Jilid 2 \ 1004 - 1125 ( Jual Beli )

1004. Dari Said bin Musayyab dan Abu Salamah bin Abdurrahman r.a.. keduanya mengatakan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata: "Kamu mengatakan bahawa Abu Hurairah banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw. Dan kamu mengatakan kenapa orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar tidak ada yang meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw. seperti halnya Abu Hurairah?" Sesungguhnya saudara-saudaraku orang Muhajirin, mereka sibuk oleh urusan jual beli di pasar. Tetapi aku peribadi, aku selalu mendampingi Rasulullah saw. dengan penat kenyang. kerana itu aku selalu hadir apabila mereka tidak hadir. Dan aku menghafal kalau pun mereka lupa. Dan saudara-saudaraku orang Ansar, mereka sibuk oleh urusan harta benda mereka. Sedangkan saya hanya seorang miskin di antara orang-orang miskin yang ada di Shuffah. Aku masih ingat ketika mereka itu lupa. Sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diucapkan oleh beliau, "Tidak seorang pun yang membentangkan kainnya sampai pembicaraanku ini selesai, kemudian dikumpulkannya kembali kainnya itu, melainkan ia hafal semua yang ku katakan." Maka ku bentangkan kainku sampai Rasulullah saw. menyudahi pembicaraannya. Dan ku kumpulkan kain itu kepada ku. Semenjak itu, aku tidak lupa sedikit jua pun apa-apa perkataan Rasulullah saw.

1005. Dari Abdurrahman bin 'Auf r.a. katanya: "Ketika kami tiba di Madinah, Rasulullah saw. mempersaudarakan saya dengan Saad bin Rabi'. Kata Saad bin Rabi', "Saya orang Ansar yang paling kaya. Aku bagi dua hartaku denganmu. Dan tengoklah mana di antara isteri ku yang engkau senangi. Akan saya ceraikan dia. Setelah ia halal, engkau boleh mengahwininya. Jawab Abdurrahman, "Saya tidak memerlukan demikian. Di manakah pasar di sini!" Jawab Saad, "Pasar Qainuqa'," Pagi-pagi Abdurrahman pergi ke pasar itu membawa keju dan samin. Dan sesudah itu ia terus menerus pergi ke sana. Tidak lama kemudian, Abdurrahman datang (kepada Nabi saw) dengan kesan pucat (di mukanya). Rasulullah saw. bertanya, "Kahwinkah engkau?" Jawab Abdurrahman, "Benar, ya, Rasulullah!" Tanya Nabi , "Dengan siapa?" Jawabnya, "Dengan seorang wanita Ansar." Sabda Nabi, "Berapa engkau beri maharnya!" Jawabnya, "Emas seberat atau sebesar biji kurma." Sabda Nabi saw., "Adakanlah pesta, sekalipun dengan seekor biri-biri."

1006. Dari Nukman bin Basyir r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Yang halal sudah nyata, yang haram sudah nyata dan antara keduanya beberapa perkara yang diragukan. Barangsiapa meninggalkan apa yang diragukan tentang dosanya, biasanya orang itu meninggalkan pula apa yang sudah nyata berdosa. Dan siapa yang berani , melakukan apa yang masih diragukan tentang dosanya, dikhuatirkan ia jatuh pada perkara yang nyata dosanya. Segala macam maksiat adalah larangan Allah. Barangsiapa bermain-main sekitar larangan Allah, dikhuatirkan ia akan jatuh ke dalamnya."

1007. Dari 'Uqbah bin Harits r.a., katanya: "Seorang perempuan hitam datang (kepadanya) mendakwa, bahawa wanita itu telah menyusukannya berdua dengan isterinya. Kejadian itu diceritakan 'Uqbah kepada Nabi saw. Nabi saw. berpaling dan tersenyum. Sabda beliau, "Bagaimana? Sesungguhnya ada orang mengatakan: Isterinya itu adalah anak perempuan Abu Ihab Attamimi."

1008. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "'Utbah bin Abi Waqas pernah berpesan kepada saudaranya, Saad bin Abi Waqas, katanya: "Sesungguhnya anak sahaya Zamaah ialah anak saya. Karena itu tolong ambilkan anak itu. Kata 'Aisyah, "Tatkala tahun pendudukan Mekah, anak itu diambil oleh Saad bin Abi Waqas. Katanya, "Ini anak saudara ku. Ia telah memesankan kepada ku supaya aku mengambilnya. Abdu bin Zamaah berdiri, lalu katanya, "Dia saudara saya dan anak hamba sahaya bapa saya. Ia dilahirkan di atas tikar tempat tidur bapa saya." Kerana itu keduanya pergi menghadap Nabi saw. Kata Saad, "Ya, Rasulullah! Ini anak saudara ku. Ia berpesan kepada ku, supaya aku mengambilnya." Kata 'Abdu bin Zamaah, "Anak itu saudara ku. Ia anak hamba sahaya Bapa ku. Ia lahir di atas tikar tempat tidur Bapa ku." Sabda Rasulullah saw., "Anak itu untukmu, hai, Abdu bin Zamaah." Selanjutnya Nabi saw. menambahkan, "Anak adalah kepunyaan orang yang mempunyai tikar tempat tidur. Dan (anak) orang yang berzina putus." Kemudian beliau bersabda kepada Saudah bin Zamaah isteri Nabi saw., "Bertutuplah daripada anak itu!" (Nabi menyuruh Saudah begitu) kerana beliau telah melihat bahawa anak itu serupa dengan 'Utbah. Kemudian anak itu tidak pula melihat Saudah sampai ia menemui Allah."

1009. Dari 'Adi bin Hatim r.a., katanya dia bertanya kepada Nabi saw., perihal anak panah. Maka sabda Nabi: "Apabila anak panah itu mengenai sasaran/buruan dengan hujungnya yang tajam makanlah buruan itu. Dan apabila ia mengenai dengan lintangnya dan buruan mati, maka janganlah dimakan, kerana ia mati sakit. Tanya ku, "Ya, Rasulullah! Kulepaskan anjingku dengan menyebut nama Allah (Bismillah). Kemudian ku dapati anjingku dalam perburuan bersama-sama dengan anjing lain yang tidak disebutkan nama Allah (baginya). Aku tak tahu, manakah di antara keduanya yang membunuh." Sabda Nabi, "Janganlah engkau makan, kerana yang engkau sebutkan nama Allah hanya bagi anjingmu dan tidak engkau sebutkan kepada yang lain itu."

1010. Dari Anas r.a., katanya: "Pada suatu ketika Nabi saw. berjalan-jalan, lalu beliau bertemu dengan kurma jatuh. Nabi saw. bersabda, "Jikalau tidaklah (dikhuatiri) bahawa kurma ini sedekah, sungguh aku makan."

1011. Dari 'Aisyah r.a., bahawasanya orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Ya, Rasulullah! Suatu kaum memberi kami daging, yang kami tidak tahu apakah mereka menyebut nama Allah (waktu menyembelih) atau tidak." Jawab Rasulullah saw., "Sebutlah nama Allah dan makanlah!"

1012. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Bakal datang kepada manusia suatu masa, di mana orang tiada peduli akan apa yang diambilnya; apakah dari yang halal ataukah dari yang haram."

1013. Dari Al Barra' bin 'Azib bin Arqam r.a., keduanya berkata: "Kami adalah dua orang pedagang pada masa Rasulullah saw. Pada suatu ketika kami bertanya kepada Rasulullah saw. perihal jual-beli wang. Sabda beliau, "Jika dilakukan dengan tunai (timbang terima), tidak mengapa. Dan jika dilakukan dengan tidak tunai, tidak baik."

1014. Dari Jabir r.a., katanya: "Suatu kafilah unta datang ketika kami sedang solat Jumaat beserta Nabi saw. Kerana itu orang banyak berlarian keluar, kecuali dua belas orang. Maka turunlah ayat ini: "Wa idzaa ra-au tijaaratan au Qhwanin fadhdhuu ilaiha watarakuuka qaa" , (Dan apabila mereka melihat suatu perniagaan atau permainan, mereka itu berlarian kepadanya dan mereka tinggalkan engkau sedang berdiri) (Al Jumuah, 62: 11)

1015. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Seorang wanita yang menafkahkan (hasil) usaha suaminya tanpa perintah suaminya, maka untuk wanita itu seperdua pahalanya."

1016. Dari Anas bin Malik r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:" Barangsiapa ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya, atau dipanjangkan (Allah) ,umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang)."

1017. Dari 'Aisyah r.a., katanya: Bahawasanya Nabi saw. membeli makanan dari orang Yahudi dengan berjanji, dan beliau merunggukan baju besinya."

1018. Dari Anas r.a., bahawasanya dia pergi kepada Nabi saw. membawa roti gandum dan keju yang banyak. Kata Anas, "Nabi saw. telah merunggukan baju besinya di Madinah kepada orang Yahudi, dan beliau mengambil gandum dari Yahudi itu untuk keluarga beliau. " Kata Qatadah, aku mendengar Anas berkata, petang ini keluarga Muhammad saw. tidak punya gandum segantang pun dan tidak pula biji-bijian (makanan). Padahal beliau mempunyai sembilan orang isteri (yang menjadi tanggungan beliau)."

1019. Dari Miqdam r.a., dari Rasulullah saw., sabdanya: "Tidak ada makanan yang dimakan seseorang, sekali-kali tidak yang lebih baik daripada memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Dawud a.s., makan hasil usaha tangan beliau sendiri."

1020. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Allah mengasihi orang yang murah hati ketika menjual, ketika membeli dan ketika menagih.

