Jilid 1 \ 251 - 300 ( Solat ) Bah. 2

251. Dan 'Aisyah r.a., katanya: "Nabi saw. selama ada kemungkinan, lebih suka mendahulukan yang kanan dalam segala urusannya, seperti dalam bersuci, menyikat rambut, dan memakai terompah."

252. Dan' Aisyah r.a., katanya: "Sesungguhnya Ummu Habibah dan Ummu Salamah ada menyebutkan kepada Nabi gereja yang dilihatnya di negeri Habsyah, bahawa di dalam gereja itu ada sejumlah patung. Kata Nabi saw., "Sesungguhnya orang-orang itu, jika yang meninggal di antara mereka orang saleh, mereka membuatkannya masjid di atas kuburannya dan mereka buatkan patungnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada hari kiamat."

253. Dari Anas r.a., katanya: "Nabi saw. datang ke Madinah dan berhenti di tempat yang tertinggi di kota, iaitu pada suatu kaum yang disebut Bani Amr bin 'Auf. Nabi menetap di situ selama empat belas malam. Kemudian Nabi saw. menyuruh seseorang memberi khabar kepada Bani Najjar dan mereka datang dengan membawa pedang. Seolah-olah tampak olehku Nabi sedang di atas kenderaannya dan Abu Bakar di belakangnya, sedang Bani Najjar mengelilinginya sehingga beliau berhenti di halaman Abi Ayyub. Nabi saw. lebih suka solat di mana saja atau apabila saja waktu solat telah tiba. Dan Nabi saw. pernah solat di kandang kambing. Kemudian beliau memerintahkan membuat masjid dan mengirim utusan kepada Bani Najjar. Kata Nabi saw. kepada mereka. "Hai, Bani Najjar! Katakanlah kepada ku berapa harga kebunmu ini?" Jawab mereka, "Demi Allah, kami tidak meminta harganya melainkan hanya kepada Allah." Kata Anas, "Di dalam kebun itu sebagaimana pernah aku katakan kepada mu terdapat kubur orang-orang musyrik, ada pula runtuhan rumah dan batang kurma. Maka Nabi saw. memerintahkan supaya membongkar kubur-kubur itu meratakan runtuhan rumah-rumah dan memotong batang kurma." Lalu mereka susun batang kurma itu ke arah kiblat masjid dan batu disusun di kiri kanan masjid. Mereka bekerja mengangkut batu, sambil melagukan syair, sedang Nabi s.a.w. bersama mereka mengucapkan: "Tidak ada kebaikan selain kebaikan akhirat. Maka ampunilah kiranya kaum Ansar dan Muhajirin."

254. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Aku datang kepada Nabi saw. ketika itu beliau sedang di masjid. Kata Nabi;" solatlah dua rakaat!" Nabi ada berhutang kepada ku, lalu dibayarnya dan beliau menambah bayaran untukku."

255. Dari Abu Qatadah As Salami, r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seseorang kamu masuk masjid, hendaklah solat dua rakaat sebelum duduk."

256. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Malaikat mendoa untuk seseorang kamu selama ia masih berada di dalam musalla di mana ia melakukan solat, dan selama ia belum berhadas. Kata Malaikat: "Ya, Allah! Ampunilah dia dan turunkanlah rahmatMu kepadanya.

257. Abdullah (bin Umar) r.a. menceritakan, bahawa masjid di masa Rasulullah saw. dibuat dari batu bata, atapnya dari pelepah tamar dan tiangnya dari pohon korma. Abu Bakar tidak merubahnya sedikit jua pun. Kemudian Umar melebar dan mendirikannya seperti bangunan masjid di masa Rasulullah, dari batu bata dan pelepah kurma dan mengganti tiangnya dengan kayu. Setelah itu Usman merubah dan mengadakan banyak tambahan; dindingnya terbuat dari batu berukir dan kapur, tiangnya dari batu berukir dan atapnya dari kayu saj."

258. Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: "Pada suatu hari terjadi gerhana matahari. Maka Nabi saw. melakukan solat. Kemudian beliau bersabda, "Diperlihatkan Allah kepada ku neraka, dan belum pernah aku melihat suatu pemandangan yang lebih mengerikan daripada pemandangan ketika itu."

259. Dari lbnu Umar r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Kerjakanlah sebahagian solat anda di rumah anda, dan janganlah anda jadikan rumah anda menjadi perkuburan."

260. Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah anda masuk ke tempat orang-orang terseksa, melainkan dengan menangis. Jika anda tidak menangis, maka janganlah masuk ke tempat mereka supaya anda tidak ditimpa apa yang telah menimpa mereka."

261. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya,Rasulullah saw pernah bersabda: "Aku diberi Allah swt. lima perkara yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun dari Nabi-nabi sebelumku:1. Aku dimenangkan Allah swt. dengan menggentarkan hati musuh-musuhku sejauh sebulan perjalanan (sebelum aku berhadapan dengannya). 2. Bumi dijadikan bagi ku sebagai tempat solat (masjid) dan sebagai alat untuk bersuci (yaitu tayammum); kerana itu di mana saja umat ku mendapatkan waktu solat maka hendaklah ia solat ketika itu juga. 3. Dihalalkan bagi ku harta rampasan perang. 4. Nabi-nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya saja, sedangkan aku diutus untuk manusia seluruhnya, dan 5. Diberikan Allah kepada ku Syafaat (pertolongan dan perlindungan)."

262, Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Ada seorang anak perempuan hitam, hamba sahaya kepunyaan seorang Arab yang kemudian dimerdekakannya, namun begitu masih tinggal bersama-sama dengan mereka. Sahaya itu bercerita, "Pada suatu hari anak gadis mereka keluar rumah dengan memakai selendang kulit berwarna merah. Kemudian selendangnya itu diletakkannya atau mungkin jatuh. Kebetulan seekor burung helang lalu, lalu menyambar selendang itu kerana disangkanya daging. Kemudian mereka mencari selendang tadi, tetapi tidak menemukannya. Lalu mereka menuduh anak perempuan hitam itu mengambilnya, dan mereka memeriksanya dengan teliti, sehingga kemaluannya pun diperiksa juga. Kata sahaya itu, Demi Allah, ketika saya berdiri bersama-sama mereka, tiba-tiba burung helang itu lalu dan menjatuhkan selendang itu kembali tepat di antara mereka. Kataku, 'Inilah yang anda semua tuduhkan kepada ku, sedangkan aku tidak bersalah apa-apa. Inilah dia! lnilah dia! Kemudian sahaya itu datang kepada Rasulullah saw. lalu dia masuk Islam. Kata ' Aisyah, "Semenjak itu ia memperoleh sebuah tempat tinggal di masjid; sering datang serta bercakap-cakap dengan ku. Setiap kali ia duduk di dekatku ia selalu berujar: "Dan hari selendang itu adalah suatu keajaiban dari Tuhan kita. "Ingatlah ! Peristiwa itu telah melepaskan aku dari belenggu kekafiran." Kata 'Aisyah pula, "Aku bertanya kepadanya: Apakah sebabnya gerangan, setiap kali anda duduk di dekatku, anda selalu berujar begitu? Maka diceritakannya kepada ku cerita Selendang Merah itu."

263, Dari Sahal bin Sa'ad r.a., katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. datang ke rumah Fatimah (puteri beliau) tetapi beliau tidak melihat Ali di rumah. Nabi saw. bertanya kepada Fatimah, "Di mana Ali?" Jawab Fatimah, "Antara saya dan dia ada suatu perselisihan, lantas dia marah kepada ku, Lalu dia pergi dan tidak tidur siang di rumahku." Rasulullah menyuruh seseorang, "Carilah dia! Di mana dia!" Orang itu kemudian datang melaporkan, "Ya, Rasulullah! Dia tidur di masjid.". Maka datanglah Rasulullah saw. ke masjid. Didapatinya Ali sedang tidur, cadarnya jatuh dari rusuknya, sehingga kena tanah lalu dibersihkan oleh Rasulullah sambil berkata, "Bangunlah hai orang bertanah! Bangunlah! Hai, orang bertanah!"

