Jilid 4 \ 1657 - 1673 ( Penyakit 2 )

1657, Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Setiap kali orang Islam mendapat malapetaka, Allah mengampuni dosanya kerana malapetaka itu, bahkan yang disebabkan oleh terkena duri."

1658, Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: Saya masuk ke tempat Rasulullah saw. ketika beliau sedang menderita sakit. Beliau saya raba dengan tangan saya, lalu saya berkata: "Ya Rasulullah, penyakit Anda amat berat." Rasulullah saw: menjawab: "Benar, penyakit saya sama dengan penyakit dua orang di antara kamu." Saya berkata: "Demikian itu kerana Anda mendapat pahala dua kali lipat." Rasul menjawab: "Benar!" Setelah itu beliau berkata: "Setiap orang Islam yang mendapat bencana penyakit dan lain-lain, maka Tuhan menggugurkan (mengampuni) kesalahan-kesalahannya, sebagaimana pohon kayu mengugurkan daunnya."

1659, Dari Ibnu 'Abbas r.a., Rasulullah saw. masuk ke tempat seseorang melihatnya sakit. Beliau setiap kali pergi melihat orang sakit selalu berkata: "Tidak apa-apa. Baik saja, insya Allah!" Lalu saya berkata: "Baik? Tidak mungkin. Penyakitnya adalah demam panas yang keras diderita oleh orang tua yang akan menyebabkannya meninggal" Nabi menjawab: "Kalau begitu, memang benar."

1660, Dari Anas bin Malik r.a., Nabi saw. berkata: "Janganlah sekali-kali salah seorang kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Kalau ia tidak dapat berbuat lain, maka hendaklah ia berdoa: "Hai Tuhan ku, hidupkanlah aku kalau seandainya kehidupan itu lebih baik bagi ku, tetapi wafatkanlah aku, seandainya kematian itu lebih baik bagiku."

1661, Dari 'Aisyah r.a., Rasulullah saw. kalau pergi mengunjungi orang sakit, atau kalau orang sakit dibawa kepada beliau, maka beliau selalu berdoa: "Hai Tuhan manusia! Hilangkanlah penyakitnya dan sembuhkanlah ia! Engkaulah yang mampu menyembuhkan. Kesembuhan itu hanya kerana Engkau menyembuhkan kesembuhan yang menghilangkan penyakit."

1662, Dari Abu Hurairah r.a., Nabi saw. bersabda: "Bagi setiap penyakit yang diturunkan Allah, ada ubatnya yang juga diturunkan-Nya."

1663, Dari Ibnu 'Abbas r.a.. dari Nabi saw.: "Kesembuhan dari penyakit itu adalah dengan melakukan tiga hal: berbekam, minum madu dan dibakar dengan besi panas. Tetapi aku melarang umat ku membakar dengan besi panas itu."

1664, Dari 'Aisyah r.a., Nabi saw. amat gemar pada makanan yang manis-manis dan madu.

1665, Dari Abu Sa'id r.a.: Ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw. dan berkata: "Saudara saya sakit perut." Rasul menjawab: "Beri ia madu!" Kemudian orang itu datang lagi untuk kedua kalinya. Rasul berkata lagi: "Beri ia madu!" Kemudian orang itu datang lagi untuk ketiga kalinya. Rasul berkata lagi: "Beri ia madu!" Kemudian orang itu datang lagi dan berkata: "Telah saya lakukan." Rasul menjawab: "Tuhan benar. Perut saudara mu yang bohong. Beri ia madu'" Setelah itu diberikannya lagi madu kepada saudaranya, dan sembuhlah penyakitnya.

1666, Dari Ibnu 'Abbas r.a., ketika Rasulullah saw. sedang ihram, beliau berbekam di kepalanya, kerana beliau menderita sakit kepala.

1667, Dari 'Abdullah bin 'Amir r.a., 'Umar melakukan perjalanan ke Syam. Setelah ia sampai di Sargh, datang berita bahawa di Syam sedang berjangkit penyakit menular. Lalu 'Abdurrahman bin 'Auf menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah saw. berkata: "Kalau kamu mendengar penyakit menular berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu pergi ke sana. Tetapi kalau penyakit itu berjangkit di negeri di mana kamu berada, janganlah kamu ke luar dari padanya melarikan!"

