Jilid 1 \ 401 - 450 ( Solat ) Bah. 5

401, Berita dari Anas r.a. mengatakan, bahawa pada suatu kali qamat untuk solat telah diucapkan orang. Rasulullah saw. menghadapkan mukanya kepada kami, lalu beliau bersabda: "Luruskan dan rapatkan safmu! Sesungguhnya aku dapat melihatmu di belakangku."

402, Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., bahawa beliau bersabda: "Imam itu ditetapkan untuk diikuti. kerana itu janganlah kamu menyalahinya. Apabila dia rukuk, rukuk pulalah kamu. Apabila dia membaca Sami'allahu liman hamidah, maka baca pulalah Rabbana lakal hamdu. Dan apabila dia sujud, sujud pulalah kamu, apabila dia duduk, duduk pulalah semuanya. Dan luruskan saf (barisan) dalam solat; sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solat."

403, Dari Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Saya melihat Nabi saw. memulai takbir solatnya: diangkatnya kedua tangannya sewaktu takbir itu hingga setentang dengan kedua bahunya. Apabila beliau takbir untuk rukuk, beliau melakukan seperti itu pula. Dan apabila beliau mengucapkan Sami'allahu liman hamidahu dan mengucapkan Rabbana lakal hamd, beliau melakukannya seperti itu pula. Beliau tidak melakukan demikian ketika (hendak) sujud dan ketika mengangkat kepala dari sujud."

404, Dari Anas r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Luruskan saf! Aku dapat melihatmu di belakangku: Di antara kami ada yang bertemu bahu dengan bahu kawannya, dan tumit dengan tumit."

405, Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Pada suatu malam aku solat bersama-sama dengan Nabi saw. Aku berdiri sebelah kiri beliau. Maka dipegangnya kepala ku dibelakang dan menyuruh ku ke sebelah kanan beliau. Kemudian beliau solat dan setelah itu tidur. Maka datanglah orang memberitahukan untuk solat. Lalu beliau berdiri dan terus solat tanpa mengulang wuduk kembali."

406, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Aku dan seorang anak yatim solat bersama-sama di rumah kami, di belakang Nabi saw. Sedangkan ibu ku, Ummu Sulaim, di belakang kami."

407, Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. solat malam di biliknya, padahal dinding bilik itu pendek, sehingga orang banyak dapat melihat Nabi saw. kerana itu mereka solat pula seperti Nabi. Setelah hari pagi, mereka mempercakapkan hal itu. Malam kedua Nabi solat pula. Orang banyak pun solat pula seperti beliau. Mereka lakukan hal seperti itu dua atau tiga malam, dan sesudah itu beliau solat sambil duduk dan tidak keluar. Ketika hari telah subuh, orang banyak menanyakan hal itu kepada beliau. Jawab beliau, " Aku takut, kalau kalau kamu mengira solat malam itu wajib."

408, Zaid bin Tsabit memberitakan bahawa Rasulullah saw. membuat sebuah bilik di bulan Ramadhan, dan beliau solat di situ beberapa malam. Lalu beberapa orang sahabat solat pula seperti solat Nabi. Setelah Nabi mengetahui akan hal itu maka beliau solat sambil duduk. Kemudian Nabi saw. datang kepada mereka dan bersabda: "Sesungguhnya aku tahu apa yang telah anda semua lakukan. solatlah anda semua di rumah masing-masing, kerana solat yang paling utama ialah solat seseorang di rumahnya, kecuali solat fardu."

409, Anas bin Malik Al Anshari r.a. menceritakan, bahawa pada suatu ketika Rasulullah saw. naik kuda. (kerana jatuh), maka rusuk beliau yang sebelah kanan luka. Semenjak itu beliau solat sambil duduk untuk beberapa kali solat. Kami solat pula di belakang beliau (makmum) sambil duduk. Sesudah memberi salam, beliau bersabda, "Sesungguhnya imam itu ditetapkan untuk diikut. Maka apabila dia solat berdiri maka solat pulalah dengan berdiri. Apabila dia rukuk, rukuk pulalah kamu. Apabila dia bangkit, bangkit pula, apabila dia sujud, sujud pula, dan apabila dia mengucapkan Sami'allahu liman hamidah maka ucapkanlah Rabbana lakal hamd. "

410, Berita dari Salim bin Abdullah r.a., dari bapanya, dia mengatakan, bahawa Rasulullah saw. mengangkat kedua belah tangan beliau hingga setentang dengan kedua lengannya, apabila dia takbir memulai solat,dan takbir untuk rukuk. Apabila beliau mengangkat kepalanya dari rukuk, beliau mengangkat pula keduanya seperti itu, sambil membaca Sami'allahu liman hamidah Rabbana walakwl hamdu. Tetapi beliau tidak melakukan perbuatan seperti itu ketika hendak sujud."

