Jilid 1 \ 1 - 48 ( WAHYU )

1, Dari Umar bin Khathab r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah".

2, Dari 'Aisyah, Ummul Mu'minin r.a., katanya Harits bin Hisyam r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah saw.: "Bagaimanakah caranya wahyu turun kepada Anda?" Jawab Rasulullah saw., "Kadang-kadang wahyu itu datang kepada ku (kedengaran) seperti bunyi loceng. Itulah yang sangat berat bagi ku. Setelah bunyi itu berhenti, lantas aku mengerti apa yang dikatakannya. Kadang-kadang malaikat menjelma , seperti seorang laki-laki datang kepada ku. Dia berbicara kepada ku dan aku mengerti apa yang dikatakannya".Kata 'Aisyah r.a., "Aku pernah melihat Nabi, ketika wahyu turun kepada beliau pada suatu hari yang amat dingin. Setelah wahyu itu berhenti turun,kelihatan dahi Nabi bersimbah peluh.

3, Dari 'Aisyah, Ummul Mu'minin r.a., katanya: "Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw., ialah berupa mimpi baik waktu beliau tidur. Biasanya mimpi itu terlihat jelas oleh beliau, seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak itu hati beliau tertarik hendak mengasingkan diri ke Gua Hira. Di situ beliau beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. Untuk itu beliau membawa perbekalan secukupnya. Setelah perbekalan habis, beliau kembali kepada Khadijah, untuk mengambil lagi perbekalan secukupnya. Kemudian beliau kembali pula ke Gua Hira, hingga suatu ketika datang kepadanya Al Haq (kebenaran atau wahyu), iaitu sewaktu beliau masih berada di Gua Hira itu."Malaikat datang kepadanya, lalu katanya, "Bacalah!" Jawab Nabi, "Aku tidak pandai membaca." Kata Nabi selanjutnya menceritakan, "Aku ditarik dan dipeluknya sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya pula membaca. "Bacalah !" katanya. Jawab ku, "Aku tidak pandai membaca. "Aku ditarik dan dipeluknya pula sampai aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya pula membaca. "Bacalah!" katanya. Ku jawab, "Aku tidak pandai membaca." Aku ditarik dan dipeluknya untuk ketiga kalinya, kemudian dilepaskannya seraya berkata: "Iqra' bismi rabbikalladzi khalaq. Khalaqal insaana min 'alaq. Iqra'! Wa rabbukal akram. (Bacalah dengan nama Tuhan mu , yang menjadikan. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Demi Tuhan mu Yang Maha Mulia.) Setelah itu Nabi pulang ke rumah Khadijah binti Khuwailid, lalu berkata, "Selimuti aku! Selimuti aku!" Lantas diselimuti oleh Khadijah, hingga hilang rasa takutnya. Kata Nabi saw. kepada Khadijah (setelah dikhabarkannya semua kejadian yang baru dialaminya itu), "Sesungguhnya aku cemas atas diri ku (akan binasa)." Kata Khadijah, "Jangan takut! Demi Allah! Tuhan sekali-kali tidak akan membinasakan Anda. Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang yang sengsara, mengusahakan (mengadakan) barang keperluan yang belum ada, memuliakan tetamu, menolong orang yang kesusahan kerana menegakkan kebenaran. Setelah itu Khadijah pergi bersama Nabi menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, iaitu anak pakcik . Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani (Kristian) pada masa jahiliyah itu. Ia pandai menulis buku dalam bahasa Ibrani. Maka disalinnya Kitab Injil dari bahasa Ibrani seberapa dikehendaki Allah dapat disalinnya. Usianya telah lanjut, dan matanya telah buta. Kata Khadijah kepada Waraqah, "Hai anak pakcik ku ! Dengarkanlah khabar dari Anak Saudara Anda (Muhammad) ini". Kata Waraqah kepada Nabi, ''Wahai Anak Saudara ku! Apakah yang telah terjadi atas diri Anda?" Lalu Rasulullah saw. menceritakan kepadanya semua peristiwa yang telah dialaminya. Berkata Waraqah. "Inilah Namus (Malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu, iaitu ketika Anda diusir oleh kaum Anda." Maka bertanya Rasulullah saw. "Apakah mereka akan mengusir ku?" Jawab Waraqah. "Ya, betul! Belum pernah seorang jua pun yang diberi wahyu seperti Anda, yang tidak dimusuhi orang. Apabila saya masih mendapati hari itu, nescaya saya akan menolong anda sekuat kuatnya." Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terputus untuk sementara waktu. Kata Ibnu Syihab, Abu Salamah bin Abdurrahman mengabarkan kepadanya, bahawa Jabir bin Abdullah Al Anshari menceritakan tentang terputusnya wahyu, katanya Nabi saw. berkata dalam hadisnya ''Pada suatu waktu ketika aku sedang berjalan jalan tiba-tiba kedengaran oleh ku suatu suara dari langit. Maka ku angkat pandangan ku ke arah datangnya suara itu. Kelihatan oleh ku malaikat yang pernah datang kepada ku di Gua Hira dahulu. Dia duduk di kursi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah, "Selimuti aku.". Lalu Allah swt. menurunkan ayat: "Ya, ayyuhal muddatstsir! Qum, fa andzir! Wa rabbaka fa kabbir! Wa tsiyaabaka fa thahhir! War rujza fahjur! (Hai, orang yang berselimut! Bangunlah! Maka berilah peringatan! Dan besarkanlah Tuhanmu!Dan bersihkanlah pakaianmu! Dan jauhilah berhala! Maka semenjak itu wahyu selalu turun berturut-turut.