264, Kaab bin Malik r.a. berkata: " Apabila Rasulullah saw. baru kembali dari suatu perjalanan, lebih dahulu beliau datang ke masjid dan solat di sana.

265, Dari Ikrimah r.a., katanya: "Ibnu Abbas berkata kepada ku dan kepada anaknya, Ali, 'Pergilah kamu berdua kepada Abu Said, dan dengarkanlah ceritanya.' Lalu kami berdua pergi kepadanya dan kami dapati dia sedang dalam kebun membersihkan kebun itu. Setelah melihat kami, maka diambilnya cadarnya lalu ia duduk berpangku lutut. Dia mulai bercerita kepada kami, hingga sampai kepada cerita membuat sebuah masjid. Katanya, kami membawa batu satu demi satu, sedangkan 'Ammar membawa dua-dua buah. Ia kelihatan oleh Nabi saw. lalu dibuangkannya tanah yang melekat pada Ammar, sambil beliau berkata: Kasihan 'Ammar! Dia dibunuh oleh orang-orang jahat. Namun Ammar memanggil mereka ke syurga, tetapi mereka memanggil Ammar ke neraka. Kata Ammar, "Aku berlindung dengan Allah dari segala bencana."

266, Ubaidillah AI Khaulani r.a. mendengar ucapan Usman bin Affan tentang ucapan orang terhadapnya ketika membangun masjid Rasulullah saw., katanya, "Sesungguhnya anda banyak mengatakan yang bukan-bukan. Sedangkan aku mendengar Nabi saw. bersabda:, "Siapa yang membangun masjid (kata Bukair, aku kira dia juga menyebut ku, kerana mengharap wajah Allah), nescaya Allah membuatkan pula baginya di syurga, bangunan seperti itu."

267. Dari Abdullah r.a. dari Nabi saw., sabdanya: "Barangsiapa masuk ke masjid atau ke pasar-pasar kita dengan membawa anak panah, hendaklah dipegangnya anak panah itu supaya tidak melukai orang muslim dengan perbuatannya itu."

268, Abu Salamah bin Abdurrahman bin Auf r.a. menceritakan, bahawa dia mendengar Hassan bin Tsabit Al Anshari meminta keterangan kepada Abu Hurairah, katanya: "Saya mohon kepada anda kerana Allah, adakah anda mendengar Nabi saw. mengatakan: Hai Hassan! Jawabkanlah untuk Rasulullah, Ya, Allah! Tolonglah Hassan dengan semangat yang suci" Jawab Abu Hurairah, "Ya, betul! Saya ada mendengar!"

269, Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Seorang sahaya perempuan bernama Barirah datang kepada ku memohon supaya ia dimerdekakan. " Kata 'Aisyah: "Jika engkau mahu, akan ku serahkan engkau kepada keluargamu yang masih ada berhubungan keluarga dengan saya." Kata keluarga Barirah kepada Aisyah, "Kalau anda mahu, baiklah anda merdekakan saja dia dan setelah itu hubungan keluarga jatuh kepada kami." Setelah Rasulullah saw. datang, ku ceritakan perihal Barirah itu kepada beliau. Sabda Nabi saw., "Beli dan merdekakanlah dia; sesungguhnya hubungan keluarga itu kepada orang yang memerdekakannya. " Kemudian Rasulullah saw. berdiri di mimbar. (Dan Sufyan berkata pada suatu kali, Maka naiklah Rasulullah saw. ke mimbar). Beliau bersabda: "Apakah alasan orang-orang menentukan beberapa syarat yang tidak terdapat dalam Kitabullah? Walaupun mereka menentukan syarat seratus kali, tetapi tidak terdapat dalam Kitab Allah, maka syarat mereka itu tidak berlaku."

