Jilid 4 \ 1897 - 2028 ( Perintah )

1897, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Sesungguhnya kamu sangat mengharapkan jawatan pemerintahan, tetapi di hari kiamat hal itu menjadi penyesalan. Amat baik perempuan yang menyusukan anaknya dan amat buruk perempuan yang berhenti menyusukan."
 
1898, Dari Abu Musa r.a. katanya: Saya bersama dua orang kaum saya datang kepada Nabi saw.: Yang seorang mengatakan: "Angkatlah kami untuk jawatan pemerintahan, ya Rasulullah!" Dan yang seorang lagi mengucapkan perkataan serupa itu pula. Beliau menjawab: "Sesungguhnya kami tidak mengangkat untuk itu orang yang memintanya dan tidak pula orang yang sangat mengharapkannya." 
 
1899, Dari Ma'qil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan saya telah mendengar beliau bersabda: "Seseorang yang telah ditugaskan Tuhan memerintahi rakyat, kalau dia tidak memimpin rakyat itu dengan jujur, nescaya dia tiada akan memperoleh bau syurga." Dari Maaqil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan beliau bersabda: "Seorang pembesar yang memerintahi rakyat kaum Muslimin, apabila pembesar itu mati, sedang dia tidak jujur terhadap rakyat, nescaya dia dilarang oleh Allah, masuk syurga." 
 
1900, Dari Ma'qil r.a., katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan beliau bersabda: "Seorang pembesar yang memerintahi rakyat kaum Muslimin, apabila pembesar itu mati, sedang dia tidak jujur terhadap rakyat, nescaya dia dilarang oleh Allah masuk syurga." 
 
1901, Dari Anas bin Malik r.a. katanya: Ketika saya dan Nabi saw. keluar dari masjid, seorang laki-laki bertemu dengan kami dekat pintu masjid dan mengatakan: "Ya Rasulullah! Bilakah kiamat itu (akan terjadi)?" Kata Nabi: "Apakah yang telah engkau sediakan untuk menemuinya?" Laki-laki itu kelihatan seolah-olah merendahkan diri dan kemudian dia menjawab: "Ya Rasulullah! Saya tidak menyediakan untuk itu puasa, solat dan sedekah yang cukup, tetapi saya mencintai Allah dan Rasul-Nya." Kata Nabi: " Engkau nanti bersama orang yang engkau cintai itu." 
 
1902, Dari Anas bin Malik r.a. dia mengatakan kepada perempuannya: "Tahukah engkau si Anu (seorang perempuan)?" Jawabnya: ''"Tahu!'' Kata Anas; "Sesungguhnya Nabi saw. bertemu dengan perempuan itu ketika dia sedang menangis dekat sebuah kubur. Lalu Nabi mengatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah dan sabarlah!" Perempuan itu menjawab: "Pergilah engkau, kerana engkau tidak merasakan cubaan saya ini!" Nabi meninggalkan perempuan itu dan meneruskan perjalanannya. Kemudian lalu dekat perempuan itu seorang laki-laki menanyakan: "Apakah yang diucapkan oleh Rasulullah kepada engkau?" Jawab perempuan: "Aku tidak mengetahui (bahawa beliau Rasulullah)." Kata laki-laki: "Sesungguhnya beliau itu Rasulullah saw." Maka datanglah perempuan tadi ke pintu rumah Nabi dan diperolehnya tidak ada pengawal. Perempuan itu berkata: "Ya Rasulullah! Saya tidak mengenal engkau!" Nabi bersabda: "Sesungguhnya kesabaran itu ketika pukulan pertama." 
 
1903, Dari Anas r.a. bahawa Qais bin Saad biasa di hadapan Nabi saw. bertindak sebagai pengawal seorang pembesar. 
 
1904, Dari Abdur Rahman bin Abu Bakrah r.a. katanya: Abu Bakrah menulis surat kepada anaknya yang ketika itu sedang berada di Sijitsan: "Bahawa janganlah engkau memutuskan perkara antara dua orang yang berselisih, pada hal engkau sedang marah, kerana sesungguhnya saya mendengar Nabi saw. bersabda: "Janganlah seorang hakim memutuskan perkara antara dua orang yang berselisih, pada hal dia sedang marah." 
 
1905, Dari Abu Masud Al Ansari r.a. katanya: Datang seorang laki-laki kepada Rasulullah saw. mengatakan: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya demi Allah terhenti solat Subuh (dengan berkaum-kaum) kerana si Anu sangat memanjangkan bacaannya dalam solat." Saya belum pernah melihat Nabi saw. sangat marah melebihi hari itu dalam memberikan pengajaran. Beliau bersabda: "Hai orang banyak! Di antara kamu ada yang menyebabkan orang lari (dari beribadat). Sebab itu, siapa di antara kamu yang menjadi Imam solat bagi orang banyak, hendaklah menyederhanakan solatnya, kerana di antara jemaah ada orang tua, orang lemah dan yang punya keperluan." 
 
1906, Dari Abdullah bin Umar r.a. menceritakan bahawa dia menceraikan isterinya ketika perempuan itu sedang haid. Lalu diceritakan oleh Umar kepada Nabi saw. dan beliau marah kerananya. Kemudian itu, beliau berkata: "Suruhlah kembali (rujuk) dan dipulanginya perempuan itu sampai suci. Sesudah itu, perempuan haid dan suci kembali. Maka kalau menurut pendapatnya akan diceraikan, boleh diceraikannya perempuan itu." 
 
1907, Dari 'Aisyah r.a. katanya: Datang Hindun binti Utbah bin Rabiah (isteri Abu Sufyan) mengatakan: "Ya Rasulullah ! Demi Allah! Tidak ada di muka bumi ini satu keluarga rumah tangga yang dahulu sangat saya ingini supaya terhina, melainkan keluarga engkau. Tetapi sekarang, tidak ada suatu keluarga rumah tangga di muka bumi yang lebih saya ingini supaya mendapat kemuliaan, melainkan rumah tangga engkau." Selanjutnya Hindun mengatakan: "Bahawa Abu Sufyan (suaminya) seorang laki-laki yang sangat kikir. Bersalahkah saya, kalau saya memberi makan dari hartanya itu keluarga kami?" Jawab Nabi kepadanya: "Tidak ada salahnya, kalau mereka engkau beri makan menurut patut." 
 
1908, Dari Anas bin Malik r.a. katanya: Ketika Nabi saw. hendak berkirim surat kepada Pembesar Rum, ada beberapa orang mengatakan, bahawa mereka tidak mahu membaca surat, kalau tidak diberi cap (stempel). Kerana itu, Nabi membuat stempel dari perak, seolah-olah saya masih melihat kilatannya. Tulisannya ialah "Muhammad Rasulullah" 
 
1909, Abdullah bin Saadi r.a. menceritakan bahawa dia datang kepada Umar di masa pemerintahannya, lalu Umar bertanya kepadanya: "Benarkah apa yang diceritakan orang kepada saya, bahawa engkau. mengetui beberapa urusan orang banyak, tetapi apabila diberikan kepada engkau pembayaran (gaji), engkau menolak?" Saya menjawab: "Benar begitu." Kata Umar: "Apa maksud engkau dengan penolakan itu?" Saya menjawab: "Bahawa saya ada mempunyai beberapa ekor kuda dan beberapa hamba sahaya, sedang saya dalam keadaan serba cukup. Saya bermaksud hendak menjadikan gaji itu sedekah kepada kaum Muslimin." 
 
1910, Dari Sahal bin Saad r.a. katanya: Saya menghadiri perkara dua orang suami isteri yang tuduh menuduh, sedang saya ketika itu anak yang baru berumur lima belas tahun. Diceraikan antara keduanya. 
 
1911, Dari Ali bin Husain r.a. bahawa Nabi saw. datang menemui Safiah binti Huyay (isteri Nabi). Setelah dia kembali pulang, Nabi berjalan bersama-sama dengan dia, lalu bertemu dengan dua orang laki-laki dari kaum Ansar, Nabi memanggil kedua orang itu dan mengatakan: "Ini Safiyah," Keduanya mengatakan: "Subhanallah!" Nabi bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu lalu ke dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah." 
 
1912, Dari Umar r.a. diceritakannya, bahawa Salim maula (hamba sahaya yang dimerdekakan) Abu Huzaifah menjadi Imam dalam solat bagi kaum Muhajirin yang pertama dan beberapa orang sahabat Nabi saw. di masjid Quba. Di antara mereka termasuk Abu Bakar, Umar, Abu Salamah, Zaid dan Amir' bin Rabiah, 
 
1913, Dari Abu Hurairah r.a., bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling jahat ialah orang yang bermuka dua, datang kepada orang ini dengan suatu muka dan kepada orang itu dengan muka yang lain." 
 
1914, Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Rasulullah saw. mengirim pasukan dan mengangkat Usamah bin Zaid sebagai kepala (komandan). Lalu ada orang yang mencela pengangkatan itu. Nabi bersabda: "Kalau kamu mencela pengangkatan Usamah sebagai komandan, sesungguhnya sebelum ini kamu pernah mencela pengangkatan bapanya (Zaid). Demi Allah! Sesungguhnya pengangkatan Zaid itu sudah tetap dan dia sangat ku cintai dan ini (Usamah) termasuk orang yang ku cintai sesudah Zaid." 
 
1915, Dari 'Aisyah r.a. katanya; Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan." 
 