4, Dan Ibnu Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. adalah seorang yang amat pemurah, dan lebih pemurah lagi selama bulan Ramadhan, iaitu ketika Jibril datang menemuinya. Biasanya Jibril datang kepada Nabi saw. tiap-tiap malam Ramadhan dan beliau kedua-duanya membaca Quran berganti-ganti. Sesungguhnya Rasulullah saw. lebih pemurah berbuat kebaikan daripada murahnya angin berhembus."

5, Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahawa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahawa Heraelius berkirim surat kepada Abu Sufyan menyuruh ia datang ke Syam bersama khalifah saudagar Quraisy. Waktu itu Rasulullah saw. sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan dengan orang-orang kafir Quraisy. Mereka datang menghadap Heraelius di Ilia terus masuk ke dalam majlisnya, dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi. Kemudian Heraelius memanggil orang-orang Quraisy itu beserta Jurubahasanya. Heraelius berkata, Siapa di antara Anda yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan laki-laki yang mengaku dirinya Nabi itu?" Jawab Abu Sufyan. "Saya ! Saya keluarga terdekat dengannya." Berkata Heraelius (kepada jurubahasanya), "Suruh dekat dekatlah dia kepada ku. Dan suruh pula para sahabatnya duduk di belakangnya." Kemudian berkata Heraelius kepada Jurubahasanya, "Katakan kepada mereka bahawa saya akan bertanya kepada orang ini (Abu Sufyan). Jika dia berdusta, suruhlah mereka mengatakan bahawa dia dusta." Pertanyaannya yang pertama, "Bagaimanakah turunannya di kalanganmu?" Aku jawab, "Dia turunan bangsawan di kalangan kami." Heraelius, "Pernahkah orang lain sebelumnya mengumandangkan apa yang telah dikumandangkannya?" Jawab ku, "Tidak pernah." Heraelius, "Adakah di antara nenek moyangnya yang menjadi raja?" Jawab ku, "Tidak!" Heraelius, "Apakah pengikutnya terdiri dari orang-orang mulia ataukah orang-orang biasa?" Jawab ku, "Hanya terdiri dari orang-orang biasa." Heraelius, "Apakah pengikutnya semakin bertambah atau berkurang?" Heraelius, "Adakah di antara mereka yang murtad, kerana mereka benci kepada agama yang dipeluknya itu?" Jawab ku, "Tidak!" Heraelius, "Apakah kamu menaruh curiga kepadanya dia berdusta sebelum dia mengumandangkan ucapan yang diucapkannya sekarang? Jawab ku, "Tidak!" Heraelius, "Pernahkah dia melanggar janji?" Jawab ku, "Tidak! Dan sekarang, kami sedang dalam perjanjian damai dengan dia. Kami tidak tahu apa yang akan diperbuatnya dengan perjanjian itu." Kata Abu Sufyan menambahkan, "Tidak dapat aku menambahkan kalimat lain agak sedikit pun selain kalimat itu." Heraelius, "Pernahkah kamu berperang dengannya?" Jawab ku, "Pernah." Heraelius, "Bagaimana peperanganmu itu?" Jawab ku, "Kami kalah dan menang silih berganti. Dikalahkannya kami dan kami kalahkan pula dia." Heraelius, "Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekalian?" Kata Heraelius kepada jurubahasanya, "Katakan kepadanya (Abu Sufyan), saya tanyakan kepada mu tentang turunannya (Muhammad), kamu jawab dia bangsawan tinggi. Begitulah Rasul-rasul yang terdahulu, diutus dari kalangan bangsawan tinggi kaumnya." Saya tanyakan, "Adakah salah seorang di antara kamu yang pernah mengumandangkan ucapan sebagai yang diucapkannya sekarang?" Jawabmu, "Tidak!" Kalau ada seseorang yang pernah, mengumandangkan ucapan yang diucapkannya sekarang, nescaya aku katakan, "Dia meniru-niru ucapan yang diucapkan orang dahulu itu." Saya tanyakan, "Adakah di antara nenek moyangnya yang jadi raja?" Jawabmu, "Tidak ada!" Kalau ada di antara nenek moyangnya yang menjadi raja, nescaya ku katakan, "Dia hendak menuntut kembali kerajaan nenek moyangnya." Saya tanyakan, "Adakah kamu menaruh curiga kepadanya bahawa ia dusta, sebelum ia mengucapkan apa yang diucapkannya sekarang?" Jawabmu, "Tidak!" Saya yakin, dia tidak akan berdusta, terhadap manusia apa lagi kepada Allah. Saya tanyakan, "Apakah pengikutnya terdiri dari orang-orang mulia ataukah orang-orang biasa?" Jawabmu, "Orang-orang biasa." Memang, mereka jugalah yang menjadi pengikut Rasul-rasul. Saya tanyakan, "Apakah pengikutnya makin bertambah banyak atau semakin kurang?" Jawabmu, "Mereka bertambah banyak." Begitulah halnya iman hingga sempurna. Saya tanyakan, "Adakah di antara mereka yang murtad kerana benci kepada agama yang dipeluknya, setelah mereka masuk ke dalamnya?" Kamu jawab, "Tidak." Begitulah iman, apabila ia telah berdarah daging sampai ke jantung hati. Saya tanyakan, "Adakah ia melanggar janji?" Kamu jawab, "Tidak." Begitu jugalah segala Rasul-rasul yang terdahulu, mereka tidak suka melanggar janji. Saya tanyakan, "Apakah yang disuruhkannya kepada kamu sekalian?" Kamu jawab, "Ia menyuruh menyembah Allah semata-mata, dan