351, Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., dari Nabi saw., sabdanya: Janganlah terhalang seseorang kamu makan sahur kerana Bilal telah azan. Sebab dia itu azan ketika hari masih jauh malam, untuk mengingatkan orang-orang yang solat Malam supaya segera menyelesaikannya dan untuk membangunkan orang-orang yang masih tidur. "
352. Berita dari Abdullah bin Mughaffal Al Muzani r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Antara Azan dan Qamat ada solat." Beliau mengucapkan sabdanya itu sampai tiga kali dan menambahkan pada yang ketiga: "Bagi orang yang mahu."
353, 'Aisyah r.a. mengatakan, "Apabila Muadzin telah selesai azan Subuh, maka Rasulullah saw. solat ringan lebih dahulu dua rakaat sesudah terbit fajar. Setelah itu beliau berbaring ke sebelah kanan beliau sampai datang orang memberitahukan hendak Qamat untuk solat Subuh."
354, Berita dari Malik bin Huwairits r.a. mengatakan: "Aku datang kepada Nabi saw. bersama-sama dengan kaum ku, dan kami tinggal bersama Nabi selama 20 hari. Beliau sangat penyayang dan belas kasihan kepada kami. Maka ketika beliau melihat kami telah sangat rindu kepada keluarga kami, beliau berkata, "Pulanglah, anda semua! Tinggallah bersama keluarga anda. Ajarkanlah agama kepada mereka dan solatlah. Jika telah tiba waktu solat, maka azanlah lebih dahulu salah seorang di antara kamu, kemudian jadikanlah yang tertua di antara kamu menjadi imam."
355, Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Kami bersama-sama dengan Nabi saw. dalam suatu perjalanan. Tiba-tiba Muadzin hendak azan. Maka bersabda Nabi saw. kepadanya, "Biarkan udara agak sejuk lebih dahulu! " Kemudian orang itu hendak azan pula. Beliau pun berkata, "Nantikanlah udara agak sejuk lebih dahulu!" Kemudian orang itu hendak azan pula. Beliau pun berkata, "Nantikanlah udara agak sejuk lebih dahulu!" Sehingga akhirnya bayangan bukit-bukit kecil telah sepadan dengan tingginya masing-masing. Maka bersabda Nabi saw., "Sesungguhnya panas yang terik itu dari neraka Jahannam".
356, Diberitakan oleh Nafi' r.a., katanya: "Ibnu Umar azan pada suatu malam yang sangat dingin di Dhajnan (sebuah bukit dekat Mekkah), Kemudian dia berkata, "solatlah anda di kenderaan anda masing-masing." Kemudian diceritakannya kepada kami bahawa Rasulullah saw. pernah menyuruh seseorang azan; sesudah itu beliau bersabda, "solatlah anda di kenderaan masing-masing " Peristiwa ini terjadi di malam yang amat dingin, hujan dan dalam suatu perjalanan."
357, Dari Abu Juhaifah r.a. dari bapanya, katanya, "Saya melihat Rasulullah saw. di Abthah (suatu tempat di luar kota Mekkah). Bilal datang kepadanya memberitahukan tentang solat. Sesudah itu Bilal keluar membawa sebuah tongkat yang kemudian di tancapkannya di hadapan Rasulullah saw. di Abthah dan sesudah itu Bilal Qamat untuk solat.
358, Berita dari Abu Juhaifah r.a. mengatakan, bahawa dia melihat Bilal adzan. Katanya, "Saya perhatikan Bilal ketika azan, mulutnya begini dan begitu ketika dia azan itu."
359, Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Ketika kami sedang solat bersama Nabi saw., tiba-tiba beliau mendengar suara gaduh seorang laki-laki. Setelah selesai solat beliau bertanya, "Apa yang terjadi?" Jawab mereka, "Kami tergopoh-gopoh hendak solat." Sabda Nabi saw., "Jangan berbuat begitu! Apabila kamu hendak solat (berjemaah), bersikaplah tenang. Mana yang kamu dapati, solatlah bersama mereka, dan mana yang kamu tertinggal sempurnakanlah kemudian."
360, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. , sabdanya: "Apabila kamu mendengar Qamat, maka pergilah solat (berjemaah), dan hendaklah bersikap tenang dan tenteram, jangan tergesa-gesa. Dalam keadaan bagaimana saja pun mereka kamu dapati, maka solatlah kamu bersama mereka, mana yang anda luput daripadanya, sempurnakanlah kemudian."
361, Berita dari Abu Qatadah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila muadzin telah qamat untuk solat, maka janganlah kamu berdiri lebih dahulu, sebelum melihat ku (berdiri di hadapanmu), dan hendaklah kamu bersikap tenang. "
362, Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. telah datang, solat telah diqamatkan, dan saf telah diluruskan. Nabi saw. telah berdiri di tempat beliau solat dan kami menanti-nanti beliau takbir. Tiba-tiba beliau pergi sambil berkata, "Tetaplah di tempatmu masing-masing! " Kami tetap berdiri di tempat kami seperti semula, sehingga beliau datang kembali. Ketika beliau datang, air di kepala beliau masih menitik-nitik, kerana ternyata beliau baru selesai mandi."
363, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "solat telah diqamatkan dan jemaah telah meluruskan shaf mereka. Maka datanglah Rasulullah saw., dan beliau langsung ke muka, sedangkan beliau junub. Beliau bersabda, "Tetaplah di tempatmu masing-masing!" Lalu Rasulullah pergi mandi. Setelah beliau datang kembali, air masih menitik-nitik dari kepala beliau. Nabi saw. solat bersama-sama dengan mereka."
364. Dari Anas r.a., katanya: "Solat telah diqamatkan orang. Nabi saw. sedang berbisik-bisik dengan seseorang laki-laki di samping masjid. Beliau belum juga datang mengimami solat, sehingga orang-orang tertidur."
365, Dari Anas bin Malik, r.a., katanya: "Muadzin telah qamat untuk solat. Seseorang datang kepada Nabi, dan beliau terhalang untuk mengimami solat yang telah diqamatkan itu."
366, Berita dari Abu Hurairah r.a., mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Demi Allah, yang diri ku di tangan-Nya, aku ingin menyuruh seseorang mengumpulkan kayu api, kemudian menyuruh azan untuk solat, kemudian menyuruh seseorang mengimami orang banyak. Kemudian aku berbalik kepada orang-orang yang tidak solat berjemaah, lalu ku bakar rumah mereka. Demi Allah yang diri ku di tangan-Nya, kalaulah mereka tahu bahawa mereka akan memperoleh daging yang baik penuh gemuk, atau dua daging bagus antara dua tulang rusuk, tentulah dia akan menghadiri solat Isyak berjemaah."
367, Berita dari Abdullah bin Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Solat berjemaah lebih utama dari solat sendiri-sendiri dua puluh tujuh darjat."
368, Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."
369, Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:"Solat berjemaah lebih utama daripada solat sendiri-sendiri dua puluh lima kali lipat. Para malaikat malam dan para malaikat siang berkumpul bersama ketika solat Fajar. Kemudian Abu Hurairah berkata, "Jika kamu suka, bacalah ayat Quran, sesungguhnya bacaan waktu Fajar disaksikan oleh para malaikat."
370, Ummu Darda' r.a. bercerita, "Abu Darda' datang kepada ku, ketika itu ia sedang marah. Lalu ku tanyakan, "Mengapa anda marah?"Jawabnya, "Demi Allah! Tidak ada yang aku ketahui tentang umat Muhammad sesuatu yang paling baik, melainkan hanya solat berjemaah."
371, Berita dari Abu Musa r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang paling besar pahala solatnya, ialah orang yang paling jauh (dari masjid). Dan sesudah itu ialah orang yang menunggu-nunggu waktu untuk solat sehingga ia solat dengan imam, lebih besar pahalanya daripada ia solat (sendiri) kemudian ia tidur."
372, Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya. Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam: 1. Orang mati kena tikam. 2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?) 3. Orang mati tenggelam. 4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh). 5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah). Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya. Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya. Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."