1916, Dari Zuhri, dari Salim dari bapaknya, katanya: Nabi saw. mengirim Khalid bin Walid kepada Bani Jazimah. Mereka tidak suka mengucapkan "aslamna" (kami memeluk agama Islam), melainkan mereka hanya mengucapkan "saba'na, saba'na" (kami memeluk agama baru). Karena itu Khalid membunuh dan menawan mereka serta diberikannya kepada setiap kami seorang tawanan dan disuruhnya membunuh tawanan itu. Aku mengatakan: "Demi Allah! Saya tidak akan membunuh tawanan itu dan tidak pula sahabat-sahabat saya akan membunuh tawanannya." Kemudian kami ceritakan hal itu kepada Nabi saw. lalu beliau mengucapkan: "Ya Allah! Sesungguhnya aku berlepas tangan (tidak bertanggungjawab) terhadap perbuatan Khalid bin Walid." Perkataan ini diucapkan beliau sampai dua kali. 
 
1917, Dari Sahal bin Saad As Saidi r.a.katanya: Terjadi pertempuran di kalangan Bani Amru, dan hal itu sampai kepada Nabi saw. Selesai solat Zohor, beliau datang kepada mereka untuk mendamaikan. Setelah tiba waktu solat Asar. Bilal azan dan qamat dan disuruhnya Abu Bakar (menjadi Imam), lalu dia kemuka. Kemudian datang Nabi saw. ketika Abu Bakar sedang solat. Nabi lalu di antara orang banyak, sehingga berdiri di belakang Abu Bakar, di barisan belakangnya. Lalu orang banyak bertepuk tangan. Abu Bakar biasanya apabila telah mulai solat, dia tidak menoleh sampai solat selesai. Setelah didengarnya orang bertepuk, dia terpaksa menoleh dan dilihatnya Nabi saw. berdiri di belakangnya. Diisyaratkan oleh Nabi saw. kepada Abu Bakar, supaya terus. Diisyaratkan beliau dengan tangannya begini. Abu Bakar memuji Allah, kerana isyarat Nabi. Kemudian dia undur ke belakang. Setelah Nabi saw. melihat hal itu, beliau maju ke muka dan menjadi Imam bagi orang banyak. Setelah selesai mengerjakan solat, beliau berkata: "Hai Abu Bakar! Mengapa ketika aku isyaratkan kepada engkau supaya terus, tidak engkau teruskan?" Jawab Abu Bakar: "Tidak pantas anak Abu Quhafah (Abu Bakar) menjadi Imam bagi Nabi saw." Nabi bersabda kepada orang banyak: "Apabila ada suatu hal (berkenaan dengan solat), hendaklah kaum laki-laki tasbih (mengucapkan subhanallah) dan kaum perempuan bertepuk." 
 
1918, Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: Saya disuruh datang oleh Abu Bakar bertalian dengan pertempuran di Yamamah, dan di dekatnya ada Umar. Abu Bakar mengatakan bahawa Umar datang kepadanya dan berkata: "Sesungguhnya orang-orang yang hafal Quran telah banyak yang tewas dalam perang Yamamah. Saya khuatir akan banyak pula orang-orang yang hafal Quran itu tewas di setiap medan pertempuran, sehingga menyebabkan sebahagian besar dari Quran itu hilang. Sebab itu, saya berpendapat supaya " engkau memerintahkan pengumpulan Quran dalam satu buku." Saya (Abu Bakar) menjawab: "Bagaimana saya akan berani memperbuat sesuatu yang belum pernah diperbuat oleh Rasulullah saw?" Kata Umar: "Demi Allah! Itu suatu hal yang baik. Umar terus mendesak saya untuk mengerjakan hal itu, sampai Allah membukakan hati saya sesuai dengan yang telah dibukakan Allah kepada hati Umar, sehingga saya berpendapat tentang pengumpulan Quran itu sesuai dengan pendapat Umar." Zaid mengatakan, bahawa Abu Bakar mengatakan kepadanya: "Sesungguhnya engkau seorang pemuda yang cerdas dan kami tidak menambah curiga kepada engkau dan engkau biasa menuliskan wahyu atas perintah Rasulullah saw. Kerana itu, periksalah ayat-ayat Quran dan kumpulkan semuanya!" Kata Zaid: "Demi Allah! Kalau saya dibebani memindahkan sebuah bukit di antara bukit-bukit nescaya tidak akan lebih berat bagi saya dari apa yang dibebankan kepada saya, iaitu mengumpulkan Quran." Kata Zaid (kepada Abu Bakar dan Umar): "Bagaimana engkau keduanya membuat sesuatu .yang belum diperbuat oleh Rasulullah saw?" Jawab Abu Bakar: "Demi Allah! Hal itu sangat baik!" Abu Bakar sentiasa mendesak saya dan akhirnya Allah membukakan hati saya sesuai dengan yang dibukakanNya kepada Abu Bakar dan Umar, dan akhirnya saya sependapat tentang itu dengan pendapat keduanya. Lalu ayat-ayat Quran itu saya cari di mana-mana dan saya kumpulkan dari tulisan-tulisan pada pelepah korma, kertas dan batu, dan dari hafalan beberapa orang. Akhirnya Surat Taubah yang berbunyi: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari bangsa kamu juga sampai akhir ayat, saya dapat dari Khuzaimah atau Abu Khuzaimah. Lalu saya persambungkan ayat itu dalam surat Taubah. Quran (yang telah terkumpul) itu disimpan oleh Abu Bakar semasa hidupnya. Dan sesudah beliau meninggal, disimpan oleh Umar semasa hidupnya. Sesudah Umar wafat disimpan oleh Hafshah binti Umar. 
 
1919, Dari Abu Hurairah r.a. dan Zaid bin Khalid Al Juhani r.a., katanya: Datang seorang Arab dusun mengatakan: "Ya Rasulullah! Putuskanlah perkara antara kami menurut Kitab Allah!" Lawan nya berdiri dan mengatakan pula: "Benar begitu! Putuskanlah antara kami menurut Kitab Allah!" Kata orang Arab dusun: "Sesungguhnya anak saya bekerja sebagai orang upahan dari orang ini, lalu dia berzina dengan perempuan orang ini. Ada yang mengatakan kepada saya, bahawa anak engkau perlu dihukum rejam. Kerana itu anak tadi saya tebusi dengan seratus kambing dan seorang hamba sahaya. Kemudian saya tanyakan pula kepada ahli pengetahuan, dijawabnya bahawa hukuman untuk anak itu seratus dera dan pengasingan satu tahun." Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya aku akan memutuskan perkara antara engkau berdua menurut Kitab Allah. Adapun hamba sahaya dan kambing dikembalikan kepada engkau dan anak engkau dihukum seratus kali dera dan pengasingan selama satu tahun. Dan engkau hai Unais berkenaan dengan laki-laki ini, pergilah di pagi hari kepada perempuan orang ini dan rejamlah perempuan itu." Unais pergi di pagi hari kepada perempuan itu, lalu direjamnya. 
 
1920, Dari Zaid bin Tsabit r.a. bahawa Nabi saw. menyuruhnya supaya mempelajari tulisan Yahudi, sehingga saya menuliskan untuk Nabi saw. surat-surat beliau (untuk orang Yahudi) dan membacakan surat-surat orang Yahudi, apabila mereka berkirim surat kepada beliau. 
 
1921, Dari Abdullah bin Abbas r.a. bahawa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahawa Hirakla menyuruhnya datang bersama rombongan kaum Quraisy. Hirakla mengatakan kepada juru bahasanya, supaya disampaikan: "Saya bertanya kepada orang ini (Abu Sufyan). Sebab itu, kalau dia berdusta kepada saya hendaklah kamu katakan bahawa dia berdusta. Lalu disebutkan oleh Abu Sufyan cerita (soal jawab antara Hirakla dengan Abu Sufyan) Kemudian itu Hirakla menyuruh juru bahasanya mengatakan: "Kalau apa yang engkau ucapkan itu sebenarnya maka nanti dia (Muhammad) akan menguasai tempat berpijak kedua tapak saya ini. " 
 
 1922, Dari Abu Humaid As Sa'idi r.a. bahawa Nabi saw. mengangkat Ibnu Utabiyah untuk menerima sedekah (zakat) kaum Bani Sulaim. Setelah Ibnu Utabiyah kembali kepada Rasulullah saw. dan telah diadakannya perhitungan, dia berkata: "Ini untuk engkau, dan ini adalah hadiah yang dihadiahkan orang kepada saya." Lalu Rasulullah saw. berkata: "Kalau perkataan engkau itu sebenarnya, mengapa engkau tidak duduk saja di rumah bapa engkau dan rumah ibu engkau, sehingga hadiah itu datang kepada engkau?" Kemudian Rasulullah saw. berdiri dan berkhutbah di hadapan orang banyak. Sesudah menyampaikan pujian dan sanjungan kepada Allah, beliau berkata: "Adapun kemudian, sesungguhnya aku telah mengangkat beberapa orang di antara kamu untuk urusan yang telah dikuasakan Allah kepada ku mengurusnya. Lalu salah seorang di antaranya mengatakan: "Ini untuk engkau dan ini hadiah yang dihadiahkan kepada ku." Mengapa orang itu tidak duduk saja di rumah bapanya dan di rumah ibunya, sehingga hadiah itu datang kepadanya, kalau benar sebagai yang dikatakannya? Demi Allah! Kalau seseorang kamu mengambil barang sesuatu dari harta itu yang bukan haknya, nescaya dia akan datang kepada Tuhan di hari kiamat, memikul apa yang dikhianatinya. Ingatlah, aku mengenal orang yang datang kepada Allah itu memikul unta dan lembu yang melenguh dan kambing yang membebek." Sesudah itu beliau mengangkat kedua tangannya sehingga saya lihat putih ketiaknya. Beliau berkata: "Ketahuilah, aku telah menyampaikan!" 
 