1021. Dari Hudzaifah r.a., katanya Nabi saw. pernah bersabda: "Para malaikat datang bertemu dengan ruh orang-orang yang sebelum kamu. Mereka bertanya, : "Amal baik apa sajakah yang telah engkau laksanakan?" Jawab orang itu, "Aku pernah memerintahkan kepada para pelayan ku supaya mereka memberi janji kepada orang miskin dan bersikap lapang kepada orang kaya." Lantas para malaikat itu memberikan kelapangan kepadanya.

1022. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Ada sementara pedagang yang mempiutangi orang banyak. Apabila ia melihat seorang yang sedang kesempitan, ia memerintahkan kepada pelayannya: "Berilah dia kelapangan! Semoga Allah memberi kelapangan pula kepada kita!" (Dan memang), Allah memberi kelapangan (pula) kepadanya.

1023. Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Dua orang yang berjual beli boleh khiyar (memilih) selama keduanya belum berpisah, atau sehingga keduanya berpisah. Jika keduanya berlaku benar, baik dalam tindakan dan ucapan atau keterangan, maka jual beli keduanya diberkati (Allah). Dan jika kedua . . bersikap menyembunyikan dan dusta, keberkatan jual beli keduanya dihapus (sirna). "

1024. Dari Abu Sa'id r.a., katanya: "Kami pernah mendapat rezeki (berupa) kurma jamak, yakni kurma yang bercampur-baur, dan kami pernah menjualnya satu gantang dengan dua gantang." Kerana itu Nabi saw. bersabda: "Tidak boleh (jual beli) dua gantang dengan satu gantang dan tidak boleh dua dirham dengan satu dirham."

1025. Dari Abu Masuud r.a., katanya: "Seorang laki-laki Ansar yang bergelar Abu Syuaib datang. Lalu ia berkata kepada pembantunya yang menjual daging, "Sediakan untukku makanan yang cukup untuk lima orang! Aku bermaksud hendak mengundang Nabi saw. dan beliau termasuk orang yang kelima, kerana aku mengerti dari wajah beliau, bahawa beliau sedang lapar. Maka diundangnya lah mereka semua, dan seorang laki-laki datang mengikut beserta mereka.” Nabi saw. bersabda, "Sesungguhnya orang ini datang mengikut saja dengan kami. Jika engkau mengizinkannya, izinkanlah, dan jika engkau menghendaki supaya ia pergi, ia pun akan pergi." Kata Abu Syuaib, "Jangan! (Jangan pergi!). Bahkan aku mengizinkannya (untuk makan bersama-sama dengan Tuan-tuan). "

1026. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika akhir surat Al Baqarah diturunkan, Nabi saw. membacakannya kepada orang banyak di dalam masjid. Kemudian beliau mengharamkan perdagangan Khamr (minuman keras, atau minuman yang memabukkan)."

1027. Dan 'Aun bin Abu Juhaifah r.a., katanya: "Saya melihat bapa saya membeli seorang hamba sahaya yang pandai membekam, lalu saya bertanya kepada bapa. Jawab beliau, "Nabi saw. hanya melarang jual-beli anjing dan jual-beli darah kemudian beliau melarang pula mencacah dan dicacah, memakan riba dan memberi orang supaya memakannya, dan beliau mengutuk orang yang membuat patung."

1028. Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. Bersabda: "Sumpah itu melariskan dagangan, tetapi menghapus keberkatan."

1029. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Seorang tukang jahit mengundang Nabi saw. untuk makan makanan yang disediakannya. Kata Anas, "Aku pergi beserta Rasulullah saw. ke tempat kenduri itu. Tuan rumah menghidangkan roti kuah kepada Rasulullah. Dalam kuah itu terdapat dubba' (sebangsa tabu) dan dendeng. Saya melihat Nabi saw. berulang-ulang mengambil dubba' dari tepi piring hidangan. Kata Anas, "Sejak itu aku sentiasa menggemari dubba'."

1030. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya seorang wanita Ansar bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Ya, Rasulullah! Bolehkah saya buatkan untuk Tuan sebuah bangku tempat duduk bagi Tuan? Kerana saya mempunyai seorang anak muda tukang kayu." Sabda Nabi saw., "Kalau anda mahu, silakan!" Kata wanita itu, "Maka saya buatkan sebuah mimbar untuk beliau. Pada hari Jumaat, Nabi saw. duduk di mimbar itu. Pohon kurma yang berada di samping beliau berkhutbah itu berteriak sehingga hampir belah. Nabi saw. turun, lalu beliau pegang pohon kurma itu dan mendakapnya". Pohon kurma itu pun menangis seperti tangisnya anak kecil yang didiamkan (ibunya). (Beliau mendakapnya) sampai kurma itu tenang. Sabda Nabi, "Ia menangis seperti itu, kerana mendengar apa-apanya dari zikir (pelajaran)."

1031. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Aku pernah bersama-sama dengan Nabi saw. dalam suatu peperangan, tetapi untaku terlambat kerana lelah. Nabi saw. datang kepada ku. seraya berkata, "Jabir!" Aku menyahut, "Ya, Rasulullah!" Tanya Nabi, "Bagaimana khabar mu?" Jawab ku, "Untaku lambat dan lelah, makanya aku terlambat." Lalu diheret beliau unta ku itu dengan tongkatnya, dan bersabda: "Nah, naiklah!" Lalu aku naiki unta itu, dan agak ku tahan jalannya supaya jangan mendahului Rasulullah saw." Tanya beliau, "Apakah engkau sudah kahwin?" Jawab ku, "Sudah, ya, Rasulullah!" Tanya beliau pula, Apakah gadis atau janda?" Jawab ku, "Dengan janda, ya, Rasulullah. " Sabda beliau pula, "Kenapa tidak dengan gadis saja. Engkau dapat bersenda-gurau dengannya dan dia dapat bersenda-gurau denganmu." Jawab ku, "Aku mempunyai banyak saudara perempuan. Aku ingin kahwin dengan wanita yang mahu berkumpul, menyisiri dan mengurus mereka." Sabda beliau, "Sesungguhnya engkau bakal datang kepada mereka. Apabila engkau tiba, maka senanglah, senanglah!" Selanjutnya beliau bersabda, "Akan engkau jualkah untamu?" Jawab ku, "Ya." Lalu beliau beli dari ku seharga satu uqiyah. Beliau tiba lebih dahulu dari ku, dan aku tiba pagi-pagi. Kami pergi ke masjid, maka di sana aku bertemu dengan beliau di pintu masjid. Sabda beliau, "Baru tibakah engkau?" Jawab ku, "Ya, benar." Sabda beliau lagi, "Tinggalkanlah untamu, masuklah, dan solatlah dua rakaat!" Aku masuk ke mesjid, kemudian aku solat. Beliau menyuruh Bilal supaya menimbang untuk beliau satu uqiyah. Bilal menimbang, dan diberatkannya timbangan untukku. Kemudian aku pergi, Tetapi baru saja aku membelakang, beliau bersabda, "Panggil Jabir!" Tiba-tiba beliau mengembalikan unta (yang telah dibelinya itu) kepada ku. Belum pernah ada sesuatu lebih ku benci daripada hal itu. Sabda beliau, "Ambillah kembali untamu serta wang harganya untukmu!"

1032. Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Kami pergi beserta Rasulullah saw. dalam tahun (peperangan) Hunain. Ketika itu Nabi saw. memberikan baju besinya kepada ku. Baju besi itu kemudian ku jual, lalu ku beli sebidang kebun dari Bani Salamah. Kebun itulah harta yang pertama-tama saya kumpulkan sebagai modal dalam Islam."

1033. Dari Abu Musa r.a., katanya Rasulullah bersabda: "Perumpamaan duduk dengan orang baik-baik dibandingkan dengan duduk beserta orang jahat, seumpama pemilik kasturi dengan dapur tukang besi. Engkau tidak akan lepas dari pemilik kasturi. Adakalanya engkau membeli kasturi itu atau sekurang-kurangnya mencium-cium baunya. Sedangkan dapur tukang besi membakar tubuhmu atau sekurang-kurangnya engkau mencium bau busuk.

1034. Dari Anas Malik r.a., katanya: "Abu Thaibah. membekam Rasulullah saw. Maka beliau memerintahkan supaya dia diberi segantang kurma. Kemudian beliau perintahkan pula kepada keluarganya, supaya mereka membantunya meringankan pembayarannya."

1035. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. berbekam, kemudian diberinya orang yang membekam itu (upah). Jikalau pemberian itu haram, tentulah beliau tidak akan memberinya."

1036. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Nabi saw. pernah mengirimkan pakaian sutera atau sutera campuran kepada Umar r.a., kemudian beliau melihat pakaian itu dipakai oleh Umar. Sabda beliau, "Sesungguhnya aku kirimkan pakaian itu kepada mu, bukanlah untuk kau pakai. Yang akan memakainya ialah orang-orang yang tidak beruntung baginya. Ku kirimkan kepada mu ialah supaya engkau dapat mengambil manfaat daripadanya, yakni supaya kau jual."

1037. Dari 'Aisyah, Ummul Mukminin r.a., dia mengkhabarkan, bahawa dia membeli sebuah bantal kecil yang bergambar-gambar. Ketika Rasulullah saw. melihat bantal itu, beliau berdiri saja di pintu tidak jadi masuk. Kemudian ku lihat di wajah beliau bahawa beliau benci. Lalu kataku, "Ya, Rasulullah! Aku taubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kiranya kesalahanku?" Jawab Rasulullah saw., "Apakah perlunya bantal itu?" Jawab ku, "Saya beli untuk Tuan, untuk tempat duduk Tuan dan untuk sandaran Tuan." Sabda beliau, "Sesungguhnya pemilik gambar-gambar seperti itu bakal diseksa pada hari kiamat. Dikatakan kepada mereka, "Hidupkanlah apa yang kamu buat." Selanjutnya beliau bersabda, "Sesungguhnya rumah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar tidak dimasuki malaikat. "

1038. Dari Anas r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Hai Bani Najjar! Tetapkanlah harga kebunmu kepadaku; di dalamnya ada runtuhan dan pohon kurma.'"

