Jilid 1 \ 301 - 350 ( Solat ) Bah. 3

301, Berkata Zuhri, "Saya datang kepada Anas bin Malik di Damsyiq, kebetulan dia sedang menangis. Ku tanyakan kepadanya, "Mengapa anda menangis? " Jawabnya, "'Saya tidak tahu lagi amal yang ku dapati di masa Nabi yang masih diindahkan orang sekarang, selain solat; itu pun sudah disia-siakan orang pula."

302, Berita dari Anas r.a. dari Nabi saw., sabdanya: "Sempurnakan sujudmu! Jangan meletakkan kedua lenganmu dalam sujud ke bumi seperti anjing. Dan apabila meludah, janganlah meludah ke hadapan atau ke kanan, kerana anda sedang berbisik dengan Tuhan."

303, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Apabila udara sangat panas, maka solatlah kalau udara sudah agak dingin. kerana udara yang sangat panas itu bertiup dari neraka jahannam. Dan mengadulah neraka kepada Tuhannya, "Sebahagian ku memakan sebahagian yang lain." Maka Tuhan mengizinkannya berhembus dua kali, satu kali di musim dingin dan satu kali di musim panas. Maka itulah yang kamu rasakan, bersangatan panas di musim kemarau dan bersangatan dingin di musim dingin."

304, Dari Abu Dzar Al Ghiffari r.a., katanya: "Kami bersama Nabi saw. dalam suatu perjalanan. Tiba-tiba Muadzin hendak azan solat Zohor. Maka bersabda Nabi saw., "Tunggulah sampai udara dingin!" Kemudian Muadzin itu hendak azan pula. Maka sabda Nabi kepadanya, "Tunggulah udara dingin, sampai kita dapat melihat bayang-bayang bukit kecil itu."

305, Berita dari Abu Barzah r.a. mengatakan, bahawa pada suatu kali Nabi saw. solat subuh dan masing-masing kami telah dapat mengenal orang yang duduk di sampingnya. Dalam solat itu Nabi membaca sekitar 60 sampai 100 ayat. Ketika matahari telah gelincir ke barat Nabi solat Zohor, dan kemudian beliau solat Asar pada waktu salah seorang kami pergi ke batas kota kemudian dia kembali sedangkan matahari masih terasa panas. Saya lupa (kata yang menerima berita dari Abu Barzah) keterangan Abu Barzah mengenai solat Maghrib. Sedangkan mengenai Isyak, Nabi membolehkan untuk mengundurkannya hingga sepertiga malam. Kemudian dia berkata pula, hingga seperdua malam."

306, Berita dari Ibnu Abbas r.a. mengatakan, bahawa Nabi saw. solat di Madinah tujuh dan lapan rakaat. Iaitu solat Zohor dan Asar (dikerjakan berturut-turut pada waktu yang sama tujuh rakaat).

307, Dari Aisyah r.a. katanya: "Nabi saw. solat Asar padahal ketika itu cahaya matahari di bilikku belum ada bayang-bayang."

308, Aisyah r.a. berkata, "Nabi saw. solat Asar; padahal cahaya matahari ketika itu belum keluar dari bilikku."

309, Dari Sayyar bin Salamah r.a., katanya: "Aku datang bersama ayahku kepada Abu Barzah Al Aslami, lalu ayahku bertanya kepadanya, "Bagaimana caranya Rasulullah saw. melakukan solat fardu?" Jawab Abu Barzah, "Nabi melakukan solat Zohor atau yang anda namakan solat 'Al Uulaa' (solat pertama) ialah ketika matahari tergelincir ke barat. Dan beliau solat Asar, ketika salah seorang kami kembali dari perjalanannya ke ujung kota, sedangkan matahari masih terasa panasnya. Dan aku (kata Sayyar) lupa ucapannya tentang solat Maghrib. Dan Nabi lebih suka mengundurkan solat Isyak yang anda namakan Al 'Atamah, dan beliau tidak menyukai tidur sebelum solat Isyak , dan bercakap-cakap sesudahnya. Dan selesai solat Subuh ketika seseorang telah mengenal orang duduk di samping, sedangkan Nabi membaca dalam solat itu sebanyak 60 sampai 100 ayat."