1923, Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Setiap Allah mengutus seorang Rasul atau mengangkat seorang Khalifah (Kepala pemerintahan) disampingnya ada dua orang pembantu terdekat. Yang seorang menyuruh dan menggalakkannya melakukan perbuatan baik, sedang yang seorang lagi menyuruh dan menggalakkannya melakukan perbuatan jahat. Orang yang terpelihara dari kesalahan ialah orang yang dipelihara Allah." 
 
1924, Dari Ubadah bin Shamit r.a. katanya: Kami berjanji setia kepada Rasulullah saw. akan mendengarkan dan mematuhi perintah beliau, hal yang kami sukai atau kurang kami sukai. Kami tidak akan membantah suatu perintah yang datang dari pembesar yang berhak dan kami akan tegak atau mengucapkan menurut yang sebenarnya, di mana saja kami berada. Kami tidak boleh takut dalam menjalankan perintah Allah terhadap celaan orang yang mencela. 
 
1925, Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Saya berjanji setia kepada Nabi saw. akan mendengarkan dan mematuhi perintah. Lalu beliau mengajarkan kepada saya berkenaan dengan apa yang saya sanggupi dan mengajarkan pula supaya jujur kepada setiap Muslim. 
 
1926, Dari Jabir bin Abdullah r.a. bahawa seorang Arab dusun berjanji setia kepada Rasulullah saw. akan memeluk agama Islam. Tetapi orang itu tidak sesuai kesihatannya dengan udara Madinah. Lalu dia datang kepada Nabi saw. mengatakan: "Ya Rasulullah! Izinkanlah saya membatalkan perjanjian saya!" Rasulullah saw.menolak. Sekali lagi dia datang kepada beliau dan mengatakan: "Izinkanlah saya membatalkan perjanjian saya!" Nabi tetap menolak. Kemudian orang itu pergi (meninggalkan Madinah). Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Madinah ini seperti dapur tukang besi, dibuangnya yang buruk dan tinggal yang baik." 
 
1927, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Tiga golongan tidak bercakap-cakap Allah dengan mereka dan tidak akan menyucikan mereka di hari kiamat dan mereka memperoleh seksaan yang pedih: 1. Orang yang mempunyai kelebihan air dalam perjalanan, tetapi dia tidak mahu memberikannya kepada musafir (yang memerlukan). 2. Orang yang setia kepada Imam (Kepala Pemerintahan), tetapi dia berjanji setia itu hanya kerana hendak memperoleh keuntungan dunia. Kalau dia diberi, dipenuhinya janjinya. Tetapi kalau tidak diberi, janji itu tidak dipenuhinya. 3. Orang yang jual beli suatu barang sesudah Asar, lalu orang yang membeli itu bersumpah dengan nama Allah, bahawa telah dibayarnya sekian, lalu dibenarkan oleh orang menjual. Maka diberikannya barang itu, pada hal yang sebenarnya belum dibayar." 
 
1928, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Sesungguhnya aku bermaksud menyuruh mengumpulkan kayu api, kemudian ku suruh orang mengerjakan solat, Lalu orang azan untuk solat itu dan ku suruh orang lain untuk menjadi Imam bagi orang banyak. Sesudah itu aku pergi kepada orang-orang yang tinggal (tidak turut berjemaah), lalu ku bakar rumah mereka. Demi " Tuhan yang diri ku di tangan-Nya! Kalau (sekiranya seseorang kamu mengetahui akan memperoleh daging yang gemuk atau tunjang yang baik, tentu dia akan menghadiri solat Isyak (berjemaah)," 
 
1929, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Aku ingin bahawa aku berperang di jalan Allah, lalu aku terbunuh dan dihidupkan kembali. Kemudian itu terbunuh lagi dan dihidupkan kembali. Kemudian itu terbunuh pula dan dihidupkan kembali. Kemudian itu terbunuh dan dihidupkan kembali." Abu Hurairah mengucapkan tiga kali: "Saya bersaksi kepada Allah." 
 
1930, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Kalau seandainya aku mempunyai emas sebesar bukit Uhud, aku ingin supaya sesudah tiga hari, hanya tinggal lagi satu dinar saja selain untuk membayar hutang yang telah diperoleh orang akan yang menerimanya." 
 
1931, Dari 'Aisyah r.a. katanya: Nabi saw tiada tidur pada suatu malam, lalu beliau berkata: "Hendaknya ada seorang laki-laki yang baik dari sahabat-sahabatku mengawal pada malam ini." Ketika itu kami dengar bunyi senjata, lalu beliau bertanya: "Siapa itu?" Jawabnya: "Saya Saad; ya Rasulullah! Saya datang untuk mengawal engkau." Lalu Nabi saw. tertidur sampai kami dengar dengkurnya." 
 
1932, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Tiada boleh iri hati selain dalam dua hal: 1. Orang yang diberi Allah pengetahuan tentang Quran, lalu dibacanya di waktu malam dan siang. Lalu dia mengatakan: Kalau kiranya saya diberi serupa yang diberikan kepada orang itu, nescaya saya akan berbuat sebagaimana yang diperbuatnya." 2. Orang yang diberi Allah harta, lalu dinafkahkannya harta itu menurut mestinya. Lalu dia mengatakan: "Kalau kiranya diberikannya kepada saya serupa yang diberikan kepada orang itu, saya akan memperbuat pula sebagaimana yang diperbuatnya." 
 
1933, Dari Anas r.a. katanya: Kalau kiranya saya tidak mendengar Nabi saw. mengatakan "Jangan mengharapkan kematian," tentu saya akan mengharapkannya." 
 
1934, Dari Abu Ubaid, namanya Sa'ad bin Ubaid r.a., maula (sahaya yang telah dimerdekakan) Abdur Rahman bin Azhar, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak boleh seseorang kamu mengharapkan kematian. Ada kalanya dia orang berbuat baik, mudah-mudahan bertambah amal baiknya. Atau dia orang yang berbuat salah, mudah-mudahan dapat memperbaiki kesalahannya (taubat)." 
 
1935, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Nabi saw. melambatkan solat ini (Isya). Maka datanglah Umar mengatakan: "Ya Rasulullah! Orang-orang perempuan dan anak-anak telah tidur." Nabi datang sambil menyapukan air dari sebelah mukanya dengan mengucapkan: "Sesungguhnya inilah waktu (yang baik), kalau kiranya tidak akan memberatkan kepada umatku." 
 
1936, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Kalau kiranya aku tidak akan memberatkan umat ku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi (membersihkan gigi)." 
 
1937, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw. melarang puasa tanpa berbuka. Orang banyak bertanya: "Mengapa anda puasa tanpa berbuka?" Beliau menjawab: Siapakah di antara kamu yang serupa dengan aku? Di malam hari, aku diberi makan dan diberi minum oleh Tuhan ku." 
 
1938, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: Kalau bukan kerana hijrah, nescaya aku termasuk kaum Ansar (penduduk Madinah). Kalau orang banyak melalui suatu lembah, sedang kaum Ansar melalui lembah atau jalan bukit yang lain, nescaya aku akan berjalan di lembah atau jalan bukit yang dilalui kaum Ansar." 
 
1939, Dari Abu Qilabah r.a. bahawa Malik menceritakan kepada kami, katanya: "Kami datang kepada Nabi saw. sedang kami pemuda-pemuda yang hampir sebaya. Kami tinggal bersama beliau selama dua puluh malam. Rasulullah saw. sangat halus perasaannya. Sebab itu, setelah beliau mendengar bahawa kami telah ingin bertemu dengan keluarga, beliau menanyakan kepada kami tentang keluarga yang kami tinggalkan. Lalu kami ceritakan kepada beliau. Nabi berkata: Kembalilah kepada keluargamu dan tinggallah bersama mereka. Ajarlah dan suruhlah mereka: "Disebutkan Oleh beliau beberapa hal. Ada yang saya ingat dan ada pula yang tidak.. (Di antara sabda beliau): "solatlah sebagaimana kamu lihat aku mengerjakan solat. Apabila tiba waktu solat, hendaklah azan salah seorang di antara kamu dan yang paling tua menjadi Imam." 
 
1940, Dari Abdullah bin Umar r.a., dari Nabi saw. beliau bersabda: "Bahawa Bilal itu azan ketika hari masih malam. Sebab itu kamu boleh makan dan minum (di malam puasa) sampai azan Ibnu Ummi Maktum." 
 
1941, Dari Abdullah r.a. katanya: Rasulullah solat Zohor bersama kami sebanyak lima rakaat. Lalu ada orang bertanya: "Apakah solat bertambah?" Jawab beliau: "Mengapa begitu?" Mereka bertanya: "Anda solat lima rakaat." Lalu beliau sujud dua kali sesudah memberi salam (selesai solat) 
 
1942, Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah saw. memberi salam sesudah dua rakaat. Lalu Zulyadain bertanya: "Ya Rasulullah! Telah pendek solat atau engkau lupa?" Nabi berkata: "Benarkah perkataan Zulyadain?" Kata orang banyak: "Benar!" Lalu Rasulullah saw. berdiri dan solat dua rakaat lagi. Sesudah itu memberi salam. Kemudian beliau takbir dan sujud seperti sujud yang biasa atau lebih lama, lalu bangkit kembali, kemudian itu takbir dan sujud lagi seperti biasa, lalu bangkit dari sujud." 
 