1668, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., beliau bersabda: "Siapa yang mati kerana penyakit perut adalah mati syahid. Siapa yang mati kerana penyakit kolera adalah mati syahid."

1669, Dari 'Aisyah, isteri Nabi saw., ia menceritakan bahawa ia pernah bertanya kepada Rasulullah saw. tentang wabak kolera. Nabi saw. mengkhabarkan kepadanya bahawa penyakit itu adalah seksaan yang dijatuhkan Tuhan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Tetapi Tuhan menjadikannya rahmat bagi orang-orang yang beriman. Setiap hamba Tuhan yang menderita wabak itu dan tetap tinggal dinegerinya dengan sabar, kerana ia mengetahui bahawa yang menimpanya hanyalah apa yang telah ditakdirkan Tuhan saja, maka pahala yang diterimanya sama dengan pahala orang mati syahid."

1670, Dari Abu Sa'id aI-Khudri r.a., sejumlah sahabat Nabi saw. datang ke salah satu desa orang Arab dan mereka tidak diterima sebagai tamu. Ketika mereka dalam keadaan demikian, pemimpin penduduk desa itu disengat binatang. Orang desa itu bertanya: "Adakah kamu mempunyai ubat atau adakah di antara kamu yang pandai membaca mentera?" Para sahabat menjawab: "Kamu tidak mahu menerima kami sebagai tetamu, Kami tidak akan mengubatinya sebelum kamu memberikan sesuatu kepada kami." Mereka lalu memberikan beberapa ekor kambing. Lalu salah seorang dari mereka membaca Ummul Quran (al-Fatihah), setelah itu mengumpulkan air ludahnya di mulutnya dan meludahi yang sakit itu. Orang itu lalu sembuh. Mereka menyerahkan kambing. Para sahabat berkata: "Kami tanya dahulu kepada Nabi saw., baru kami ambil." Lalu mereka pergi bertanya kepada beliau. Beliau tertawa dan berkata: "Siapa yang memberitahukan kepada mu bahawa ayat itu mentera? Ambillah kambing itu dan beri saya sebahagian!"

1671, Dari Ibnu 'Abbas r.a., ada sejumlah sahabat Nabi saw berjalan melalui tempat pengambilan air, di mana terdapat orang yang disengat binatang berbisa. Lalu salah seorang dari orang-orang yang berada dekat tempat air itu datang dan berkata: "Adakah di antaramu yang pandai mengubati? Di tempat pengambilan air ada seorang laki-laki disengat binatang berbisa." Lalu salah seorang dari sahabat pergi ke sana. Ia membaca al-Fatihah dengan upah seekor kambing. Orang yang sakit itu jadi sembuh. Sahabat itu membawa kambing itu kepada teman-temannya. Mereka tidak suka dengan keadaan ini, dan berkata: " Engkau mengambil upah terhadap Kitab Allah?" Setelah mereka sampai di kota Madinah, mereka berkata: "Ya, Rasulullah! Ia ini mengambil upah atas Kitab Allah!" Rasul saw. menjawab: "Upah yang paling berhak kamu ambil adalah upah Kitab Allah."

1672, Dari 'Aisyah r.a., Rasulullah saw. berdoa untuk orang sakit: "Dengan nama Allah. Tanah bumi kami, dengan ludah sebahagian kami, sembuhkanlah penyakit kami, dengan izin Tuhan kami!"

1673, Dari Abu Hurairah ra., dari Nabi saw., beliau bersabda: "Siapa yang membunuh diri dengan jalan menjatuhkan diri dari bukit, maka ia akan jatuh tergelimpang dalam neraka jahanam, kekal abadi di sana selama-lamanya. Siapa yang membunuh diri dengan meminum racun, maka racun itu akan tetap berada ditangannya dan diminumnya dalam neraka jahanam, kekal abadi di sana selama-lamanya. Siapa yang membunuh diri dengan benda tajam, benda itu akan tetap berada di tangannya dan ditusukkannya ke dalam perutnya dalam neraka jahanam, kekal abadi di sana selama-lamanya."