1040. Dari Ibnu Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Dua orang yang jual beli boleh khiyar selama keduanya belum berpisah, atau salah satu di antara keduanya mengatakan kepada yang lain, "pilihlah!" Dan boleh jadi juga beliau mengatakan, "Atau jual beli itu dengan khiyar." Kata Nafi' "Pernah Ibnu Umar apabila membeli sesuatu yang disenanginya, dia segera berpisah dengan penjualnya."

1042. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Kami telah menyertai Nabi saw. dalam suatu perjalanan. Saya menunggang unta muda kepunyaan Umar yang susah dikenderai, sehingga unta itu memayahkan saya. Ia maju ke muka orang banyak, Umar mengusir dan menyeret (kembali ke belakang). Kemudian ia maju pula, Umar pun mengusir dan menyeretnya (pula kembali). Sehingga pada suatu ketika Nabi saw. bersabda kepada Umar, "Juallah untamu itu kepada ku." Jawab Umar, "Unta itu untuk Tuan, ya, Rasulullah!" Sabda beliau, "Juallah kepadaku!" Maka dijual oleh Umar kepada Rasulullah saw. Kemudian Nabi saw. bersabda, "Unta itu untukmu, hai, Abdullah bin Umar! Engkau boleh berbuat apa yang engkau kehendaki dengan unta itu."

1043. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Seorang laki-laki bercerita kepada Rasulullah saw. bahawa dia ditipu orang dalam hal jual beli. Maka sabda beliau, "Apabila engkau berjual beli, maka katakanlah: Tidak boleh ada tipuan."

1044. Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Satu pasukan tentera menyerang Kaabah. Ketika mereka berada di tanah lapang, mereka ditenggelamkan ke bumi dari yang dahulu sampai mereka yang penghabisan," Saya bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa mereka ditenggelamkan dari yang dahulu sampai penghabisan? Padahal di dalam mereka ada orang-orang pasar (rakyat banyak) dan orang-orang yang bukan dari golongan mereka." Sabda beliau, "Ditenggelamkan mereka dari yang dahulu sampai yang penghabisan, kemudian mereka dibangkit sesuai dengan niat mereka masing-masing."

1045. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu waktu ketika Nabi saw. sedang berada di pasar, seorang laki-laki memanggil beliau, katanya, "Hai, Abu Qasim! "Nabi saw. menoleh kepadanya. Maka kata si laki-laki tadi, "Saya memanggil orang ini." Sabda Nabi saw., "Berilah nama dengan namaku, tetapi jangan kamu bergelar dengan gelarku."

1046. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu hari Nabi saw. keluar (rumah). Beliau tidak bicara kepada ku dan aku pun tidak bicara pula kepada beliau. Sampai di pasar Bani Qainuqa', beliau duduk di halaman rumah Fatimah, lalu beliau bersabda: "Adakah anak kecil di situ? Adakah anak kecil di situ?" Fatimah menahannya sebentar, mungkin ia sedang memakaikan kalung atau memandikan anak itu. Tidak lama kemudian datanglah anak kecil itu dengan tergesa-gesa, lalu dipeluk dan diciumnya. Beliau mendoa, "Wahai, Allah! Kasihilah kiranya dia dan kasihi pula kiranya orang yang mengasihinya."

1047. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Pada masa Rasulullah saw., orang banyak membeli makanan dari rombongan orang-orang berkenderaan. Nabi saw. mengirim utusan kepada mereka supaya melarang mereka menjual makanan di tempat mereka beli, sehingga mereka dipindahkan ke tempat menjual makanan. Kata Ibnu Umar, "Nabi saw. melarang menjual makanan yang dibeli, sebelum selesai (timbang terima) jual beli itu."

1048. Dari 'Atha' bin Yasar r.a., katanya dia bertemu dengan Abdullah bin 'Amr bin 'Ash, lalu katanya: "Ceritakanlah kepada ku tentang sifat Rasulullah saw. seperti yang tersebut dalam Kitab Taurat." Jawab Abdullah, "Baiklah! Demi Allah, sesungguhnya Rasulullah saw. telah disebut di dalam Kitab Taurat dengan sebahagian sifat beliau yang tersebut di dalam Al Quran: "Wahai, Nabi! Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk menjadi saksi, memberi khabar gembira, memberi peringatan dan memelihara orang ummi. Engkau adalah hambaKu dan pesuruhKu. Aku namakan engkau orang yang tawakkal (berserah diri), tidak jahat budi, tidak kesat hati, tidak pula orang yang suka berteriak di pasar-pasar, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi pemaaf dan memberi ampun. Dan Allah belum akan mencabut nyawanya sehingga dia menegakkan agama selurus-lurusnya, iaitu supaya mereka mengucapkan: "Laa illaaha illallaah", sehingga dengan ucapan itu Allah membukakan mata yang buta dan telinga yang tuli serta hati yang tertutup."

1049. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya, Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa membeli makanan, maka janganlah dijual sehingga selesai jual beli."

1050. Dari Jabir r.a. katanya: "Abdullah bin 'Amru bin Haram meninggal dunia sedangkan ia mempunyai hutang. Saya minta tolong kepada Nabi saw. supaya orang-orang yang mempiutanginya sudi meringankan hutangnya. Nabi saw. menyampaikan permintaan itu kepada mereka, tetapi mereka tidak mahu memenuhinya. Nabi saw. bersabda kepada ku, "Pergilah atur kurma engkau bermacam-macam! 'Ajwah sebahagian dan 'Azqa Zaid. kemudian beritahukan kepada ku kalau sudah selesai. Lantas apa yang diperintahkan Nabi saw. itu saya laksanakan, dan setelah selesai ku beritahukan kepada beliau. Beliau duduk di atas atau ditengah-tengah kurma itu, lalu beliau bersabda, Nah, gantanglah untuk kaum yang berpiutang itu" Lalu saya gantangi dan saya berikan secukupnya kepada mereka masing-masing. Ternyata kurmaku yang tinggal tidak kurang satu jua pun dari semula."

1051. Dari Miqdam bin Ma'diytakriba r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Gantanglah makananmu, kamu akan diberi berkat."

1052. Dari Abdullah bin Zaid r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Sesungguhnya Nabi Ibrahim mengharamkan (menjadikan tanah suci) negeri Mekah dan mendoa baginya. Dan aku mengharamkan negeri Madinah seperti Nabi Ibrahim mengharamkan Mekah dan aku pun mendoa bagi kemakmurannya sebagaimana Nabi Ibrahim mendoa bagi kemakmuran negeri Mekah."

1053. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Pada masa Rasulullah saw., saya melihat orang-orang yang memperjual belikan makanan dengan kira-kira (tanpa ditimbang atau digantang), mereka dipukul, kerana menjualnya hingga mereka pindahkan ke tempat mereka."

1054. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Sesunguhnya Rasulullah saw. melarang orang menjual makanan hingga di sempurnakannya (jual beli itu). Ditanyakan orang kepada Ibnu Abbas, "Kenapa demikian?" Jawabnya, "Dirham dengan dirham dan makanan di belakang."

1055. Dari Umar bin Khaththab r.a., ia menceritakan dari Rasulullah saw., sabdanya: "Emas dengan emas, riba, melainkan dengan timbang-terima. Kurma dengan kurma, riba, melainkan dengan timbang terima, syair (anjelai) dengan syair, riba melainkan dengan timbang terima.

1056. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Sungguh sedikit waktu bagi Nabi saw. pada hari-hari itu, namun beliau memerlukan datang ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi beliau untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika beliau datang ke rumah kami waktu Zohor, Lalu kedatangan beliau itu diberitahukan kepada Abu Bakar. Kata Abu Bakar, ''Nabi saw. tidak akan datang saat ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting." Ketika Nabi saw. masuk ke tempat Abu Bakar, beliau bersabda kepadanya, "Suruh keluarlah orang yang ada di dekatmu!" Kata Abu Bakar, "Ya, Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, 'Aisyah dan Asma'." Sabda Nabi saw., ''Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?" Kata Abu Bakar, "Anda perlu teman, ya, Rasulullah!"

1057. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu menjual menyaingi penjualan saudaramu. "

1058. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang orang kota menjualkan barang (dagangan) orang desa; dan janganlah kamu membohongkan harga barang; dan janganlah seseorang menjual menyaingi harga jual saudaranya; janganlah menawar sesuatu yang sedang dalam penawaran saudaranya; dan jangan seorang wanita minta supaya diceraikan saudaranya (madunya) untuk menunggangkan isi bejananya."

1059. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Seorang laki-laki berjanji akan memerdekakan hamba sahayanya apabila nanti ia sudah meninggal dunia. Ternyata kemudian ia memerlukan sesuatu. Maka hamba sahaya itu diambil oleh Nabi saw., kemudian beliau berkata: "Siapa yang mahu membelinya daripadaku?" Maka dibeli oleh Nukaim bin Abdullah sekian dan sekian,lalu hamba sahaya itu diserahkan beliau kepadanya."

1060. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang jual beli Habalil Habalah seperti yang biasa dilakukan oleh orang-orang jahiliyah. Biasanya seorang laki-laki membeli seekor unta hingga unta itu beranak, kemudian anaknya itu beranak pula."

