1369, Dari Bara' bin 'Azib r.a., katanya: Nabi s.a.w. memerintahkan Abdullah bin Jubair masuk tentera berjalan kaki di hari peperangan Uhud. Mereka berjumlah lima puluh orang. Beliau bersabda: "Kalau kamu melihat kami diserang, hendaklah kamu tetap di tempatmu ini, sampai saya kirim utusan kepada mu. Dan kalau kamu melihat kami mengalahkan musuh dan telah kami duduki tempat mereka, kamu mesti tetap di sini sampai saya kirim utusan kepadamu! Tentera Islam mengalahkan pasukan kaum musyrik. Kata Bara': "Dan saya, demi Allah, saya lihat perempuan-perempuan musyrik itu lari, kelihatan gelang kaki dan betis mereka, kerana tersingsing kain mereka." Kawan-kawan Abdullah bin Jubair lalu berkata: "Rampasan, hai kaumku! Rampasan! Kawan-kawan kita telah menang, apakah lagi yang kita nanti?" Abdullah bin Jubair berkata: "Lupakah kamu apa yang disabdakan Rasulullah s.a.w. kepada kita?" Mereka berkata: "Sesungguhnya kita akan mengejar musuh dan kita akan mengambil rampasan!" Setelah mengejar musuh, mereka terpaksa undur dan berbalik dalam keadaan cerai-berai. Ketika itu, Rasul memanggil mereka dari belakang dan yang tinggal bersama Nabi s.a.w. hanyalah dua belas orang. Dalam pertempuran ini, gugur dari pihak kita tujuh puluh orang. Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat dapat membalas orang-orang musyrik dalam peperangan Badr seratus empat puluh orang, tujuh puluh orang ditawan dan tujuh puluh lagi terbunuh. Abu Sufyan lalu berteriak: "Adakah Muhammad di situ?" Diucapkannya tiga kali. Nabi s.a.w. melarang menjawabnya. Kemudian ia berkata: "Adakah Ibnu Abi Quhafah (Abu Bakar) di situ?" Diucapkannya sampai tiga kali. Kemudian dia berkata pula: "Adakah Ibnul Khaththab (Umar) di situ?" : Tiga kali pula. Kemudian ia kembali kepada kawan-kawannya, lalu berkata: "Mereka itu telah terbunuh". Umar tidak dapat menahan hati, lalu ia menjawab: "Engkau bohong, demi Allah, hai musuh Allah! Orang-orang yang engkau sebut itu, semuanya masih hidup dan tetap ada apa yang tidak menyenangkan engkau". Abu Sufyan berkata: "Hari ini seimbangan dengan hari Badr. Peperangan itu bergilir. Kamu akan mendapat bahaya dan kaum itu tiada akan saya perintahkan melakukannya dan tiada menyusahkan saya". Kemudian ia meragukan: "Muliakanlah Hubal, muliakanlah Hubal (nama berhala)!" Nabi s.a.w. bersabda: "Mengapa tidak kamu jawab?" Mereka berkata: "Hai Rasulullah! Apakah yang akan kami katakan untuk jawabnya?" Beliau menjawab: "Katakanlah: Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar!" Kata Abu Sufyan: "Kami mempunyai berhala 'Uzza dan kamu tidak". Nabi s.a.w. bersabda: "Mengapa tidak kamu jawab?" Mereka berkata: "Hai Rasulullah! Apakah jawabnya?" Beliau bersabda: "Katakanlah, Allah pelindung kami dan kamu tidak mempunyai pelindung".
1370, Dari Salamah r.a., katanya: Saya keluar dari Madinah menuju suatu belukar. Setelah saya berada di tempat yang tinggi di belukar itu, hamba Abdur Rahman bin 'Auf menemui saya. Kata saya: "Wah, mengapa?" Katanya: "Unta perahan Nabi s.a.w. diambil orang". Kata saya: "Siapa mengambilnya?" Katanya: "Orang dari suku Ghathafan dan Fazarah". Saya lalu berteriak tiga kali yang dapat didengar antara dua bukit Madinah: "Tolong, tolong!" Kemudian saya berjalan cepat-cepat sehingga saya bertemu dengan mereka. Benar mereka telah mengambil unta itu. Lalu mereka saya panah, sambil berkata: "Saya anak Akwa'! Hari ini hari binasa bagi penjahat!" Saya rebut unta itu dari mereka sebelum mereka minum, lalu saya halau pulang. Nabi s.a.w. menemui saya dan saya berkata "Hai Rasulullah! Kaum itu kehausan dan sesungguhnya, saya akan mendahului mereka ke tempat minum. Maka kirimlah orang untuk mengikuti jejak mereka!" Beliau lalu bersabda: "Hai anak Akwa'! Engkau boleh! Berbuat baiklah engkau. Kaum itu akan menjadi tetamu kaumnya".
1371, Dari Abu Musa r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bebaskanlah orang tawanan, beri makanlah orang lapar, dan kunjungilah orang sakit!"
1372 Dari Abu Juhaifah r.a" katanya: Saya berkata pada Ali:" Adakah pada tuan sesuatu wahyu selain apa yang ada dalam Kitab Allah?" Jawabnya: "Demi Allah, yang memecahkan buah (menumbuhkan) dan menjadikan manusia! Tiada saya ketahui selain faham yang diberikan Tuhan kepada seorang laki-laki tentang Quran dan yang tertulis dalam lembaran ini". Tanya saya: "Apakah yang ditulis di dalamnya?" Jawabnya: "Akal, melepaskan tawanan dan jangan sampai seorang Islam terbunuh kerana seorang kafir".