270, Cerita dari Kaab r.a., katanya: "Pada suatu ketika dia menagih hutangnya kepada Ibnu Abu Hadrad di masjid. Kedua-duanya keras suaranya hingga terdengar oleh Rasulullah saw. yang ketika itu sedang berada di rumahnya. Rasulullah saw. keluar mendatangi keduanya hingga tabir bilik beliau jadi terlopong terbuka saja. Beliau memanggil, "Hai, Kaab!" Jawab Kaab, "Saya, ya Rasulullah!" Sabda Nabi saw., Kurangilah piutangmu itu sebegini!" (Nabi memberi isyarat seperdua). Jawab Kaab, "Ya, saya kurangi ya, Rasulullah!" Kata Rasulullah kepada Ibnu Abu Hadrad, "Nah! Berdirilah dan bayarlah hutang Anda!"

271, Berita dari Abu Hurairah s.a. menceritakan, bahawa seorang laki-laki atau mungkin seorang perempuan kulit hitam (perawi hadis ini ragu), bekerja sebagai penyapu masjid, meninggal dunia. Maka Rasulullah saw. menanyakan perihal dia. Orang-orang mengkhabarkan kepada Rasulullah, dia sudah meninggal. Rasulullah bersabda, "Mengapa aku tidak diberi tahu? Tunjukkanlah kepada ku kuburnya. " Rasulullah saw. pergi ke kuburnya dan (pulang dari kubur) beliau solat ghaib untuknya.

272, Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika turun ayat-ayat surah Al Baqarah tentang riba, Rasulullah saw. pergi ke masjid, maka beliau bacakan semuanya kepada orang banyak, kemudian beliau haramkan perdagangan arak (minuman keras)."

273, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mengirim satu pasukan berkuda ke Nejd. Kemudian mereka datang kembali membawa seorang laki-laki dari Bani Hanifah, bernama Tsumamah bin Utsal. Orang itu mereka ikatkan pada sebuah pilar masjid. Rasulullah mendatangi orang itu, kemudian beliau bersabda,"Lepaskan dia!" Setelah itu Tsumamah pergi ke sebatang pohon kurma dekat masjid, lalu ia mandi dan setelah itu ia kembali pula ke masjid dan masuk Islam. Ia mengucapkan, 'Aku mengaku bahawa tidak ada tuhan yang patut disembah, melainkan hanya Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah."

274, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. katanya: "Tadi malam, Ifrit bangsa Jin datang kepada ku hendak mengganggu ku solat (atau beliau mengucapkan kata-kata yang sama maksudnya). Tetapi Allah memungkinkan ku untuk mengatasinya. Aku bermaksud hendak mengikatnya pada sebuah tiang masjid, sehingga pagi-pagi anda semua dapat melihatnya. Namun aku ingat doa saudara ku, Nabi Sulaiman, yang memohon, "Ya, Allah, Tuhan ku! Ampunilah aku, dan berikanlah kepada ku suatu kerajaan yang tidak akan pernah Engkau berikan kepada seorang jua pun sesudah ku." Kata Rauh, lalu jin itu diusir oleh Nabi."

275, Dari Aisyah, r.a. katanya: "Dalam perang Khandaq, lengan Saad (bin Mu'adz) luka. Maka Rasulullah saw. membuat sebuah khemah di masjid untuk memudahkan beliau agar dapat melihatnya dari dekat. Di masjid telah ada khemah lain dari Bani Ghaffar, dan mereka terkejut kerana darah mengalir dari khemah ke khemah Bani Ghaffar. Mereka berteriak, "Hai, penghuni khemah! Apa ini yang mengalir ke khemah kami dan khemah anda?" Ketika itu, luka Saad sangat banyak mengeluarkan darah, sehingga dia meninggal di khemah itu."

276, Dari Ummi Salamah r.a., katanya: "Aku mengeluh kepada Rasulullah saw. bahawa aku sakit (kerana itu aku tidak sanggup tawaf). Sabda beliau, "Tawaflah di belakang orang banyak dengan berkenderaan." Lalu aku tawaf, dan Rasulullah sedang solat menghadap ke Baitullah, membaca "Ath Thur wa kitaabin musthur..."