373, Berita dari Anas r.a. menceritakan, bahawa Bani Salamah bermaksud hendak pindah dari tempat kediaman mereka, supaya mereka dapat berdekatan dengan Nabi saw. Tetapi Nabi saw. tidak menyukai kepindahan mereka itu kerana itu Nabi saw. bersabda kepada mereka, "Tidakkah anda hitung langkah-langkah anda (pulang-pergi ke masjid)?"'
374. Berita dari Abu Hurairah La. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid), sekalipun dengan merangkak." Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah)."
375, Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Para malaikat sentiasa mendoakan kamu selama kamu masih berada di tempatmu solat dan belum berhadas. Doanya, "Ya, Allah! Ampunilah kiranya dia dan limpahkan kasih sayang kepadanya!" Seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat, selama dia masih menunggu dan tidak ada yang menghalanginya untuk pulang ke rumahnya melainkan hanya kerana (menunggu) solat."
376, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Allah swt. akan memberikan naungan kepada tujuh jenis orang pada hari kiamat, di mana tidak ada naungan ketika itu kecuali naungan Allah. 1. Imam (pemimpin, kepala pemerintahan yang adil.) 2. Pemuda yang terdidik/terlatih sejak kecil dalam menyembah Allah. 3. Seseorang yang hatinya tergantung di mesjid. 4. Dua orang yang saling mengasihi kerana Allah; mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah 5. Seorang laki-laki yang dirayu untuk berbuat maksiat oleh wanita bangsawan yang cantik, lantas ia menolak dengan berkata halus, "Aku takut kepada Allah." 6. Seorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang telah diberikan tangan kanannya. 7. Seorang yang mengingat Allah waktu bersunyi-sunyi, lantas meleleh air matanya."
377, Berita dari Humaid r.a. menceritakan, bahawa Anas pernah ditanya orang, "Adakah Rasulullah saw. memakai cincin?" Jawab Anas, "Ada!" Pada suatu malam Rasulullah saw. menangguh solat Isyak hingga sampai tengah malam. Sesudah solat, Rasulullah menghadapkan muka beliau kepada kami sambil bersabda: "Orang-orang telah solat bahkan mereka telah tidur. Tetapi kamu semua dianggap seperti berada dalam solat, selama kamu menanti-nanti solat itu. Kemudian Anas menambahkan, "Seolah-olah tampak olehku kilat cincin Nabi ketika itu."
378, Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabda beliau: "Siapa yang segera pergi ke masjid, pagi atau petang! nescaya disediakan Allah tempat baginya di syurga setiap dia pergi pagi atau petang."
379, Berita dari Malik bin Buhainah r.a., mengatakan. bahawa Rasulullah saw. pernah melihat seorang laki-Iaki solat dua rakaat sesudah qamat. Ketika Rasulullah saw. telah selesai solat, dan orang banyak memandang hairan kepada orang itu, maka Rasulullah saw. bersabda: "Subuh! Subuh! Subuh! Subuh!" (empat kali)."
380, Aswad r.a. bercerita: "Pada suatu kali kami berada dekat Aisyah r.a., lalu kami berbincangkan masalah menetapi solat berjemaah dan memuliakannya. Kata 'Aisyah, "Ketika Rasulullah saw. sedang solat keras menjelang akhir hayat beliau, waktu solat tiba dan orang pun telah azan; maka berkata beliau, "Suruhlah Abu Bakar supaya dia mengimami solat berjemaah dengan orang banyak." Dijawab orang, "Abu Bakar seorang penyedih hati. Kalaulah dia yang menggantikan anda, dia tidak akan sanggup solat menjadi imam bagi orang banyak." Rasulullah mengulangi perintahnya sampai tiga kali, tetapi orang itu mengulangi jawabnya pula hingga tiga kali. Akhirnya Rasulullah saw. bersabda: "Kamu semua (wanita) sahabat-sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar solat dengan orang banyak!" Abu Bakar datang, dia solat menjadi imam bagi orang banyak. Ketika Nabi merasa agak ringan penyakitnya, beliau datang ke masjid dengan dipapah oleh dua orang (Abbas dan Ali). Seolah-olah masih kelihatan olehku bagaimana Nabi mengheret kakinya kerana sakit. Dan Abu Bakar hendak undur ke belakang. Tetapi diisyaratkan oleh Nabi kepadanya supaya dia tetap di tempatnya. Kemudian beliau dipapah/didudukkan orang di dekat Abu Bakar."