melarang mempersekutukanNya. Dilarangnya pula menyembah berhala, disuruhnya menegakkan solat, berlaku jujur dan sopan (teguh hati)." Jika yang kamu terangkan itu betul , semuanya, nescaya dia akan memerintah sampai ke tempat aku berpijak di kedua telapak kaki ku ini. Sesungguhnya aku telah tahu bahawa ia akan lahir. Tetapi aku tidak mengira bahawa dia akan lahir di antara kamu sekalian. Sekiranya aku yakin akan dapat bertemu dengannya, walaupun dengan susah payah aku akan berusaha datang menemuinya. Kalau aku telah berada di dekatnya, akan ku cuci kedua telapak kakinya. Kemudian Heraelius meminta surat Rasulullah saw. yang diantarkan oleh Dihyah kepada pembesar negeri Bushra, yang kemudian diteruskannya kepada Heraelius. Lalu dibacanya surat itu, yang isinya sebagai berikut: "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad, Hamba Allah dan Rasul-Nya. Kepada Heraelius, Kaisar Rumawi. Kesejahteraan kiranya untuk orang yang mengikut petunjuk. Kemudian, sesungguhnya saya mengajak Anda memenuhi panggilan Islam. Islamlah! Pasti Anda selamat. Dan Allah akan memberi pahala Anda dua kali lipat. Tetapi jika anda enggan, nescaya anda menanggung dosa seluruh rakyat. Hai, Ahli Kitab! Marilah kita dalam satu kalimah prinsip sama antara kita, iaitu supaya tidak menyembah kecuali hanya kepada Allah, dan jangan mempersekutukan-Nya dengan suatu apa pun. Dan janganlah sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain menjadi Tuhan selain daripada Allah. Apabila Anda enggan menuruti ajakan ini, akuilah bahawa kami ini Muslim! Kata Abu Sufyan, "Selesai ia mengucapkan perkataannya dan membaca surat itu, ruangan menjadi heboh dan hiruk pikuk; kami pun disuruh orang keluar. Sampai di luar, aku berkata kepada kawan. "Sungguh menjadi masalah besar urusan Anak Abu Kabsyah. Sehingga raja bangsa kulit kuning itu pun takut kepadanya. Aku yakin, Muhammad pasti menang hingga oleh kerananya Allah memasukkan Islam ke dalam hatiku." Ibnu Nathur, pembesar negeri Ilia, sahabat Heraelius dan Uskup(kepala pendeta) Nasrani di Syam, dia menceritakan, "Ketika Heraelius datang ke Ilia, ternyata fikirannya sedang kacau. Oleh sebab itu banyak di antara para pendeta yang berkata: "Kami sangat hairan melihat sikap Anda." Selanjutnya kata Ibnu Nathur, "Heraelius adalah seorang ahli nujum yang selalu memperhatikan perjalanan bintang- bintang. Dia pernah menjawab pertanyaan para pendeta yang bertanya kepadanya. Pada suatu malam ketika saya mengamati perjalanan bintang-bintang, saya melihat Raja Khithan telah lahir. Siapakah di antara umat ini yang telah dikhatan?" Jawab para pendeta itu. "Yang berkhatan hanyalah orang Yahudi. Janganlah Anda risau kerana orang Yahudi itu. Perintahkan saja ke seluruh negeri dalam kerajaan Anda, supaya orang-orang Yahudi di negeri itu dibunuh." Ketika itu dihadapkan kepada Heraelius seorang utusan Raja Bani Ghassan untuk menceritakan perihal Rasulullah saw. Setelah orang itu selesai bercerita, lalu Heraelius memerintahkan agar dia diperiksa, apakah dia berkhatan atau tidak. Setelah diperiksa, ternyata memang dia berkhatan. Lalu diberitahukan orang kepada Heraelius. Heraelius bertanya kepada orang itu tentang orang-orang Arab lainnya, "Dikhatankah mereka atau tidak?" Jawabnya, "Orang-orang Arab itu dikhatan semuanya." Heraelius berkata, "Inilah raja umat. Sesungguhnya dia telah lahir." Kemudian Heraelius berkirim surat kepada seorang sahabatnya di Rome, yang ilmunya setaraf dengan Heraelius (menceritakan tentang kelahiran Nabi Muhammad saw.). Dan sementara itu ia meneruskan perjalanannya ke negeri Hims. Tetapi sebelum dia sampai di Hims, balasan surat dari sahabatnya itu telah tiba lebih dahulu. Sahabatnya itu menyetujui pendapat Heraelius bahawa Muhammad telah lahir dan beliau memang seorang Nabi. Heraelius mengundang para pembesar Rome supaya datang ke tempatnya di Hims. Setelah semuanya hadir dalam majlisnya, Heraelius memerintahkan supaya mengunci setiap pintu. Kemudian dia berkata, "Wahai, bangsa Rome! Mahukah Anda semua beroleh kemenangan dan kemajuan yang gilang gemilang, sedangkan kerajaan tetap utuh di tangan kita? Kalau mahu, akuilah Muhammad itu sebagai Nabi!" Mendengar ucapan itu mereka lari bagaikan keldai melihat keadaan demikian, padahal semua pintu telah terkunci. Heraelius jadi putus harapan yang mereka akan iman (percaya kepada Nabi Muhammad saw.). Lalu diperitahkannya supaya mereka kembali ke tempat mereka masing-masing seraya berkata, "Sesungguhnya saya mengucapkan perkataan saya tadi, hanya sekedar menguji keteguhan hati Anda semua. Kini saya telah melihat keteguhan itu. Lalu mereka sujud di hadapan Heraelius dan mereka senang kepadanya. Demikianlah akhir kisah Heraelius.

