1261. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. berdiri ketika Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Besar menurunkan ayat yang ertinya: "Dan berilah peringatan kepada kaum keluarga engkau terdekat!" Lalu beliau bersabda: "Hai kaum Quraisy! (atau perkataan yang serupa dengan itu), Tebuslah dirimu! Saya tiada dapat menolongmu barang sedikit pun dari seksa Tuhan. Hai Bani Abdi Manaf! Saya tiada boleh menolongmu sedikit pun. Hai Abbas anak Abdul Muthalib! Saya tiada boleh menolongmu sedikit pun dari seksa Tuhan. "Hai Safiah, bibi Rasulullah! Saya tiada boleh menolongmu sedikit pun dari seksa Tuhan. Hai Fatimah binti Muhammad! Mintalah kepada saya harta dan saya tiada boleh menolongmu sedikit pun dari seksa Tuhan!"
1262. Dari Kaab bin Malik r.a., dia berkata: "Hai Rasulullah! Termasuk dalam taubat saya, bahawa saya akan menghabiskan semua harta saya untuk sedekah menurut yang disuruh Allah dan RasulNya." Sabda Nabi: "Tinggalkanlah untukmu sebahagian hartamu! Itulah yang baik bagimu!" Kata saya: "Saya tinggalkan bahagian saya yang di Khaibar".
1263. Dari Anas r.a. katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w. datang ke Madinah, beliau tiada mempunyai pelayan. Abu Thalhah lalu memegang tangan saya dan terus berjalan dengan saya menemui Rasulullah s.a.w. Katanya: "Hai Rasulullah! Anas ini seorang pemuda yang cerdas. Biarlah dia melayani tuan!" Kata Anas: Lalu saya melayani beliau dalam perjalanan dan waktu menetap. Beliau belum pernah berkata kepada saya tentang sesuatu yang dikerjakan: "Mengapa begitu engkau kerjakan?" Dan belum pernah pula beliau berkata tentang sesuatu yang tidak (belum) saya kerjakan: "Mengapa tidak engkau kerjakan?"
1264. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ahli warisku tiada mempusakai dinar dan dirham. Apa yang aku tinggalkan, selain dari belanja isteri ku dan keperluan pembantuku, adalah untuk sedekah".
1265. Dari Abi Abdur Rahman r.a. ketika Usman r.a. dikepung, ia menujukan pembicaraan kepada orang-orang yang mengepungnya, katanya: "Saya mohon pertolongan Tuhan terhadap kamu, dan saya tiada akan meminta bantuan melainkan kepada sahabat-sahabat Rasulullah. Tidakkah kamu ketahui, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Barangsiapa yang menggali (membuat) sumur, maka orang itu mendapat syurga". Lantas saya gali. Tidakkah kamu ketahui bahawa sesungguhnya beliau bersabda: "Barangsiapa yang menyediakan perbekalan untuk tentera yang kekurangan, maka orang itu mendapat syurga". Lantas saya sediakan untuk mereka." Kata Rawi: Lalu orang banyak membenarkan apa yang dikatakannya itu.