1943, Dari Barra' r.a. katanya: Setelah Rasulullah saw. sampai di Madinah. beliau solat menghadap ke arah Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Beliau ingin supaya diperintahkan menghadap ke Kaabah. Maka diturunkan oleh Allah ayat: "Sesungguhnya telah Kami lihat tengadah muka engkau ke langit (mendoa). Sebab itu Kami palingkan muka engkau mengadap kiblat yang engkau sukai. Beliau diperintahkan mengadap ke arah Kaabah. Ada seorang laki-laki solat Asar bersama dengan Nabi saw., kemudian itu dia pergi , dan bertemu dengan satu kumpulan kaum Ansar. Lalu dia mengatakan, bahawa dia hadir solat bersama Nabi saw. dan beliau telah diperintahkan menghadap ke arah Kaabah. Lalu orang yang sedang solat itu berputar ketika sedang rukuk dalam solat Asar. 
 
1944, Dari Huzaifah r.a. bahawa Nabi saw. mengatakan kepada orang-orang Najran: "Nanti aku akan mengutus seorang laki-laki yang dipercaya dan sungguh dipercaya. Lalu sahabat-sahabat Nabi saw. melihat untuk mengetahui siapa orangnya. Nabi mengirim Abu Ubaidah." 
 
1945, Dari Anas r.a. katanya: Nabi saw. bersabda: "Pada tiap-tiap umat ada orang yang dipercaya, sedang orang dipercaya dari golongan umat ini ialah Abu Ubaidah." 
 
1946, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Nabi saw. mengutus Dihyah Al Kalbi membawa surat beliau kepada Pembesar negeri Busra untuk disampaikan kepada Kaisar (Raja Romawi). 
 
1947, Dari Abdullah bin Abbas r.a. diberitakannya bahawa Rasulullah saw. berkirim surat kepada Kisra (Raja Persia) dan disuruh oleh Nabi supaya disampaikan kepada Pembesar Bahrain yang akan menyampaikannya kepada Kisra. Setelah dibaca oleh Kisra dikoyak-koyaknya surat itu. Menurut dugaan saya, Ibnu Musayyab mengatakan: "Lalu Rasulullah saw. mendoakan supaya mereka dikoyak-koyak pula. " 
 
1949, Dari Ibnu Abbas r.a.. katanya: Nabi saw. memeluk saya dan mendoakan: "Ya Allah! Ajarkanlah Kitab (Quran) kepadanya." 
 
1950, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Aku diutus dengan diberi perkataan yang ringkas cukup dan ditolong dengan perasaan takut (di hati musuh). Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi diberikan kepada ku kunci-kunci perbendaharaan dunia, lalu diletakkan di tangan ku." 
 
1951, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Setiap Nabi-Nabi diberikan kepadanya mukjizat-mukjizat menyebabkan manusia beriman (percaya). Tetapi yang diberikan kepada ku hanyalah wahyu (Quran) yang diwahyukan Allah kepada ku dan aku penuh harapan mempunyai pengikut yang lebih banyak di hari kiamat." 
 
1952, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Setiap umat ku masuk ke dalam syurga, selain orang yang enggan. Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu?" Jawab beliau: "Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku, maka sesungguhnya orang itu enggan." 
 
1953, Dari Abu Musa r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda:"Perumpamaan aku dan agama yang disuruh Allah aku menyampaikannya, serupa dengan seorang laki-laki yang datang kepada suatu kaum dan mengatakan: "Hai kaumku! Sesungguhnya aku melihat tentera musuh, dengan kedua mata ku sendiri dan sesungguhnya aku orang yang memberikan peringatan secara terbuka (terus terang dan jujur). Sebab itu selamatkanlah dirimu!" Lalu sebahagian dari kaum itu mengikuti anjuran tadi dan mereka berangkat di malam itu, berjalan menurut kesanggupan mereka. Akibatnya mereka selamat. Dan yang lain mendustakan keterangan itu dan mereka tetap di tempatnya sampai pagi. Di pagi itu mereka kedapatan oleh tentera musuh, lalu mereka dibinasakan dan dimusnahkannya. Inilah perumpamaan orang yang mematuhi perintahku dan mengikuti apa yang ku sampaikan, dan perumpamaan orang yang mendurhakai perintahku dan mendustakan kebenaran yang aku sampaikan kepada mereka." 
 
1954, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Setelah Rasulullah saw. wafat dan Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah sepeninggal beliau dan beberapa orang yang murtad dari bangsa Arab telah murtad, Umar mengatakan kepada Abu Bakar: "Mengapa engkau perangi orang-orang itu, pada hal Rasulullah saw. telah bersabda: "Aku diperintahkan memerangi manusia sampai mengucapkan "Tidak ada Tuhan selain Allah". Kalau mereka telah mengucapkan "Tidak ada Tuhan selain Allah" nescaya harta dan jiwanya terjamin, kecuali menurut hak (keadilan), sedang perhitungannya dipulangkan kepada Allah." Abu Bakar menjawab: "Demi Allah! Sesungguhnya akan saya perangi siapa yang memperbezakan antara solat dan zakat, kerana zakat itu adalah kewajiban yang berkenaan dengan harta. Demi Allah! Kalau mereka tidak mahu membayar zakat yang pernah dahulu mereka berikan kepada Rasulullah saw. nescaya mereka akan saya perangi kerana itu." Kata Umar: "Demi Allah! Saya telah nampak bahawa Allah telah membukakan hati Abu Bakar untuk berperang, lalu saya mengetahui bahawa itulah yang benar." 
 
1955, Dari Asma binti Abu Bakar r.a. bahawa dia mengatakan: Saya datang kepada Aisyah ketika gerhana matahari dan orang-orang banyak sedang berdiri (solat Khusuf) dan dia sedang solat pula. Saya bertanya: "Mengapa orang banyak ini?" Aisyah mengisyaratkan dengan tangannya ke langit dan mengucapkan subhanallah. Saya bertanya: "Tanda (kekuasaan Tuhan)?" Dia menganggukkan kepalanya (membenarkan). Setelah Rasulullah saw. selesai mengerjakan solat, beliau memuji Allah, dan menyanjungNya. Sesudah itu beliau mengucapkan: "Segala sesuatu yang ku lihat, sekarang telah ku lihat di hadapanku, bahkan syurga dan neraka. Diwahyukan kepada ku bahawa kamu akan diuji (ditanyai) dalam kubur kira-kira serupa dengan fitnah dajjal. Adapun orang beriman atau orang Islam menjawab: "Muhammad datang kepada kami membawa keterangan, lalu kami terima dan kami percayai. Lalu dikatakan kepada orang itu: "Tidurlah dengan baik, kerana kami telah tahu bahawa engkau seorang, yang yakin!" Tetapi orang munafik atau orang-orang yang ragu-ragu mengatakan: "Saya tidak tahu, hanya saya mendengar orang banyak menyebut sesuatu, lalu saya sebut pula serupa itu." 
 
1956, Dari Amir bin Saad bin Abu Waqas r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Sesungguhnya orang-orang Islam yang paling besar, dosanya ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang belum dilarang, lalu menjadi terlarang kerana pertanyaan itu." 
 
1957, Dari Zaid bin Tsabit r.a. bahawa Nabi saw. mengambil suatu tempat di masjid, di dinding dengan tikar dari rumput. Beliau solat di situ beberapa malam, sehingga orang banyak datang pula berkumpul. Kemudian mereka tidak mendengar suara Nabi pada suatu malam dan mereka mengira Nabi telah tidur. Beberapa orang membuat bunyi supaya Nabi datang. Beliau berkata: "Kalau kamu tetap mengerjakan perbuatan yang ku lihat itu, aku cemas akan diwajibkan kepada kamu. Kalau telah diwajibkan, tidak lagi kamu kerjakan. Sebab itu hendaklah kamu solat (sunat) di rumah masing-masing, kerana solat yang paling baik dikerjakan dalam rumah sendiri, kecuali solat fardu." 
 
1958, Dari Abu Musa Al Asyaari r.a. katanya: Ditanyakan orang kepada Rasulullah saw. beberapa hal yang tidak beliau senangi. Setelah mereka banyak mengemukakan pertanyaan, beliau marah dan berkata: "Bertanyalah kepadaku!" Lalu berdiri seorang laki-laki menanyakan: "Ya Rasulullah! Siapa bapa saya?" Jawab Nabi: "Bapa engkau Huzaifah." Berdiri pula yang lain dan bertanya: "Siapa bapa saya?" Nabi menjawab: "Bapa engkau Salim maula Syaibah." Setelah Umar melihat perasaan marah terbayang di muka Rasulullah, dia mengucapkan: "Sesungguhnya kami taubat kepada Allah "Azza Wajalla." 
 