381, Abu Sa'id Al Khudri r.a. bercerita: "Awan gelap datang, hari pun hujan sehingga atap yang dibuat dari pelepah , kurma itu jadi bocor. Dan qamat telah diucapkan. Ku lihat Rasulullah saw. sujud di air dan tanah, sehingga saya melihat bekas-bekas tanah melekat di kening beliau."
382, Berita dari Ibnu Umar r.a. mengatakan bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila makan malam telah dihidangkan, dan qamat untuk solat telah diucapkan, dahulukanlah makan malam dan jangan terburu-buru hingga kamu selesai makan. "
383. Aswad r.a. berkata bahawa ia bertanya kepada 'Aisyah, katanya: "Apakah yang diperbuat Nabi dalam rumah tangganya?" Jawab 'Aisyah, "Beliau juga melakukan pekerjaan rumah tangga, menolong isteri beliau. Dan apabila waktu solat telah tiba, beliau pergi solat."
384. Berita dari Abu Qalabah menceritakan, bahawa Malik bin Huairits r.a. datang kepadanya di masjid, lalu berkata: "Saya akan solat di hadapanmu. Sesungguhnya aku tidak bermaksud hendak solat, tetapi aku sengaja hendak memperlihatkan bagaimana caranya Nabi saw. solat." Saya bertanya kepada Abu Qalabah, "Bagaimana caranya solat?" Jawabnya, "Seperti guru kita ini! Nah, lihatlah! Guru kita itu duduk sebentar sesudah mengangkat kepalanya dari sujud, sebelum terus berdiri daripada rakaat pertama (ke rakaat kedua)."
385. Berita dari 'Aisyah, Ummul Mukminin r.a. menceritakan, bahawa ketika Rasulullah saw. sakit keras, beliau bersabda: "Suruhlah Abu Bakar menjadi imam solat dengan orang banyak." Saya berkata kepada beliau, "Jika Abu Bakar yang menggantikan Tuan jadi imam, orang banyak tidak akan mendengar suaranya kerana ia penangis. kerana itu suruhlah Umar yang menjadi imam solat orang banyak." Aisyah menambahkan, "Perkataanku itu ku sampaikan pula kepada Hafsah. Bahawa apabila Abu Bakar yang menggantikan Nabi menjadi imam solat, suaranya tidak akan terdengar oleh orang banyak kerana dia penangis. kerana itu suruhlah Umar yang menjadi imam solat bagi orang banyak. Hafsah melakukan apa yang kukatakan kepadanya itu. Maka jawab Rasullullah saw., "Tidak! . Kamu adalah teman-temannya Yusuf. Suruhlah Abu Bakar yang menjadi imam solat orang banyak." Maka berkata Hafsah kepada 'Aisyah, "Aku tidak lebih beruntung daripada kamu. "
386, Diceritakan oleh Anas bin Malik Al Anshari r.a., yang biasa mengikuti, melayani dan menemani Rasulullah saw. dan yang menyukakannya, katanya: "Abu Bakar menjadi imam solat bagi kami ketika Nabi saw. sakit menjelang akhir hayat beliau. Maka pada suatu hari, hari Isnin, mereka telah berbaris hendak solat. Tiba-tiba Nabi saw., menyingkapkan tabir biliknya melihat kepada kami. Beliau berdiri dengan wajah seputih kertas (berkilauan), senyum dan tertawa. Sehingga kami hampir saja tertipu kerana kegirangan melihat Nabi saw. (telah sembuh). Abu Bakar mundur ke belakang untuk masuk ke dalam saf, kerana dia mengira bahawa Nabi saw. akan datang solat. Tetapi Nabi saw. memberi isyarat kepada kami supaya kami menyempurnakan solat kami, dan setelah itu beliau lepaskan tabir. Ternyata beliau wafat pada hari itu juga."