310, Kata Abu Umamah r.a.: "Kami solat Zohor bersama Umar bin Abdul Aziz, setelah itu kami pergi menemui Anas bin Malik dan kami dapati dia sedang solat Asar. Kataku kepadanya, "Hai, Pak Cik! solat apakah yang Pak Cik kerjakan ini?" Jawabnya, "solat Asar! Dan inilah (waktunya) solat Asar Rasulullah saw., di mana kami pernah solat bersama-sama dengan beliau."

311, Berita dari Anas bin Malik, r.a. katanya: "Rasulullah saw. pernah solat Asar, sedangkan matahari masih tinggi dan panas. Andaikan ada orang yang pergi , (ketika itu) ke puncak bukit, mereka akan sampai di sana ketika matahari masih tinggi. Puncak bukit yang tinggi di Madinah, ada kira-kira empat mil dari kota."

312, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Kami solat 'Asar. Kemudian seorang di antara kami pergi ke Quba' dan tiba kembali di tempat semula ketika matahari masih tinggi."

313, Berita dari Ibnu Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda: "Orang yang luput solat Asarnya, samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya."

314, Dari Abul Malih r.a., katanya: "Kami bersama Buraidah dalam suatu peperangan pada suatu hari yang berawan. Maka berkata Buraidah, "Segeralah lakukan solat Asar, kerana Nabi saw. pernah bersabda: "Barangsiapa meninggalkan solat 'Asar, maka hapuslah amalnya. "

315, Dari Jarir r.a., katanya: "Kami bersama-sama dengan Nabi saw. dan beliau menengok ke bulan - yakni bulan empat belas - Maka beliau bersabda, "Sesungguhnya kamu semua akan melihat Tuhan mu, sebagaimana kamu melihat bulan ini. Kamu tidak akan berdesak-desak melihat-Nya, jika kamu sanggup tidak pernah kalah mengerjakan solat Subuh sebelum matahari terbit, dan solat Asar sebelum matahari terbenam. Maka hendaklah kamu laksanakan. Kemudian beliau membaca ayat: "Dan tasbihlah kamu memuji Tuhan mu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam." (Qaaf, 50 : 39).

316, Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Para malaikat bergiliran datang kepada mu malam dan siang. Dan semuanya bertemu ketika solat Subuh dan solat Asar. Kemudian malaikat yang jaga malam naik ke langit. Maka bertanyalah Tuhan kepada mereka (padahal Allah swt. sesungguhnya lebih tahu), "Bagaimanakah halnya hambaKu yang kamu tinggalkan?" Jawab mereka, "Kami tinggalkan mereka sedang solat Subuh, dan kami dapati mereka sedang solat Asar."

317, Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seseorang kamu mendapat satu rakaat solat Asar sebelum terbenam matahari, hendaklah dia mencukupkan solatnya. Dan apabila dia mendapat satu rakaat solat Subuh sebelum terbit matahari, maka hendaklah dia mencukupkan solatnya."

318, Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw.: "Perumpamaan kaum Muslimin dengan Yahudi dan Nasrani, bagaikan seorang laki-laki yang mengupahkan suatu pekerjaan yang harus selesai sampai malam. Maka bekerjalah mereka hingga setengah hari, lalu kata mereka, "Kami tidak perlu upah darimu." Kemudian mereka upahkan kepada orang-orang lain, dengan janji mereka, "Selesaikanlah pekerjaan yang tinggal itu setengah hari lagi, untukmu upah satu hari yang telah kami sediakan." Maka bekerjalah mereka hingga waktu Asar, dan mereka berkata: "Untukmu apa yang kami kerjakan (tak usah bayar)". Lalu diupahkannya kepada orang-orang ketiga. Mereka ini bekerja sebanyak waktu yang masih ketinggalan, iaitu hingga matahari terbenam, namun dengan upah sehari penuh, termasuk upah dua golongan yang telah lalu."