1959, Dari Warrad setiausaha Mughirah r.a. katanya: Muawiyah berkirim surat kepada Mughirah, isinya: "Tuliskanlah untuk saya apa yang engkau dengar dari Rasulullah saw. Lalu dituliskannya bahawa Nabi saw. pernah mengucapkan sesudah solat: "Tidak ada Tuhan selain Allah, Maha Esa dan tidak ada sekutuNya. Dia yang mempunyai kekuasaan dan pujian serta kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah! Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Engkau berikan dan tidak ada yang bisa memberikan apa yang Engkau tegahkan. Tidak menolong berhadapan dengan Engkau kesungguhan orang yang bersungguh-sungguh. Dan disebutkannya oleh Mughirah dalam suratnya itu, bahawa Nabi melarang banyak perkataan begini begitu, banyak tanya dan membuang-buang harta. Beliau juga melarang durhaka kepada ibu, menguburkan anak perempuan hidup-hidup, kedekut dan suka meminta." 
 
1960, Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi saw. datang ketika matahari telah condong, lalu beliau mengerjakan solat zohor. Setelah memberi salam (selesai solat) beliau berdiri di atas mimbar (berpidato). Beliau menyebut saat (kiamat) dan sebelum kiamat itu akan terjadi beberapa perkara besar. Kemudian itu beliau berkata: "Siapa yang ingin hendak menanyakan sesuatu, tanyakanlah! Demi Allah! Apa saja yang kamu tanyakan kepada ku, nescaya akan ku ceritakan kepada mu, selama aku masih berada di tempatku ini." Anas mengatakan: "Banyak orang yang menangis, sedang Rasulullah saw berulang-ulang mengatakan, supaya orang bertanya kepada beliau. Kata Anas: Ada seorang laki-laki berdiri dan menanyakan: "Di mana tempatku, ya Rasulullah?" Beliau menjawab: "Dalam neraka!" Berdiri pula Abdullah bin Huzafah menanyakan: "Siapakah bapa saya, ya Rasulullah?" Jawab Nabi: "Bapa engkau Huzafah." Sesudah itu berulang Nabi menyuruh supaya orang bertanya. Lalu Umar berlutut dan mengucapkan: "Kami rela (puas) bertuhan kepada Allah dan beragama Islam dan Muhammad saw. Rasulullah." Beliau berhenti bicara ketika Umar mengucapkan perkataan yang demikian. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: "Demi Tuhan yang diri ku di tanganNya! Sesungguhnya di hadapanku diperlihatkan syurga dan neraka sebentar ini, seolah-olah terletak di dinding itu ketika aku solat. Belum pernah aku melihat baik dan buruk begitu jelas seperti di hari ini." 
 
1961, Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Nabi saw. memakai cincin emas. Lalu orang banyak memakai pula cincin emas. kerananya Nabi berkata: "Sesungguhnya aku memakai cincin emas." Lalu cincin itu ditanggalkan oleh Nabi sambil berkata: "Aku tidak memakai cincin ini lagi untuk selamanya." Orang banyak pun membuka pula cincin mereka. 
 
1962, Dari Aisyah r.a. ibu orang-orang beriman (isteri Nabi) bahawa Rasulullah saw. mengatakan, ketika beliau sedang sakit: "Suruhlah Abu Bakar solat menjadi Imam bagi orang banyak!" Aisyah menjawab: "Sesungguhnya Abu Bakar apabila dia berdiri di tempat engkau (menjadi Imam), nescaya tidak akan kedengaran suaranya oleh orang banyak kerana tangisnya. Sebab itu suruhlah Umar solat (menjadi Imam)." Beliau berkata sekali lagi: "Suruhlah Abu Bakar supaya solat menjadi Imam bagi orang banyak!" 'Aisyah mengatakan kepada Hafshah, supaya menyampaikan (kepada Nabi): "Bahawa Abu Bakar apabila berdiri di tempat engkau jadi Imam), nescaya tidak akan kedengaran suaranya oleh orang banyak, kerana tangisnya. Sebab itu suruhlah Umar, supaya solat menjadi Imam bagi orang banyak!" Lalu Hafshah melaksanakan anjuran Aisyah. Mendengar itu Rasulullah saw. berkata: "Sesungguhnya kamu serupa dengan perempuan-perempuan (yang menggoda) Yusuf! Suruh Abu Bakar, supaya dia solat menjadi Imam bagi orang banyak!" Hafshah berkata kepada 'Aisyah: "Saya tidak mendapat kebaikan kerana mengikuti anjuran engkau." 
 
1963, Dari 'Ashim.r.a. katanya: Saya menanyakan kepada Anas: "Adakah Rasulullah saw. menjadikan Madinah suatu Tanah Suci?" Jawabnya: "Ya, iaitu dari sini sampai ke sana, tidak boleh dipotong pohonnya. Siapa yang mengadakan di situ perbuatan yang bukan-bukan, nescaya memperoleh kutukan Allah, kutukan malaikat dan manusia seluruhnya." 
 
1964, Dari Urwah r.a. katanya: Abdullah bin Umar naik haji bersama dengan kami, dan kami dengar dia berkata: Saya mendengar Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengambil (menghilangkan) ilmu sekaligus sesudah diberikanNya, melainkan mengambil itu dengan mengambil (mewafatkan) ahli ilmu (Ulama) bersama ilmunya. Maka tinggallah orang-orang bodoh. Mereka diminta fatwanya, lalu mereka berfatwa menurut kemahuan sendiri. Sebab itu, mereka menyesatkan dan sesat." 
 
1965, Dari Abu Sa'id r.a.: Datang seorang perempuan kepada Rasulullah saw. mengatakan: "Ya Rasulullah! Orang laki-laki berangkat membawa cerita (pelajaran) engkau. Sebab itu, adakan pula untuk kami hari tertentu, supaya kami di hari itu datang dan engkau mengajarkan kepada kami apa yang telah diajarkan Allah kepada engkau." Nabi menjawab: "Berkumpullah kamu di hari itu dan di tempat itu!" Lalu mereka berkumpul di tempat dan di waktu yang ditentukan. Rasulullah saw. datang dan mengajarkan kepada mereka apa yang telah diajarkan Allah kepada beliau. Kemudian itu Nabi bersabda: "Setiap perempuan di antara kamu yang telah mendahuluinya (meninggal dunia) tiga orang anaknya, nescaya akan menjadi pelindung baginya dari api neraka." Seorang perempuan di antara mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Dua orang?" Perkataan ini diulangnya sampai dua kali. Lalu Nabi menjawab: "Dua, dua, dua!" 
 
1966, Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang perempuan datang kepada Nabi saw. bertanya: "Ibu saya bernazar akan mengerjakan haji, tetapi dia telah meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya. Bolehkah saya mengerjakan haji menggantikannya?" Jawab Nabi: "Ya boleh! Kerjakanlah haji itu untuk menggantikannya! Bagaimana pendapat engkau, kalau kiranya ibu engkau berhutang engkaukah yang akan membayarnya?" Jawab perempuan itu: "Ya!" Kata Nabi: "Bayarlah, kerana hutang (kewajiban) kepada Allah lebih patut dibayar." 
 
1967, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Belum akan terjadi kiamat sebelum umat ku mengikuti jejak umat beberapa abad sebelumnya, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta." Ada orang bertanya: "Ya Rasulullah! Mengikuti orang Persia dan Romawi?" Jawab beliau: "Siapa lagi orangnya selain ini?" 
 
1968, Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., dari Nabi saw. beliau bersabda: "Sesungguhnya kamu akan mengikuti perjalanan orang-orang yang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, bahkan kalau mereka masuk lobang biawak, nescaya kamu mengikuti mereka." Kami bertanya: "Ya Rasulullah! Orang Yahudi dan Nasrani?" Jawab Nabi: "Siapa lagi?" 
 
1969, Dari Ibnu Abbas r.a. (ada seorang bertanya kepadanya): "Adakah engkau menghadiri solat Hari Raya bersama Nabi saw"?" Jawabnya: "Ada! Kalau tidak ada hubungan yang dekat, tentu saya tidak akan menghadiri kerana saya masih kecil. Suatu tempat diberi tanda dekat rumah Katsir bin Shalti, lalu beliau solat di situ dan kemudian berkhutbah." Ibnu Abbas tidak menyebut azan dan qamat. Kemudian Nabi menyuruh bersedekah dan orang-orang perempuan membuka subang dan kalungnya. Nabi menyuruh Bilal datang kepada perempuan-perempuan itu, kemudian dia kembali kepada Nabi saw. (membawa sedekah). 
 
1970, Dari Ibnu Umar r.a. bahawa beberapa orang Yahudi datang kepada Nabi saw. membawa seorang laki-laki dan seorang perempuan yang berzina. Lalu disuruh oleh Nabi supaya keduanya direjam dan dijalankan dekat masjid, di tempat yang biasanya jenazah diletakkan. 
 
1971, Dari Abdullah r.a. katanya: Nabi saw. memperlumbakan beberapa ekor kuda. Yang dikurung, jaraknya antara Hafya dan Saniatul Wada', sedang yang tidak dikurung, jaraknya dari Tsaniatul Wada' sampai ke masjid Bani Zuraiq. Abdullah termasuk orang yang turut dalam perlumbaan itu." 
 
1972, Dari Anas r.a. katanya: Nabi saw. mengadakan perjanjian persahabatan antara kaum Ansar (penduduk Madinah) dan kaum Quraisy (berasal dari Mekah) di rumah saya di Madinah dan beliau qunut (mendoa) sebulan lamanya untuk kebinasaan beberapa dusun kaum Bani Sulaim. 
 
1973, Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Nabi saw. telah menentukan (tempat permulaan ihram bagi orang haji), iaitu Qaran untuk orang yang datang dari Najdi dan Juhfan bagi orang yang datang dari Syam dan Zulhulaifah bagi yang datang dari Madinah. Ini saya dengar dari Nabi saw. juga telah sampai berita kepada saya, bahawa Nabi saw. bersabda: "Yalamlam untuk yang datang dari Yaman." 
 
