Jilid 3 \ 1246 - 1254 ( Damai )

1246. Dari Anas r.a., katanya: Ada orang mengatakan kepada Nabi s.a.w. "Mohon tuan datangi Abdullah bin Ubaiyy". Lalu Nabi s.a.w. berangkat untuk menemuinya dan beliau mengenderai keldai. Orang-orang Islam turut berangkat berjalan bersama dengan beliau sedangkan di situ tanah kering. Waktu Nabi s.a.w. datang kepadanya, ia berkata: "Menghindarlah tuan dari saya! Demi Allah, sesungguhnya saya merasa sakit kerana bau busuk keldai tuan". Seorang laki-laki dari orang Ansar di antara mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya keldai Rasulullah s.a.w. lebih harum baunya dari engkau". Seorang laki-laki dari kaum Abdullah lalu marah. dan keduanya saling memaki-maki dan saling bermarahan. Lalu keduanya berpukul-pukulan dengan pelepah kurma, tangan, dan terompah. Kemudian sampai kepada kami, ayat yang diturunkan ertinya: "Dan kalau dua golongan dari orang mukmin berperang-perangan, maka hendaklah kamu damaikan antara keduanya". (Surat Al Hujurat, 9)

1247. Dari Ummu Kalsum binti 'Uqbah r.a., sesungguhnya ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:" Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik".

1248. Dari Sahl bin Saad r.a.: Bahawa sesungguhnya penduduk Quba' berperang-perangan (berkelahi) sampai mereka berlempar-lemparan dengan batu. Lalu hal itu dikhabarkan kepada Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda: "Marilah kita pergi ke sana dan kita damaikan mereka".

1249. Dari Abu Hurairah r.a. dan Zaid bin Khalid Al Juhani r.a. keduanya berkata: Orang Arab dusun datang, lalu berkata: "Hai Rasulullah! Putuskanlah perselisihan antara kami dengan dasar Kitab Allah!" Lawannya lalu berdiri, katanya: "Benar begitu, putuskanlah perkara kami dengan dasar Kitab Allah!" Orang Arab dusun tadi berkata: "Anak saya bekerja dengan orang ini, kemudian berzina dengan isterinya': Mereka mengatakan pada saya: "Anak engkau mesti direjam (hukum mati)." Maka saya tebus anak saya dengan seratus ekor kambing dan seorang budak perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli pengetahuan. Mereka menjawab: "Sesungguhnya hukuman anak engkau hanya seratus dera dan diasingkan setahun." Nabi s.a.w. bersabda: "Saya putuskan perkara kamu keduanya dengan Kitab Allah. Adapun hamba sahaya dan kambing kembali kepada mu dan hukuman anakmu seratus dera dan diasingkan setahun". Dan adapun engkau, hai Unais! Esok pagi pergilah kepada perempuan orang ini, maka rejamlah dia!" Pagi harinya Unais pun datang kepadanya, lalu direjamnya perempuan itu.

1250. Dari Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang mengada-ada dalam pekerjaanku ini (dalam agama) apa yang tiada di dalamnya, maka ia ditolak".

1251. Dari Bara' bin Azib r.a. katanya: Setelah Rasulullah s.a.w. mengadakan perdamaian dengan ahli Hudaibiyah, Ali menulis sebuah surat perjanjian. Maka ditulisnya: "Muhammad Rasul Allah s.a.w." Orang musyrik berkata: "Jangan engkau tuliskan: 'Muhammad Rasul Allah!' Kalau kami percaya engkau Rasulullah, tiadalah kami akan memerangi engkau". Beliau bersabda pada Ali: "Hapuslah tulisan itu!" Jawab Ali: "Saya tidak akan menghapusnya". Maka dihapus oleh Rasulullah s.a.w. dengan tangan beliau sendiri. Beliau bersama sahabat-sahabat mengadakan perdamaian dengan mereka untuk masuk Mekah selama tiga hari dan mereka hanya boleh masuk dengan senjata tidak terhunus. Mereka bertanya: "Apakah ertinya senjata tidak terhunus?" Jawabnya: "Senjata dalam sarungnya".