277, Diceritakan oleh Anas (bin Malik) r.a., bahawa dua orang sahabat Nabi saw. pada suatu malam yang gelap gelita; keduanya bersama sesuatu seperti dua lampu menerangi sekitar mereka. Setelah berpisah, masing-masing masih bersama satu masih memegang lampu hingga sampai ke rumahnya.

278, Dari Abi Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. berkhutbah, sabdanya: Sesungguhnya Allah swt. menyuruh pilih kepada hamba-Nya antara dunia dan akhirat. Maka dipilihnya "akhirat". Lalu Abu Bakar r.a. menangis. Aku berkata pada diri ku sendiri, "Kenapa orang tua ini menangis, jika Allah swt. menyuruh pilih kepada salah seorang hamba-Nya antara dunia dan akhirat, lalu dipilih akhirat. Padahal yang dimaksud dengan hamba Allah itu ialah Rasulullah saw. sendiri. Sedangkan Abu Bakar adalah orang yang lebih tahu di antara kami. Sabda Nabi saw., "Hai, Abu Bakar! Jangan menangis! Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada ku persahabatan dan hartanya, ialah Abu Bakar. Andai kata aku boleh memilih teman di antara umat ku, maka akan kupilih Abu Bakar. Tetapi persaudaraan dan kecintaan dalam Islam cukup memadai. Tidak satu pun pintu di dalam masjid yang terbuka, melainkan semuanya tertutup, kecuali pintu Abu Bakar.

279,Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. sakit keras hendak meninggal dunia, beliau keluar dengan kepala diikat dengan sehelai kain, lalu beliau duduk di atas mimbar. Setelah memuji dan menyanjung Allah swt. beliau bersabda, "Tidak ada orang yang paling dekat kepada ku tentang diri dan hartanya selain Abu Bakar bin Abu Quhafah. Jikalau bolehlah aku memilih kawan di antara segala manusia, maka kupilih Abu Bakar. Tetapi persaudaraan sesama Islam lebih utama. Tutuplah semua pintu mesjid ini kecuali pintu Abu Bakar.

280, Dari Saib bin Yazid r.a, katanya: "Aku sedang berdiri di masjid, lalu seseorang melempar ku. Setelah ku lihat, ternyata ia Umar bin Khathab. Katanya, "Jemput kedua orang itu dan bawa ke sini!" Maka aku membawa kedua orang itu kepadanya. Umar bertanya, "Siapa anda kedua-nya?" atau katanya, "Dari mana anda keduanya?" Jawab mereka, "Kami penduduk Thaif." Kata Umar, "Sekiranya anda berdua penduduk negeri ini nescaya ku pukul, kerana anda berdua mengeraskan suara di masjid Rasulullah saw."

281, Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi saw. ketika beliau sedang di atas mimbar, "Bagaimana caranya solat malam?" Nabi menjawab, "solat malam dua-dua rakaat, dan bila khuatir subuh datang, maka solatlah satu rakaat, bererti anda telah witir untuk setiap rakaat yang telah anda perbuat. Ibnu Umar mengatakan, "Buatlah solatmu yang akhir di waktu malam ganjil (witir) rakaatnya, kerana Nabi saw. menyuruh begitu."

282, Dari Abdullah bin Masalamah r.a., bahawa dia melihat Rasulullah saw. tidur telentang di dalam mesjid, salah satu kaki beliau terletak di atas yang lain.

283, 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. berkata: "Semenjak aku tahu kedua orang tua ku telah memeluk Islam semenjak aku mulai akil-baligh. Tiada satu hari pun kami lewati, melainkan Rasulullah saw. datang mengunjungi kami di kedua tepi siang, mahupun petang. Kemudian ayahku, Abu Bakar, teringat hendak mendirikan sebuah masjid, maka dibuatnya di halaman rumah kami. Ayahku solat dan membaca Quran di masjid itu. Maka para wanita musyrik , dan anak-anak mereka berdiri di sekitarnya; mereka tercengang melihat ayahku dan memperhatikannya. Abu Bakar, ayahku, orang laki-laki yang mudah menangis dan tidak dapat menguasai air matanya apabila beliau membaca Al Quran. Hal itu menyebabkan para bangsawan musyrikin Quraisy gempar kerananya.

284, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "solat berjemaah lebih banyak nilainya dua puluh lima kali daripada solat di rumah atau di pasar (tempat usaha) Sesungguhnya apabila kamu berwuduk dengan sempurna, kemudian dia datang ke masjid dengan niat semata hendak solat, maka setiap dia melangkah walau selangkah, Allah menaikkannya satu darjat, dan menghapus kesalahannya, sehingga ia masuk ke masjid. Apabila ia telah masuk masjid, maka selama ia mengerjakan solat, bahkan selama ia masih berada di tempat duduknya di masjid itu, malaikat sentiasa mendoakan baginya selama ia belum berhadas, "Wahai Allah! Ampunilah dia dan kasihilah dia!"

285, Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Sesungguhnya seorang mukmin terhadap seorang mukmin bagaikan sebuah rumah, yang satu mengukuhkan yang lain." Ketika berkata itu, Rasulullah saw. mendekatkan jari-jarinya.

286, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. solat bersama kami, salah satu dari dua solat petang. (Kata Ibnu Sirin yang meriwayatkan hadis ini dari Abu Hurairah, Abu Hurairah ada menyebutkan nama solat itu, tetapi Ibnu Sirin telah lupa). Maka Nabi saw. solat bersama kami dua rakaat lalu memberi salam. Sesudah itu beliau berdiri pada sebuah kayu yang dilintangkan di masjid dan bertelekan padanya. Beliau kelihatan seperti orang sedang marah. Diletakkannya tangan kanannya di atas tangan kirinya dan dipersilangkannya jari-jari kedua tangannya, kemudian diletakkannya pipi kanan di punggung telapak tangan kiri. Orang-orang yang ingin cepat, telah keluar dari pintu masjid sambil bertanya-tanya, "Apakah solat diperpendek?" Di antara jemaah waktu itu terdapat juga Abu Bakar dan Umar. Tetapi keduanya tidak berani menanyakan hal itu kepada Nabi saw. Dari dalam jemaah itu terdapat pula seorang sahabat yang panjang kedua belah tangannya sehingga dia dipanggilkan "Dzul Yadain". Orang ini bertanya kepada Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Apakah anda lupa, ataukah memang solat dipersingkat?" Jawab Nabi, "Saya tidak lupa dan solat tidak pula dipersingkat." Lalu beliau bertanya (kepada jemaah), "Betulkah itu apa yang ditanyakan Dzul Yadain itu?" Jawab jemaah, "Betul." kerana itu Nabi saw. berdiri kembali menyempurnakan rakaat yang tinggal, kemudian beliau memberi salam. Sesudah itu beliau takbir dan sujud seperti sujudnya dalam solat atau lebih. Kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir, sesudah itu sujud pula seperti sujud solat atau lebih, kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir." Kata perawi menambahkan, boleh jadi mereka bertanya, "Adakah Nabi memberi salam sesudah itu" Katanya, Imran bin Husain "Sesudah itu, Nabi saw. memberi salam. "

287, Berita dari Ibnu Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. apabila beliau keluar di hari raya, beliau memerintahkan supaya membawa lembing. Kemudian lembing itu diletakkan orang di hadapan beliau dan beliau solat menghadapi lembing itu sedangkan orang banyak mengikuti beliau solat di belakang. Rasulullah saw. melakukannya dalam perjalanan, kerana itu ditiru pula oleh para raja."

288, Dari 'Aun bin Abu Juhaifah r.a., katanya: "Aku mendengar ayahku mengatakan, bahawa Rasulullah saw. solat bersama-sama mereka di tanah lapang; solat zohor dua rakaat dan solat Asar dua rakaat, sedangkan di hadapan Nabi ditancapkan sebuah tongkat. Sementara itu seorang wanita dan seekor keldai lalu di hadapan beliau (di balik tongkat)."