6, Dari Ibnu Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Dasar (pokok-pokok) Islam itu ada lima perkara: (1) Mengakui tidak ada Tuhan selain Allah, dan mengakui bahawa Muhammad itu Rasullullah. (2) Menegakkan solat (3) Membayar zakat (4) Menunaikan ibadah haji, dan (5) Puasa bulan Ramadhan."

7, Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad saw., sabdanya: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari iman."

8, Dari Abdullah bin Umar r.a., dari Nabi Muhammad saw., sabdanya: "Orang muslim itu ialah orang yang sentosa semua orang Islam dari bencana lidah dan tangannya. Dan orang muhajirin ialah orang yang pindah (meninggalkan) segala larangan Allah.

9, Dari Abdullah bin Umar r.a, katanya seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah saw, katanya: "Islam yang bagaimanakah lebih utama?" Jawab Nabi saw, "Memberi makan (orang-orang miskin), mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang tidak engkau kenal.

10, Dari Anas r.a , dari Nabi s.a.w, sabdanya: "Tidak (sempurna) iman seseorang kamu , sebelum ia menyukai untuk saudaranya (sesama Islam) apa yang disukainya untuk diri sendiri."

11, Dari Anas r.a, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: " Tidak (sempurna) iman seseorang kamu, sebelum ia lebih mencintai aku daripada mencintai ibu bapanya, anaknya dan manusia umumnya."

12, Dari Anas r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Tanda-tanda iman ialah mencintai kaum Ansar dan tanda-tanda munafik ialah membenci kaum Ansar."

13, Dari 'Ubbadah bin Shamit r.a., salah seorang sahabat Nabi yang turut ambil bahagian dalam perang Badar, dan ikut dalam pertemuan pada malam Aqabah, katanya: "Pada suatu waktu, ketika Rasulullah saw. sedang di kelilingi oleh sekelompok para sahabat, beliau bersabda: "Bai'atlah (berjanjilah) Anda semua dengan ku: (1) Tidak mempersekutukan dengan sesuatu apa pun, (2) Tidak mencuri, (3) Tidak berzina, (4) Tidak membunuh anak-anakmu, (5) Tidak membuat fitnah antara sesama kamu, (6) Tidak durhaka terhadap perintah kebaikan. Barangsiapa menepati perjanjian itu, nescaya ia diberi pahala oleh Allah, dan siapa melanggar salah satu daripadanya, maka dia akan dihukum di dunia ini. Hukuman itu menjadi Kaffarah (denda) baginya. Dan barangsiapa melanggar salah satu daripadanya, kemudian ditutup oleh Allah (tidak diketahui orang, sehingga ia bebas dari hukuman dunia), maka perkaranya terserah kepada Allah. Kalau Allah suka mengampuni, diampuniNyalah, dan kalau Allah hendak menyeksa, diseksaNya. Maka kami semua (para sahabat yang hadir mengelilingi Nabi waktu itu) berjanji kepada beliau atas hal-hal tersebut."

14, Dari Abu Sa'id al. Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Akan datang suatu masa, di mana yang sebaik-baik harta orang Islam ialah kambing (biri-biri). Dia gembala di puncak-puncak bukit dan di tempat-tempat air hujan berkumpul (lembah-lembah). Dia memencil (dari orang ramai) untuk menjaga agamanya dari bencana."

15, Dari 'Aisyah r.a, katanya: "Biasanya Rasulullah saw. apabila menyuruh para sahabatnya, disuruhnya mereka mengerjakan amal-amal yang (kira-kira) mereka sanggup mengerjakannya." Terus mereka berkata, "Ya, Rasul Allah! Kami ini tidak seperti Anda. Allah swt. telah mengampuni dosa Anda yang telah lalu dan yang akan datang." Mendengar ucapan mereka itu Nabi marah, sehingga kelihatan tanda marah di mukanya. Sabda beliau, "Sesungguhnya yang paling taqwa dan yang lebih alim tentang Allah di antara kamu semua, ialah aku.

