapa yang mempunyai unta, atau lembu, atau kambing dan biri-biri, dan tidak mahu membayar zakatnya, maka haiwan-haiwan itu akan didatangkan kepadanya pada hari kiamat nanti dalam keadaan besar dan gemuk, memijak-mijak orang itu dengan kakinya dan menanduknya dengan tanduknya; setelah semua haiwan itu selesai memijak dan menanduk, lalu kembali lagi giliran yang pertama sampai habis. Begitulah seksaan itu berlaku terus hingga datang pengadilan di antara seluruh manusia."

752, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Abu Thalhah al Anshari adalah seorang kaya Madinah yang banyak mempunyai kebun kurma. Di antara kebun yang paling disukainya, ialah kebunnya di Bairuha yang berhadap-hadapan dengan masjid. Rasulullah sendiri pernah masuk ke kebunnya itu dan minum air tawar yang ada di situ. Anas menceritakan, ketika turun ayat: Lan tanaaJuul birra hatta tunfiquu mimmaa tuhibbun . . . . . (hingga akhir ayat), Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata, "Ya, Rasulullah! Allah tabaaraka wa ta'aalaa telah berfirman: Sekali-kali tidak kamu capai kebaikan sehingga kamu infakkan (sedekahkan) apa-apa yang kamu kasihi. Sesungguhnya hartaku yang paling ku kasihi ialah kebunku di Bairuha. Maka kerana itu kebunku itu aku sedekahkan kerana Allah, semata-mata kerana mengharapkan kebaikannya dari Allah. kerana itu, ya, Rasulullah! Berikanlah kebunku itu ke mana saja Allah menghendakinya." Jawab Rasulullah saw., "Wah! Itulah harta yang paling menguntungkan. (diucapkan beliau dua kali). Telah aku dengar apa yang kamu inginkan. Aku berpendapat, lebih baik engkau serahkan kebunmu itu kepada keluargamu." Kata Abu Thalhah, "Saya laksanakan, Ya, Rasulullah!" Kemudian Abu Thalhah membahagi-bahagikan kebunnya itu kepada keluarga serta anak-anak pakciknya."

753, Dan Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw., bersabda: "Tidak wajib zakat atas seorang Muslim, pada kuda dan hamba sahaya."

754, Abu Sa'id r.a. menceritakan: "Pada suatu hari Nabi saw. duduk di mimbar dan kami duduk di kelilingnya. Beliau bersabda: "Sesungguhnya apa yang aku khuatirkan terhadap mu sepeninggal ku, ialah berkembangnya semarak dunia dan kemewahannya." Seseorang bertanya, "Apakah kebaikan membawa kejahatan?" Nabi saw. diam. Kemudian seseorang berkata kepada laki-laki itu, "Apa yang salah dengan pertanyaanmu, sehingga Nabi sampai tak menjawab?" Menurut hemat kami, wahyu sedang turun kepada beliau ketika itu. Kata Abu Said, sesudah beliau menyapu keringat lalu beliau bersabda: "Siapa yang bertanya?" Seolah-olah beliau berterima kasih kepada orang itu. Sabdanya, "Sesungguhnya bukanlah kebaikan yang membawa kejahatan. Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di musim hujan, membunuh atau hampir membunuh selain ternak yang memakan rumput hijau. Apabila perutnya kenyang lalu dia memandang ke atas terus menceret terkencing dan makan pula. Harta itu hijau dan manis. Sebaik-baik harta kepunyaan seorang Muslim ialah yang diberikannya kepada orang miskin, anak yatim dan orang dalam perjalanan." Selanjutnya beliau bersabda: "Siapa yang mengambil harta itu tanpa suatu hak, sama dengan orang makan, tetapi tidak merasa kenyang. Dan harta itu akan menjadi saksi baginya di hari kiamat."