289, Berita dari Abdullah bin Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersama-sama dengan Usamah bin Zaid, Bilal, dan Usman bin Thalhah Alhajjabi, masuk ke dalam Kaabah, kemudian beliau menguncikannya dan tinggal di dalam beberapa lamanya. Saya bertanya kepada Bilal ketika dia keluar, "Apakah yang diperbuat Nabi saw. di dalam?" Jawabnya, "Beliau solat di mana sebuah tiang di kirinya dan sebuah lagi di kanannya dan tiga buah tiang di belakangnya. Sedangkan ketika itu Kaabah mempunyai enam tiang, kemudian beliau solat di situ."

290, Berita dan Nafi' r.a. mengatakan, bahawa Abdullah bin Umar ketika masuk ke dalam Kaabah, dia terus berjalan di muka dan meninggalkan pintu Kaabah di belakangnya. Dia berjalan terus, sehingga dinding yang di hadapannya hanya berada lebih kurang tiga hasta darinya. Dia solat di mana Nabi saw. pernah solat, sebagaimana diceritakan Bilal kepadanya. Ibnu Umar mengatakan, "Tidak ada salahnya bagi kita solat di mana saja kita mahu di dalam Kaabah."

291, Berita dari Ibnu Umar r.a. dari Nabi saw. mengatakan, bahawa Nabi saw. dalam suatu perjalanan melintangkan kenderaannya, kemudian beliau solat menghadap ke arah kenderaan itu.

292, Abu Saleh As Samman r.a. bercerita, katanya: "Saya melihat Abu Said Al Khudri solat pada hari Jumaat, dia menghadap sesuatu yang dapat mendindingnya dari orang-orang yang lalu lintas. Kemudian seorang pemuda dari Bani Muaith hendak lalu di hadapan Abu Said, maka ditolakkan oleh Abu Said tentang dada pemuda itu. Setelah meneliti, pemuda itu tidak ada melihat jalan lain kecuali di hadapan Abu Said. Maka pemuda itu mencuba sekali lagi hendak lalu, tetapi Abu Said menolakkannya lebih keras dari yang pertama tadi. kerana itu dia merasa kurang senang terhadap Abu Said, lalu pergi kepada Marwan (Khalifah) mengadukan perlakuan Abu Said terhadapnya. Setelah itu Abu Said datang pula menghadap Marwan menyusul pemuda itu. Kata Marwan, "Apa yang terjadi antaramu dan anak saudara mu, hai, Abu Said?" Jawab Abu Sa'id, "Aku mendengar Nabi saw. bersabda: Apabila seseorang kamu solat menghadap sesuatu yang dapat menutupnya dari orang-orang yang lalu lintas, kemudian ada orang yang hendak lalu di hadapanmu, maka tolakkanlah dia. Tetapi jika dia enggan, lawanlah dia kerana sesungguhnya dia itu syaitan."

293, Berita dari Busr bin Said r.a. menceritakan, bahawa pada suatu hari Zaid bin Khalid menyuruhnya pergi kepada Abu Juhaim menanyakan apa yang telah didengarnya dari Rasulullah saw. perihal orang yang lalu di hadapan orang yang sedang solat. Kata Abu Juhaim, "Rasulullah saw. bersabda: Kalau sekiranya orang yang lalu di hadapan orang yang sedang solat mengetahui akan dosanya, nescaya dia akan merasa lebih baik berdiri 40 hari menunggu daripada melalui orang yang sedang solat itu."

294, Dari' Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu kali, Nabi saw. solat padahal aku sedang tidur lelap di tikarnya. Ketika beliau hendak solat witir dibangunkannya aku, lalu aku solat witir pula."

295, Berita dari 'Aisyah r.a., mengatakan: "Diperkatakan orang di dekatku perkara yang membatalkan solat. Kata mereka, yang membatalkan solat ialah anjing, keldai dari wanita. Maka jawab ku, "Anda samakan kami dengan keldai dan anjing? Demi Allah! Sesungguhnya aku melihat Nabi saw. solat, padahal aku sedang berbaring di atas tempat tidur antara beliau dengan kiblat. Tiba-tiba aku mempunyai suatu keperluan; aku malas duduk kerana aku takut Nabi saw. akan terganggu solatnya. kerana itu aku turun perlahan-lahan ke dekat kaki beliau."