319, Kata Jabir r.a.: "Nabi saw. solat Zohor di tengah hari, solat 'Asar ketika matahari masih bersinar terang, Maghrib setelah matahari terbenam, dan solat 'Isya berubah-ubah kerana keadaan. Apabila beliau melihat jemaah telah berkumpul untuk solat Isyak, beliau lakukan segera, dan apabila beliau lihat mereka terlambat datang, maka beliau undur pula solat Isyak. Sedangkan solat Subuh mereka atau Nabi saw. melakukannya pada waktu gelap pagi."

320, Abdullah AI Muzani r.a. mengkhabarkan, bahawa Nabi saw. bersabda: "Janganlah kamu terpengaruh oleh bangsa Arab dusun, berhubung dengan nama solat Maghrib, yang mereka mengatakannya solat Isyak."

321, Berita dari 'Urwah r.a. mengatakan, bahawa ' Aisyah mengkhabarkan kepadanya, katanya: "Rasulullah saw. menunda solat Isyak pada suatu malam, iaitu sebelum Islam tersiar luas. Maka Nabi belum juga datang ke masjid, sehingga Umar berkata: Kaum wanita dan anak-anak telah tidur. kerana itu Nabi datang ke masjid, lalu bersabda kepada orang-orang di masjid: "Tidak seorang pun penduduk bumi yang menanti-nanti waktu solat Isyak selain kamu semua."

322, Abdullah bin Umar r.a. mengkhabarkan, bahawa pada suatu malam Rasulullah saw. disibukkan oleh suatu urusan dan terlambat solat Isyak sehingga kami tertidur di masjid kemudian bangun, kemudian tertidur kemudian bangun lagi. Sesudah itu Rasulullah saw. datang kepada kami dan beliau bersabda: "Tidak seorang pun penduduk bumi yang menanti-nanti solat selain kamu semua."

323, 'Atha' mengabarkan bahawa ia mendengar Ibnu Abbas r.a. bercerita: "Pada suatu malam Rasulullah saw. terlambat melakukan solat Isyak sehingga jemaah (yang menunggu beliau) tertidur, kemudian mereka bangun, tertidur dan bangun pula kembali. Maka berdirilah Umar bin Khaththab, katanya: "solat!" 'Atha' menambahkan bahawa Ibnu Abbas mengatakan, "Maka datanglah Nabi saw. seperti masih kelihatan olehku sekarang air menitik dari kepala beliau dan beliau meletakkan tangannya di atas kepalanya dan bersabda: "Kalau tidak akan memberatkan bagi umat ku, akan ku perintahkan mereka melakukan solat Isyak waktu begini."

324, Dari Anas, katanya; "Nabi saw. menunda solat Isyak hingga seperdua malam, barulah beliau solat. Kemudian beliau bersabda: "Orang-orang lain telah solat dan mereka telah tidur. Adapun kamu sama juga seperti dalam solat selama kamu menanti-nantikan solat itu."

325, Berita dari Anas mengatakan bahawa Zaid bin Tsabit mengabarkan kepadanya, bahawa mereka makan sahur bersama-sama dengan Nabi saw. Sesudah itu mereka solat Subuh. Kata Anas kepada Zaid, "Berapa lama antara keduanya?" Jawab Zaid, "Sekadar lima puluh atau enam puluh ayat."

326, Berita dari Anas bin Malik mengatakan bahawa Nabi saw. dan Zaid bin Tsabit keduanya makan sahur bersama-sama. Tatkala keduanya telah selesai sahur, Nabi saw. berdiri hendak pergi solat, maka solatlah beliau. "Aku bertanya kepada Anas," kata Tsabit, "Berapa lamanya antara keduanya selesai makan sahur dan mulai solat?" Jawab Anas, "Kira-kira selama orang membaca lima puluh ayat."

327, Berita dari Abu Hurairah mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mendapatkan solat Subuh satu rakaat sebelum matahari terbit, bererti dia telah mendapatkan Subuh. " Barangsiapa mendapatkan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam, bererti dia telah mendapatkan Asar."

328, Berita dari Abu Huraifah mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa mendapatkan solat di dalam waktunya satu rakaat, bererti dia telah mendapatkannya seluruhnya."

