Jilid 3 \ 1189 - 1196 ( Bahagi )

1189. Dari Jabir bin Abdullah r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w. mengirim sepasukan tentera ke jurusan pantai. Beliau mengangkat sebagai pemimpin mereka Abu 'Ubaidah bin Jarrah. Jumlah mereka adalah tiga ratus orang, di antaranya saya. Kami berangkat, sehingga ketika kami berada di suatu tempat, perbekalan habis. Abu Ubaidah memerintahkan untuk mengumpulkan perbekalan tentara, lalu dikumpulkan semuanya. maka dapatlah terkumpul dua karung kurma. Itulah yang menjadi makanan kami tiap-tiap hari sedikit-sedikit sampai habis. Kemudian kami tiada mendapat bahagian selain dari sebutir kurma. Saya berkata: "Apakah sebutir kurma itu mencukupi!" Abu Ubaidah menjawab: "Kita merasa kekurangan ketika habisnya", Kata Jabir: Kemudian kami sampai ke laut, kebetulan dapat seekor ikan yang amat besar, lalu dimakan oleh tentera selama lapan belas malam. Kemudian Abu Ubaidah menyuruh menegakkan dua tulang rusuk ikan itu, lalu kami berjalan di bawah tulang rusuk ikan tadi dan keduanya tiada tersinggung.

1190. Dari Salamah r.a., katanya: Orang banyak kekurangan makanan dan kehabisan perbekalan, lalu mereka menghadap Nabi s.a.w. minta izin untuk menyembelih unta mereka, dan beliau mengizinkannya. Kemudian Umar menemui mereka. lalu mereka ceritakan kepadanya. Kata Umar: "Bagaimanakah lagi kalau habis untamu?" Dan ia pun terus menghadap Nabi s.a.w.. katanya: "Bagaimanakah lagi kalau unta itu habis?" Rasulullah s.a,w. bersabda: "Panggillah orang banyak supaya mereka datang membawa kelebihan perbekalan masing-masing." Maka dibentangkan tikar kulit untuk itu, dan mereka meletakkan makanan di atas tikar. Kemudian Rasulullah s.a.w. berdiri lalu berdoa mohon berkat. Kemudian beliau memanggil mereka supaya membawa tempat makan. Sesudah itu orang banyak mengambil bahagian sehingga mereka semua selesai. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya mengaku bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya saya pesuruh Allah."

1191. Dari Rafi' in Khadij r.a., katanya: Kami pernah solat Asar bersama Nabi saw. Sesudah itu kami menyembelih unta, lalu dibahagi sepuluh bahagian. Kami makan daging yang dimasak sebelum matahari terbenam.

1192. Dari Abu Musa r.a., katanya: Nabi saw. bersabda: "Orang Asyaari, apabila mereka kehabisan perbekalan dalam peperangan atau keluarga mereka kekurangan makanan di Madinah, mereka kumpulkan apa yang ada di atas sehelai kain, kemudian mereka bahagi-bahagikan di antara mereka makanan itu dengan sebuah takaran sama banyak: mereka segolongan dengan saya dan saya pun segolongan dengan mereka.

1193. dari Rafi' r.a., katanya: Kami bersama Nabi saw. berada di Zulhulaifah. Di waktu itu orang banyak menderita kelaparan, lalu mereka habiskan (ambil) unta dan kambing. Kata Rafi': Dan Nabi saw. berada di belakang kaum, mereka cepat-cepat berjalan lalu menyembelih ternak dan mereka siapkan periuk itu. Kemudian Nabi saw. menyuruh supaya dituangkan dari periuk itu, kemudian beliau bagi-bagi dan beliau samakan sepuluh ekor kambing dengan seekor unta. Ada seekor unta diantaranya yang lari, lalu mereka kejar sehingga mereka payah, sedang pada kaum itu ada beberapa ekor kuda. Seorang laki-laki di antara mereka membidik dengan panah. Tuhan menahan unta yang dibidik itu sehingga kena. Kemudian beliau bersabda: "Sesungguhnya binatang ini bersifat liar sebagai sifatnya binatang liar. Mana di antaranya yang memayahkan kamu, maka lakukanlah seperti ini." Rafi' bertanya: "Kami mengharap atau kami khuatir terhadap musuh besok pagi dan pisau tidak ada, bolehkah kami menyembelih dengan bilah buluh?" Jawab beliau: "Apa saja yang mengalirkan darah dan disebut nama Tuhan padanya, makanlah! Tidak boleh dengan gigi dan kuku! Saya ceritakan yang demikian itu kepadamu: Gigi adalah tulang, dan kuku adalah pisau orang Habsyah".

1194. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Barangsiapa yang memerdekakan hanya sebahagian hambanya, maka kewajibannya adalah membebaskannya (memerdekakannya sepenuhnya) dengan hartanya. Jikalau ia tiada mempunyai harta, diperkirakan harta budak itu dengan perkiraan yang adil, kemudian disuruh bekerja dengan tidak terlalu berat."

1195. Dari Nukman bin Basyir r.a., dan Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Perumpamaan orang yang mematuhi larangan Tuhan dan yang melanggarnya, adalah seperti suatu kaum yang mengadakan undian di atas kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi di bawah. Orang yang di bawah, jikalau hendak mengambil air minum, terpaksa melalui orang yang di atas. Mereka berfikir: Baiklah kita buat sebuah lobang air di tempat kita sehingga kita tidak mengganggu orang yang di atas kita. Jika orang yang di atas membiarkan maksud mereka, tentulah semua mereka binasa. Sebaliknya jika orang yang di atas melarang, maka mereka selamatlah semuanya."

1196. Dari Abdullah bin Hisyam r.a., ia masih mendapati Nabi s.a.w. Ia dibawa menghadap Rasulullah s.a.w. oleh ibunya, Zainab binti Humaid. Kata ibu: "Hai Rasulullah! Baiahkanlah dia! Ia masih kecil". Lalu beliau sapu kepalanya dan beliau doakan.