Jilid 3 \ 1154 - 1159 ( Hutang )

1154. Dari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang berhutang dengan maksud membayarnya kembali, Tuhan akan menolongnya dalam membayar kembali. Siapa yang mengambil harta orang lain dengan maksud untuk menghilangkannya, Tuhan akan menolong menghilangkannya.


1155. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seandainya saya mempunyai emas sebesar bukit Uhud, saya tidak akan merasa senang kalau emas itu masih ada pada saya selama tiga hari, selain dari apa yang dipersiapkan untuk membayar hutang."

1156. Dari Jabir bin Abdullah r.a.. ia bercerita bahawa bapaknya meninggal pada hari peperangan Uhud dalam keadaan berhutang. Semua orang yang berpiutang mendesak menuntut hak mereka. Lalu saya menghadap Rasulullah s.a.w. Beliau meminta kepada orang-orang itu agar mereka mahu menerima buah kebun kurma saya untuk pembayar hutang bapa saya, akan tetapi mereka tidak mahu. Rasulullah s.a.w. tidak mahu memberikan kebun saya itu kepada mereka. Beliau berkata: "Besok pagi kami akan datang kepada mu." Besok paginya beliau datang kepada kami. Beliau lalu mengelilingi pohon-pohon kurma itu dan beliau mendoakan buahnya. Kemudian saya memetik buahnya membayar mereka, sedang sisanya masih ada tinggal untuk kami.


1157. Dari Jabir bin Abdullah r.a., ia bercerita bahawa bapanya meninggal dunia dengan berhutang sebanyak tiga puluh wasq kepada seorang laki-laki Yahudi. Jabir minta agar hutang itu ditangguhkan, tetapi orang Yahudi itu tidak mahu. Jabir menceritakan hal ini kepada Rasulullah saw. Untuk minta pertolongan beliau terhadap orang Yahudi itu. Beliau pergi kepada orang Yahudi itu, lalu minta orang Yahudi itu mengambil buah kurma Jabir sebanyak piutangnya. Orang Yahudi itu tetap tidak mahu. Rasulullah saw. Masuk ke dalam kebun itu dan terus berjalan di dalamnya. Kemudian beliau berkata kepada Jabir: "Petiklah buah kurma itu untuk orang Yahudi itu dan cukupkan haknya." Lalu Jabir memetiknya setelah Rasul pergi. Dipetiknya tiga puluh wasq, dan masih masih tinggal untuknya tujuh belas wasq lagi. Kemudian Jabir pergi menghadap Rasulullah saw. Untuk menceritakan apa yang telah terjadi. Dijumpainya beliau sedang solat Asar. Setelah beliau selesai solat, langsung diceritakannya buah kurma yang berlebih-lebih itu. Beliau bersabda: "Ceritakanlah hal itu kepada Umar bin Khattab." Jabir pun pergilah kepada Umar menceritakan hal itu. Umar berkata kepadanya: Saya tahu bahawa sewaktu Rasulullah saw. Berjalan dalam kebun itu, sebenarnya beliau memintakan berkat untuk kebun itu.

1158. Dari Aisyah r.a., ia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. biasa berdoa dalam solat, dan dibacanya: "Hai Tuhan! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari berbuat salah dan berhutang." Ada orang yang bertanya kepada beliau: Kenapakah engkau amat banyak minta perlindungan daripada berhutang? Beliau menjawab: "Orang yang berhutang bila berkata berdusta, bila berjanji tidak menepatinya. "

1159. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Saya dengar Rasulullah saw. bersabda:"Barangsiapa yang menemukan harta bendanya pada seseorang atau beberapa orang yang jatuh muflis, ia lebih berhak atas benda itu dari orang lain."