296, Berita dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., mengatakan, "bahawa Rasulullah saw. pernah solat, padahal beliau sedang menggendong Umamah binti Zainab binti Rasulullah saw." Dan berita dari Abu' Ash bin Rabiah bin Abdu Syams mengatakan, "Maka apabila beliau sujud diletakkannya Umamah itu, dan apabila beliau berdiri, didukungnya kembali."

297, Syaqiq r.a. bercerita, katanya: "Aku mendengar Hudzaifah berkata, pada suatu hari ketika kami duduk dekat Umar r.a. Dia berkata, "Siapakah di antara anda semua yang masih ingat sabda Rasulullah saw. tentang fitnah?" Jawab ku, "Aku! Aku masih ingat, tepat sebagaimana yang beliau sabdakan." Kata Umar, "Anda tak sangsi? Betulkah itu?" Jawab ku, "Fitnah (kesalahan) seorang laki-laki dalam keluarganya, hartanya, anaknya dan tetangganya dihapuskan oleh solat, puasa, sedekah dan oleh amar maaruf serta nahi mungkar." Kata Umar, "Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi fitnah yang menggelombang seperti gelombang laut." Jawab Hudzaifah, "Ya, Amirul Mukminin! Anda tidak usah gelisah mengenai hal itu. kerana antara anda dan fitnah itu ada pintu yang terkunci rapat." Kata Umar, "Apakah pintu itu dipecah atau dibuka orang?" Jawab Hudzaifah, "Akan pecah." Kata Umar, "Kalau sudah pecah, tentu tak dapat dikunci lagi untuk selama-lamanya." Kami (Syaqiq dkk.) bertanya kepada Hudzaifah, "Apakah Umar tahu pintu itu?" Jawab Hudzaifah, "Ya,dia tahu sebagaimana dia tahu bahawa malam ini terjadi sebelum besok pagi. Dan aku telah menceritakan kepadanya hadis yang tidak mengandung kesalahan." Kata Syaqiq, "Kami takut akan bertanya lagi kepada Hudzaifah perihal pintu itu, maka kami suruh Masruq bertanya. Jawab Hudzaifah, "Pintu itu ialah Umar sendiri."

298, Berita dari Ibnu Mas'ud r.a. mengatakan, bahawa seorang laki-laki mencium seorang perempuan. Lalu dia datang kepada Nabi saw. menceritakan halnya itu kepada beliau. Maka Allah swt. menurunkan ayat: "Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya , perbuatan yang baik-baik menghapuskan perbuatan yang buruk-buruk." Laki-laki itu bertanya. "Ya, Rasulullah! Apakah ini untuk saya ?" Jawab Nabi saw., "Untuk seluruh umatku!" 

299, Abdullah r.a. bercerita, katanya: "Aku bertanya kepada Rasulullah saw., " Apakah amal yang paling disukai Allah?" Jawab beliau, "Solat pada waktunya. " Tanya Abdullah' "Sesudah itu apa?" Jawab beliau, "Berbuat baik kepada ibu bapa." Tanya Abdullah, "Sesudah itu apa?" Jawab Nabi saw., "Jihad (berjuang) di jalan Allah." Kata Abdullah,": Nabi saw. mengatakannya semua kepada ku. Dan kalau ku minta lagi, nescaya beliau akan menambahnya pula."

300, Dari Abu Hurairah r.a. katanya, dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Bagaimanakah pendapat anda semua, jikalau sebuah sungai mengalir dekat pintu rumah anda; kemudian anda mandi di sungai itu lima kali sehari. Masih adakah daki yang tinggal di badannya?" Jawab mereka,"Tidak tinggal sedikit pun. " Sabda beliau, "Begitulah perumpamaan solat yang lima waktu; Allah menghapuskan dengannya segala kesalahan."