1373, Dari Anas bin Malik r.a.: Seorang laki-laki dari orang Ansar minta izin kepada Rasulullah s.a.w. Mereka berkata: "Hai Rasulullah! Izinkanlah supaya tebusannya kami tinggalkan untuk anak saudara perempuan kami!" Beliau bersabda: "Janganlah kamu tinggalkan barang sedirham pun!"
1374, Dari Salamah bin Akwa' r.a., katanya: Seorang mata-mata orang musyrik datang kepada Nabi s.a.w., sewaktu beliau sedang tidak ada. Lalu ia duduk dekat sahabat-sahabat beliau bercakap-cakap, kemudian ia pergi. Nabi s.a.w. bersabda: "Cari dan bunuhlah dia!" Salamah lalu membunuhnya. Nabi memberikan kepadanya barang-barang kepunyaan mata-mata tadi.
1375, Dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata: "Hari Khamis! Apakah hari Khamis itu?" Kemudian ia menangis sehingga air matanya membasahi pasir. Katanya: "Rasulullah s.a.w. sakit keras pada hari Khamis, beliau lalu bersabda: "Bawalah kemari sebuah buku! Saya suruh tuliskan untuk kamu sesuatu yang kamu tiada akan tersesat sesudah itu selamanya". Mereka lalu berselisih, sedangkan berselisih itu tidak patut dekat Nabi. Mereka berkata: "Rasulullah s.a.w. akan pulang". Beliau bersabda: "Biarkanlah saya! Keadaan saya sekarang lebih baik daripada apa yang kamu katakan". Beliau berwasiat ketika beliau akan wafat dengan tiga perkataan: Pertama: Keluarkanlah orang musyrik dari Jazirah Arab, kedua: sambutlah perutusan sebagaimana saya pernah menyambut mereka, dan yang ketiga: saya (lbnu Abbas) lupa".
1376, Dari Ibnu Umar r.a., katanya: Nabi s.a.w. berdiri di hadapan orang banyak, lalu memuji Tuhan menurut cara yang sepatutnya. Kemudian beliau menyebut Dajjal, lalu bersabda: "Saya memberi peringatan kepada kamu tentang Dajjal itu. Setiap Nabi telah memberi peringatan kepada kaumnya tentang Dajjal. Nabi Nuh juga telah memberi peringatan kepada kaumnya tentang Dajjal. Tetapi saya hendak mengatakan kepada kamu tentang Dajjal itu, yang belum pernah diucapkan oleh seorang Nabi kepada kaumnya. Ketahuilah, Dajjal itu buta matanya sebelah, sedangkan Tuhan itu tiada buta sebelah mata pun".
1377, Dari Huzaifah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Tuliskan untuk saya jumlah orang-orang yang mengucapkan syahadat. Lalu kami tuliskan seribu lima ratus orang. Kami berkata: ''Takutkah kita, sedang kita seribu lima ratus orang?" Kami mengetahui, bahawa kami sendiri mendapat ujian, sehingga seorang solat sendirian dan dia ketakutan.
1378, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Kami ikut serta dalam suatu peperangan bersama Rasulullah s.a.w, lalu beliau bersabda tentang seorang laki-laki yang mengaku Islam: "Orang ini termasuk isi neraka!" Setelah peperangan dimulai, laki-laki itu melakukan perlawanan yang sengit, lalu ia mendapat luka. Ada orang berkata: "Hai Rasulullah! Orang yang tuan katakan isi neraka, telah melakukan perlawanan yang sengit dan ia telah mati!" Nabi s.a.w. bersabda: "Ke neraka!"Abu Hurairah berkata: Hampir sebahagian orang banyak keraguan. Ketika mereka dalam keadaan demikian, ada orang mengatakan: Ia belum mati, tetapi luka berat. Setelah hari malam, ia tiada sabar terhadap lukanya, lalu ia membunuh dirinya. Maka hal yang demikian dikhabarkan kepada Nabi s.a.w. Beliau lalu bersabda: "Allah Maha Besar! Saya mengaku bahawa saya hamba Allah dan RasulNya". Kemudian beliau menyuruh Bilal memberitahukan kepada orang banyak: Tiada akan masuk ke dalam syurga melainkan diri (jiwa) yang Muslim. Dan Tuhan menguatkan agama ini dengan laki-laki jahat".
1379, Dari Abu Thalhah r.a.: Setelah mengalahkan satu kaum, Nabi s.a.w. tinggal di tanah lapang tiga malam.
1380, Dari Jabir bin Abdullah katanya: Saya berkata: "Hai Rasulullah! Kami menyembelih binatang kecil kepunyaan kami, menumbuk gandum satu gantang, maka silakan tuan datang bersama orang banyak!" Nabi s.a.w. lalu berteriak. sabdanya: "Hai penduduk Khandaq! Jabir membuat santapan. Marilah kita pergi bersama-sama!"
1381, Dari Ummu Khalid binti Khalid bin Said r.a., katanya: Saya menghadap Rasulullah s.a.w. bersama bapa saya, dan saya memakai baju kuning. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sanah, sanah!" Kata-kata sanah dalam bahasa Habsyi ertinya "baik". Ummu Khalid berkata: Saya lalu mempermainkan cincin stempel kenabian. Lalu bapa saya melarang. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Biarkanlah!" Kemudian Rasulullah bersabda lagi: "Pakailah baju kuning itu baik-baik sampai habis, pakailah baik-baik sampai habis dan pakailah baik-baik sampai habis!"