1252. Dari Bara' bin Azib r.a., katanya: Nabi s.a.w. mengerjakan Umrah pada bulan Zulkaedah. Penduduk Mekah tiada mahu membiarkan beliau masuk ke Mekah, kecuali jika diputuskan untuk tetap di Mekah hanya selama tiga hari saja. Waktu menulis surat perjanjian dituliskan: "lnilah apa yang telah diputuskan oleh Muhammad Rasulullah s.a.w." Mereka (orang kafir) berkata: "Kami tiada mengakui tulisan itu, kalau sekiranya kami mengakui bahawa tuan Rasulullah, tentu kami tidak akan melarang tuan. Tuan hanya Muhammad anak Abdullah. Sabda beliau: "Saya Rasulullah dan saya juga Muhammad anak Abdullah". Kemudian bersabda pada Ali: "Hapuslah kata-kata: Rasulullah". Jawab Ali: "Tidak, demi Allah. Selamanya saya tiada akan menghapusnya". Rasulullah s.a.w. lalu mengambil surat itu, maka ditulis: "Inilah apa yang diputuskan oleh Muhammad anak Abdullah. Senjata tiada boleh dibawa ke Mekah melainkan dalam sarungnya. Seseorang di antara penduduk Mekah yang hendak mengikuti beliau tiada dibolehkan ke luar Mekah, dan bahawa beliau tidak akan melarang seseorang di antara sahabat-sahabat beliau yang hendak menetap di Mekah." Setelah beliau masuk Mekah dan telah berlalu masa perjanjian, mereka datang kepada Ali. Kata mereka: "Katakanlah kepada kawan engkau supaya ke luar dari negeri kami. Sesungguhnya telah berlalu masa perjanjian". Nabi s.a.w. lalu ke luar. Anak perempuan Hamzah turut mengikuti mereka, katanya: Hai pakcik ku!" Maka tangannya dipegang Ali. Ia berkata kepada Fatimah: "Bawalah anak saudara bapa engkau, bawalah dia!" Kemudian terjadi pertengkaran tentang anak itu antara Ali, Zaid, dan Jaafar. Kata Ali: "Saya lebih berhak dengan dia, kerana dia anak saudara bapa ku". Kata Jaafar: "Anak saudara bapa ku dan saudara ibunya jadi isteri ku." Kata Zaid: "Anak saudara ku." Maka diputuskan oleh Nabi s.a.w. untuk saudara ibunya (bibinya) dan beliau bersabda kepada Ali: "Engkau sama dengan saya." Sabda beliau pada Jaafar: "Bentuk dan pembawaan engkau serupa dengan saya." Sabda beliau pada Zaid: "Engkau saudara kami dan maula kami".

1253. Dari Anas r.a.: Rubaiyi' binti Nadr memecah gigi seorang anak perempuan, lalu pemiliknya meminta pembayaran, sedang keluarga Rubaiyi meminta maaf, maka antara kedua belah pihak tiada dapat persetujuan. Lalu mereka datang mengadap Nabi s.a.w. Beliau memerintahkan qisas kepada mereka. Anas bin Nadr berkata: "Apakah akan dipecah pula gigi Rubaiyi', ya Rasulullah! Jangan, demi Tuhan yang mengutus tuan dengan yang hak, tak usahlah dipecah giginya". Dan beliau bersabda: "Hai Anas! Kitab Allah (hukum Tuhan) ialah qisas". Keluarga anak perempuan itu kemudian mahu memberi maaf. Nabi s.a.w. bersabda: "Bahawa sesungguhnya di antara hamba Allah, ada yang bersumpah dengan Allah dibaikkannya (disempurnakannya) sumpah itu".

1254. Dari Abi Bakrah r.a.. katanya: Saya melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar dan Hasan bin Ali di samping beliau. Kadang-kadang beliau melihat kepada orang banyak dan kadang-kadang kepada Hasan, dan beliau bersabda: "Sesungguhnya anakku ini seorang pemimpin. Mudah-mudahan Allah mendamaikan kerananya antara dua golongan besar dari kaum Muslimin."