16, Dari Anas r.a, dari Nabi saw., katanya: "Ada tiga perkara, barangsiapa melaksanakan ketiga-tiganya, nescaya ia akan mendapatkan kesedapan iman: (1) Orang yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada cintanya kepada yang lain dari pada keduanya. (2) Orang yang mencintai orang lain semata-mata. (3) Orang yang benci untuk kembali kepada kafir, setelah Allah melepaskannya daripada (belenggu) kekafiran itu, sama dengan bencinya akan dijatuhkan ke dalam neraka."

17, Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a, dari Nabi saw. sabdanya: " Setelah penduduk syurga masuk ke dalam syurga, dan penduduk neraka masuk ke dalam neraka, maka Allah berfirman : Keluarkanlah dari neraka orang-orang yang ada iman di dalam dadanya (walau hanya) sebesar biji sawi!" Lalu mereka dikeluarkan dari neraka, (tetapi) tubuh mereka hitam bagaikan arang. kerana itu mereka dilemparkan ke dalam sungai Haya' atau Hayat. Imam Malik ragu antara Haya' atau Hayat. Kemudian tubuh mereka berubah bagaikan benih. yang tumbuh sesudah banjir. Tidakkah engkau lihat benih itu tumbuh berwarna kuning dan berlipat-lipat".

18, Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a, katanya Rasulullah saw bersabda,: "Aku bermimpi dalam tidurku, seolah-olah aku melihat manusia dihadapkan kepada ku. Baju mereka di antaranya ada yang sampai ke susunya dan ada pula yang kurang dari itu. Ku lihat juga Umar bin Khattab dihadapkan kepada ku, sedangkan bajunya diheret-heretnya kerana sangat dalam. Para sahabat bertanya: " Apakah takwil mimpi anda itu?" Jawab Nabi saw, "Agama."

19, Dari Salim bin Abdullah r.a, dari ayahnya, katanya: "Nabi saw lewat dihadapan seorang Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya itu pemalu. Maka sabda Rasullullah saw. kepadanya, "Biarkanlah dia! Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman,"

20, Dari Ibnu Umar r.a, katanya Rasulullah saw, bersabda: "Aku diperintah supaya memerangi manusia, hingga mereka mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, dan supaya mereka menegakkan solat dan membayar zakat. Apabila yang demikian telah mereka lakukan, maka darah dan harta mereka mendapat perlindungan dari ku, kecuali kerana alasan-alasan (hukum) Islam. Sedangkan perhitungan (peradilan) mereka terserah kepada Allah."

21, Dari Abu Hurairah r.a, katanya ada orang bertanya kepada Rasulullah saw, tanyanya: "Apakah amal yang paling utama?" Jawab Nabi saw, "Percaya kepada Allah dan Rasul-Nya." Tanyanya pula, "Sesudah itu apakah?" Jawab beliau, "Jihad (berusaha keras atau berjuang) di jalan Allah!" Tanyanya lagi, "Sesudah itu apa pula?" Jawab beliau, " Haji yang mabrur (haji yang diterima Allah, kerana memenuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah)"

22, Dari Sa'ad r.a, katanya: "Nabi saw. pernah membahagi-bahagikan hadiah (pemberian) kepada beberapa orang, dimana ketika itu Sa'ad sedang duduk dekat mereka. Tetapi Rasulullah meninggalkan (tidak memberi) seorang laki-laki, kejadian mana sangat menarik perhatian ku. Aku bertanya, "Apa sebabnya Anda tinggalkan si Fulan itu? Demi Allah! Menurut hemat ku dia adalah orang mukmin." Jawab Nabi, "Ataukah dia muslim?" Aku diam sebentar. Sekali lagi apa yang ku ketahui tentang orang itu mendesak ku untuk bertanya kembali. Rasulullah menjawab seperti tadi juga. Kemudian beliau bersabda, "Hai Sa'ad!. Sesungguhnya aku memberi orang itu. Aku lebih menyukai (pemberian) yang lain, untuk menjaga supaya orang yang diberi itu jangan sampai ditelungkupkan Allah di dalam neraka."

23, Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Diperlihatkan (Allah) kepada ku neraka. Ketika itu ku lihat kebanyakan isinya terdiri dari perempuan -perempuan kafir." Ditanyakan orang kepada beliau. "Apakah mereka kafir kepada Allah?" Jawab Rasulullah, "Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan saja, lantas ia berkata. "Saya tidak pernah melihat kebaikan daripadamu sedikit juapun."

24, Dari Ma'rur r.a, ujarnya: "Saya bertemu dengan Abu Dzar di Rabazah. Dia dan hamba sahayanya memakai pakaian serupa. Saya tanyakan kepadanya, apa sebabnya mereka memakai pakaian serupa. Jawabnya "Dahulu saya pernah memaki seseorang dengan mencela ibunya. (Sehubungan dengan itu) Rasulullah menegur saya: "Hai Abu Dzar! Mengapa engkau maki dia dengan mencelanya ibunya? Rupanya engkau masih berfikiran seperti Jahiliyah. Hamba sahayamu itu adalah saudara mu atau pakcikmu yang diamanahkan Allah dalam tanggungjawabmu. kerana itu, siapa saja mempunyai saudara yang menjadi tanggungjawabnya, hendaklah diberi makan sama seperti yang dimakannya, dan diberinya pakaian sama seperti pakaian yang dipakainya. Dan janganlah mereka dibebani pekerjaan diluar kemampuan mereka. Jika mereka terpaksa harus mengerjakannya juga, bantulah mereka."