411. Berita dari Anas r.a. mengatakan, bahawa Nabi saw., Abu Bakar dan Umar r.a., ketiga-tiganya memulai solat mereka dengan membaca Alhamdulillahi rabbil 'Alamin (surah al fathihah).

412, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. diam sebentar antara takbir dan bacaan fathihah. Aku bertanya, "Dengan nama bapa dan ibu ku, ya, Rasulullah! Selama anda diam antara takbir dan bacaan fathihah, apakah yang anda baca?" Jawab beliau, "Aku membaca: Allahuma baa'id baini wa baina khathayaya kamaa baa'adta bainal masyriqi wal maghribi. Allaahumma naqqini minal khathayaya kamaa yunaqqats tsaubul abyadhu minaddanas. Allaahummaghsil khathayaya bil maa-i wafs tsalji wal baradi." (Wahai, Allah! Jauhkanlah antaraku dan kesalahanku seperti jauhnya Timur dan Barat. Wahai, Allah! Sucikanlah aku dari segala kesalahanku, seperti halnya kain putih dibersihkan orang dari kotoran. Wahai, Allah! Bersihkanlah segala kesalahanku dengan air salji dan dengan air ais).

413, Asma binti Abu Bakar r.a. memberitakan, bahawa pada suatu ketika Nabi saw. melakukan solat kusuf (solat gerhana matahari). Beliau berdiri lama-lama, rukuk lama-lama, kemudian berdiri kembali lama-lama, kemudian rukuk lagi lama-lama, kemudian bangkit dari rukuk dan sesudah itu sujud lama-lama, kemudian bangkit lalu sujud lama-lama. Kemudian berdiri kembali lama-lama, kemudian rukuk lama-lama, kemudian bangkit dan berdiri lama-lama, kemudian bangkit lalu sujud kembali lama-lama. Sesudah itu beliau menoleh memberi salam. Sabda beliau: "Sungguh dekat rasanya syurga kepada ku, sehingga andaikan aku berani, dapat ku petikkan untukmu setangkai buah dari buah-buahannya. Tetapi neraka terasa dekat pula kepada ku. Sehingga aku berucap, "O, Tuhan! Apakah aku bersama mereka?" Tiba-tiba aku melihat seorang wanita, yang ku duga dia itu dicakar kucing. Lantas aku bertanya, "Apa yang telah terjadi?" Jawab mereka, "Wanita itu telah mengurung kucing itu sampai mati kelaparan, tidak diberinya makan dan tidak pula dilepaskannya supaya kucing itu dapat mencari makan sendiri."

414, Dari Abi Mamar r.a., katanya: Kami bertanya kepada Khabbab, "Adakah Nabi saw. membaca (ayat) dalam solat Zohor dan Asar?" Jawabnya, "Ada!" Tanya ku, "Bagaimana kamu dapat mengetahuinya?" Jawabnya, "Dari gerakan janggutnya. "

415, Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: "Pada masa Rasulullah saw. terjadi gerhana matahari. Lalu beliau solat (kusuf)". Para sahabat bertanya, Ya, Rasulullah! Anda kami lihat seperti mengambil sesuatu di tempat anda berdiri, kemudian anda undur ke belakang. Mengapa ?" Jawab Nabi, "Diperlihatkan kepada ku syurga, lalu ku pegang setangkai (buah) daripadanya. Kalau ku petikkan untukmu, nescaya dapat untuk kamu makan seumur dunia."

416, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Nabi saw. solat bersama-sama dengan kami. Kemudian beliau naik ke mimbar dan menunjuk dengan tangannya ke arah kiblat masjid. Kemudian beliau bersabda: "Sekarang saya sungguh-sungguh telah melihat syurga dan neraka. Iaitu semenjak aku solat tadi bersama-sama dengan kamu sekalian. Kedua-duanya bagaikan tergambar dalam penglihatanku di dinding sebelah kiblat itu. Belum pernah aku menyaksikan kebahagiaan dan kesengsaraan seperti yang ku saksikan hari ini." Ucapan beliau itu diucapkannya sampai tiga kali.