1974, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Ketika kami bersama-sama dalam masjid, Rasulullah saw. datang dan mengatakan: "Mari kita pergi kepada orang Yahudi!" Lalu kami pergi bersama-sama dengan beliau, sehingga sampai ke satu rumah tempat belajar. Nabi saw. berdiri menyeru mereka dan mengucapkan: "Hai orang-orang Yahudi! Islamlah, nanti kamu selamat!" Mereka menjawab: " Engkau sudah menyampaikan, hai Abu Kasim!" Rasulullah saw. berkata lagi: "Ini yang aku maksud, Islamlah, nanti kamu selamat!" Mereka menjawab: Engkau telah menyampaikan, hai Abu Kasim! Rasulullah saw. mengatakan kepada mereka: Ini yang aku maksud." Beliau mengucapkan kali yang ketiga. Kemudian itu Nabi bersabda: "Ketahuilah olehmu, bahawa negeri ini kepunyaan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya aku hendak mengusir kamu dari negeri ini. Sebab itu, siapa yang mempunyai harta hendaklah dijualnya. Kalau tidak, ketahuilah bahawa negeri ini kepunyaan Allah dan RasulNya!" 
 
1975, Dari Abu' Sa'id Al Khudri r.a., dan Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. mengutus seorang kaum Bani Adi Al Ansari dan diangkat untuk memerintah di Khaibar. Kemudian itu, dia datang membawa kurma yang baik. Rasulullah saw. bertanya: "Seperti inikah semua kurma Khaibar?" Jawabnya: "Tidak, ya Rasulullah! Kami beli segantang dengan dua gantang." Rasulullah bersabda: "Jangan kamu perbuat begitu, melainkan sama banyak atau kamu jual ini dan kamu beli itu menurut harganya. Begitu pula menimbang (sama berat)." 
 
1976, Dari Amru bin 'Ash r.a., bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seorang hakim memutuskan perkara dengan berijtihad (menimbang dengan cermat). Kalau putusannya tepat, hakim itu memperoleh dua pahala. Tetapi kalau hakim itu memutuskan perkara dengan berijtihad dan putusannya tidak tepat, hakim itu memperoleh satu pahala" 
 
1977, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya kamu mengemukakan bahawa Abu Hurairah terlampau banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw. sedang Allah memberikan ancaman (kepada orang-orang yang membuat hadis palsu). Sesungguhnya saya ini seorang miskin yang tetap mengikuti Rasulullah saw. dengan perut kenyang. Kaum Muhajirin sibuk jual beli di pasar-pasar, sedang kaum Ansar sibuk mengurus harta mereka. Saya hadir dekat Rasulullah saw. pada suatu hari dan beliau berkata: "Siapakah yang hendak mengembangkan cadarnya sampai selesai ucapanku. sesudah itu dilipatnya, maka dia tiada akan lupa sedikit pun apa yang didengarnya dari aku." Lalu jubah yang saya pakai saya kembangkan. Demi Allah yang mengutus beliau membawa kebenaran, saya tidak lupa sedikit pun apa yang saya dengar dari beliau. 
 
1978, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Kaum Ahli Kitab membaca Taurat dalam bahasa Ibrani dan diterangkannya dalam bahasa Arab untuk pemeluk agama Islam. Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Jangan kamu benarkan Ahli Kitab itu dan jangan pula kamu dustakan, melainkan ucapkanlah: "Kami percaya kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada kamu sampai akhir ayat. 
 
1979, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Di waktu Nabi saw. hampir wafat, sedang dalam rumah ketika itu ada beberapa orang, di antaranya Umar bin Khattab, Nabi berkata: "Mari ku tuliskan untuk kamu suatu kitab yang kamu tidak akan sesat sesudah itu." Umar berkata: "Sesungguhnya Nabi saw. sedang keras sakitnya dan kamu ada mempunyai Quran. Maka cukuplah untuk kita Kitab Allah itu. "Orang-orang yang dalam rumah itu bertikai pendapat dan berselisih, kerana diantara mereka ada yang mengatakan supaya Rasulullah saw. didekati untuk menuliskan suatu Kitab yang kita tidak akan sesat sesudah itu. Yang lain mengatakan serupa yang dikatakan Umar. Setelah itu jadi hiruk pikuk dan perselisihan pendapat dekat Nabi, beliau berkata: "Pergilah kamu dari sini!" 
 
1980, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Ketika Nabi saw. mengutus Muaz ke negeri Yaman, beliau mengatakan kepadanya: "Sesungguhnya engkau akan datang kepada kaum Ahli Kitab. Maka hendaklah mereka engkau panggil lebih dahulu, supaya mereka mengakui Keesaan Allah. Apabila mereka telah mengetahui (mengakui) hal itu, ceritakanlah kepada mereka, bahawa Allah mewajibkan kepada mereka solat lima kali dalam sehari semalam. Setelah mereka mengerjakan solat, beritakanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka membayar zakat harta, diambil dari orang yang kaya di antara mereka diberikan kepada orang miskin. Setelah mereka mengakui hal itu, ambillah dari mereka dan jauhilah mengambil harta yang berharga kepunyaan orang banyak." 
 
1981, Dari Mu'az bin Jabal r.a. katanya: Nabi saw. berkata: Hai Muaz! Tahukah engkau apakah hak Allah terhadap hambaNya?" Jawab Muaz: "Allah dan RasulNya lebih tahu." Kata Nabi: Mereka menyembah Allah dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apa pun. Tahukah engkau apa hak hamba terhadap Allah?" Jawab: "Allah dan RasulNya lebih tahu." Kata Nabi: "Tidak menyeksa mereka." 
 
1982, Dari Abu Sa'id AI Khudri r.a. bahawa seorang laki-laki mendengar seorang laki-laki lain membaca "qul huwallahu ahad" dan diulang-ulangnya. Di waktu pagi laki-laki yang mendengar itu, datang kepada Nabi saw. menceritakan hal itu, seolah-olah dia merasa bacaan itu terlalu sedikit. Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Demi Allah, yang diri ku di tanganNya! Sesunguhnya ayat (surat) itu menyamai seperti Quran. " 
 
1983, Dari Jarir bin Abdullah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Allah tidak mengasihi orang yang tidak kasih kepada manusia." 
 
1984, Dari Ibnu Umar r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Lima kunci hal yang ghaib, tiada mengetahuinya selain dari Allah: 1. Tiada mengetahui apa yang tersimpan dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2. Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi besok melainkan Allah. 3. Tiada seorang pun mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4. Tiada mengetahui seseorang di negeri mana dia akan meninggal dunia melainkan Allah. 5. Dan tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah. 
 
1985, Dari 'Aisyah r.a. katanya: Siapa yang menceritakan kepada Engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya. Sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan mengatakan: "Pemandangan tidak sampai kepadaNya." Dan siapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad mengetahui hal yang ghaib sesungguhnya orang itu dusta, kerana Tuhan mengatakan: "Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah." 
 
1986, Dari Abdullah r.a: Kami pernah solat di belakang Nabi saw. dan kami mengucapkan "Keselamatan untuk Allah." Lalu Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah itu keselamatan melainkan hendaklah kamu ucapkan: "Segala kehormatan untuk Allah, juga doa dan segala yang baik. Keselamatan kiranya untuk engkau, hai Nabi, serta rahmat dan keberkatan dari Allah. Keselamatan kiranya untuk kami dan untuk hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengakui, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku mengakui bahawa Muhammad itu hamba Allah dan Rasul-Nya. 
 
1987, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Nabi saw. pernah mendoakan di waktu malam: "Ya Allah! Segenap puji untuk Engkau dan Engkau Tuan langit dan bumi. Segenap puji untuk Engkau dan Engkau Pengatur langit dan bumi dan siapa ada di dalamnya. Segenap puji untuk Engkau dan Engkau cahaya langit dan bumi. Perkataan Engkau sebenarnya. Janji Engkau sebenarnya. Menemui Engkau sebenarnya. Syurga sebenarnya. Neraka sebenarnya dan kiamat sebenarnya. Ya Allah! Kepada Engkau aku patuh, dan kepada Engkau aku percaya dan kepada Engkau aku menyerahkan diri, dan kepada Engkau aku kembali (taubat) dan dengan Engkau aku melawan musuh dan kepada Engkau aku meminta keputusan. Maka ampunilah kesalahanku, yang aku dahulukan dan yang aku kemudiankan, yang aku sembunyikan dan yang aku lahirkan. Engkau Pujaanku dan tidak ada Pujaan selain Engkau." 
 
1988, Dari Abdullah bin Amru r.a. bahawa Abu Bakar Siddik r.a. berkata kepada Nabi saw.: "Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepada saya doa yang akan ku baca dalam solat!" Nabi menyuruh: "Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menganiaya diri ku sendiri dan tiada akan mengampuni dosa selain Engkau. Sebab itu, ampunilah dosaku dengan ampunan yang datang dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang!" 
 
1989, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama, iaitu seratus kurang satu. Siapa menghafalnya masuk syurga." 
 