1061. Dari Abu Sa'id r.a., ia menceritakan Rasulullah saw. melarang Munabazah. Yakni, melemparkan kainnya kepada yang lain dalam jual beli, sebelum dibalik-balik atau dilihatnya kain itu. Dan beliau melarang Mulamasah, yakni menyentuh kain yang tidak dilihat.

1062. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu menyongsong rombongan orang-orang berkenderaan (kafilah); janganlah kamu menjual dengan harga menyaingi harga jual orang lain; janganlah kamu membohongkan harga barang; janganlah orang kota menjualkan kepunyaan orang desa; dan jangan menahan air susu kambing, dan barangsiapa membelinya, ia boleh memilih antara dua sesudah diperahnya, jika ia suka boleh diteruskannya, dan jika tidak, boleh dikembalikannya dan ditambah dengan segantang kurma."

1063. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa membeli kambing yang ditahan air susunya, kemudian diperahnya, jika ia suka boleh diteruskan, jika tidak, boleh dikembalikannya. Susu perahannya itu (dibayar) dengan segantang kurma." .

1064. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: " Apabila seorang hamba sahaya berzina, dan nyata-nyata ia berzina, pukullah dia dan jangan dihina. Kemudian apabila dia berzina pula, pukullah dia dan jangan dihina. Kalau ia berzina lagi untuk ketiga kalinya, maka juallah dia sekalipun dengan tali dari rambut."

1065. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. masuk ke rumahku lalu aku bercerita kepadanya. Kemudian beliau bersabda: "Beli dan merdekakanlah. Sesungguhnya wala' (kewalian) bagi siapa yang memerdekakan." Petang hari beliau berdiri, lalu beliau " memuji Allah menurut mestinya, kemudian beliau bersabda: "Bagaimanakah fikiran orang banyak, mereka mengadakan syarat-syarat yang tidak ada dalam Kitabullah. Barangsiapa mengadakan syarat yang tidak terdapat dalam Kitabullah, syarat itu batal. Walaupun ia mengadakan seratus syarat, syarat yang dibuat Allah lebih hak (benar) dan lebih kuat."

1066. Dari Jarir r.a., katanya, Aku telah berjanji dengan Rasulullah saw. akan melakukan kesaksian (syahadat) bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa sesungguhnya Muhammad pesuruh Allah, akan menegakkan solat, akan membayar zakat, menyimak, patuh, dan jujur kepada setiap orang muslim."

1067. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu menjual menyaingi harga jual orang lain, dan janganlah kamu menyongsong membeli barang dagangan sebelum di bawa ke pasar."

1068. Dari Abdullah r.a., katanya: "Biasanya orang banyak membeli makanan di luar pasar lalu mereka jual di tempat itu. Maka Rasulullah saw. melarang menjualnya di tempat itu sebelum mereka pindahkan. "

1069. Dari Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah menjual emas dengan emas melainkan sama banyak; dan perak dengan perak melainkan sama banyak. Dan boleh kamu jual emas dengan perak dan perak dengan emas berapa kamu kehendaki.

1070. Dari Abi Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Jangan kamu jual emas dengan emas melainkan sama banyak, dan jangan kamu lebihkan yang satu atas yang lain. Jangan kamu jual perak dengan perak melainkan sama banyak, dan jangan kamu lebihkan yang satu atas yang lain. Dan jangan kamu jaul beli emas dan perak tanpa timbang terima."

1071. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Dinar dengan dinar dan dirham dengan dirham. Dikatakan orang kepadanya bahawa Ibnu Abbas tidak ada mengatakan seperti itu. Kata Abu Said, "Telah ku tanyakan kepadanya. Tanyaku: "Apakah engkau dengar dari Nabi saw. ataukah engkau dapati dalam Kitab Allah?" Jawab Ibnu Abbas, "Yang demikian itu bukanlah kataku. Sedangkan kamu lebih tahu daripada ku tentang Rasulullah saw. Tetapi Usamah yang mengkhabarkan kepada ku, bahawa Nabi saw. bersabda: "Tidak ada riba melainkan pada yang berjanji."

1072. Dari Barra' bin 'Azib dan Zaid bin Arqam r.a., keduanya ditanya orang tentang pertukaran. Masing-masing mengatakan. "Orang ini lebih (tahu) dengan baik daripada saya." Keduanya berkata, "Rasulullah saw. melarang menjual emas dengan perak secara berhutang."

1073. Dari Abdullah bin Umar r.a, katanya, Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu jual buah-buahan hingga nyata hasilnya, dan jangan kamu jual kurma basah dengan kurma kering."

1074. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Bahwasanya Rasulullah saw. melarang Muzabanah. Muzabanah, yakni membeli kurma basah dengan kurma kering cara takaran, dan menjual anggur basah dengan anggur kering dengan takaran."

1075. Dari Abu Sa'id Khudri r.a., katanya: "Sesungguh Rasulullah saw. melarang Muzabanah dan Muzabanah, yakni membeli buah kurma basah dengan kurma kering yang masih di atas pohon. "

1076. Dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Rasulullah saw. memberi kelonggaran kepada mereka yang mempunyai 'Ariyah, untuk menjualnya dengan kira-kira."

1077. Dari Jabir r.a., katanya: "Nabi saw. melarang menjual buah-buahan hingga (nyata) baiknya, dan tidak boleh menjual sesuatu daripadanya melainkan dengan dinar dan dirham, melainkan 'Ariyah."

1078. Dari Malik r.a., katanya 'Ubaidullah bertanya kepadanya: "Adakah Daud menceritakan kepada mu dari Abu Sufyan dari Abu Hurairah, bahawa sesungguhnya Nabi saw. memberi kelonggaran 'ariyah pada lima atau kurang dari lima wasq?" Jawab Malik, "Ya, Ada!"

1079. Dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Biasanya pada masa Rasulullah saw. orang banyak berjual beli buah-buahan, setelah tiba waktu memetik dan bayar membayar, si pembeli mengatakan: buah ini busuk, kena penyakit, layu dan macam-macam kerosakan yang mereka jadikan alasan. Ketika mereka bertengkar sudah demikian rupa, Nabi saw. bersabda: "Jika begitu, janganlah Tuan-tuan berjual beli sehingga telah nyata benar buah itu baik" Selaku orang yang suka bermesyuarat (demokrasi), beliau memimpinkan, hal itu kerana banyaknya terjadi pertikaian antara sesama mereka."

1080. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Nabi saw. melarang menjual buah-buahan sebelum masak. Lalu ditanyakan orang kepada beliau, "Bagaimanakah buah yang masak?" Jawab Nabi saw., "Kemerah-merahan, kekuning-kuningan dan dapat dimakan seketika. "

1081. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Nabi saw. melarang menjual buah-buahan sebelum masak. Lalu ditanyakan orang kepada beliau, "Bagaimanakah yang masak itu?" Sabda Nabi saw.,"Sehingga merah." Kemudian beliau melanjutkan, "Bagaimanakah jadinya kamu, apabila Allah telah melarang (menjual) buah-buahan (yang masih muda), dengan jalan mana seseorang kamu (seolah-olah) mengambil harta saudaranya."

1082. Dari Abu Sa'id Al Khudri, dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mempekerjakan seorang laki-laki di Khaibar. Kemudian orang itu datang kepada beliau membawa kurma yang bagus. Rasulullah saw. bertanya kepadanya, "Apakah semua kurma Khaibar sebagus ini?" Jawabnya, "Tidak! Demi Allah, ya, Rasulullah! Sesungguhnya kami menukar satu gantang kurma ini dengan dua gantang (kurma lain), atau dua gantang (kurma ini) dengan tiga gantang (kurma lain)." Sabda Rasulullah saw., "Jangan kamu lakukan lagi seperti itu. Juallah (kurma) campuran dengan (wang) dirham, kemudian belilah (kurma) yang lebih baik dengan dirham.

1083. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang jual beli Muzabanah. Yakni, menjual buah-buahan dalam kebun. Jikalau dalam kebun itu ada pohon kurma, ia menjualnya dengan kurma kering gantangan; jikalau dalam kebun itu ada anggur, maka dijualnya anggur kering gantangan, atau pun tanam-tanaman (lain), dijualnya dengan gantangan. Beliau melarang kesemuanya itu."

1084. Dari Ibnu Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Apabila seseorang mengahwinkan kurma, kemudian ia jual pohon asalnya, maka buah kurma untuk orang yang mengahwinkan, kecuali dimasukkan dalam perjanjian jual beli oleh si pembeli.

1085. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang melakukan jual beli Muhaqalah, Mukhadharah, Mulamsah, Munabazah dan Muzabanah."

1086. Dari 'Aisyah r.a., katanya:" Hindun, ibu Muawiyah, bertanya kepada Rasulullah saw., tanyanya: Sesungguhnya Abu Sufyan laki-laki yang kikir. Berdosakah aku jika ku ambil hartanya dengan jalan sembunyi?" Sabda Nabi saw.,"Ambillah untukmu dan untuk anak-anakmu sekadar mencukupi dengan cara yang baik."

1087. Dari Jabir r.a., katanya: Rasulullah saw. menentukan syufaah pada tiap-tiap harta yang belum dibahagi. Apabila ada pembatasan dan jalan-jalan dibuat orang, maka tidak ada syufaah."