417, Anas bin Malik bercerita, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apakah gerangan yang terpikir oleh sementara orang yang melihat ke langit dalam solatnya?" Sangat keras ucapan beliau ketika mengucapkan kata-katanya itu. Sehingga akhirnya beliau bersabda: "Hentikanlah perbuatan seperti itu! Ataukah mereka ingin pandangan mereka dicabut?"

418, Dari' Aisyah r.a., katanya: "Aku bertanya kepada Rasulullah saw. perihal menoleh atau berpaling di dalam solat. Jawab beliau, "Hal itu ialah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang."

419, Diberitakan oleh Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika kaum Muslimin sedang solat Subuh, mereka terkejut kerana tiba-tiba Rasulullah membuka tabir bilik 'Aisyah (di mana beliau sedang terbaring sakit keras). Rasulullah senyum tertawa melihat mereka sedang solat dalam beberapa saf. Abu Bakar r.a. (yang menjadi imam ketika itu) mundur sampai ke saf di belakangnya, kerana mengira Rasulullah akan datang solat bersama-sama dengan mereka. Hampir saja kaum muslimin tergoda dalam solat mereka kerana peristiwa itu. Maka Nabi memberi isyarat kepada mereka supaya mereka meneruskan solat. Sesudah itu beliau menutupkan tabirnya kembali. Beliau wafat pada akhir hari itu juga."

420, Diberitakan oleh 'Ubbadah bin Shamit r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak (sah) solat orang yang tidak membaca Surah Al Fathihah."

421, Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Pada dua rakaat pertama solat Zohor, Nabi saw. membaca Surah Al Fathihah dan dua surah, dipanjangkannya bacaan pada rakaat pertama dan dipendekkannya pada rakaat kedua. Kadang-kadang bacaan ayatnya itu kedengaran. Dalam solat 'oAsar beliau membaca Fatihatul Kitab (Surah Al Fathihah) dan dua surah. Dan di dalam solat Subuh, beliau memanjangkan bacaan pada rakaat pertama dan memendekkan pada rakaat kedua. "

422, Dan Ibnu Abbas r.a., katanya: "Ummul Fadhal mendengarnya, dia membaca surah Wal Mursalaati'Urfa. Lalu Ummull Fadhal berkata, "Hai, Anak ku! Bacaanmu akan surah itu sungguh mengingatkan ku saat terakhir aku mendengar Rasulullah saw. membacanya dalam solat Maghrib."

423, Diceritakan oleh Marwan bin Hakam r.a., bahawa Zaid bin Tsabit bertanya kepadanya: "Apa sebabnya anda di dalam solat Maghrib membaca surah-surah yang pendek saja? Padahal aku pernah mendengar Rasulullah saw. membaca salah satu dua surah yang panjang-panjang."

424, Dari Jubair bin Muth'im r.a., dari bapanya, katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. membaca surah Ath Thur dalam solat Maghrib."

425, Diceritakan oleh Abu Rafi' ra., katanya: "Aku solat Isyak bersama-sama dengan Abu Hurairah r.a. Dia membaca surah Al Insyiqaq, sesudah itu dia sujud. Menjawab pertanyaanku dia berkata: "Saya sujud di belakang Abu Qasim (Nabi saw.) ketika dia membaca surah tersebut, dan akan sentiasa sujud, sampai saya dapat bertemu dengannya (kalau sudah meninggal)."

426, Diceritakan oleh Al Barra' r.a., katanya: "Katanya aku mendengar Nabi saw. membaca surah At Tin dalam solat Isyak, di mana saya tidak pernah mendengar suara bacaan seseorang yang lebih bagus dari suara beliau."

427, Diceritakan oleh Atha' r.a., bahawasanya dia mendengar Abu Hurairah berkata: "Quran dibaca di setiap solat. Bacaan yang dinyaringkan oleh Nabi saw., kami nyaringkan pula untukmu. Dan bacaan yang dibaca dengan perlahan-lahan, kami baca pula dengan perlahan-lahan untukmu. Jika tidak kamu tambah surah Al Fathihah, itu sudah cukup untukmu, tetapi jika kamu tambah (dengan surah-surah yang lain) maka itu akan lebih baik."