1990, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Apabila seseorang kamu datang ke tempat tidurnya (hendak tidur), hendaklah dikirapkannya (dikipasnya) dengan ujung kainnya tiga kali dan hendaklah dibacanya: "Dengan nama Engkau, ya Tuhan, aku rebahkan rusukku (tidur) dan dengan nama Engkau aku angkat (bangun). Jika Engkau ambil jiwaku, hendaklah Engkau ampuni dan jika Engkau lepaskan (kembalikan), hendaklah Engkau pelihara, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh!" 
 
1991, Dari Huzaifah r.a. katanya: Pernah Nabi saw. apabila merebahkan diri ke tempat tidurnya, beliau mengucapkan: "Ya Allah! Dengan nama Engkau, aku hidup dan mati" Dan di waktu Pagi (bangun) beliau mengucapkan: "Segenap puji untuk Allah yang telah menghidupkan kembali sesudah mematikan kami; dan kepada-Nya aku berbangkit." 
 
1992, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Kalau seseorang kamu hendak campur dengan isterinya, lalu dibacanya: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Jauhkanlah kiranya syaitan dari kami dan jauhkan syaitan dari anak yang Engkau berikan kepada kami," kalau ditakdirkan keduanya mendapat anak, nescaya untuk selamanya syaitan tidak akan membahayakan kepada anak itu." 
 
1993, Dari 'Adi bin Hatim r.a. katanya: Saya bertanya kepada Rasulullah saw. dengan mengatakan: "Saya melepaskan anjing saya yang telah terlatih berburu. Beliau menjawab: "Apabila engkau melepaskan anjing engkau yang telah terlatih berburu dan engkau sebut nama Allah ketika melepaskannya, lalu ditangkapnya buruan, maka buruan itu boleh engkau makan. Dan kalau engkau memanah dengan panah yang melintang lalu buruan itu kena, boleh engkau makan. 
 
1994, Dari Jundab r.a. bahawa dia menyaksikan Nabi saw. di hari raya Haji, beliau solat dan sesudah itu berkhutbah, mengucapkan: "Siapa yang telah menyembelih korban sebelum solat Hari Raya, hendaklah disembelihnya seekor lagi sebagai gantinya. Dan siapa yang belum menyembelih korban, hendaklah disembelihnya dengan nama Allah." 
 
1995, Dari Abdullah r.a. dari Nabi saw beliau bersabda: "Tiada seseorang pun yang cemburu lebih dari Allah dan kerana itu dilarangNya mengerjakan perbuatan keji. Dan tiada seorang pun yang menyukai pujian lebih dari Allah." 
 
1996, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Setelah Tuhan menciptakan makhlukNya, ditulisNya satu tulisan untuk diriNya dan diletakkanNya di sisiNya di atas 'Arasy yaitu:"Sesungguhnya sayangku melebihi marahKu." 
 
1997, Dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi saw. bersabda: "Allah berfirman: "Aku menurut dugaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila dia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya Aku menyebutnya pula sendiriKu. Dan kalau dia menyebut Ku di hadapan orang banyak, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang banyak yang lebih baik Kalau dia mendekatkan diri kepada Ku sejengkal, nescaya Aku mendekat kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepada Ku sehasta, nescaya Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan kalau dia datang kepada Ku berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari." 
 
1998, Dan Anas r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: Setiap Allah mengutus seorang Nabi. Dia memperingatkan kepada kaumnya tentang orang bermata sebelah yang amat pembohong (dajjal). Sesungguhnya dajjal itu bermata sebelah, sedang Tuhan kamu bukan bermata sebelah. Tertulis antara dua mata dajjal itu perkataan "kafir". 
 
1999, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tangan (kepunyaan) Allah itu sentiasa cukup, tidak kurang kerana memberi sebanyak-banyaknya siang dan malam. Adakah kamu perhatikan apa yang diberikan Tuhan sejak Dia menciptakan langit dan bumi? Sesunguhnya tidak kurang apa yang di tanganNya. Singahsana Tuhan di atas air dan di tanganNya yang sebelah ada neraca, diturunkan dan dinaikkanNya." 
 
2000, Dari Mughirah r.a. katanya: "Sa'ad bin 'Ubadah menciptakan: "Kalau kiranya saya melihat laki-laki berlaku serong dengan isteriku, nescaya laki-laki itu saya tetak dengan pedang bukan dengan punggungnya." Ucapan itu sampai kepada Rasulullah saw. lalu beliau berkata: ''Mengapa kamu hairan melihat cemburu Sa'ad? Demi Allah, aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu dari ku. kerana itu dilarangNya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang ataupun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf selain dari Allah, dan kerana itu diutusNya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih dari Allah dan kerana itu (untuk orang memujiNya) dijanjikanNya syurga. 
 
2001, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Nabi saw. pernah mendoa ketika menghadapi dukacita (kesulitan). Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Tahu dan Maha Penyantun. Tidak ada Tuhan selain Allah, Tuhan singgahsana yang besar. Tidak ada Tuhan selain Allah. Tuhan langit dan bumi. Tuhan singahsana yana mulia." 
 
2002, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: Datang kepada kamu dengan bergiliran malaikat yang bertugas di waktu malam dan malaikat yang bertugas di waktu siang. Mereka berkumpul ketika solat Subuh. Maka naiklah malaikat yang bersama kamu di malam hari, lalu Tuhan menanyakan kepada mereka, padahal Dia lebih tahu tentang keadaan kamu menanyakan: "Bagaimana keadaan hambaKu ketika kamu tinggalkan?" Mereka menjawab: "Kami tinggalkan ketika mereka sedang solat dan kami datang ketika mereka juga sedang solat." 
 
2003, Dari Jarir r.a. katanya: Ketika kami sedang duduk dekat Nabi saw. beliau memperhatikan bulan di malam purnama. Beliau bersabda: "Sesungguhnya kamu nanti akan melihat Tuhan kamu, sebagaimana kamu melihat bulan ini dan kamu tidak berdesak-desak untuk melihatNya. Dan kalau kamu sanggup tidak ketinggalan dalam mengerjakan solat sebelum matahari terbit (Subuh) dan solat yang sebelum matahari terbenam (Asar) perbuatlah!" 
 
2004, Dari Adi bin Hatim r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Setiap kamu nanti akan berbicara dengan Tuhannya, tanpa perantaraan jurubahasa dan tidak ada pula dinding yang membatasi." 
 
2005, Dari Abdullah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mengambil harta orang Islam dengan sumpah palsu, nescaya orang itu akan menemui Allah, sedang Allah marah kepadanya." 
 
2006, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Saya bermalam di rumah Maimunah (isteri Nabi) pada suatu malam. ketika Nabi saw. ada di situ kerana saya hendak memperhatikan bagaimana solat beliau di waktu malam. Beliau bercakap-cakap dengan isterinya barang sesaat, kemudian itu beliau tidur. Setelah sampai sepertiga yang terakhir dari malam hari atau seperti dua, beliau duduk dan memandang ke langit, lalu membaca: "Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi.." sampai kepada "untuk orang berakal." Kemudian itu beliau berdiri dan berwuduk serta membersihkan gigi, lalu solat sebelas rakaat. Sesudah itu, bilal azan untuk solat Subuh, lalu Nabi solat dua rakaat lagi dan keluar dari rumahnya dan solat Subuh menjadi imam bagi orang banyak. 
 
2007, Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi saw. bertanya: "Hai Jibril! Apakah halangannya engkau tidak datang kepada kami lebih banyak dari yang biasa? "Maka turunlah ayat: "Dan kami (malaikat) tidak turun melainkan dengan perintah Tuhan engkau. Dia menguasai apa yang di hadapan dan di belakang kami ....... sampai akhir ayat. Kata Ibnu Abbas: "Perkataan ini adalah jawapan untuk Muhammad saw." 
 
2008, Dari Abdullah r.a katanya: Saya pernah bersama Rasulullah saw. melalui suatu ladang di Madinah, sedang beliau bertongkat pelepah korma. Kemudian bertemu dengan satu kumpulan orang Yahudi. Mereka berkata sesamanya: "Tanyakanlah kepadanya (Muhammad) tentang ruh!" Yang lain mengatakan, "Jangan kamu tanyakan kepadanya tentang ruh!" Akhirnya mereka menanyakan juga. Lalu Nabi berdiri dengan bertongkat pelepah korma itu, sedang saya berdiri di belakang beliau. Menurut dugaan saya, wahyu turun kepada beliau. Kemudian mengucapkan: "Mereka menanyakan kepada engkau tentang ruh (jiwa). Katakan! "Ruh itu termasuk urusan Tuhan dan kamu tiada diberi pengetahuan tentang itu, melainkan sedikit." Lalu mereka berkata satu sama lain:. "Kami tadi telah mengatakan kepada kamu supaya jangan bertanya kepadanya." 
 
2009, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Allah menjamin untuk orang yang berjuang di jalan Allah, tiada yang mendorongnya untuk berangkat melainkan perjuangan di jalan Allah dan membenarkan perkataan (perintah) Allah, bahawa orang itu akan dimasukkan Tuhan ke dalam syurga atau dikembalikan ke rumahnya dari mana dia berangkat serta memperoleh pahala atau rampasan perang. " 
 
2010, Dari Abu Musa r.a: Datang seorang laki-laki kepada Nabi saw. menanyakan: "Ada orang yang berperang kerana mempertahankan kehormatan, yang berperang kerana keberanian dan ada yang berperang kerana ingin dilihat orang (cari nama), manakah di antaranya yang termasuk perang di jalan Allah?" Sabda beliau: "Siapa yang berperang untuk meninggikan kalimat (agama) Allah, itulah yang berperang di jalan Allah." 
 