329, Dari Ibnu Abbas, katanya: "Beberapa orang yang ku sukai menyaksikan di sampingku, dan yang paling ku sukai ialah Umar (bin Khaththab), bahawa Nabi saw. melarang melakukan solat sesudah solat Subuh hingga matahari terbit, dan sesudah solat Asar hingga matahari terbenam. "

330, Ibnu Umar r.a. mengatakan bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Jangan kamu solat saat matahari terbit dan jangan pula di saat matahari terbenam."

331, Ibnu Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila tepi matahari telah muncul hendak terbit, maka tundalah solat lebih dahulu sehingga matahari agak tinggi sedikit dari pinggir langit, dan apabila tepi matahari telah mulai hilang di tepi langit maka tundalah solat lebih dahulu sehingga matahari itu terbenam sama sekali."

332, Abu Said Al Khudri r.a. mengatakan bahawa ia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tidak boleh solat sesudah solat Subuh sehingga matahari telah meninggi, dan tidak boleh solat sesudah solat Asar sehingga matahari telah sempurna terbenam."

333, Berita dari Ummu Salamah r.a. mengatakan, bahawa Nabi saw. solat dua rakaat sesudah solat Asar dan kemudian beliau bersabda: Orang-orang dari suku Abdul Qais telah membuat ku sibuk yang menyebabkan ku telah terhalang melakukan solat dua rakaat sesudah Zohor."

334, 'Aisyah r.a. berkata: "Demi Allah! Nabi tidak pernah meninggalkan keduanya (dua rakaat sesudah 'Asar) hingga beliau menemui Allah dan beliau belum menemui Allah sehingga telah susah benar bagi beliau melakukan solat. Dan beliau sering melakukannya sambil duduk, yakni dua rakaat sesudah Asar. Dan biasanya beliau melakukan keduanya di rumah, tidak melakukannya di masjid, kerana takut akan memberatkan bagi ummatnya, dan beliau menyukai kemudahan bagi mereka."

335, 'Aisyah r.a. berkata: "Nabi saw. tidak pernah di sisiku meninggalkan solat dua rakaat sesudah 'Asar, sekali-kali tidak."

336, 'Aisyah r.a. berkata: "Ada dua rakaat, yang Rasulullah saw. tidak pernah meninggalkannya, secara sembunyi atau terang-terangan, ialah: Dua rakaat sebelum Subuh dan dua rakaat sesudah Asar."

337, 'Aisyah r.a. berkata: "Nabi saw. tidak pernah datang kepada ku sehari-hari sesudah Asar, melainkan beliau solat dua rakaat."

338, Berita dari Jabir bin Abdullah r.a. mengatakan bahawa Umar bin Khathab datang kepada Nabi saw. di hari peperangan Khandak sesudah matahari terbenam lalu dia memaki-maki orang-orang Quraisy. Katanya: "Hampir aku luput mengerjakan solat Asar, sehingga matahari hampir terbenam." Jawab Nabi saw., "Demi Allah! Aku pun belum solat Asar." Maka kami pergi ke tanah lapang. ( Nabi saw. mengambil wuduk dan kami berwuduk pula. Sesudah itu Nabi saw. solat Asar. Sesudah matahari terbenam, kemudian beliau solat Maghrib."

339, Dari Anas r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Barangsiapa lupa solat, maka hendaklah ia solat tatkala ingat. Tidak ada denda baginya melainkan hanya itu. Dan tegakkanlah solat untuk mengingat Allah. "

340, Kata Anas r.a.: "Pada suatu malam kami menanti-nanti Nabi saw. untuk solat Isyak. Tengah malam barulah beliau datang lalu beliau solat bersama-sama dengan kami. Selesai solat, beliau bersabda, katanya: "Ketahuilah! Orang banyak telah solat dan mereka telah tidur. Tetapi kamu semua sentiasa seperti solat selama kamu dalam menanti-nanti waktu untuk solat."