428, Diceritakan oleh Ibnu Abbas ra. katanya: "Nabi pergi dengan beberapa orang sahabat menuju pasar 'Ukazh. Waktu itu suatu dinding telah diletakkan antara para syaitan dan berita-berita langit. Batu berapi panas (meteoroid) dilemparkan kepada mereka. syaitan-syaitan itu pergi kepada kaumnya, menanyakan kepada mereka, "Apa yang terjadi pada kalian?" Jawab mereka, "Antara kita dengan berita dari langit tertutup, sedangkan kita dilempari dengan batu berapi (meteoroid). Berkata pula yang lain, "Tertutupnya kita dengan berita-berita dari langit tentu ada sesuatu yang menyebabkannya. kerana itu pergilah kalian ke Timur dan ke Barat, selidiki apakah sesungguhnya yang telah menutup antara kamu semua dengan berita dari langit. Kelompok yang berangkat ke arah Tihamah, bertemu dengan Nabi saw. ketika beliau berada di Nakhlah sedang menuju Pasar 'Ukazh. Nabi saw. solat Subuh dengan para sahabat beliau. Ketika mereka mendengar bacaan Quran (dibaca oleh Nabi), mereka memperhatikannya dengan sungguh-sungguh. Lantas mereka berkata: "Demi Allah! Inilah yang membatasi kita dengan berita-berita dari langit." Ketika mereka kembali kepada kaumnya, mereka menyatakan: "Hai, kaum kami! Sesungguhnya kami mendengar Bacaan yang menakjubkan. (Yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Tuhan kami. " Kemudian diturunkan Allah kepada Nabi-Nya, ayat: "Qul Uhiya ilayya . . . . " Katakanlah (hai Muhammad)! Telah diwahyukan kepada ku . . . . . . . .. "(Al Jin,72: 1 - 2). Yang diwahyukan kepada Muhammad ialah apa yang dikatakan Jin tadi.

429, Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila imam membaca Amin, maka ucapkan pulalah Amin! Kerana barangsiapa bersamaan Aminnya dengan Amin malaikat, diampuni segala dosa-dosanya yang telah lalu.

430, Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda: Apabila imam membaca Ghairil maghdhuubi 'alaihim wa ladhdhallin, maka ucapkanlah Amin! Barangsiapa bersamaan ucapan AminNya dengan ucapan malaikat, diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu.

431. Diberitakan oleh Abu Bakrah bahawa dia datang kepada Nabi saw. Didapatinya beliau sedang rukuk, maka dia pun naik pula sebelum sampai ke dalam saf. Hal itu diceritakannya kepada Nabi. Sabda Nabi saw., "Semoga Allah swt. menambah kesungguhan hatimu itu. Tetapi (perbuatan seperti itu) jangan diulangi lagi.

432, Diceritakan oleh Imran Ibnu Hushain r.a., katanya: Kami solat bersama-sama 'Ali r.a. di Basrah. Beliau menimbulkan ingatan kami kepada solat yang kami lakukan bersama-sama Rasulullah saw. Imran menyebutkan, "Ali membaca takbir setiap kali beliau bangkit dan menundukkan kepala."

433, Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa ketika ia menjadi imam bagi mereka. Dia membaca takbir setiap kali dia menunduk dan bangkit. Setelah selesai solat dia berkata: bahawasanya solat ku itu sama dengan solat Rasulullah saw."

434, Diceritakan oleh Zaid bin Wahab, r.a., bahawa dia melihat seorang yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya. Katanya kepada orang itu, "Sesungguhnya engkau tidak solat. Kalau engkau mati, maka engkau mati di atas agama yang bukan agama Muhammad saw."

435, Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi saw. masuk ke dalam masjid, kemudian masuk pula seorang laki-laki lalu dia solat. Selesai solat, orang itu datang dan memberi salam kepada Nabi saw. Nabi menolak orang itu dan bersabda, "Ulangilah solat anda kembali kerana anda belum solat!" Maka diulanginya solatnya kembali, kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi. Sabda Nabi, "Ulangilah solat anda kembali, kerana anda belum solat!" Sampai tiga kali Nabi saw. menyuruh orang itu demikian. Jawab orang itu, "Demi Allah, yang telah mengutus anda dengan yang hak. Aku belum tahu cara solat yang lebih baik dari itu. kerana itu ajarkanlah kepada ku." Jawab Nabi saw., "Apabila engkau berdiri hendak solat, ucapkanlah Takbir. Kemudian baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Kemudian rukuk sehingga engkau tenang dalam rukuk itu, kemudian bangkit, berdiri lurus kembali. Sesudah itu sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Sesudah itu bangkit, duduk, sehingga engkau tenang tenteram dalam dudukmu itu. Kemudian sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Lakukanlah seperti itu setiap kamu solat."