25, Dari Ahnaf bin Qais, r.a., dia menceritakan: "(Pada suatu ketika) saya pergi hendak menolong seorang laki-laki (sedang berkelahi). (Kebetulan) saya bertemu dengan Abu Bakrah. Dia bertanya kepada ku, "Hendak ke mana kamu?" Jawab ku, "Saya hendak menolong orang itu." Ujarnya, "Kembalilah! (Jangan tolong dia!). Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda: Apabila dua orang muslim berkelahi, masing-masing mempergunakan pedang, maka si pembunuh dan yang terbunuh, kedua-duanya masuk neraka." Saya bertanya, "Ya, Rasulullah! Si pembunuh patut masuk neraka tetapi kenapa pula yang terbunuh?" Jawab Rasulullah, "kerana orang yang terbunuh itu sengaja pula hendak membunuh saudaranya sendiri."

26, Dari Abdullah bin Umar, r.a., katanya: "Tatkala turun ayat yang berbunyi: " Mereka yang beriman, dan tidak mencampur-baurkan iman mereka dengan aniaya, mereka akan beroleh ketenteraman dan akan dipimpin (Allah). Bertanya para sahabat Rasulullah saw.. "Siapakah di antara kami yang tidak aniaya terhadap dirinya sendiri?" Maka diturunkan Allah ayat: "Sesungguhnya syirik (mempersekutukan Allah) adalah aniaya yang amat besar.

27. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Tanda-tanda munafik ada tiga:1. Apabila berkata, dia dusta. 2. Apabila berjanji, dia mungkir. 3. Apabila dipercaya, dia khianat.

28, Dari Abdullah bin Amr bin Ash, r.a katanya Nabi saw. bersabda: "Ada empat perkara, barangsiapa terdapat pada dirinya lengkap keempatnya, itulah dia orang munafik sesungguhnya. Dan barang siapa terdapat padanya satu perkara saja, maka ia termasuk munafik juga, hingga di tinggalkannya sifat yang satu itu: 1. Apabila dipercaya, dia khianat. 2. Apabila berkata, dia dusta. 3. Apabila berjanji, dia mungkir. 4. Apabila ia bermusuhan, dia sangat jahat."

29, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw., bersabda: "Barangsiapa melakukan solat di malam qadar kerana iman dan ikhlas, nescaya diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu."

30, Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi saw. bersabda: "Allah menggembira kan hati orang yang berperang fisabilillah" (di jalan Allah), iaitu orang yang berperang semata-mata kerana iman kepada Allah dan Rasul-Nya, bahawa ia akan kembali membawa kemenangan dan harta rampasan, atau dimasukkan ke dalam syurga. "Andaikata tidaklah akan menyulitkan umat ku, nescaya aku selalu ikut berperang. Aku ingin mati terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup kembali dan terbunuh, hidup kembali dan terbunuh pula."

31, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menegakkan solat di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas, diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu."

32. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang puasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas diampuni Allah dosanya yang telah lalu"

33, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam."

34, Dari Barra' bin Azib r.a., "Pertama kali Nabi saw. datang ke Madinah, beliau bertempat tinggal di rumah abang atau pakcik-pakcik beliau dari kaum Ansar. Ketika itu Nabi solat menghadap ke Baitul Maqdis (Jerusalem), lebih kurang 16 atau 17 bulan lamanya. Sesungguhnya Nabi lebih suka Baitullah (Ka'bah di Mekah) menjadi kiblatnya. Dan solat yang mula-mula dikerjakan Nabi menghadap ke Baitullah (Kaabah) ialah solat Asar, yang dilakukan beliau bersama-sama dengan orang banyak. Kemudian salah seorang yang ikut jemaah bersama Nabi ketika itu keluar, dan pergi melalui sebuah masjid, di mana jemaahnya sedang rukuk (menghadap ke Baitul Makdis)" Lantas orang itu berkata, "Demi Allah, baru saja saya solat bersama-sama Rasulullah menghadap ke (Baitullah di) Mekah. "Maka segera mereka merubah kiblat mereka menghadap ke Baitullah. Orang-orang Yahudi mulanya sangat bangga, ketika (Nabi dan pengikutnya) solat menghadap ke Baitul Maqdis. Begitu pula Ahli Kitab (Nasrani). Tetapi setelah kiblat umat Islam berubah ke Baitullah, mereka mencela perubahan itu. Selanjutnya Barra' menyebutkan dalam hadisnya ini, "Banyak orang telah meninggal di masa kiblat masih ke Baitul Makdis, dan yang terbunuh sebelum perubahan kiblat ke Baitullah. Kami tidak mengerti bagaimana (hukumnya) solat itu." Lalu turun ayat: "Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu semua." (Surah Al Baqarah, 2 : 143)

35, Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda, "Apabila seseorang masuk Islam, kemudian Islamnya menjadi baik, nescaya Allah menghapus segala kejahatannya. Sesudah itu setiap kebaikannya dibalas (Allah) sepuluh sampai tujuh ratus kali. Sedangkan kejahatannya dibalas (hanya) setimpal dengan kejahatan itu, kecuali pula kalau Allah memaafkannya".