1088. Dari Abdurrahman bin Abu Bakar r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika kami berada bersama-sama dengan Nabi saw. datang seorang laki-laki musyrik berambut kusut dan gondrong menghalau biri-biri. Nabi saw. bersabda kepadanya, "Akan kamu jualkah biri-birimu, ataukah akan kamu hadiahkan." (Perawinya ragu) apakah Nabi mengucapkan kata-kata 'athiyah (pemberian) atau hibah (pemberian). Jawabnya,"Tidak! Tetapi untuk dijual." Lalu beliau beli daripadanya seekor biri-biri.

1089. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda:" Ibrahim a.s. hijrah bersama-sama dengan Sarah, lalu beliau masuk ke sebuah negeri yang diperintah oleh seorang raja di antara para raja, atau oleh seorang raja diantara para penguasa. Maka dilaporkan orang (kepada sang raja tentang kedatangan Ibrahim itu). Katanya, "Ibrahim datang beserta seorang wanita yang sangat cantik!" Raja mengirim utusan kepada Ibrahim, menanyakan: "Ya, Ibrahim! Siapakah wanita beserta mu ini?" Jawab Ibrahim, "Saudara ku!" Kemudian Ibrahim berkata kepada Sarah, "Janganlah engkau katakan kepadanya aku dusta, kerana aku mengatakan kepada mereka engkau saudara ku. Demi Allah! Tidak ada orang yang mukmin di bumi ini selain aku dan engkau." Maka dikirimnya lah Sarah kepada raja. Raja berdiri untuk menemui Sarah, dan Sarah pun berdiri pula, lalu mengambil wuduk, solat dan mendoa: "Wahai, Allah! Jika sebenarnya aku iman dengan Engkau dan dengan Rasul Engkau dan aku memelihara kehormatan ku melainkan untuk suami ku, maka janganlah Engkau paksakan si kafir itu terhadap ku. Raja itu merasa dicekik dan menghentak-hentakkan kaki (kerana pengsan). Kata Abu Hurairah melanjutkan, "Sarah mendoa pula: Wahai, Allah! kata raja ini mati, tentu orang akan menuduh ku bahawa aku yang membunuhnya." Raja itu sembuh lalu berjalan mendekati Sarah. Sarah pun mengambil wuduk, solat dan mendoa. Katanya: "Wahai, Allah! Aku iman dengan mu dan dengan Rasul-Mu. Dan ku pelihara kehormatan ku selain kepada suami ku. Maka jangan lah Engkau paksakan si kafir ini terhadap diri ku. Raja pun merasa dicekik dan menghentak-hentakkan kakinya. Kata Abu Hurairah melanjutkan, "Sarah mendoa: Wahai Allah! Jika raia itu mati, tentu orang akan menuduh ku yang membunuhnya." Raja itu sembuh kembali untuk kedua kalinya. Dan ketiga kalinya dia berkata, "Demi Allah! Pasti syaitan yang engkau kirim kepada ku. Kembalikan dia kepada Ibrahim, dan beri dia seorang hamba sahaya (Siti Hajar)!" Sarah kembali kepada Ibrahim a.s., lalu berkata: " Tahukah Tuan, bahawa Allah telah menghina orang kafir, dan menghadiahi kita seorang budak perempuan?"

1090. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Demi Allah yang diri ku dalam genggamanNya! Sesungguhnya akan turun kepada mu Ibnu Maryam menjadi hakim yang adil. Maka dipecahnya salib, dibunuhnya babi, dihapuskannya pajak, dan harta kekayaan akan melimpah ruah, sehingga tidak seorang jua pun yang mahu menerima."

1091. Dari Sa'id bin Abul Hasan r.a., katanya: Pada suatu waktu, ketika saya berada di dekat Ibnu Abbas, tiba-tiba datang kepadanya seorang laki-laki. Kata laki-laki itu kepada Ibnu Abbas, "Ya, Ibnu Abbas! Sesungguhnya aku ini seorang manusia. Penghidupanku dari usaha tangan ku sendiri. Aku bekerja membuat patung-patung." Kata Ibnu Abbas, "Tidaklah akan ku ceritakan kepada mu selain apa yang ku dengar dari ucapan Rasulullah saw. Beliau bersabda, "Barangsiapa menggambar suatu patung, maka sesungguhnya Allah akan menyeksanya sehingga ia memberi nyawa pada patung itu sedangkan tidak boleh memberi nyawa kepada patung itu untuk selama-lamanya." Laki-laki itu jadi sesak nafasnya tambah sesak, sehingga mukanya pucat. Kata Ibnu Abbas, "Celaka! Jika engkau tidak mahu, dan engkau hendak memperbuat juga, gambarlah pohon-pohon ini yakni segala yang tidak bernyawa."

1092. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Allah berfirman. Ada tiga macam, Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat. (l) Orang yang memberi kerana Ku kemudian tidak diakuinya, dan (2) Orang yang menjual orang yang merdeka, kemudian dimakannya wang harganya, dan (3) Orang yang mengupah kepada pekerja lalu disuruh sempurnakannya kerja itu dan tidak dibayarnya upah pekerja itu."

1093. Dari Anas r.a., katanya: "Shafiyah berada dalam tawanan. Kemudian hampir jatuh ke tangan Dahyat Kalbi, (tetapi) kemudian jatuh ke tangan Nabi saw."

1094. Dari Abu Said Al Khudri r.a., katanya: "Ketika ia sedang duduk dekat Nabi saw., lalu ia bertanya kepada beliau. Tanyanya, "Ya, Rasulullah! Kami mempunyai tawanan, sedangkan kami menginginkan harganya. Maka bagaimanakah pendapat Anda tentang 'azal?" Jawab Nabi, "Sebenarnya kamukah yang berbuat demikian? Tidaklah mengapa atasmu kalau hal itu tidak kamu lakukan. Sesungguhnya tidak satu tubuh pun yang telah ditetapkan Allah akan keluar, melainkan pasti ia akan keluar."

1095. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Nabi saw. tiba di Khaibar setelah beliau diberi kemenangan oleh Allah swt. Untuk menduduki sebuah benteng. Lantas diceritakan orang kepada beliau tentang kecantikan Shafiyah binti Huyai bin Akhthab. Suaminya terbunuh, sedangkan mereka baru kahwin. Maka Rasulullah saw. mengambilnya untuk jadi isteri beliau. Kemudian Rasulullah keluar bersama-sama dengan Shafiyah. Setelah kami sampai di Saddir Rauha, Shafiyah telah suci, lalu beliau campur dengannya. Kemudian beliau membuat kuih pada sebuah tempat kecil, lalu beliau bersabda, "Beritahulah orang-orang di sekitarmu!" Yang demikian itu adalah pesta perkawinan Rasulullah saw. dengan Shafiyah, dan kemudian kami pergi ke Madinah. Kata Anas, "Saya melihat Rasulullah saw. menyelimuti Shafiyah yang berada di belakang beliau dengan sebangsa baju dalam, kemudian beliau duduk dekat untanya sambil merendahkan lututnya. Shafiyah meletakkan kakinya di lutut beliau untuk dia naik ke unta.

1096. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya ia mendengar Rasulullah saw. bersabda di Mekah pada tahun takluk Mekah, sabdanya: "Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan menjual minuman yang memabukkan (khamr), bangkai, babi, dan berhala." Lalu ditanyakan orang kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Bagaimanakah tentang lemak bangkai? Lemak itu gunanya untuk melumari perahu, untuk meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang banyak." Jawab Nabi, "Tidak boleh! Itu haram! " Kemudian beliau menambahkan, "Dikutuk Allah kiranya orang Yahudi. Setelah Allah mengharamkan lemaknya, lalu mereka hancurkan, kemudian mereka jual dan setelah itu mereka makan wang harganya."

1097. Dari Abu Mas'ud Al Anshari, katanya: "Rasulullah saw. melarang tentang harga (jual beli) anjing, membayar mahar penzina dan membayar tukang tenung. "

1098. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. tiba di Madinah, orang banyak sedang mensalafkan buah dalam setahun dan dua tahun, atau mungkin katanya dua atau tiga tahun (perawinya ragu). Maka bersabda Nabi. "Barangsiapa mensalafkan buah, hendaklah ia mensalaf dengan takaran yang pasti (maklum)."

1099. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. datang ke Madinah, sedangkan mereka tengah mensalafkan buah dua atau tiga tahun. Sabda Nabi saw., "Barangsiapa mensalafkan sesuatu, maka hendaklah dengan takaran yang pasti, timbangan yang pasti dan untuk masa yang pasti."