755, Dari Zainab, isteri Abdullah r.a., katanya ketika dia berada dalam masjid, Nabi saw. bersabda: "Bersedekahlah, walaupun dengan pakaianmu!" Zainab biasa berbelanja untuk Abdullah (suaminya) dan untuk anak yatim yang dipeliharanya. Dia berkata kepada Abdullah, "Cubalah tanyakan kepada Rasulullah saw. Cukupkah apa yang saya belanjakan untuk Tuan dan anak yatim yang saya pelihara sebagai sedekah daripadaku?" Jawab Abdullah, " Engkau sendirilah yang bertanya kepada beliau." Lantas aku pergi kepada Rasulullah saw. Kebetulan di pintu saya bertemu dengan seorang wanita Ansar, yang maksudnya sama dengan aku. Sementara itu Bilal lalu di samping kami, lalu kata kami kepadanya, "Tolong tanyakan kepada Nabi saw.: Cukupkah apa yang saya belanjakan untuk suami dan anak yatim yang saya pelihara sebagai sedekah daripadaku? Kami pesankan pula kepadanya, supaya jangan dikhabarkan kepada Nabi saw. bahawa kami yang bertanya."Bilal terus masuk lalu menanyakan pesan Zainab itu kepada Nabi.Tanya beliau, "Siapa wanita yang berdua itu?" Jawab Bilal, "Zainab!" Tanya Nabi lagi, "Zainab yang mana'?" Jawab Bilal, "Zainab, isteri Abdullah. " Sabda Nabi saw., "Ya, cukup! Dia mendapat dua pahala, Yakni pahala kekeluargaan dan pahala sedekah."

756, Dari Zainab binti Ummu Salamah r.a., katanya dia bertanya kepada Rasulullah saw.: "Ya. Rasulullah! Dapat pahalakah saya kerana saya membelanjai anak-anak Abu Salamah, sedangkan semuanya itu anak saya pula?" Jawab Nabi saw., "Bayarlah belanja anak-anak itu semuanya, engkau akan mendapat pahala atas apa yang engkau belanjakan untuk mereka."

757, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. memerintahkan kepada orang banyak supaya bersedekah. Lantas dikatakan orang kepada beliau, Ibnu Jamil, Khalid bin Walid dan Abbas Ibnu Abdul Mutthalib tidak mahu bersedekah." Sabda Nabi saw., "Apakah yang menghalangi Ibnu Jamil untuk mengeluarkan zakat, padahal ia dahulu seorang miskin dan sekarang sudah dikayakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Adapun Khalid, sesungguhnya kamu menganiayanya, kerana dia sedang mengumpulkan baju besi dan segala alat perlengkapan perang yang disediakannya untuk Sabilillah. Dan Abbas bin Abdul Muthalib, walaupun dia pakcik Rasulullah saw., namun zakat itu wajib baginya dan dia harus membayar dua kali lipat."

758, Dari Abu Said r.a., katanya: "Beberapa orang kaum Ansar meminta (sesuatu) kepada Rasulullah saw., lalu diberi oleh beliau. Kemudian mereka minta lagi, terus diberi oleh beliau, diminta lagi, diberi lagi sehingga habislah apa yang ada pada Rasulullah. Sabda beliau, "Tidak ada lagi pada ku dan tidak ada pula yang ku simpan. (Ingatlah!) siapa yang ingin terpelihara dari minta-minta, Allah akan memeliharanya, siapa yang merasa cukup, Allah akan mencukupkannya, dan siapa yang berhati sabar, Allah akan memberinya kesabaran; tiada satu juga pemberian Allah yang diberikanNya kepada seseorang, yang lebih baik dan lebih lapang daripada sabar."

759, Dari Zubair bin Awwam r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu dipunggungnya lalu dijualnya, dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang banyak diberi ataupun tidak."

760, Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya dia pernah meminta kepada Rasulullah saw. lalu diberi oleh beliau, kemudian dia meminta lagi lalu diberi juga oleh Rasulullah, kemudian dia meminta lagi, beliau memberi juga sambil bersabda: "Wahai, Hakim! Harta ini hijau, sedap dipandang mata, lagi manis. Siapa yang mengambil dengan hati pemurah, Allah akan memberinya berkat, dan siapa yang mengambilnya dengan hati loba dan tamak, tidak akan diperoleh berkat (harta itu), seperti orang yang makan tidak pernah merasa kenyang. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah." Kata Hakim, "Ya, Rasulullah! Demi Allah yang mengutus Tuan dengan yang hak, saya tidak akan mengurangi sedikit pun hak seseorang sesudah berpisah dengan Tuan sampai saya meninggal dunia. Pada suatu ketika Abu Bakar memanggil Hakim untuk menerima suatu pemberian, tetapi ia tidak mahu menerimanya. Kemudian Umar juga memanggilnya untuk menerima suatu, tetapi ia enggan menerimanya. Kata Umar, "Wahai, kaum Muslimin! Saksikanlah Hakim! Aku telah memberikan haknya kepadanya dari harta rampasan ini, tetapi ia enggan menerimanya." Begitulah sepeninggalan Rasulullah saw., Hakim tidak pernah mengurangkan hak seseorang atasnya sampai ia meninggal dunia(1) (1) maksudnya tidak pernah meminta-minta kepada seorang juapun.