341, Ibnu Umar r.a. mengatakan, bahawa ketika kaum Muslimin baru datang ke Madinah dan mereka sedang berkumpul, waktu solat tiba. Tetapi tidak ada panggilan (pemberitahuan) untuk solat. kerana itu, maka pada suatu hari mereka rundingkan hal itu bersama-sama. Kata setengah mereka, "Buatlah loceng seperti loceng kaum Nasrani." Kata yang lain, Buatlah trompet seperti trompetnya orang Yahudi." Kata Umar (bin Khathab), "Mengapa tidak disuruh saja seseorang laki-laki memanggil solat." Kata Nabi saw., "Hai, Bilal! Berdirilah! Panggil orang banyak solat!"

342, Dari Anas r.a., katanya: "Bilal disuruh oleh Nabi saw. supaya menggenapkan bacaan Azan dua-dua kali, dan menganjilkan bacaan Qamat satu-satu kali, selain bacaan "Qad Qaamatish Shalah."

343, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Setelah orang Islam bertambah banyak, mereka mengusulkan supaya memberitahukan waktu solat telah tiba, dengan suatu tanda yang mudah dikenal. Ada yang mengusulkan supaya menyalakan api atau membunyikan lonceng. Maka disuruh Nabi saw. Bilal supaya menggenapkan bacaan Azan dan mengganjilkan Qamat."

344, Berita dari Abu Hurairah r.a., mengatakan, bahawa :Rasulullah saw. bersabda: " Apabila diserukan azan untuk solat, maka larilah segala syaitan terbirit-birit dengan kentutnya hingga tak terdengar lagi olehnya azan. Setelah selesai azan, dia datang pula kembali. Kemudian, apabila orang qamat, dia lari pula, dan setelah qamat selesai, dia datang kembali hendak menggoda hati setiap orang. Katanya, "Ingatlah ini dan itu." Iaitu hal-hal yang belum pernah diingat orang itu, sehingga dia lupa, telah berapa rakaat dia solat?

345. Abu Sa'id Al Khudri r.a. berkata kepada Abdullah bin Abdurrahman,"Ku lihat anda menyukai kambing dan dusun kecilmu. kerana itu, apabila anda sedang berada dekat kambing-kambingmu atau di dusunmu, dan anda hendak azan solat, maka keraskanlah suara azan mu itu, kerana barangsiapa yang mendengar suara azan, baik jin atau manusia dan lain-lainnya, semuanya akan menjadi saksi di hari kiamat nanti. Begitulah ku dengar dari Rasulullah saw."

346, Berita dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila kamu mendengar azan, maka baca pulalah bacaan yang dibaca Muadzin itu!"

347. Yahya r.a. bercerita: "Di antara saudara-saudara kita ada yang bercerita, bahawa setelah Muadzin (orang azan) membaca 'Hayya 'alash shalah' maka dia menjawab. 'Laa haula wa la quwwata illa billah '. Katanya, "Begitulah kami dengar Nabi saw. mengucapkannya."

348, Berita dari Jabir bin Abdullah r.a. , mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mendoa sesudah mendengar azan: "Allaahumma rabba hadzihid da'watit taammati wash shalaatil qaaimati, aati muhammadal wasiilati wal fadhiilati, wab'atshu maqaaamam mahmudal ladzi wa'adtahu." "Wahai Allah, Tuhan dari panggilan yang sempurna ini dan dari solat yang berdiri kekal, berilah kiranya kepada Muhammad kedudukan dan kemuliaan yang tinggi, bangkitkanlah dia di hari kiamat di tempat yang mulia yang telah Engkau janjikan", nescaya akan turun kepada orang itu pertolongan di hari kiamat nanti.

349, Dari Salim bin Abdullah r.a., dari bapanya, mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Bilal azan di tengah malam maka makan dan minumlah (sahur) kamu sampai Ibnu Ummi Maktum azan. Dia buta, dan dia tidak akan azan kalau tidak dikatakan kepadanya bahawa Subuh telah tiba."

350, Berita dari Hafsah r.a. mengatakan, "Apabila Muadzin telah azan untuk solat Subuh dan waktu Subuh telah tiba, maka Rasulullah saw. solat singkat lebih dahulu dua rakaat sebelum melakukan solat Subuh."