2011, Dari Abu bin Abu Thalib r.a. diceritakannya bahawa Rasulullah saw. pada suatu malam mengetuk rumah, untuk membangunkan dia dan Fatimah puteri Rasulullah saw. Beliau mengatakan kepada keduanya: ''Mengapa kamu tidak perlu solat?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya diri kami ini ditangan Allah. Kalau Dia hendak membangunkan kami, tentu dibangunkanNya." Rasulullah saw. pergi saja ketika mendengar perkataan saya dan tidak memberikan jawaban sedikit pun. Kemudian saya dengar beliau berkata, sambil membelakang dan memukul pahanya: "Manusia itu paling banyak debatnya."
 
2012, Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa dia berlainan pendapat dengan Hur bin Qais bin Hishnin Al Fazari berkenaan dengan teman Musa, betulkah dia itu Khidir? Waktu itu lewat di hadapan keduanya Ubayya bin Kaab Al Ansari,lalu dipanggil oleh Ibnu Abbas dan mengatakan: "Saya berlainan pendapat dengan kawan ini tentang teman Musa, yang dicarinya jalan untuk menemuinya, adakah Rasulullah saw. menyebut itu? Jawabnya: "Ada! Saya dengar Rasulullah saw. mengatakan begini: "Ketika Musa berada bersama pemuka-pemuka Bani Israil, datang seorang laki-laki menanyakan: "Adakah engkau mengenal seseorang yang lebih tahu dari engkau?" Jawab Musa: ''Tidak!'' Lalu diwahyukan kepada Musa, bahawa orang itu ada, seorang hamba Kami bernama Khadir (Khidir). Lalu Musa meminta supaya mendapat jalan untuk menemuinya. Tuhan mengadakan ikan sebagai tanda dan dikatakan kepada Musa: "Apabila ikan itu telah hilang, kembalilah, nescaya engkau akan bertemu dengan dia." Musa hendak mencari kesan itu di lautan. Pemuda yang menemani Musa berkata: "Adakah engkau ingat ketika kita berhenti di sebuah batu, saya lupa tentang ikan itu, dan tiada yang menyebabkan saya lupa untuk menceritakannya melainkan syaitan." Kata Musa: "Itulah yang kita cari." Keduanya kembali menurut jejaknya, lalu bertemu dengan Khadir (Khidir) dan terjadilah hal keduanya sebagaimana diceritakan Allah (dalam Quran). 
 
2013, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa dia mengatakan: Rasulullah saw. pernah bersabda: "Tiadalah keizinan Allah untuk mengerjakan sesuatu yang dapat menyamai izinNya kepada Nabi saw. untuk melagukan bacaan Quran." 
 
2014, Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Saya tiada cemburu kepada seorang perempuan serupa cemburu saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah dalam syurga." 
 
2015, Dari Abdullah bin Abu Aufa r.a. katanya: Rasulullah saw. di hari perang Ahzab mengucapkan: "Ya Allah yang menurunkan Kitab dan cepat membuat perhitungan! Kalahkanlah kaum Ahzab dan goncangkanlah pendirian mereka!" 
 
2016, Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Ketika Ayyub sedang mandi bertelanjang, jatuh ke atasnya seekor belalang emas, lalu dimasukkannya ke dalam kainnya. Tuhan memanggilnya: "Hai Ayyub! Bukankah Aku telah memberikan kecukupan, sehingga tidak memerlukan kepada apa yang engkau lihat itu?'" Jawab Ayyub: "Ya, Wahai Tuhan ku! Tetapi aku tetap memerlukan keberkatan (kurnia) Engkau!" 
 
2017, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: Tuhan kita yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun (rahmatNya) setiap malam ke langit yang dekat, di waktu sepertiga malam yang terakhir, lalu berfirman: "Siapakah yang mendoa kepadaKu, nanti akan Ku perkenankan doanya? Siapakah yang meminta kepada Ku, nanti akan Aku beri permintaannya? Siapakah yang meminta ampun kepada Ku, nanti akan Ku ampuni kesalahannya?" 
 
2018, Dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: "Allah berfirman: "Aku telah menyediakan untuk hambaKu yang saleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernah telinga mendengar dan belum pernah teringat dalam hati manusia." 
 
2019, Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: " Allah berfirman: " Apabila hambaKu bermaksud hendak mengerjakan suatu kesalahan, jangan kamu tuliskan sebelum dikerjakannya dan kalau dikerjakannya tuliskanlah sebanyak kesalahannya. Tetapi kalau tidak jadi dikerjakannya kerana mengingati Aku, tuliskan untuk orang itu suatu kebaikan. Kalau dia bermaksud hendak mengerjakan kebaikan dan belum dikerjakannya, tuliskanlah untuk orang itu satu kebaikan. Tetapi jika sampai dikerjakannya, tuliskanlah pahalanya sepuluh kali lipat, sampai tujuh ratus kali." 
 
2020, Dari Anas r.a. katanya: Saya mendengar Nabi saw. bersabda: "Apabila telah terjadi kiamat, aku diberi hak untuk menolong. Lalu aku memohon: "Ya Tuhan ku! Masukkanlah ke dalam syurga orang yang dalam hatinya ada (iman) sebesar biji sawi!" Lalu mereka masuk syurga. Kemudian itu aku bermohon lagi: "Masukkanlah ke dalam syurga orang yang ada dalam hatinya (keimanan) biarpun sangat kecil." Kata Anas: "Seolah-olah saya melihat anak jari Rasulullah saw. (menggambarkan kecilnya)." 
 
2021, Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah saw. "Manakah amal yang lebih utama ?" Beliau menjawab: "solat dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang dijalan Allah." 
 
2022, Dari Amru bin Taghlib r.a. katanya:Dibawa kepada Nabi saw. harta, lalu beliau beri suatu kaum, sedang yang lain tidak beliau beri. Kemudian sampai kepada beliau, bahawa ada orang yang mencela. Lalu beliau bersabda: "Sesungguhnya ada orang yang aku beri dan ada yang tidak ku beri, sedang yang tidak ku beri itu lebih ku cintai dari orang yang ku beri. Aku beri kaum kerana mereka dalam hatinya ada perasaan keluh kesah dan loba, sedang kaum (yang tidak aku beri) ku serahkan kepada kekayaan dan kebaikan yang telah diadakan Allah dalam hati mereka, di antaranya Amru bin Taghlib." Kata Amru: "Saya tiada menyukai perkataan Rasulullah itu diganti dengan memperoleh binatang ternak." 
 
2023, Dari Bara' r.a. katanya: "Saya mendengar Nabi saw. membaca dalam solat Isyak akan surah "Wattini wazzaituni" dan belum pernah saya mendengar seseorang yang lebih baik, suaranya atau bacaannya melebihi beliau"
 
2024, Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Pernah Nabi saw. membaca Quran dan kepalanya diribaan ku dan aku ketika itu sedang haid." 
 
2025, Dari Umar bin Khattab r.a. katanya: "Saya mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah Al Furqan di masa hidup Rasulullah saw. Saya mendengarkan bacaannya dan kebetulan dia membaca menurut beberapa huruf yang tidak dibacakan Rasulullah saw. kepada saya. Hampir saya menyerangnya ketika dia sedang solat. Tetapi saya dapat menyabarkan diri sampai dia memberi salam. Lalu dia saya tarik dengan cadarnya dan mengatakan: "Siapakah yang membacakan kepada engkau surah yang saya dengar engkau membacanya?" Dia menjawab: "Rasulullah saw. yang membacakan kepada saya." Kata saya: " Engkau dusta. Beliau membacakan kepada saya berlainan dari yang engkau baca itu." Lalu saya berjalan membawanya kepada Rasulullah saw. dan mengatakan kepada beliau: "Sesungguhnya saya mendengar orang ini membaca surah Al Furqan berlainan dari yang engkau bacakan kepada saya." Kata Nabi: "Lepaskanlah dia! Bacalah, hai Hisyam!" Lalu dibacanya menurut bacaan yang saya dengar tadi. Rasulullah saw. berkata: "Begitulah ayat itu diturunkan." Kemudian beliau berkata: "Bacalah, hai Umar!" Lalu saya membaca menurut bacaan yang dibacakan oleh beliau kepada saya. Nabi berkata: "Begitulah ayat itu diturunkan! Sesungguhnya Quran ini diturunkan dalam tujuh huruf (aksen). Maka bacalah mana yang mudah di antaranya!" 
 
2026, Dari Imran r.a. katanya: Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Apa dasarnya kerja orang yang bekerja?" Beliau menjawab: "Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu." 
 
2027, Dari Aisyah r.a. katanya: "Ada beberapa orang. bertanya kepada Nabi saw. tentang tukang tenung. Beliau menjawab: "Sesungguhnya mereka tidak tahu apa-apa. Lalu mereka berkata: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya mereka pernah menceritakan sesuatu yang kemudian ternyata benar." Nabi saw. berkata: "Perkataan yang benar itu disambar oleh jin, lalu disampaikannya ke telinga temannya (tukang tenung) seperti bunyi ayam betina, lalu dicampur adukkannya dengan dusta lebih dari seratus." 
 
2028, Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Nabi saw. bersabda: " Dua kalimat yang amat dikasihi Tuhan Yang Pemurah, ringan disebut lidah dan berat timbangannya (pahalanya) iaitu: "Maha Suci Allah dan dengan kemuliaanNya , Maha Suci Allah yang Maha Besar."