387, Cerita dari Sahl bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Bahawa Rasulullah saw. pergi kepada Bani 'Amr bin 'Auf untuk memperdamaikan mereka. Ketika waktu solat tiba, muadzin datang kepada Abu Bakar dan berkata: "Mahukah anda menjadi imam solat bagi orang banyak? Saya akan membaca qamat untuk itu." Jawab Abu Bakar, "Baiklah." Maka solatlah Abu Bakar. Rasulullah pun datang ketika orang banyak sedang solat, dan beliau terus masuk ke dalam saf pertama. Orang banyak menepukkan tangan mereka. Tetapi Abu Bakar tidak menoleh dalam solatnya. Ketika tepukan tangan tambah banyak , dia pun menoleh, dan melihat Rasulullah saw. Nabi memberi isyarat kepadanya supaya dia tetap di tempatnya. Abu Bakar mengangkat tangannya dan memuji Allah sehubungan dengan perintah Rasulullah saw. itu. Setelah itu Abu Bakar undur ke dalam saf pertama dan Rasulullah saw. maju ke depan menjadi imam solat. Ketika telah selesai solat, Rasulullah saw. bertanya. "Hai, Abu Bakar! Kenapa anda enggan tetap di tempatmu semula, padahal telah ku suruh?" Jawab Abu Bakar, "Tidak patut rasanya bagi anak Abi Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah." Maka bersabda Rasulullah saw. (kepada jemaah), "Mengapa tadi kamu banyak yang bertepuk tangan? Barangsiapa yang merasa ada apa-apa ketika solat, maka hendaklah dia tasbih (membaca subhanallah). kerana apabila dia tasbih, nescaya orang akan menoleh kepadanya. Dan isyarat dengan tepuk tangan adalah untuk wanita. "
388, Anas bin Malik r.a. menceritakan, bahawa Rasulullah saw. pada suatu kali mengenderai kuda. Rasulullah jatuh dari kuda itu sehingga luka rusuk beliau yang sebelah kanan. kerana itu Nabi solat sambil duduk dan kami pun solat di belakang beliau sambil duduk pula. Selesai solat beliau bersabda: "Sesungguhnya imam diadakan untuk diikut. kerana itu apabila imam itu berdiri, maka berdiri pulalah kamu. Apabila dia rukuk, rukuk pulalah, apabila dia bangkit, bangkit pulalah, dan apabila dia mengucapkan Sami'allahu liman hamidah, maka ucapkanlah Rabbana lakal hamd. Dan apabila dia solat berdiri, maka solat pulalah berdiri, dan apabila dia solat sambil duduk, maka solat pulalah kamu sekalian sambil duduk. " Kata Abu Abdullah, Humaidi berkata, bahawa sabda Rasulullah saw., 'Apabila dia solat sambil duduk, maka solat pulalah kamu sambil duduk, ialah sabda beliau ketika dia sakit dahulu. Sesudah itu beliau (Nabi saw.) pernah solat sambil duduk, sedang orang banyak di belakangnya berdiri. Tetapi beliau tidak menyuruh mereka duduk. Dari kedua keterangan ini tentu diambil yang terakhir dari perbuatan Nabi itu."
389, Kata Al Barra' (bin 'Azib) r.a.: " Apabila Rasulullah saw. membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka kami , belum membungkukkan punggung sebelum Nabi saw. telah sujud dan sesudah itu barulah kami sujud."
390, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi katanya: "Tidakkah takut seseorang kamu apabila dia mengangkat kepalanya lebih dahulu dari imam, kepalanya akan dijadikan Allah seperti kepala keldai, atau rupanya seperti rupa keldai?"
391, Dari Ibnu Umar u. katanya: "Setelah orang-orang Muhajir yang pertama sampai di 'Usbah, suatu tempat di Quba, sebelum kedatangan Rasulullah saw., imam solat bagi mereka ialah Salim, maula Abu Hudzaifah, seorang yang paling banyak hafal Al Quran."
392, Diceritakan oleh Anas r.a. dari Nabi saw., bahawa beliau bersabda kepada Abu Dzar, sabdanya: "Dengarkan dan patuhilah pembesarmu, sekalipun yang diangkat jadi pembesar itu seorang Habsyi yang kepalanya seperti kismis (zabibah = anggur kering)."
393, Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Mereka solat menjadi imam solat bagi mu. Maka jika mereka betul, dia dan kamu akan mendapat pahala. Tetapi jika ia salah, kamu tetap mendapat pahala, sedangkan mereka berdosa."
394, Diceritakan oleh Abu Tiyyah r.a., bahawa dia sesungguhnya mendengar dari Anas bin Malik, bahawa Nabi saw. bersabda kepada Abu Dzar, sabdanya: "Dengarkan dan patuhilah (perintah pemimpin-pemimpin) walaupun dia seorang Habsyi yang kepalanya seperti kismis."
395, Diceritakan oleh Abu Mas'ud, r.a., bahawa seorang laki-laki mengadu kepada Nabi saw., katanya: "Demi Allah! Ya Rasulullah! Aku luput solat Subuh (berjemaah) hanya disebabkan kerana si Anu (yang menjadi imam) terlalu memanjang-manjangkan (bacaan) solat dengan kami. " Belum pernah aku melihat Rasulullah saw. ketika beliau memberikan nasihat yang lebih marah daripada hari itu. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya di antara kamu telah menyebabkan orang menjauhkan diri (dari agama ini). Maka siapa saja solat menjadi imam bagi orang banyak, hendaklah dia meringkaskan solatnya, kerana di antara makmum itu ada orang yang lemah, ada orang tua, dan ada pula orang yang sedang mempunyai urusan.!
396, Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seseorang kamu solat (jadi imam), hendaklah meringkaskannya, kerana di antara makmum, ada orang yang lemah, orang sakit, dan orang tua. Dan apabila dia solat sendirian, panjangkanlah sekehendak hatinya."
397, Anas 'r.a. bercerita, katanya: "Nabi saw. pernah memendekkan solat beliau, tetapi beliau melakukannya dengan sempurna."
398, Berita dari Abu Qatadah r.a. yang diterimanya dari Nabi saw.; sabdanya: "Ketika aku berdiri hendak solat, aku bermaksud hendak memanjangkan solat ku itu. Tetapi tiba-tiba terdengar olehku tangis bayi, maka ku ringkaskan solat itu, kerana aku tak ingin menyusahkan ibunya (yang ikut solat waktu itu)."
399, Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. bertambah sakit, Bilal datang kepada beliau memberitahukan bahawa waktu solat telah tiba. Maka sabda beliau, "Suruhlah Abu Bakar menjadi imam solat bagi orang banyak. " Aku (' Aisyah) berkata kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar seorang penyedih. Kalaulah dia yang menggantikan Tuan menjadi Imam, dia tidak akan kedengaran oleh orang banyak. Kenapa Tuan tidak menyuruh Umar saja?" Sabda beliau, "Suruhlah Abu Bakar supaya dia menjadi imam bagi orang banyak. " Kemudian ku katakan kepada Hafsah agar dia mengatakan kepada beliau: "Sesungguhnya Abu Bakar seorang penyedih. Kalau dia yang menjadi imam menggantikan Rasulullah, dia tidak akan kedengaran oleh orang banyak. Kenapa Tuan tidak menyuruh Umar saja." Jawab beliau, "Sesungguhnya kamu (para wanita) sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar menjadi imam solat bagi orang banyak. " Abu Bakar tampil menjadi imam. Sementara itu Rasulullah saw. merasakan badannya agak ringan. Beliau pergi ke masjid dipapah dua orang laki-laki, sedangkan kedua kaki beliau terjuntai ke lantai hingga sampai ke masjid. Ketika Abu Bakar mendengar bahawa Rasulullah saw. datang, dia mencuba hendak mundur ke belakang. Tetapi Rasulullah mengisyaratkan kepadanya supaya ia tetap di tempatnya, dan Nabi saw. duduk di sebelah kirinya. Abu Bakar solat dengan berdiri, sedang Rasulullah saw. solat sambil duduk. Abu Bakar mengikutkan solat Rasulullah saw., dan orang banyak mengikutkan Abu Bakar r.a."
400, Berita dari Nu'man bin Basyir r.a. , mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Luruskan saf (barisan)mu! . Atau Allah akan mempertikaikan arah mukamu (berpecah belah) nanti?"