761, Dari Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah memberi ku suatu pemberian, lalu kataku: Berikanlah kepada orang yang lebih memerlukakan daripada saya." Sabda beliau, "Ambillah! Jika kamu diberi suatu pemberian seperti ini, tanpa engkau merasa loba dan tidak pula memintanya, maka ambillah! Kalau pun engkau tidak diberi, janganlah engkau merasa kecewa kerananya!"

762, Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Siapa yang sentiasa meminta-minta kepada orang banyak, ia akan dibangkitkan nanti di hari kiamat dengan muka tanpa daging sepotong jua pun." Selanjutnya beliau menambahkan, "Matahari pada hari kiamat nanti sangat dekat sekali, sehingga (genangan) keringat hampir sampai seperdua telinga. Dalam keadaan serupa itu mereka meminta pertolongan kepada Nabi Adam, kemudian kepada Nabi Musa dan akhirnya kepada Nabi Muhammad saw."

763, Dari Mughirah bin Syuabah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Allah membenci tiga perkara; (1) Banyak bicara. (2) Menyia-nyiakan harta benda. (3) Banyak tanya (terutama mengenai agama).

764, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Bukanlah bernama miskin, orang yang pergi berkeliling ke sana ke mari meminta-minta kepada orang banyak, lalu diberi mereka satu-dua suap atau satu-dua kurma. Tetapi yang bernama miskin itu ialah, orang yang tidak memperoleh kekayaan yang mencukupi bagi keperluan hidupnya sehari-hari, tidak pula ada orang yang mengerti keadaannya, lalu memberinya sedekah, dan tidak pula pergi meminta-minta kepada orang banyak. "

765. Dari Abu Humaid As Sa'idi r.a., katanya dia pernah ikut berperang bersama-sama dengan Nabi saw. dalam peperangan Tabuk. Ketika tiba di Wadi-al-Qura, ada seorang wanita sedang berada di dalam kebunnya. Rasulullah saw. menanyakan kepada para sahabat berapa kira-kira taksiran mereka terhadap buah-buahan di dalam kebun itu. Dan beliau sendiri menaksirnya kira-kira sepuluh wasq. Nabi saw. bersabda kepada wanita itu, "Hitunglah berapa kira-kira hasil kebunmu, dan berapa zakat yang harus kamu bayarkan!" Setelah kami sampai di Tabuk, Nabi saw. bersabda, "Malam ini akan bertiup angin kencang. kerana itu janganlah ada seorang jua pun yang berdiri, dan siapa yang mempunyai unta, tambatkanlah untanya." Lalu kami tambatkan unta kami. Tidak lama antaranya angin kencang pun bertiuplah. Seorang laki-laki berdiri, lalu diterbangkannya sampai ke bukit Thai. Ketika itu ada pula seorang raja Ailah menyerahkan seekor keldai putih kepada Nabi saw., dan keldai itu diberinya pakaian dengan kain bulu dan dia menulis surat kepada Nabi saw. yang menyatakan bahawa dia dan rakyatnya menyerah kepada Nabi saw. dan bersedia membayar Jizyah (ufti). Ketika Nabi tiba kembali di Wadi al-Qura, beliau bertanya kepada wanita pemilik kebun, "Berapa jumlah hasil kebunmu?" Jawabnya, "Sepuluh wasq, sebanyak taksiran Nabi saw." Sabda Nabi, "Aku akan segera kembali ke Madinah. Siapa yang ingin berangkat bersama-sama dengan ku, bersiap-siaplah dengan segera." Ibnu Bakkar (sub perawi) menambahkan, ketika Nabi saw. telah dekat ke Madinah, beliau bersabda, "Inilah kota yang baik. (Thaabah)." Dan ketika beliau melihat bukit Uhud, beliau bersabda, "Itulah bukit kecil yang sentiasa mencinta kita dan kita mencintainya pula. Mahukah anda sekalian, aku ceritakan kepada kamu, perkampungan Ansar yang paling baik?" Jawab para sahabat, "Ya, sudah tentu!" Sabda beliau, "Ialah perkampungan Bani Najjar, kemudian perkampungan Bani Asyhal, kemudian perkampungan Bani Saaidah atau perkampungan Bani al Harits bin Al Khazraj dan setiap perkampungan Ansar baik."