436, Diceritakan oleh 'Aisyah r.a., bahawasanya Nabi saw. di dalam rukuk dan sujud, beliau membaca: "Subhanakallahumma rabhana wa bihamdika Allahummaghfir li (Maha Suci Engkau wahai Allah Tuhan kami. Dan dengan memuji Engkau, wahai Allah, ampunilah hamba.)"

437, Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., katanya: "Apabila Nabi saw. membaca "Samiallahu liman hamidah ", maka beliau membaca, "Allahumma Rabbana wa lakal hamd. " Dan beliau membaca Takbir apabila beliau rukuk atau bangkit dari rukuk, begitu pula apabila beliau berdiri dari dua sujud, beliau membaca takbir (Allahu Akbar)."

438, Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., "bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Apabila imam membaca 'Samiallahu liman hamidah', maka bacalah: "Allahumma Rabbana lakal hamd. " Barangsiapa bacaannya bersamaan dengan bacaan malaikat, diampuni Allah dosanya yang telah lalu."

439, Berita dari Abu Hurairah r.a., katanya: Akan ku gambarkan kepada mu solat Nabi saw. Abu Hurairah Qunut pada rakaat terakhir solat Zohor, solat Isyak, dan solat Subuh, iaitu sesudah membaca Sami'allahu liman hamidah, dia mendoakan kebahagiaan bagi kaum muslimin dan mengutuk orang-orang kafir."

440, Dari Rifa'ah bin Rati' Az Zuraqi r.a., katanya: Pada suatu hari kami solat di belakang Nabi saw. Tatkala beliau mengangkat kepala dan rukuk, "beliau membaca: Sami'allahu liman hamidah. Seorang laki-laki yang solat di belakang beliau lalu membaca: "Rabbana wa lakal hamdu hamdan katsiran thaiyiban mubarakan fihi. (Wahai, Tuhan kami! Untukmulah segala puji-pujian, pujian yang banyak, baik, lagi penuh berkat di dalamnya)." Setelah selesai solat, Nabi saw. bertanya: Siapa yang membaca bacaan itu tadi?" Jawab orang itu: "Aku!" Sabda Nabi saw., "Aku melihat, lebih dari tiga puluh malaikat berlumba-lumba supaya lebih dahulu menuliskan bacaanmu itu tadi."

441, Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw. Tanya mereka, "Dapatkah kami melihat Tuhan kita nanti di hari kiamat?" Jawab Nabi, "Masih sangsikah kamu untuk dapat melihat bulan purnama pada malam empat belas yang tidak berawan?" Jawab mereka, "Tidak! Ya, Rasulullah!" Tanya Nabi saw., "Masih sangsikah kamu untuk dapat melihat matahari di tengah hari yang tidak berawan? Jawab mereka, "Tidak!" Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya kamu akan melihat Allah (Tuhanmu) seperti itu. Pada hari kiamat itu akan dikumpulkan seluruh manusia. Lalu Allah berfirman, "Siapa yang menyembah sesuatu (selain aku), maka hendaklah dia mengikut sembahannya itu." Di antara mereka itu ada yang mengikut matahari, ada yang mengikut bulan dan ada yang mengikut bermacam-macam thaghut (berhala). Maka tinggallah umat Islam ini, termasuk di dalamnya orang-orang munafik. Allah akan datang kepada mereka dan berfirman, "Aku adalah Tuhanmu!" Jawab mereka, "Kami akan tetap di sini hingga Tuhan kami datang. Apabila Tuhan kami datang, kami akan mengenalNya." Maka datanglah Allah kepada mereka, lalu berfirman: "Aku Tuhanmu!" Jawab mereka, "Ya, Engkaulah Tuhan kami." Allah akan memanggil mereka, dan sebuah jambatan dibentangkan melintasi neraka jahannam. Aku (Muhammad saw.) adalah orang pertama di antara para Rasul beserta umatnya yang pertama-tama melintasinya. Tak seorang pun di kala itu yang berkata-kata kecuali doa para Rasul. Doa mereka ketika itu ialah: "Ya, Allah! Selamatkan, selamatkan!" Di dalam neraka jahannam itu terdapat kaitan-kaitan seperti duri kayu Saadan. Tahukah anda duri kayu Saadan itu?" Jawab orang banyak, "Tahu." Sabda Nabi saw., "Rupanya seperti duri kayu Saadan, tetapi besarnya hanya Allah swt. yang tahu, manusia akan terkait kerana amalnya. Di antaranya ada yang jatuh berkait sesuai dengan amalnya, tetapi ada pula yang terkait sedikit saja, kemudian lepas." Apabila Allah swt. menghendaki akan memberi rahmat kepada penduduk neraka, maka disuruhNya malaikat mengeluarkan orang-orang yang pernah menyembah Allah. Mereka segera mengeluarkannya, yang masing-masing dikenalnya dengan tanda bekas sujud. Allah swt. mengharamkan api memakan tanda bekas sujud. Maka keluarlah mereka dari neraka. Seluruh tubuh anak Adam akan dimakan api kecuali bekas sujud. Para malaikat mengeluarkan mereka dari neraka dalam keadaan hangus. Lalu dituangkan kepada mereka air kehidupan. Maka tumbuhlah badan mereka sebagai tumbuhnya bibit di tanah bekas banjir. Setelah Allah swt. mengadili mereka, masih ada ketinggalan seseorang antara syurga dan neraka. Dialah orang terakhir dari isi neraka yang akan masuk ke dalam syurga. Dikala mukanya dihadapkannya ke neraka, dia mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Palingkanlah muka ku dari neraka ini. Baunya sungguh amat menyakitkan kepada ku, dan panasnya membakar ku." Allah akan menanyainya, "Sekiranya permintaanmu Aku kabulkan, apakah engkau hendak meminta lagi yang lain?" Jawabnya, "Demi kebesaran Engkau, tidak akan kuminta lagi." Maka diperkenankan oleh Allah permintaannya (tersebut di atas) , dengan perjanjian seperti tersebut. Lalu dipalingkan Allah mukanya dari neraka. Tetapi setelah mukanya dihadapkan ke Syurga, dan dilihatnya keindahan syurga, diamlah ia seketika. Kemudian ia mendoa pula: "Ya, Tuhan ku, bawalah aku ke dekat pintu syurga!" Allah bertanya, "Bukankah engkau telah mengikat janji dengan ku, yang engkau tidak akan memajukan permintaan yang lain lagi?" Jawab orang itu, "Wahai, Tuhan ku! Janganlah kiranya aku dijadikan makhluk yang paling malang!" Jawab Allah, Sekiranya Aku kabulkan permintaanmu, apakah engkau masih hendak meminta yang lain lagi?" Jawabnya, "Tidak! Demi kebesaran Mu, aku tidak akan meminta yang lain lagi!" Lalu diperkenankan Allah permintaannya dengan perjanjian, dan dia dibawa ke pintu syurga. Setelah sampai di pintu syurga, kelihatan olehnya keindahan syurga, kegemilangan, dan kegembiraan yang ada di dalam syurga. Dia terdiam pula seketika. Kemudian ia memohon pula, "Wahai, Tuhan ku! Masukkanlah kiranya aku ke dalam syurga!" Kata Allah, "Kasihan kamu, hai anak Adam! Alangkah penipunya kamu! Bukankah kamu sudah berjanji tidak akan meminta lagi selain yang telah kamu peroleh?" Jawabnya, "Ya, Tuhan! Janganlah kiranya aku dijadikan makhluk yang paling malang. " Allah 'Azza wa Jalla tertawa mendengarkan ucapannya itu. Kemudian dia mengizinkannya masuk ke syurga. Berkata Allah, "Mintalah segala yang kamu inginkan." Lalu dia memohon segala yang diinginkannya sehingga ia puas. Kemudian Allah berkata pula, "Mintalah tambahannya ini dan itu." Diingatkan oleh Allah kepadanya berbagai macam keinginannya sampai ia puas. Kata Allah pula, "Semua ini untukmu, dan ada lagi tambahannya sebanyak itu pula."