1100. Dari Abdullah bin Abu Mujalid r.a., katanya Abdullah bin Syaddad bin Haad pernah berbeza pendapat dengan Abu Burdah tentang salaf. Lalu mereka utus saya kepada Ibnu Abi Aufa. Lantas saya tanyakan kepadanya perihal itu. Jawabnya, "Sesungguhnya pada masa Rasulullah saw., pada masa Abu Bakar dan pada masa Umar, kami pernah mensalafkan gandum, sya'ir, buah anggur dan kurma. Dan saya pernah pula bertanya kepada Ibnu Abza, jawabnya pun seperti itu juga. "

1101. Dari Muhammad (Abdullah) bin Abu Mujalid r.a., katanya: "Abdullah bin Syaddad dan Abu Burdah mengutus ku kepada Abdullah bin Abi Aufa, keduanya berkata: Tanyakanlah, pernahkah para sahabat Nabi saw. mensalafkan gandum pada masa Nabi saw"?" Abdullah berkata, "Kami dengan penduduk Syam peranakan pernah mensalafkan gandum, syair dan minyak dengan takaran yang pasti hingga masa yang pasti." Aku berkata kepada orang yang punya pohon. Kata Abdullah, "Kami tidak pernah bertanya kepada mereka tentang hal itu." Kemudian keduanya mengutus saya kepada Abdurrahman bin Abza, lalu saya bertanya kepadanya. Jawabnya, "Para sahabat Nabi saw. pernah mensalaf pada masa beliau, tetapi kami tidak pernah bertanya kepada mereka apakah mereka mempunyai kebun atau tidak:'

1102. Dari Umar bin Syarid r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika aku berdiri dekat Saad bin Abi Waqqas, maka datanglah Miswar bin Makhramah lalu diletakkannya tangannya di atas bahuku. Ketika itu, Abu Rafi' maula Nabi saw. datang pula. Katanya, "Hai, Saad! Belilah dua buah rumahku yang terletak dalam kampungmu." Jawab Sa'ad, "Tidak! Tidak mungkin aku (sanggup) membeli keduanya." Kata Miswar, "Demi Allah! Harus, engkau beli keduanya!" Jawab Saad, "Wallah! Aku tidak sanggup membayarnya lebih daripada empat ribu secara menyicil." Kata Abu Rafi, "Orang telah menawarnya kepada ku lima ratus dinar. Kalau tidaklah kerana aku mendengar Nabi saw. bersabda: Tetangga lebih berhak dengan yang berdekatan dengannya, tidaklah akan ku berikan rumah itu kepada mu dengan harga empat ribu, kerana orang telah menawar kepada ku lima ratus dinar. Akhirnya rumah itu diberikannya kepada Saad."

1103. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ya, Rasulullah! Aku mempunyai dua tetangga. Yang manakah di antara keduanya akan ku beri hadiah?" Jawab Nabi saw., "Kepada yang lebih dekat pintunya denganmu."

1104. Dari Abu Musa r.a., katanya: "Saya datang menghadap Nabi saw., beserta saya ada dua orang laki-laki Asyaari. Kataku, "Aku tidak tahu bahawa orang yang berdua itu mencari kerja." Sabda Nabi saw., "Kami tidak mempekerjakan orang yang minta bekerja pada pekerjaan kami."

1105. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw.,sabdanya : "Allah tidak mengutus seorang Nabi, melainkan orang itu gembala kambing." Para sahabat bertanya: "Dan anda sendiri bagaimana?" Jawab Nabi. "Ya, aku pernah gembala kambing orang Mekah dengan (upah) beberapa qirath."

1106. Dari 'Aisyah, isteri Nabi saw., katanya: "Rasulullah saw. dan Abu Bakar mengupah seorang laki-laki yang pintar sebagai penunjuk jalan. Laki-laki itu berasal dari Bani Dil, termasuk Kafir Quraisy. Beliau berdua menyerahkan kenderaannya kepada laki-laki itu (sebagai upah), dan keduanya berjanji kepadanya akan bermalam di guna Tsaur selama tiga malam. Pada pagi hari yang ketiga, keduanya menerima kenderaannya."

1107. Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Perbandingan orang Yahudi dan Nasrani dengan Kaum Muslimin seumpama orang yang mengupah satu kaum. Mereka bekerja untuk orang itu satu hari penuh sampai malam dengan upah tertentu. Tetapi setelah mereka bekerja setengah hari, mereka berkata: Kami tidak perlu upah yang telah Anda janjikan untuk kami. Dan apa yang telah kami kerjakan, semuanya batal. Kata si pengupah kepada mereka, "Janganlah kamu berbuat begitu. Selesaikanlah sisa pekerjaanmu dan ambillah upahmu secukupnya." Mereka menolak, dan meninggalkan pekerjaan mereka. Kemudian, si pengupah mengupah dua orang upahan sesudah mereka, dan berkata kepada keduanya, "Sempurnakanlah sisa hari mu ini, untukmu upah yang telah saya janjikan kepada mereka." Mereka pun bekerjalah. Setelah tiba waktu Asar, keduanya berkata, "Apa yang telah kami kerjakan batal. Untuk Andalah upah yang telah Anda janjikan kepada kami. Kata si pengupah, "Sempurnakanlah sisa pekerjaanmu, kerana sesungguhnya sisa yang tinggal itu hanya sedikit saja. Tetapi keduanya menolak. Maka si pengupah mengupah satu kaum untuk mengerjakan sisa hari mereka. Lalu bekerjalah mereka hingga matahari terbenam. Sesudah itu mereka menerima upah mereka, meliputi upah kedua golongan yang telah mendahului mereka tadi. Begitulah perumpamaan mereka, dan hasil yang mereka terima dari cahaya (petunjuk) ini."

1108. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Telah pergi tiga golongan dari orang-orang yang sebelum kamu sehingga mereka bertemu dengan sebuah gua tempat bermalam, lalu mereka masuk ke dalamnya. Tiba-tiba sebuah batu besar jatuh dari gunung, lantas menutup pintu gua sehingga mereka terkurung di dalamnya. Kata mereka, "Tidak ada yang dapat melepaskan kalian dari bencana batu ini, melainkan apabila kamu mendoa kepada Allah dengan amal soleh mu." Maka mendoalah seorang di antara mereka, "Wahai, Allah! Aku mempunyai ibu-bapa yang sudah tua. Biasanya aku tidak mahu memberi minum keluarga dan hamba sahaya ku sebelum keduanya selesai minum. Pada suatu hari aku pergi mencari sesuatu, sedangkan aku lama baru kembali, kepada keduanya sehingga mereka tertidur. Aku memerah susu untuk mereka, tetapi ku dapati keduanya masih tidur. Dan aku tidak mahu memberikan minuman itu kepada keluarga dan sahaya ku, sebelum kedua orang tua ku itu minum lebih dahulu. Aku diam menunggu beliau berdua bangun dari tidurnya, sedangkan gelas tetap berada di tangan ku hingga keduanya bangun ketika fajar telah menyingsing. Setelah mereka bangun, lalu ku beri mereka minum dengan minuman yang telah ku sediakan itu. Wahai, Allah! Jika aku berbuat demikian betul-betul kerana mencari redha Engkau, maka bukakanlah bagi kami batu ini di mana kami terkurung di dalam gua ini kerananya." Maka bergeserlah batu itu sedikit, tetapi mereka masih belum dapat keluar. Nabi saw. menceritakan bahawa yang lain mendoa pula. Katanya: "Wahai. Allah! Ada seorang gadis yang sangat ku cintai, ialah anak pakcik ku sendiri. Pada suatu ketika aku mengingini dirinya, tetapi ia menolak permintaan ku. Setelah berlalu setahun lamanya, iaitu ketika menghadapi musim kemarau, ia datang kepada ku dan aku memberikan kepadanya seratus dua puluh dinar, supaya ia mahu lari dengan ku. Permintaan ku itu diturutinya. Tetapi ketika aku telah sanggup hendak menguasainya, ia berkata kepada ku: Tidak aku bolehkan engkau merusak cap kesucian ku, melainkan dengan cara yang benar (hak). Kerana itu aku merasa keberatan melakukan pekerjaan itu lalu aku pergi daripadanya sedangkan dia seorang gadis yang sangat ku cintai. Emas yang telah ku berikan kepadanya ku tinggalkan semuanya. Wahai. Allah! Kalaulah perbuatanku itu telah sesuai dengan keredhaan Engkau, bukakanlah batu ini bagi kami." Maka bergeser pulalah batu itu sedikit, tetapi mereka masih belum dapat keluar dari gua itu. Kata Nabi saw., orang ketiga pun mendoa pula. Katanya: "Wahai, Allah! Aku mengupah beberapa orang pekerja dan telah ku bayar lunas upah mereka, kecuali hanya seorang, kerana ia pergi dan upahnya tinggal. Maka ku tanam upahnya itu sehingga banyak membuahkan harta benda. Kemudian ia datang kepada ku.!" Katanya, "Wahai Hamba Allah! Bayarlah upah ku!" Aku katakan kepadanya, "Semua yang engkau lihat ini adalah upahmu. Unta, lembu, kambing dan biri-biri serta sahaya." Katanya, "Wahai, Hamba Allah! Janganlah engkau memperolok-olokkan ku." Jawab ku, "Sungguh! Aku tidak memperolok-olokkan mu. Maka diambilnya hartanya itu semuanya tanpa satu pun yang ketinggalan. Wahai, Allah! Kalaulah yang demikian itu saya perbuat semata-mata kerana menuntut keredhaanMu, bukakanlah pintu gua ini bagi kami, kerana kami terkurung di sini." Maka bergeserlah batu itu sehingga mereka dapat keluar dari gua itu.

1109. Dari Abu Said r.a., katanya: "Beberapa orang sahabat berpergian, sehingga mereka berhenti pada suatu kampung di antara kampung-kampung Arab. Para sahabat itu minta supaya mereka dijamu, tetapi orang kampung enggan menjamu mereka. Sementara itu, ketua kampung itu digigit binatang berbisa, dan telah mereka usahakan segala-galanya untuk mengubatinya, tetapi tidak satu pun yang bermanfaat baginya. Seorang di antara mereka berkata, "Pergilah kamu kepada para sahabat yang berhenti itu, mudah-mudahan ada di antara mereka yang dapat menolong." Lalu mereka pergi menemui para sahabat, kata mereka, "Wahai, orang banyak! Ketua kampung kami digigit binatang berbisa. Telah kami usahakan segala sesuatu untuk mengubatinya, tetapi tidak ada yang memberi manfaat baginya. Adakah di antara anda yang dapat menolong?" Seorang di antara mereka menjawab, "Ya, demi Allah! Sesungguhnya aku boleh mengubatinya. Tetapi demi Allah! Kami telah meminta kepada kalian supaya kami dijamu. Tetapi kalian tidak mahu menjamu kami. Aku tidak akan mengubatinya sebelum kalian menentukan berapa upah kami. Akhirnya mereka berdamai dan berjanji akan menyerahkan sekumpulan kambing. Maka pergilah sahabat itu mengubatinya. Ia menyembur si sakit dan membaca: Alhamdulillahi rabbil 'alaamiin (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam). Maka bagaikan tali yang diuraikan simpulnya, si sakit itu langsung berjalan dan sakitnya pun hilang. Katanya, "Bayarlah secukupnya upah mereka yang telah dijanjikan tadi." Di antara mereka yang menerima upah berkata, "Bagi-bagilah upah itu!" Kata yang membaca mentera, "Jangan kalian lakukan itu, sebelum kita datang kepada Nabi saw" menceritakan hal ini serta menunggu keputusan dari beliau." Mereka pun pergi menghadap Rasulullah saw., lalu mereka ceritakan hal itu kepada beliau. Sabda beliau, "Apakah sebabnya kamu mengatakan bahawa ucapan itu mantera?" Kemudian beliau bersabda lagi, "Sesungguhnya kalian telah betul. Bahagi-bahagilah upahmu, dan beri aku sebahagian." Kemudian Rasulullah saw. tertawa.

