1126. Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah saw. Bersabda: "Seorang Muslim yang menanam pohon atau tanaman-tanaman, lalu sebahagian hasilnya dimakan burung, manusia, atau binatang, maka orang yang menanam itu mendapat pahala.
1127. Dari Abu Umamah Al-Bahili r.a., ia melihat bajak dan alat pertanian lain, lalu berkata: Saya dengar Nabi saw. Bersabda: "Allah mendatangkan kehinaan kepada orang-orang yang menyimpan benda-benda ini dalam rumah."
1128. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. Bersabda: "Siapa yang memelihara anjing, selain anjing penjaga perkebunan atau penjaga ternak, maka pahala amal orang itu berkurang setiap harinya satu qirath." Dalam sebuah riwayat lain: "selain anjing penjaga kambing, perkebunan atau untuk berburu."
1129. Dari Ibnu 'Abbas r.a., Nabi saw. bersabda: "Lebih baik kamu memberikan tanah kepada saudara mu, daripada mengambil sewa yang ditentukan jumlahnya."
1130. Dari Sufyan bin Abu Zuhair r.a., katanya: Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa yang memelihara anjing, bukan untuk penjaga tanaman dan bukan pula untuk penjaga binatang ternak, maka amal orang itu setiap harinya berkurang, satu qirath." Lalu ada yang bertanya: Apakah engkau mendengar hal ini dari Rasulullah s.a.w.? Ia menjawab: Benar! Demi Tuhan masjid ini!
1131. Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Ketika seorang laki-laki mengenderai lembu, maka lembu itu melengong kepadanya sambil berkata: Saya diciptakan bukan untuk ini (dikenderai), saya diciptakan hanya untuk mengerjakan sawah ladang." Ia berkata: Saya percaya dengan ucapan itu. Demikian juga Abu Bakar dan Umar. "Seekor serigala menangkap kambing, lalu diburu oleh pengembala. Serigala itu berkata: Siapakah yang akan menguasainya pada hari berkuasanya binatang buas! Pada hari itu tiada penggembalanya selain dari aku." Dia Berkata: Saya percaya. Juga Abu Bakar dan Umar.
1132. Dari Abu Hurairah.r.a., katanya: Orang Ansar berkata kepada Nabi s.a.w.: Bagilah pohon-pohon kurma itu di antara kami dan saudara-saudara kami orang Muhajirin. Beliau bersabda: "Tidak!" Lalu orang Ansar berkata kepada orang Muhajirin: Bayarlah kepada kami biaya pemeliharaannya. dan buahnya kita bagi. Orang Muhajirin menjawab: "Baiklah! Kami setuju."
1133. Dari Abdullah r.a., dari Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya beliau menebang dan membakar pohon kurma Bani Nadir, iaitu kebun di Buairah. Hasan berkata: Hinalah kaum keluarga Bani Luai kerana terlalu banyak melakukan pembakaran di Buairah!"
1134. Dari Rafi' bin Khadij r.a., katanya: Kami adalah orang Madinah yang terbanyak mempunyai tanam-tanaman. Kami sewakan tanah dengan sebahagian hasil tertentu untuk yang punya tanah. Kadang-kadang hasil yang ditentukan untuk sewa itu rosak ditimpa bahaya, sedangkan tanah lainnya selamat. Kadang-kadang sebahagian besar rosak, sedangkan hasil yang ditentukan untuk sewa selamat. Kerana itu kami dilarang melakukan perbuatan seperti itu. Menyewakan tanah dengan emas dan perak tidak dikenal di masa itu (yaitu masa Rasulullah saw.)
1135. Dari Abdullah bin Umar r.a., ia bercerita bahawa Nabi s.a.w. mempekerjakan penduduk Khaibar dengan seperdua hasil daerah itu, yang berupa buah-buahan dan tanam-tanaman. Beliau memberi para isteri beliau seratus wasq, iaitu lapan puluh wasq kurma dan dua puluh wasq gandum. Kemudian Umar membahagi-bahagikan timah Khaibar. Para isteri Nabi disuruh memilih tanah atau hasil. Di antara mereka ada yang memilih tanah dan ada pula yang memilih wasq. Aisyah r.a. memilih tanah.
1136. Dari Rafi' r.a., katanya: Kami adalah orang Madinah yang paling banyak kebunnya. Salah seorang dari kami menyewakan tanahnya. Lalu dikatakan orang kepadanya: Kadang-kadang sebahagian tanah mengeluarkan hasil dan sebahagian lagi tidak. Kerana itu cara seperti itu dilarang Nabi saw.
1137. Dari Aisyah r.a., ,Rasulullah saw. bersabda, "Siapa yang membuka tanah yang tidak berpunya, dialah yang lebih berhak memilikinya."
1138. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mempunyai tanah, hendaklah tanah itu ditanaminya, atau berikan kepada saudaranya. Seandainya ia tidak suka memberikannya kepada orang lain, maka hendaklah tanah itu tetap dimilikinya."
1139. Dari Abu Hurairah r.a., pada suatu kali Rasulullah saw. bercerita, di mana ikut mendengar seorang Badwi: "Ada seorang laki-laki yang telah masuk syurga memohon kepada Tuhan untuk bercocok-tanam. Tuhan berkata: "Bukankah engkau telah mencapai apa yang engkau kehendaki?" Orang itu berkata: Benar! Tetapi saya ingin sekali bercocok-tanam. Lalu orang itu pun menabur benih. Dalam sekejap mata benih itu tumbuh menjadi besar dan berbuah. Buahnya besar sekali seperti gunung. Tuhan berfirman:"Hai Anak Adam! Ambillah! Engkau tidak akan merasa puas dengan apa pun. "Lalu orang Badwi itu berkata: Orang itu sudah pasti orang Quraisy atau orang Ansar. Kami tidak pandai bercocok-tanam. Mendengar itu Nabi saw. tertawa