766. Dari Abdullah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Tanam-tanaman yang diairi dengan air hujan, atau dengan mata air, atau tanam-tanaman yang tumbuh di rawa-rawa, zakatnya sepersepuluh, dan yang diam dengan tenaga angkutan, zakatnya seperdua puluh."

767. Dari Abu Said AI Khudri r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Tidak ada zakat bagi (tanam-tanaman) yang kurang dari lima wasq, bagi unta yang kurang dari lima ekor dan bagi mata wang (perak) di bawah lima uqiah."

768. Dari Abu Hurairah r.a.. katanya: "Pada suatu ketika waktu musim memunggut kurma, dibawa orang kurma kepada Rasulullah saw., iaitu si Anu dan si Fulan dan lain-lain, sehingga bertumpuklah kurma di dekat beliau. Hasan dan Husain bermain-main dengan kurma itu, lalu diambilnya satu dan dimasukkannya ke mulutnya. Rasulullah saw. melihat apa yang diperbuat anak-anak itu, maka dikeluarkannya kurma itu dari mulutnya sambil bersabda, " Engkau tidak tahu bahawa keluarga Muhammad saw. tidak dibolehkan memakan sedekah."

769. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Nabi saw. melarang menjual buah-buahan sebelum nyata baiknya." Ketika Nabi ditanya orang tentang apa yang dimaksud dengan baiknya, beliau menjawab, "hendaknya buah-buahan itu tidak boleh lagi kena penyakit." Sahih Bukhari (0770)

770. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. melarang menjual buah-buahan sebelum masak. Sabda beliau, "Sehingga berwarna kemerah-merahan."

771. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "bahawasanya Umar bin Khathab telah bersedekah kuda fi Sabilillah. Kemudian didapatinya kuda itu dijual orang, dan dia bermaksud hendak membelinya. Tetapi dia pergi lebih dahulu kepada Nabi saw. meminta nasihat beliau. Nabi bersabda kepadanya, "Janganlah engkau ambil kembali sedekahmu."

772. Dari Aslam r.a., katanya dia mendengar Umar r.a. berkata: "Saya menyerahkan seekor kuda untuk Sabilillah, tetapi disia-siakan oleh yang menerimanya. Kerana itu saya bermaksud hendak membelinya kembali dan saya kira dia mahu menjual dengan harga yang murah. Maka saya bertanya lebih dahulu kepada Nabi tentang maksud saya itu. Jawab beliau, "Jangan dibeli dan jangan pula engkau ambil kembali apa yang telah engkau sedekahkan, sekalipun ia suka memberikan kepada engkau dengan harga satu dirham. Sesungguhnya orang yang mengambil kembali apa yang telah disedekahkannya (diberikan), samalah halnya dengan orang yang memakan muntahnya."

773. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Nabi saw. melihat seekor biri-biri yang disedekahkan orang kepada maula Maimunah, biri-biri itu mati. Lalu Nabi saw. bersabda kepadanya, "Mengapa tidak kamu manfaatkan kulitnya?" Jawab mereka, "Kerana biri-biri itu sakit." Sabda Nabi pula, "Sesungguhnya yang haram itu memakannya."

774. Dari 'Aisyah r.a., : "Sesungguhnya dia bermaksud hendak membeli (seorang hamba sahaya bernama) Barirah untuk dimerdekakannya. Si penjual membuat syarat bahawa perwalian (al wala' = hubungan kekeluargaan) tetap berada di tangannya. 'Aisyah menceritakan hal itu kepada Nabi saw. Sabda Nabi, "Belilah hamba sahaya itu. Sesungguhnya perwalian berada di tangan orang yang memerdekakan." Kata 'Aisyah, "Tidak lama kemudian, Nabi saw. dihantari orang daging. Ku katakan kepada beliau, daging ini disedekahkan orang untuk Barirah." Sabda beliau, "Kalau untuk Barirah bererti sedekah, dan kalau untuk kita bererti hadiah."