442, Berita dari Abdullah bin Malik bin Buhainah r.a., menceritakan, bahawa apabila Nabi saw. sujud, direnggangkannya kedua lengannya (dari rusuknya), sehingga kelihatan putih ketiaknya".

443, Diceritakan oleh Hudzaifah r.a., bahawa dia melihat seorang laki-laki yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya. Setelah orang itu selesai solat, Hudzaifah berkata kepadanya, " Engkau tidak solat. Kalau engkau mati, maka engkau mati bukan di dalam agama Muhammad saw."

444, Diceritakan oleh Al Barra' bin' Azib r.a., dia seorang sahabat yang tidak pernah dusta, katanya: "Pada suatu kali kami solat di belakang Nabi saw. Apabila Nabi membaca Sami'allahu liman hamidah, tidak seorang pun di antara kami yang membungkukkan punggungnya, sehingga Nabi telah meletakkan keningnya ke bumi. "

445, Diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a., katanya Nabi saw. pernah bersabda: "Aku disuruh sujud di atas tujuh tulang." Beliau memberi isyarat dengan tangan beliau ke hidungnya, kedua tangannya, dua lutut, hujung kedua kaki , hujung ibu jari kaki dan kami tidak mengikat kain dan rambut."

446, Diceritakan oleh Abu Salamah r.a., katanya: "Aku datang bertanya kepada Abu Sa'id Al Khudri, tanyaku: "Tidakkah lebih baik kita pergi ke Nakhl supaya kita dapat bercakap-cakap di sana?" Lalu kami pergi ke sana. Aku berkata kepadanya, "Ceritakanlah kepada ku, apa yang telah tuan dengar dari Nabi saw. tentang Malam Qadar" Katanya, "Rasulullah sedang iktikaf sepuluh hari pertama bulan Ramadhan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Maka datanglah malaikat Jibril mengatakan, "Yang tuan inginkan itu (malam qadar) belum datang." Nabi saw. meneruskan lagi iktikaf beliau pada sepuluh hari pertengahan bulan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Lalu datang pula malaikat Jibril mengatakan: "Yang tuan inginkan belum datang. "Keesokan pagi dari malam kedua puluh bulan Ramadhan, Nabi saw. berpidato. Sabda beliau: "Barangsiapa iktikaf bersama-sama dengan ku, hendaklah diteruskannya, kerana kepada ku telah diperlihatkan Malam Qadar itu, tetapi aku lupa tanggalnya. Malam qadar itu ialah dalam sepuluh yang akhir (Ramadhan) di bilangan ganjil. Saya bermimpi seolah-olah saya sujud di tanah basah." Atap masjid terbuat dari pelepah kurma. Di langit, kami tidak melihat awan sedikit pun. Tetapi tidak lama kemudian, datanglah awan gelap dan hujan pun turun dengan lebatnya. Kami solat bersama-sama dengan Nabi saw. dan kami melihat tanah dan air melekat di kening dan di puncak hidung Nabi, sesuai benar dengan mimpi beliau. "

447, Diceritakan oleh Sahl bin Sa'ad r.a., katanya: "Orang banyak solat bersama-sama dengan Nabi saw. dan mereka mengikatkan sarong mereka ke tengkuk masing-masing, kerana kecilnya sarung itu. Kerana itu, dikatakan orang kepada kaum wanita, "Janganlah kamu mengangkat kepalamu (dari sujud) sebelum kaum laki-laki duduk dengan sempuma."

448, Dari 'Aisyah r.a., dia menceritakan bahawa, "Nabi saw. memperbanyak bacaannya dalam rukuk dan sujud dengan bacaan: "Subhanakallahumma rabbana wa bihamdika, Allahumaghfirli (Maha Suci Engkau, wahai Allah, Tuhan kami, dan Maha Terpuji Engkau. Wahai, Allah! Ampunilah aku!" Dengan cara begitu, Nabi saw. seolah-olah menjelaskan maksud ayat al Quran."

449, Diceritakan oleh Al Barra' r.a., katanya: "Biasanya sujud Nabi saw., rukuknya, dan duduknya antara dua sujud, hampir sama saja lamanya masing-masing."

450, Diceritakan oleh Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Betulkanlah sujudmu, dan janganlah meletakkan kedua lengan (ke bumi) seperti anjing tidur."