1167. Dari Abi Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalau orang yang beriman itu telah bebas dari neraka, mereka ditahan pada jambatan antara syurga dan neraka, lalu orang saling membalas penganiayaan antara sesama mereka waktu di dunia. Setelah mereka dibersihkan dan disucikan, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Allah Yang diri Muhammad di tanganNya, orang lebih tahu tempatnya di syurga daripada tempatnya di dunia."
1168. Dari Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang Islam itu saudara orang Islam; ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari kiamat nanti."
1169. Dari Abu Musa r.a., Nabi bersabda: "Orang yang beriman dengan orang beriman yang lain adalah seperti rumah; bahagian yang satu menggunakan bahagian yang lain." Dan sebagai perumpamaan beliau mempersilangkan anak-anak jari beliau.
1170. Dari Abdullah Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aniaya itu menjadi kegelapan di hari kiamat."
1171. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa yang merosak nama baik atau harta benda orang lain, maka minta maaflah kepadanya sekarang ini, sebelum datang hari di mana mata wang tidak laku lagi. Kalau ia mempunyai amal baik, sebahagian dari amal baiknya itu akan diambil, sesuai dengan kadar aniaya yang telah dilakukannya. Kalau ia tidak mempunyai amal baik, maka dosa orang lain itu diambil dan ditambahkan kepada dosanya."
1172. Dari Abu Salamah r.a., terdapat banyak permusuhan antara dirinya dengan orang banyak. Hal ini diberitakannya kepada Aisyah r.a. Aisyah berkata: Hai Abu Salamah! Hindarilah perbuatan mengambil tanah orang lain! Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Barangsiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak agak sejengkal, maka akan dikalungkan kepadanya tujuh lapis bumi."
1173. Dari Ibnu Umar r.a.. kalanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang mengambil sebahagian tanah orang lain tanpa hak (dengan aniaya), maka pada hari kiamat ia akan dikubur sampai tujuh lapis bumi."
1174. Dari Ibnu Umar r.a.. katanya: Rasulullah s.a.w. melarang orang mengambil lebih daripada haknya, kecuali kalau orang itu mendapat izin dari temannya yang berhak.
1175. Dari Aisyah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang paling suka bermusuhan."
1176. Dari Ummu Salamah r.a., isteri Nabi s.a.w., ia bercerita bahawa Rasulullah s.a.w. mendengar suatu pertengkaran yang terjadi dekat pintu bilik beliau. Beliau keluar menemui orang-orang yang bertengkar itu dan berkata: "Saya ini manusia biasa. Orang-orang datang kepada saya berperkara. Sebahagian dari kamu lebih pintar daripada lawannya. Saya mengira bahawa ia benar, lalu saya jatuhkan keputusan menurut hal yang dikemukakannya. Siapa yang saya beri keputusan dengan melanggar hak orang lain, maka sesungguhnya keputusan itu adalah sebahagian dari api neraka. Terserah kepada orang itu apakah ia akan mengambilnya atau tidak mengambilnya."
1177. Dari Uqbah bin Amir r.a., katanya: Kami berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Anda menyuruh kami untuk tinggal pada suatu kaum, tetapi mereka tidak mahu menjamu kami. Bagaimanakah pendapat anda dalam hal ini?" Beliau berkata kepada kami: "Jika kamu tinggal pada suatu kaum, dan kamu mendapat perlakuan yang patut sebagai seorang tetamu, maka terimalah. Tetapi kalau mereka tidak memperlakukan kamu secara demikian, maka ambillah hak tetamu dari mereka!"
1178. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah orang melarang tetangganya menyandarkan kayu pada dindingnya!"
1179. Dari Anas r.a.: Pernah saya memberi minum kepada banyak orang di tempat Abu Thalhah, dan minuman kerasnya pada hari itu dibuat dari anggur. Lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh mengumumkan dan memberitahukan bahawa minuman keras itu diharamkan. Abu Thalhah berkata kepada saya: "Keluarlah engkau dan buangkanlah minuman keras itu!" Saya lalu keluar dan membuangkan minuman keras itu, sehingga mengalir di jalan-jalan-jalan Madinah. Ada orang yang berkata: "Celakalah orang-orang yang masih ada minuman keras dalam perut mereka." Di waktu itulah Tuhan menurunkan ayat yang bererti: "Orang-orang yang beriman dan beramal soleh tidaklah berdosa kerana apa yang telah mereka makan (sebelum larangan). (Al-Maidah, 96).