1242. Dari Ibnu Abas r.a., Hilal bin Umaiyah berada di sisi Nabi s.a.w. menuduh isterinya berbuat jahat dengan Syarik bin Sahma. Beliau bersabda: "Bukti atau hukuman had (dera) di punggung engkau!" Kata Hilal: "Hai Rasulullah! Apabila salah seorang di antara kami melihat isterinya berjalan dengan seorang laki-laki lain, perlukah juga bukti? Beliau bersabda: "Perlu bukti, dan kalau tidak hukum had (dera) di punggung engkau".
1243. Dari Abu Hurairah r.a.: "Nabi s.a.w. menawarkan pada satu kaum untuk bersumpah. Mereka berebut hendak dahulu, lalu beliau memerintahkan supaya diundi antara mereka siapa yang akan lebih dahulu melakukan sumpah."
1244. Dari Abdullah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang bersumpah, hendaklah bersumpah dengan nama Allah atau hendaklah diam saja".
1245. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Setelah Nabi s.a.w. wafat, harta 'Ala' bin Hadrami dibawa kepada Abu Bakar. Kata Abu Bakar: "Barangsiapa yang berpiutang kepada Nabi s.a.w. atau ada janji dari beliau, hendaklah datang kepada kami!" Jabir berkata: Kata saya: "Rasulullah s.a.w. menjanjikan, bahawa beliau akan memberi saya sekian, sekian dan sekian". Lalu ditampungkannya kedua tangannya tiga kali. Kata Jabir: "Abu Bakar menghitung di tangan saya lima ratus, kemudian lima ratus dan kemudian lima ratus".