36, Dari Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Nabi pulang ke rumah Aisyah, didapatinya dekat Aisyah duduk seorang wanita. Lalu Nabi bertanya, "Siapakah wanita itu?" Jawab Aisyah; "Inilah si Fulanah (si Anu) yang terkenal banyak melakukan solat " Sabda Nabi saw, "Jangan begitu! Kerjakanlah sekuasamu. Demi Allah! Dia tidak bosan memberikan pahala, sehingga kamu sendiri yang malas berbuat amal. Amal (agama) yang lebih disukai di sisi Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap dan teratur."

37, Dari Anas r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Akan dikeluarkan dari neraka, (1) Orang yang menyebut Laa ilaa ha illallaah (Tidak ada Tuhan kecuali hanya Allah), apabila di dalam hatinya terdapat kebaikan (iman) seberat sya'irah, dan (2) Akan dikeluarkan dari neraka orang yang menyebut Laa ilaaha illallaah, apabila di dalam hatinya terdapat kebaikan seberat burrah, dan (3) Akan dikeluarkan dari neraka orang yang menyebut Laa ilaa ha illallaah, apabila di dalam hatinya terdapat kebaikan seberat zarah."

38, Thalhah bin Ubaidillah mengabarkan, "Seorang laki-laki Nejd datang kepada Rasulullah saw. dengan kepala penuh debu. Kami mendengar laranya tetapi (tidak mengerti apa yang diucapkannya; sehingga dia mendekatkan diri kepada Rasul Allah saw. Kiranya dia menanyakan perihal Islam." Sabda Rasulullah saw; "Lima solat sehari semalam." Bertanya pula dia; "Apakah lagi selain itu?" Jawab Nabi saw, "Tidak! Kecuali jika anda suka melakukan solat sunat:" Rasulullah saw. melanjutkan, "Dan puasa bulan Ramadhan." Bertanya pula dia; "Adakah lagi selain itu?" Jawab Nabi. "Tidak! Kecuali jika anda suka melakukan yang sunat." Rasulullah meneruskan, "Dan zakat." Orang itu bertanya pula, "Adakah lagi selain itu?" Kemudian orang itu pergi. Sambil berkata, "Demi Allah! Tidak akan saya tambah dan tidak akan saya kurangi apa yang Anda sebutkan itu." Maka sabda Rasulullah saw. "Dia pasti beruntung kalau apa yang dikatakannya itu benar-benar ditepatinya."

39, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa melayan jenazah orang muslim kerana iman dan ikhlas, turut solat jenazah bersama-sama dan menyelenggarakan pemakamannya sampai selesai, maka orang itu pulang membawa pahala dua qirat; satu qirat kira-kira sebesar Bukit Uhud. Dan siapa yang mengikut solat jenazah saja, kemudian dia pulang sebelum dimakamkan, maka orang itu pulang membawa pahala satu qirat."

40, Dari Abdullah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Memaki orang muslim adalah durhaka (fasik) dan membunuhnya kafir."

41, Diceritakan oleh Ubadah bin Shamit r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar. (Kebetulan) beliau bertemu dengan dua orang laki-laki muslim sedang berbantah. Maka Nabi bersabda, "Saya keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar; kebetulan saya melihat dua orang sedang berbantah, maka aku jadi lupa. Mudah-mudahan kelupaan itu berguna untuk Anda sekalian. Carilah Malam qadar itu di malam ketujuh, kesembilan dan kelima."

42, Dikhabarkan oleh Abu Hurairah r.a., katanya pada suatu hari Nabi saw. duduk bersama-sama jemaah, tiba-tiba datang kepadanya seorang laki-laki bertanya. "Apakah ertinya iman?" Jawab Rasulullah, "Iman ialah percaya kepada Allah, kepada Malaikat-Nya, kepada Rasul-Nya, dan kepada berbangkit (sesudah mati)." Tanya orang itu pula, "Apakah ertinya Islam?" Jawab Nabi, "Islam iaitu menyembah Allah dan tidak mempersekutukanNya, menegakkan solat, membayar zakat, dan puasa Ramadhan." Dia bertanya lagi, "Apakah ertinya ihsan?" Jawab Nabi, "Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia. Biarpun engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau." Tanya orang itu pula, "Bilakah hari kiamat?" Jawab Nabi, "Orang ditanya (Nabi) tidak lebih tahu dari orang yang menanya. Tetapi akan ku terangkan tanda-tandanya: (1) apabila budak perempuan melahirkan majikannya dan (2) apabila gembala unta telah bermegah-megah dalam gedung yang indah mewah. Dan kiamat itu salah satu dari lima rahsia yang hanya Allah mengetahuinya." Kemudian Nabi membaca ayat:Innallaaha 'indahu 'ilmus sa'ah, wa yunazzi lulghaitsa wa ya'lamu maa, fil arhaam, wa maa tadri nafsum ma dza taksibu ghadaa wa maa tadri nafsum biayyi ardhin tamutu innallaaha 'aliimun khabir." ("Hanya Allah yang mengetahui hari kiamat dan turunnya hujan, dan yang mengetahui bayi apa yang di dalam rahim ibu; (Allah juga mengetahui) apa yang tidak diketahui orang, kerja apa yang akan dilakukannya besok; (Allah juga mengetahui) apa yang tidak diketahui orang, di bumi mana dia akan meninggal. Sesungguhnya Allah Maha Tahu lagi Maha Pintar." - S. Luqman, 31:34 Setelah itu orang tersebut pergi. Maka sabda Nabi, "Panggillah dia kembali!" Tetapi mereka tidak nampak orang itu lagi. Nabi bersabda, "Itulah Jibril, dia mengajarkan agama kepada umat manusia."