1110. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Nabi saw. melarang menerima pembayaran kerana pemberian benih jantan."

1111. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Orang kaya yang melambat-lambatkan (membayar hutang, zakat harta dan lain-lain kewajiban yang harus dibayarnya) adalah zalim (aniaya). Apabila seorang di antaramu dipindahkan hutang-piutangnya kepada orang yang berpunya (kaya) hendaklah diturutinya (ditagihnya)."

1112. Dari Salamah bin Akwa' r.a., katanya: "Pada suatu ketika, kami duduk dekat Nabi saw. Tiba-tiba datang orang membawa jenazah. Kata mereka, "Sudilah anda solatkan jenazah ini." Tanya beliau, "Adakah dia mempunyai hutang?" Jawab mereka, "Tidak!" Tanya Nabi, "Adakah dia meninggalkan warisan?" Jawab mereka,"Tidak!" Lalu beliau solatkan jenazah itu. Kemudian datang pula orang membawa jenazah yang lain. Kata mereka, "Ya, Rasulullah! Sudilah anda solatkan jenazah ini." Tanya Nabi, "Adakah dia mempunyai hutang?" Dijawab oleh mereka, "Ya, ada!" Tanya beliau, "Adakah dia meninggalkan sesuatu warisan"?" Jawab mereka, "Ada, tiga dinar!" Lalu beliau solatkan jenazah itu. Kemudian dibawa orang pula kepada beliau jenazah yang ketiga. Kata mereka, "Sudilah anda solatkan jenazah ini." Tanya Nabi, "Adakah ia meninggalkan sesuatu (warisan)?" Jawab mereka, "Tidak!" Tanya Nabi saw., "Adakah dia mempunyai hutang?" Jawab mereka, "Ada, tiga dinar!" Sabda Nabi saw., "Solatkanlah teman mu itu!" Kata Abu Qatadah, "Solatkanlah, ya, Rasulullah! Biarlah saya yang menanggung hutangnya. Maka Rasulullah solat untuk jenazah itu."

1113. Dari 'Ashim r.a., katanya dia bertanya kepada Anas r.a.,: "Adakah sampai kepada Anda bahawasanya Rasulullah saw. pernah bersabda: Tidak ada perjanjian dalam Islam." Jawab Anas, "Sesungguhnya Nabi saw. pernah mengadakan perjanjian antara orang Quraisy dan orang Ansar di rumahku sendiri.

1114. Dari Jabir r.a., katanya Nabi saw. pernah bersabda: "Kalau datang harta dari Bahrain, akan ku beri engkau sekian, sekian dan sekian." Belum lagi harta dari Bahrain itu datang, Nabi saw. telah wafat. Ketika harta itu tiba, Abu Bakar yang memerintah. Maka ia memberitahukan: "Barangsiapa ada janji dengan Nabi saw., atau dia ada piutang kepada Nabi saw., hendaklah ia datang kepada kami." Lalu saya datang kepadanya dan berkata, "Nabi saw. pernah menjanjikan kepada ku bahawa aku akan diberinya sekian dan sekian." Abu Bakar mengambilkan (wang) untukku segenggam. Setelah saya hitung, kebetulan lima ratus. Katanya, "Ambillah sebanyak itu lagi."

1115. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Tidak ada yang ku ingat mengenai kedua orang tua ku, melainkan mereka telah memeluk agama (Islam). Dan tidak ada hari yang berlalu bagi kami, melainkan setiap hari itu Rasulullah saw. datang ke rumah kami pada kedua tepi siang, pagi dan petang. Ketika kaum muslimin ditimpa musibah, Abu Bakar ikut hijrah ke Habsyah. Sesampainya di Birkal Ghimad, ia berpapasan dengan Ibnu Daghinah, seorang penghulu kampung. Katanya, "Hendak ke mana engkau, hai, Abu Bakar?" Jawab Abu Bakar, "Aku diusir oleh kaum ku. Kerana itu aku hendak mengembara di bumi ini untuk menyembah Tuhan ku." Kata Ibnu Daghinah, "Sesungguhnya orang seperti engkau ini tidak boleh pergi dan tidak boleh diusir. Kerana engkau mengusahakan yang tidak ada, menghubungkan kasih sayang (silatur rahim), membantu orang yang sengsara, memuliakan tetamu dan menolong orang yang ditimpa bahaya dalam menegakkan kebenaran. Dan aku adalah tetanggamu. Kembalilah! Dan tetaplah menyembah Tuhan mu di negerimu." Ibnu Daghinah berjalan bersama-sama dengan Abu Bakar. Lalu ditemuinya pemuka-pemuka kaum Quraisy. Katanya kepada mereka,"Sesungguhnya orang seperti Abu Bakar tidak boleh diusir. Mengapa kalian usir dia? Padahal dia mengusahakan yang tidak ada, menghubungkan kasih sayang, membantu orang yang sengsara, memuliakan tetamu dan menolong orang yang ditimpa bencana dalam menegakkan kebenaran." Sesudah itu orang Quraisy membiarkan tetangga Ibnu Daghinah dan memberi keamanan bagi Abu Bakar. Kata mereka kepada Ibnu Daghinah, "Suruhlah Abu Bakar supaya ia menyembah Tuhannya di rumahnya, ia boleh solat dan membaca apa yang dikehendakinya (di sana), tetapi sekali-kali janganlah menyakiti hati kami dengan perbuatannya, dan jangan pula ia pamer dengannya. Sesungguhnya kami khuatir anak-anak dan para wanita kami akan terpengaruh. Ibnu Daghinah menyampaikan pesan mereka itu kepada Abu Bakar. Maka semenjak itu, Abu Bakar sentiasa menyembah Tuhannya di rumahnya saja, tidak kelihatan terang-terangan solat dan membaca (Quran) di luar rumahnya. Kemudian timbul fikiran bagi Abu Bakar. Maka dibuatnya masjid (musalla, atau surau) di halaman rumahnya. Ia solat dan membaca dengan leluasa di masjidnya itu. Para wanita dan anak-anak orang musyrik beramai-ramai mengunjunginya dan mereka hairan melihatnya, kerana Abu Bakar seorang yang mudah menangis. Dia tidak dapat menahan air matanya kalau dia membaca Quran. Keadaan seperti itu sangat mengejutkan pemuka musyrikin Quraisy. Lalu mereka panggil Ibnu Daghinah. Ibnu Daghinah datang menemui mereka. Kata mereka, "Kami membolehkan Abu Bakar menyembah Tuhannya, hanya di rumahnya. Kini dia telah melampaui batas. Dibuatnya masjid di halaman rumahnya, kemudian dengan leluasa dia pamer solat dan membaca. Kami khuatir anak-anak dan para wanita kami akan terpengaruh. Kerana itu pergilah kamu kepadanya. Jika dia mahu menyembah Tuhannya di rumahnya saja, dia boleh melakukannya. Jika dia tidak mhau, bahkan dia akan melakukannya secara terus terang dan leluasa, mintalah kepadanya supaya ia mengembalikan jaminan perlindungan darimu. Kami sendiri tidak suka merosakkan perjanjian denganmu. Kami tidak menyetujui Abu Bakar bersikap leluasa dan terus terang seperti itu." Kata 'Aisyah, Ibnu Daghinah datang kepada Abu Bakar, lalu ia berkata: "Engkau memaklumi apa yang ku janjikan kepada engkau. Dapatkah engkau menepati janji itu, ataukah engkau akan mengembalikan janji perlindungan dari ku tidak ingin mendengarkan orang Arab mengatakan, bahawa aku merosak janji yang telah ku janjikan kepada seseorang." Kata Abu Bakar, "Aku kembalikan kepada mu janji setetangga denganmu. Dan aku lebih suka setetangga dengan Allah." Waktu itu Rasulullah saw. sedang berada di Mekah. Beliau bersabda, "Sesungguhnya telah diperlihatkan (Allah) kepada ku tempat hijrahmu. Aku lihat pada pasir ditumbuhi pohon kurma di antara dua bukit, yakni dua tempat yang berbatu-batu." Tidak lama kemudian, maka hijrahlah orang ke Madinah. Yaitu sesudah Rasulullah saw. mengatakan demikian itu. Dan hijrah pula ke Madinah orang-orang yang tadinya telah hijrah ke Habsyah. Abu Bakar pun bersiap-siap pula hendak hijrah. Tetapi Rasulullah saw. bersabda kepadanya, "Perlahan-lahan! Sesungguhnya aku mengharap pula keizinan bagi ku sendiri." Kata Abu Bakar, "Apakah Tuan sedang mengharapkan yang demikian itu? Ku tebus engkau dengan Bapa ku." Jawab beliau, "Ya!" Abu Bakar menunggu Rasulullah saw. untuk menemani beliau. Sementara itu diberinya makan dua ekor kenderaan miliknya sendiri dengan daun samar selama empat bulan."