775. Dari Ummu 'Athiyah Al Anshari r.a., "Pada suatu ketika, Rasulullah saw., masuk ke rumah 'Aisyah r.a. lalu beliau bertanya: "Adakah kamu sedia makanan?" Jawab 'Aisyah, "Tidak! Kecuali daging yang dikirimkan Nusaibah, dari biri-biri yang Tuan sedekahkan kepadanya." Sabda Nabi, "Sesungguhnya sedekah itu telah sampai ke tempatnya."

776. Dari Abdullah bin Aufa r.a., katanya: "Apabila seseorang datang membawa sedekahnya kepada Rasulullah saw., beliau mendoakan: Wahai, Allah! Berikanlah rahmat kepada keluarga si Fulan." Kemudian bapa ku datang pula membawa sedekahnya, lalu beliau mendoa: "Wahai, Allah! Berilah rahmat kepada keluarga Abu Aufa."

777. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., katanya: "Seorang laki-laki Bani Israil meminta kepada seorang Bani Israil lainnya supaya ia dipinjami wang seribu dinar, maka dipinjamkannya seribu dinar. Si peminjam pergi ke pelabuhan hendak berlayar, tetapi dia tidak mendapatkan kapal. Maka diambilnya sepotong kayu lalu dilubanginya, kemudian wang seribu dinar dimasukkannya ke dalam lobang itu, setelah ditutupnya, kayu itu dilemparkannya ke laut. Ketika orang yang memberi pinjaman pergi ke pinggir laut, ia menemukan sepotong kayu lalu diambilnya untuk kayu bakar bagi keluarganya. Setelah kayu itu di belahnya maka kedapatan olehnya wang seribu dinar di dalam kayu itu."

778. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak ada denda (diyat) pada yang terbunuh atau terluka oleh binatang buas, atau kerana jatuh ke dalam telaga, atau kerana menggali lombong. Dan zakat harta terpendam, seperlimanya. "

779. Dari Abu Hamid As Saidi r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah mempekerjakan seorang laki-laki dari Bani Asad untuk memungut zakat dari Bani Sulaim yang bernama Ibnul Lutbiyyah. Ketika ia kembali (dan zakat sudah terkumpul), Rasulullah saw. memeriksa dan menghitungnya."

780. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Pada suatu hari saya bawa Abdullah bin Abi Thalhah kepada Rasulullah saw. untuk melakukan tahnik baginya. Saya lihat beliau memegang sebuah cap untuk mencap unta sedekah."

781. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. mewajibkan zakat fitrah segantang kurma atau segantang gandum atas kaum muslimin, hamba sahaya atau orang yang merdeka, laki-laki atau perempuan, kecil atau besar. Dan beliau memerintahkan supaya zakat fitrah itu dibayarkan sebelum orang pergi solat Aidil fitri."

782. Dari Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah saw. memerintahkan supaya membayar zakat fitrah segantang kurma atau segantang gandum. Kata Abdullah, "Orang banyak menyamakan (segantang itu) dengan dua cupak hinthah (gandum yang paling baik)."

783. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Di masa Rasulullah saw. kami pernah mengeluarkan (zakat fitrah) berupa segantang makanan pada hari raya idul fitri. Kata Abu Said, "Pada hal makanan kami (ketika itu) gandum, buah anggur, dadih (susu yang telah diasamkan) dan kurma."

784. Dari Nafi', dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. mewajibkan zakat fitrah (atau beliau mengatakan: zakat ramadhan) kepada laki-laki dan perempuan merdeka dan hamba sahaya, segantang kurma atau segantang gandum. Kemudian orang banyak menyamakan segantang gandum itu dengan setengah gantang bur (gandum yang baik). Ibnu Umar pernah memberikan kurma untuk membayar zakat fitrahnya. Pada suatu ketika orang-orang Madinah sulit untuk memperoleh kurma, lantas dibayarnya dengan gandum. Ibnu Umar membayar zakat fitrah untuk anak-anak dan orang dewasa. Sehingga jika ada, anak-anak saya pun dibayarkannya. Biasanya Ibnu Umar membayarkannya langsung kepada orang yang berhak menerimanya. Dan biasanya pula, orang banyak membayarkannya satu atau dua hari sebelum Aidilfitri."