43, Nu'man bin Basyir r.a. bercerita, bahawa ia pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Perkara yang halal telah jelas dan yang haram jelas pula. Antara keduanya ada beberapa perkara yang diragukan, yang tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan orang. Barangsiapa menjauhi perkara-perkara yang diragukan itu, bererti dia memelihara agama dan kesopanannya. Barangsiapa mengerjakan perkara yang diragukan, sama dengan gembala yang menggembalakan ternaknya di pinggir jurang, dikhuatirkan dia jatuh ke dalamnya. Ketahuilah, semua raja mempunyai larangan. Ketahuilah pula, larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka baik pulalah tubuh itu semuanya. Dan apabila daging itu rosak, maka binasa pulalah tubuh itu seluruhnya. Ketahuilah, daging itu ialah jantung!"

44, Abu Jamrah bercerita, "Aku duduk bersama Ibnu Abbas di atas divannya, lalu dia berkata kepada ku: Tinggallah di rumahku, nanti ku beri kamu sebahagian harta ku." Maka aku tinggal di rumahnya (lebih kurang telah) dua bulan lamanya. Kemudian dia berkata kepada ku, Sabda Nabi, "Selamat datang Para Utusan." Diucapkan beliau tanpa penghinaan dan penyesalan. Jawab mereka, "Ya, Rasulullah! Kami tidak dapat datang menemui Anda kecuali di bulan Haram ini; kerana antara negeri kami dan negeri Anda, ada kampung Mudhar yang masih kafir. Oleh kerana itu, berilah kami pengajaran yang jelas dan tegas, supaya kami sampaikan kepada orang-orang kampung kami, agar kami semuanya masuk syurga." Kemudian mereka menanyakan kepada Nabi tentang minum-minuman. Maka Nabi menyuruh mereka melaksanakan empat perkara dan melarang empat perkara pula. Nabi menyuruh mereka supaya iman kepada Allah satu-satu-Nya. Sabda Nabi, "Tahukah Anda sekalian, apa ertinya iman kepada Allah satu-satunya?" Jawab mereka, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Sabda Nabi, "Mengakui tidak ada Tuhan selain Allah, dan Muhammad itu Rasul Allah." Kemudian Nabi menyuruh mereka menegakkan solat, membayar zakat, puasa bulan Ramadhan, dan memberikan seperlima harta rampasan perang (kepada Baitul Maal). Nabi melarang mereka melakukan empat perkara, yaitu: 1. hantam, 2. dubba, 3. naqir, dan 4. muzaffat - atau barangkali muqayyar (ganti naqir). Selanjutnya Nabi bersabda, "Ingatlah semuanya itu dan sampaikan kepada orang kampung Anda."

45, Dari Abu Mas'ud r.a., katanya Nabi saw., bersabda: "Apabila seorang laki-laki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah."

46, Saad bin Abi Waqas r.a., menceritakan bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda: "Nafkah (infak) yang Anda berikan semata-mata kerana Allah, nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang Anda berikan untuk makan isteri Anda (belanja rumah tangga) akan diberi pahala juga oleh Allah."

47, Kata Jarir bin Abdullah, "Saya berjanji dengan Rasulullah saw. akan menegakkan solat, membayar zakat dan berlaku jujur terhadap semua orang muslim."

48, Ziad bin 'Uaqah r.a. berkata: "Saya mendengar Jarir bin Abdullah berpidato pada hari wafat Mughirah bin Syu'bah. Katanya: "Saya puji Allah dan saya sanjung Dia setinggi-tingginya. Selanjutnya dia berkata, "Taqwalah Anda sekalian kepada Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya. Sabar dan tenanglah Anda semua, hingga datang Amir (Gabenor) yang baru. Sesungguhnya dia akan datang kepada Anda sekarang jua. Sesudah itu ia melanjutkan, "Berilah maaf kepada Amirmu (Mughirah), kerana dia orang pemaaf. Kemudian katanya lagi, "Saya telah datang kepada Nabi saw. dan berjanji akan melaksanakan segala perintah Islam. Lalu beliau memberikan beberapa syarat kepada ku. serta nasihat-nasihat untuk kaum muslimin seluruhnya. Aku berjanji kepada beliau akan memenuhi syarat-syarat tersebut dan mengamalkan nasihat-nasihat itu. Demi Tuhan masjid ini, sesungguhnya saya telah menyampaikan kepada Anda sekalian."Kemudian dia mohon ampun kepada Allah, lalu turun dari mimbar."