1116. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Sesungguhnya pernah dibawa orang kepada Rasulullah saw. jenazah orang yang mempunyai hutang. Lalu sabda beliau,"Adakah dia meninggalkan harta untuk pembayar hutangnya?" Kalau dikatakan kepada beliau bahawa mayat itu ada meninggalkan harta yang mencukupi untuk pembayar hutangnya, maka mayat itu beliau solatkan. Tetapi, kalau tidak, beliau bersabda kepada seorang muslim, "Solatkanlah temanmu itu!" Setelah Allah memberikan kemenangan demi kemenangan bagi kaum Muslimin, beliau bersabda, "Aku lebih mengutamakan orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri. Barangsiapa orang yang meninggal dunia, sedangkan ia meninggalkan hutang maka tanggunganku membayarnya. Dan siapa yang meninggalkan warisan, maka warisan itu untuk ahli warisnya."

1117. Dari 'Uqbah bin 'Amir r.a., katanya: "Nabi saw. menyerahkan kambing atau biri-biri kepadanya, untuk dibahagi-bahagikan kepada para sahabat beliau. Maka tertinggal seekor anak kambing, lalu dilaporkannya kepada Nabi saw. Sabda Nabi, "Sembelihlah korban untukmu sendiri."

1118. Dari Ka'ab bin Malik r.a., katanya: "Sesungguhnya mereka mempunyai kambing yang digembalakannya di Salaa. Seorang gadis kami melihat seekor biri-biri di antara kambing-kambing kami hampir mati. Lalu dipecahnya sebuah batu dan disembelihnya kambing itu dengan batu itu. Kata Kaab, "Janganlah kamu makan sebelum saya tanyakan kepada Nabi saw. atau saya kirim orang untuk menanyakannya. Kaab atau wakilnya memang bertanya kepada Nabi saw. Ternyata beliau menyuruh memakannya."

1119. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seorang laki-laki datang kepada Nabi saw. menagih piutangnya. Dan orang itu menagih dengan sikap kasar. Kerana itu timbullah niat para sahabat hendak memukul orang itu. Beliau bersabda, "Biarkanlah dia! Dia berhak untuk menagih." Selanjutnya beliau menambahkan, . "Berikanlah kepadanya unta yang sebanding dengan untanya !" Kata mereka, "Ya, Rasulullah! Tidak, kami dapati unta yang sebanding dengan untanya, tetapi ada yang lebih daripada untanya." Sabda beliau, "Berikanlah kepadanya! Sesungguhnya orang yang paling baik di antaramu, ialah yang paling baik pembayarannya."

1120. Dari Marwan bin Hakam bin Miswar bin Makhrimah r.a., keduanya bercerita: "Rasulullah saw. berdiri ketika perutusan Hawazin datang untuk mengaku masuk Islam. Mereka meminta kepada beliau supaya mengembalikan harta dan tawanan mereka. Rasulullah saw. bersabda kepada mereka. "Cerita yang paling ku senangi ialah cerita yang paling benar. Maka pilihlah satu di antara dua, iaitu tawanan atau harta. Aku bersedia menunggu keputusan kalian." Rasulullah telah menunggu lebih dari sepuluh malam, sehingga beliau telah kembali dari Thaif. Setelah nyata oleh mereka bahawa Rasulullah tidak akan mengembalikan kepada mereka, kecuali hanya satu di antara dua macam, mereka berkata, "Kami memilih tawanan."Rasulullah saw. berdiri di hadapan kaum muslimin, lalu beliau berpidato. Lebih dahulu beliau memuji Allah menurut mestinya, kemudian beliau bersabda, "Sesungguhnya saudara-saudaramu ini datang kepada kita dengan penyesalan. Aku bermaksud hendak mengembalikan tawanan kepada mereka. Barangsiapa di antara kamu lebih senang mengatakan baik yang demikian itu, lakukanlah. Dan siapa di antara kamu lebih senang menerima bahagiannya, hingga kita berikan kepadanya dari mula-mula Allah menyerahkan rampasan kepada kita, lakukanlah!" Orang banyak berkata, "Sesungguhnya kami merasa baik untuk dikembalikan Rasulullah saw. kepada mereka. Rasulullah saw. bersabda, "Kami belum mengetahui siapakah di antara mu yang telah membolehkan dan siapa yang belum. Pulanglah, hingga orang-orang terkemuka mu menerangkan keadaan mu kepada kami. " Orang banyak pun pulanglah, dan pemuka-pemuka mereka berunding dengan mereka. Kemudian mereka kembali kepada Rasulullah saw., mengkhabarkan bahawa sebenarnya mereka merasa baik dan membolehkannya. "

1121. Dari Shal bin Saad r.a., katanya: "Seorang wanita datang kepada Rasulullah saw., lalu katanya: "Ya, Rasulullah! Aku menyerahkan diri ku kepada anda." Maka berkata seorang laki-laki, "Kahwinkanlah aku dengannya." Sabda beliau, "Kami kahwinkan engkau akan dia dengan maharnya Quran yang telah engkau pelajari."

1122. Dari Abu Hurairah r.a., "Rasulullah saw. menugaskan daku untuk menjaga Zakat Ramadhan (Zakat Fitrah). Kemudian datang seseorang kepada ku, maka diambilnya segenggam makanan, dan orang itu dapat ku tangkap. Lalu aku berkata kepadanya, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah saw." Katanya, "Saya perlu, kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat." Kata Abu Hurairah, "Kerana itu, saya biarkan saja orang itu." Esok pagi Nabi saw. bersabda, "Hal, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu, kerana mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan, lalu saya biarkan saja dia." Sabda Nabi, "Sebenarnya dia dusta kepada mu dan ia akan kembali." Saya yakin bahawa ia akan kembali kerana pemberitahuan Rasulullah saw. itu. Lalu saya intip dia. Memang benar, orang itu datang lagi lalu diambilnya segenggam makanan, dan terus saya tangkap. Kataku, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah saw." Katanya, "Biarkanlah saya, kerana saya sangat perlu dan mempunyai keluarga. Sesudah ini tidak akan saya ulangi lagi." Saya pun merasa kasihan, lalu saya biarkan dia. Pagi-pagi Rasulullah saw. bersabda pada ku, "Hai, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu dan berkeluarga. Aku merasa kasihan kepadanya, lalu ku biarkan saja dia." Sabda beliau, "Sebenarnya ia dusta kepada mu, dan ia bakal kembali." Saya intip dia untuk ketiga kalinya. Memang benar, ia pun datang lalu diambilnya segenggam makanan, lantas saya tangkap, seraya berkata. "Engkau mesti saya adukan kepada Rasulullah saw. Inilah yang ketiga kalinya engkau mengatakan tidak akan kembali, tetapi nyatanya engkau kembali juga." Katanya, "Lepaskanlah aku, nanti ku ajarkan kepada mu kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah kepada mu, apabila engkau membaca kalimah itu." Kataku, "Apakah kalimah itu?" Jawabnya, "Apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat Kursi: Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum, (Al Baqarah, 2 : 255) hingga sampai akhir ayat. Maka engkau sentiasa dalam pemeliharaan Allah, sedangkan syaitan tidak akan berkati mu sampai pagi." Setelah itu saya biarkan dia. Pagi Rasulullah saw. bersabda kepada ku, "Apa yang diperbuat tawanan mu tadi?" Kataku, "Ya, Rasulullah! Dia ajarkan kepada ku beberapa kalimah katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu ku biarkan dia." Sabda beliau, "Apakah kalimah itu?" , Jawab ku, "Ia mengatakan kepada ku, apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat kursi dari awal sampai akhir. Yakni. Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum.(hingga akhirnya). Katanya kepada ku: Engkau akan sentiasa, dalam pemeliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekati mu sampai pagi." Dan biasanya para sahabat itu sangat, mengingini kebaikan. Nabi saw. bersabda, "Sesungguhnya ia telah benar kepada mu. Padahal ia sangat pendusta. Tahukah engkau, dengan siapa engkau bercakap-cakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?" Jawab Abu Hurairah, "Tidak!" Sabda beliau. "Itulah syaitan!"

1123.Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Bilal datang kepada Nabi saw. membawa kurma Barni. Nabi saw. bertanya: "Dari mana ini?" Jawab Bilal, "Aku mempunyai kurma yang kurang bagus. Lalu ku jual dua gantang dengan segantang untuk dimakan Rasulullah saw." Sabda Nabi saw., "Wah, wah! Itulah riba! Itulah riba! Janganlah engkau lakukan lagi. Tetapi apabila engkau hendak membeli kurma yang bagus, juallah kurma yang kurang bagus secara jual beli, kemudian belilah kurma Barni."

1124. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Hai, Unais! Pergilah kamu kepada wanita itu, jika ia mengaku (berzina), maka rejamlah dia!"

1125. Dari 'Uqbah bin Harits r.a., katanya: "Nukaiman atau anak Nukaiman dibawa orang ke hadapan Rasulullah saw. kerana ia mabuk meminum minuman keras. Lalu Rasulullah saw. memerintahkan kepada semua orang yang ada dalam rumah supaya memukulnya. Kata 'Uqbah, "Saya termasuk orang yang turut memukulnya. Kami pukul dia dengan terompah dan pelepah kurma."